Saturday 15 November 2014

SIHIR CINTA -BAB 3-4

BAB 3

Doktor Ikhwan merenung Elly melalui petak kaca di pintu wad yang terpaksa dikunci. Dia menggeleng tatkala melihat Elly seolah-olah sedang berbicara dengan seseorang.  Terkejut doktor itu apabila Elly memandangnya sambil menyeringai. Elly menggamit Doktor Ikhwan agar masuk ke dalam tetapi tidak diendahkannya. Doktor Ikhwan berlalu. Dia menekan butang lif dan sebaik sahaja lif terbuka nafasnya bagaikan tersekat di kerongkong. Elly berdiri di hadapannya.
Dipejamkan matanya dan terus meninggalkan lif itu. Doktor Ikhwan menuruni anak tangga. Sepanjang masa dia berzikir. Dia tahu itu bukan Elly. Doktor Ikhwan berhenti daripada melangkah ke keretanya. Angin begitu kuat menampar wajahnya
“Jangan kacau aku. aku cuma merawat dia. Jika kau suruhan dia, katakan padanya...aku cuma takutkan Allah bukannya dia. Dia tak punya hak atas ketakutan di dalam diriku” Doktor Ikhwan masuk ke dalam kereta dan angin yang kuat itu terus menghilang. Terhela juga nafasnya dalam keadaan lebih tenang berbanding tadi. Biarpun punya keberanian namun begitu rasa takut itu tetap ada kerana Doktor Ikhwan tahu mereka yang mempunyai iman yang begitu teguh sahaja dapat melawan makhluk yang dibenci Allah itu.

ELLY menggoyangkan tubuhnya ke hadapan dan ke belakang. Semakin lama goyangannya semakin laju hinggakan jururawat yang sedang memeriksa tekanan darahnya terpaksa menegur agar dia berhenti daripada terus bergerak.
“Aku makan anak kau dalam perut ni nak?” Soalan Elly tidak dijawab jururawat tersebut. Dia cuma berzikir dan terus mengingati pesan Doktor Ikhwan. Ya, dia bukan sahaja berhadapan dengan manusia gila tetapi makhluk lain yang mengusai tubuh wanita itu. Tangan elly hampir sahaja memegang perut wanita itu tetapi segera ditepais Doktor Ikhwan yang kebetulan baru tiba untuk memeriksa keadaannya.
“Jangan terlalu jahat untuk mengenakan orang yang tak punya dosa dengan kamu.” Teguran Doktor Ikhwan itu membuatkan mata Elly menjeling tajam.
“Suriani, boleh pergi. Jika tiada siapa temankan awak jangan sesekali masuk ke dalam wad ini.” Arahan itu diberikan oleh Doktor Ikhwan dengan nada yang tegas.
“Kau bukannya percayakan syaitan. Bagi doktor macam kau halusinasi dan sakit jiwa itu adalah penyakit yang paling tepat untuk kau beri pada aku.” Elly masih menggoyangkan badannya.

"Saya tetap hamba Allah yang mengakui dan menjujungi segala apa yang telah tertulis di dalam Al-Quran. Syaitan dan jin itu wujud dengan kebijaksanaanNya dan jangan sesekali awak lupa Elly, Allah juga menganugerahkan Al-Quran untuk hambanya dimana kalam suci itu tidak dianugerahkan untuk makhluk yang sedang awak bergantung nasib itu. Semua orang fikir kami, doktor tidak mempercayai Syaitan dan jin. Saya tidak menganggap semuanya halusinasi kerana walaupun saya seorang doktor, saya tetap hamba yang beriman kepada Allah." Doktor Ikhwan memandang mata Elly yang hanya memandang ke satu arah.
"Kau tak takut aku? Kau manusia, apa yang kau ada?" suara Elly berubah.
"Aku ada tuhanku, Al-Quran dan sunnah Rasulullah. Kau ada apa?" Soalan itu diajukan semula.
"Aku boleh bunuh kau," tawa Elly yang bersuara seperti seorang lelaki.
Doktor Ikhwan ketawa kecil.
"Kematianku telah ditetapkan oleh tuhanku. Siapa kau mahu mengubahnya? Kau takkan mampu walaupun sesaat terlebih atau pun terkurang."
Elly bangun dan terus mencekak leher Doktor Ikhwan. Jururawat yang kebetulan lalu menjerit meminta pertolongan.
"Aku nak tengok semampu mana kau melawan kehendakNya. Jika matiku ditakdirkan waktu ini aku berserah kerana hidup dan matiku kerana Allah. aku tetap gembira kerana matinya aku ketika melawan makhluk yang dikeji olehNya."
“Manusia angkuh! Kuat sangatkah iman kau sampai mulut kau bisa sebegitu” Tangan Elly mencengkam leher Doktor Ikhwan lebih kuat lagi.
“Kau marah?” Soal Doktor Ikhwan yang sempat lagi menahan beberapa orang pengawal untuk menangkap Elly. Mulut Doktor Ikhwan terkumat kamit membaca ayat suci Al-Qauran yang diajar oleh ayahnya dan segera telapak tangannya diletakkan ke dahi Elly. Serta-merta Elly pengsan. Berpeluh juga Doktor Ikhwan dibuatnya. Dia merenung Elly daripada jauh. Cuak juga dia tadi sebenarnya tetapi tak perlulah untuk dia menunjukkan kelemahannya di hadapan makhluk Allah yang keji itu.


IMAM Hamdan tersedar daripada mimpinya. Beristighfar bibir tua itu sambil menyapu kedua belah telapak tangan keseluruh raut wajahnya. Dia menoleh Mak Siti disebelahnya. Kepala Mak Siti diusapnya buat seketika. Di dalam mimpinya, Irina terpenjara jauh sekali di sebuah tempat yang suram dan kelam. Kegelapan menyelubungi tempat Irina berdiri. Tangisan Irina tidak mampu menyedarkan Hazrul yang hanya tertidur di bawah sebatang pokok yang merendang tetapi sangat menyeramkan. Tangisan Irina berlagu sendu. Baru sahaja Imam Hamdan mahu menghampiri Irina, Imam Hamdan terkejut lalu terus terjaga daripada mimpinya. Kakinya melangkah keluar daripada bilik dan terus mengambil wuduk. Imam Hamdan melakukan sembahyang sunat tahjud dan berzikir di tikar sejadah. Dia mulai tidak sedap hati kerana pada perkiraannya pasti ada sesuatu yang berlaku pada Irina dan Hazrul. Kemungkinan!

MENDENGAR sahaja deruman enjin kereta memasuki halaman rumahnya, Imam Hamdan terus meluru ke muka pintu. Sudah lama dia tidak bertemu dengan anak tunggalnya. Kesibukan anaknya membuatkan mereka mempunyai batas waktu untuk bertemu. Namun begitu anaknya setiap bulan akan menghantar wang dan bertanya khabar Imam Hamdan dan Mak Siti di kampung.
“Ikhwan! Ya Allah... lamanya ayah tak jumpa anak ayah ni.” Tubuh Doktor Ikhwan dipeluk mesra.
“Ayah, maafkan Ikhwan dan beberapa bulan Ikhwan tak pulang jenguk mak dan ayah.” Tangan ayah dan ibunya dikucup agak lama. Mak Siti memeluk tubuh Doktor Ikhwan agak lama. Terubat juga kerinduannya terhadap anak tunggal mereka. Selepas makan tengahari bersama-sama, Doktor Ikhwan baring di atas katilnya. Melegakan pinggang yang kepenatan sepanjang perjalanan pulang ke kampung. Malam ini Mak Siti akan menyediakan masakan kegemarannya. Terliur pula apabila terkenangkan pajeri terung yang sudah lama tidak disentuhnya.

DOKTOR Ikhwan yang baru sahaja mahu berzikir di atas tikar sejadah terus terdiam. Imam Hamdan yang baru masuk ke dalam bilik Ikhwan turut sama terdiam.
“Sampai sini kau ikut aku rupanya?”Doktor Ikhwan masih memejam matanya. Imam Hamdan menepuk bahu Doktor Ikhwan dan duduk disebelahnya.
“Jangan beri dia kacau masa kita dengan Allah.” Doktor Ikhwan mengangguk dan tersenyum. Dia terus berzikir. Imam Hamdan juga bersila dan berzikir di sebelah Doktor Ikhwan. Baru sahaja habis berselawat ke atas Nabi Muhammad, terdengar bunyi periuk di dapur seperti dicampak. Imam Hamdam mengangguk.
“Ikhwan bawa sesuatu yang telah pun ayah buangkan setahun yang lepas.”
Doktor Ikhwan menoleh memandang Haji Hamdan.
“Hazrul.” Jawapan Haji Hamdan begitu mengejutkan Doktor Ikhwan.
“Hazrul suami Kak Irina?” Soal  Doktor Ikhwan. Imam Hamdan mengangguk.
“Ikhwan ada seorang pesakit yang namanya..”
“Elly. Ayah tahu. Sebab itu ayah masuk bilik Ikhwan. Ayah nampak masa mula-mula Ikhwan masuk tadi.”
Jeritan Mak Siti membuatkan kedua orang lelaki itu berlari menuju ke dapur. Hampir pitam mak Siti apabila melihat sesusuk tubuh persis Elly menyelongkar robok makanan mereka dan mencangkung sambil makan dengan lahapnya. Telur mentah yang pecah di kakinya dijilat dengan lidah yang panjang. Mak Siti memejam matanya. Tidak sanggup dia melihat perkara yang menakutkan itu dengan lebih lama. Imam Hamdan hanya memandang sahaja manakala Doktor Ikhwan memeluk Mak Siti yang hampir rebah. Imam Hamdan melekapkan telapak tangannya ke telinga dan dia mengalunkan azan sekuat yang boleh. Makhluk itu terus menghilang dan Imam Hamdan terus memetik suis lampu dapurnya.
“Siapa tutup lampu?” Soal Imam Hamdan.
“Ikhwan ayah.”
“Lain kalai jangan tutup. Jangan dibiar bergelap begini.” Imam Hamdan kelihatan resah. Dipandangnya ke luar melalui cermin tingkapnya. Pokok besar berhampiran rumahnya kelihatan bergoyang walaupun Imam hamdan yakin tiada angin pada malam itu. Imam hamdan mengeluh panjang dan kedua belah tangannya digenggam sekuat yang boleh.
“Kau fikir aku tak mampu... “


BAB 4

BAU busuk yang menusuk masuk  ke dalam rongga hidungnya tidak mampu menggugat alunan zikir yang semakin mencabar Elly di wad. Jeritan Elly yang melangsing menempah rasa takut pesakit di sebelah wadnya. Pesakit yang bernama Izzati itu menjerit-jerit seperti terkena histeria. Kelam-kabut kakitangan hospital menguruskan Izzati yang meronta ketakutan. Elly berjalan laju menghampiri pintu yang telah dikunci. Dia ketawa. Matanya yang terbeliak dilihat oleh Izzati dan gadis berusia 19 tahun itu pengsan dipangkuan jururawat. Elly berjalan gaya nenek tuan dan baring semula di katilnya.

 IRINA terjaga daripada tidurnya setelah menyedari Hazrul tiada di sisi.  Wajahnya diraut dalam ketakutan. Kain langsir yang seakan menari-nari di tingakap biliknya diikat.
“Iriiinaaaaaaaaaaaaaaa...”
Kaki Irina terpaku begitu sahaja.
“Aku tahu kau dengar Irina... aku tahu.” Suara itu menggeletarkan seluruh tubuh Irina.
“Pandang aku Irina...” Jantungnya mengepam lebih laju kali ini. Irina menoleh ke sisi. Memandang Hazrul yang tiba-tiba sahaja terkulai di meja kerja.
“Abang!” Jeritan Irina tak mampu untuk Hazrul dengari.
“Dia milik aku Irina... sejauh mana pun aku tetap ada bersamanya.”
Irina menoleh ke luar tingkap yang tertutup oleh langsir kosong tanpa corak. Bayangan seorang wanita membuatkan kakinya hilang keupayaan untuk terus bergerak. Irina merintih tangis di situ juga. Dipandangnya Hazrul yang masih tidur secara tiba-tiba.
“Abang...” Panggilan Irina tidak bersahut dan sepantas kilat Irina terus hilang begitu sahaja dan Hazrul masih belum sedarkan diri di meja kerjanya.


“ABANG Ikhwan dah setuju?” Sumaiyyah tunduk seketika. Tidak bisa menentang mata galak Doktor Ikhwan yang dari tadi cuba mencuri pandang wajahnya. Tatkala Sumaiyyah mengangkat wajahnya, serta-merta tangannya menggeletar. Mata yang tepat memandang pokok jejawi itu mula terpejam rapat. Doktor Ikhwan memanggil Imam Hamdan di dalam rumah. Haji Akhbar, ayah kepada Sumaiyyah turut sama keluar.
“Su!” Panggil Haji Akhbar. Ditepuknya belakang badan Sumaiyyah dengan telapak tangannya.
“Ayah!” Sumaiyyah berselindung di belakang Haji Akhbar.
“Masuk dalam rumah Imam,” arah Haji Akhbar.
“Hazrul...” Imam Hamdan teringat akan mimpinya. Haji Akhbar mengangguk. Dia yang sedia tahu mengenai kisah cucu salah seorang rakan baik mereka itu dengan cepat dapat menangkap  apa yang difikirkan oleh Imam Hamdan.
“Rumah itu masih belum pulih sepenuhnya. Kelmarin seorang anak yatim histeria hingga berjangkit dengan dua orang lagi rakannya. Itu yang aku panggil kamu ke sini.” Imam Hamdan masih merenung pokok jejawi itu.
“Bukan aku dah lama suruh kamu tebang pokok tu, Hamdan?”
Imam Hamdan cuma membisu. Pandangan yang tunduk menyembah bumi itu bisa ditafsirkan oleh Haji Akbar.
“Hamdan...Hamdan.” Menggeleng perlahan Haji Akhbar sambil matanya masih terpaku pada sisi wajah Imam Hamdan. Belum pun sempat mereka berdua naik ke atas rumah, kereta Hazrul meluncur laju dan berhenti betul-betul di hadapan rumah Imam Hamdan. Hazrul yang tidak teruurs keadaannya itu berlari dan terus memegang tangan Imam Hamdan. Serak suaranya ketika mengadu tentang sesuatu yang begitu memeranjatkan.
“Irina tak ada di rumah. Haz dah cari dia merata tapi tak jumpa Imam,” adu Hazrul. Rambutnya dicengkam dengan kuat. Gundah gulana hati Hazrul dibuatnya.
“Takkan tak jumpa sebarang tanda?” Haji Akhbar menyoal dengan  wajah yang serius.
“Haz  jumpa titik-titik darah tapi darah tu cuma sampai ke hadapan pintu rumah kami sahaja. Haz hilang jejak Irina.” Hazrul mengesat air matanya. Sumaiyyah menyentuh belakang badan ayahnya. Dia cuba memejamkan matanya seolah-olah mengelak daripada melihat sesuatu.
“Irina pakai baju putih ke?” soal Sumaiyyah perlahan.
“Ya. Kali terakhir dia masih pakai gaun tidurnya. Warna putih.” Hazrul mengangguk laju.
“Rambut dia paras bahu ye?” Mata Sumaiyyah masih terpejam. Sesekali dia membuka matanya memandang ke luar tingkap.
“Dia ada di bawah pokok tu. Saya nampak dia.”
Imam Hamdan terus berlari keluar. Hazrul tidak dapat melihat apa-apa.
“Jangan ganggu aku...” suara garau itu berbisik ke telinga Sumaiyyah dan terus anak tunggal Haji Akhbar menjerit-jerit tidak sedarkan diri.
“Ya Allah...” Doktor Ikhwan menangkap tubuh Sumaiyyah yang cuba berlari keluar dari rumah ayahnya.
“Hamdan...Hamdan.... kenapa kau tak berani tebang pokok tu...” Sumaiyyah mengilai.
“Sudah!” Jerit Imam Hamdan seraya mulutnya terkumat-kamit membaca ayat suci Al-Quran.
“Nenek..nenek... si bongkok tiga, siang malam asyik berjaga...” Sumaiyyah mengilai lagi.
“Kau nampak tak nenek tu di situ ..Hamdan?” Sumaiyyah merenung Imam Hamdan. Haji Akhbar memotong limau nipis dan diletakkannya ke belakang tengkuk Sumaiyyah. Menjerit Sumaiyyah akibat rasa sakit.
“Aku cuma takut pada tuhanku.. yakni Allah” ujar Imam Hamdan.
“Nenek ..nenek.... nenek tahu Hamdan sayang nenek..” kali ini lebih kuat Sumaiyyah ketawa.
Dia menoleh pula pada Doktor Ikhwan di sebelahnya. Diteleknya wajah Doktor Ikhwan dalam-dalam. Haji Akhbar menyentuh dahi Sumaiyyah dan ayat Kursi dibaca berulang kali sehingga tubuh anaknya longlai di pangkuan Mak Siti.
“Ikhwan tolong tengokkan sekejap. Jaga mak kamu dan Sumaiyyah di atas ni.” Haji Akhbar memberi arahan dan ditariknya terus tangan Imam Hamdan menuruni anak tangga dan kemudiannya menapak laju menghampirim pokok besar yang menyeramkan itu.


“Kau masih tak mampu, Hamdan?”
“Apa kau cakap ni Akhbar?”
“Dia bukanlah cinta yang sepatutnya untuk kau kenang. Dunia kita dan dia berbeza. Manusia untuk manusia. Cempaka bukannya datang dari tanah macam kita. Siti masih tak tahu kenapa kau tak tebang pokok ni?” Haji Akhbar memperkemaskan lilitan serbannya. Ditepuknya dengan kuat batang pokok sebesar dua pemeluk itu.
“Cempaka bukan kalangan kita yang boleh kau jalinkan hubungan. Padanlah luar kawasan rumah ni bagai masih punya sesuatu. Kau ni sudah seperti disihir cinta. Walaupun sudah tua kau masih tidak mampu lupakan dia,” sambung Haji Akhbar.
“Aku tak mampu.”
“Bagaimana kau nak mampu jika kau sendiri tidak memisahkan laluan dia untuk ke mari bertemu dengan kau!” Jerkah Haji Akhbar yang umurnya lebih tua daripada Imam Hamdan.
“Aku sudah pun  jadi seorang imam tapi aku masih tak mampu untuk menidakkan rasa hati aku ini. Dia masih sama cantik seperti dulu.” Imam Hamdan memejam matanya.
“Kau bukannya Rasul yang punya maksum. Kau juga punya nafsu dan kau bukanlah manusia yang Allah sudah janjikan untuk kau ke syurga sebelum akhir nafasmu, Hamdan. Kau juga boleh digoda syaitan cuma iman dan ketaqwaanmu sahaja yang boleh menghalangnya.” Nasihat Haji Akhbar.
“Sebab itu aku bawa diri ke Jordan.”
“Tapi kau masih tak mampu menebang pokok ni, bukan?” Tangkis Haji Akhbar. Imam Hamdan merenung ke arah pokok jejawi itu. Dia tersenyum dan dengan segera Haji Akhbar memandang ke arah yang sama.
“Jangan kau pandang dia dengan nafsu tetapi pandanglah dia dengan iman yang tak bisa ditembusi kerana pada pandangan aku dia tidak cantik lagi seperti dahulu. Dia lebih buruk dari apa yang pernah engkau lihat. Allahu Akbar!” Tengkuk Imam Hamdan ditepuk dan tubuhnya terus rebah di sisi Haji Akhbar.

55 TAHUN SEBELUMNYA...
“Nenek, mana Cempaka?” Tubuh Hamdan yang tidak berbaju itu dipandang Nenek Seri dengan senyuman.
“Anak muda, walaupun tak punya isi tetap kuat ya?” Kepala Hamdan yang baru berusia 12 tahun itu digosok perlahan. Hamdan gelak. Dia membawa seutas rantai murah yang dibelinya di pekan tempoh hari. Tentu cantik pada Cempaka, fikir Hamdan.
“Nenek suka jika Hamdan berkawan sampai bila-bila.” Nenek Seri terangguk-angguk. Tongkat ditangannya diletak ke tepi. Cempaka datang dengan selendang putih yang menutupi sebahagian rambutnya.
“Tunggu saya ya, Hamdan?” soal Cempaka dan duduk sopan di atas tunggul kayu.
“Hamdan! Hamdan!” Pak Ulung mencari-cari anaknya. Sayup-sayup kedengaran suara Pak Ulung biarpun cuma beza dua tiga langkah sahaja dari tempat Hamdan berdiri. Pak Ulung tidak mampu melihat Hamdan.
“Pulang dahulu Hamdan. Senja esok kita jumpa lagi.” Cempaka senyum.
Pak Ulung bercekak pinggang mencari-cari anaknya yang masih belum pulang biarpun matahari sudah semakin terbenam.
“Bapak,” panggil Hamdan.
“Kamu ni asal senja sahaja hilang. Pergi ke mana?” Marah Pak Ulung.
“Main dengan Cempaka.” Jawapan Hamdan membuatkan Pak Ulung keliru. Dia memandang pokok yang disentuh oleh anaknya itu.
“Kenapa Hamdan tak beri bapak tebang pokok ni?” Pak Ulung menarik tangan Hamdan dan dipimpinnya agar anak tunggalnya jalan beriringan pulang bersamanya.
“Sebab ada yang cantik pada pokok tu, bapak.” Hamdan menoleh ke belakang dan tersenyum manis ke arah Cempaka. Persahabatan yang sudah bertukar menjadi perasaan cinta itu berlanjutan sehingga 6 tahun sehinggalah dua lagi sahabatnya mendapat tahu mengenai Cempaka. Badrul menghalang Hamdan daripada terus berjumpa dengan Cempaka. Akhbar yang tidak tahu apa yang harus dia lakukan lagi memandang sahaja dua sahabatnya bertengkar.
“Hamdan! Sampai kita dah berumur 18 tahun ni pun kau masih cakap pasal Cempaka yang tak wujud tu?” Badrul menggoncang tubuh Hamdan.
“Pak Ulung dah nak nikahkan kau dengan Siti. Sedar Hamdan!” Badrul, Tok Wan kepada Hazrul terus menampar Hamdan dengan kuat. Biar sahabatnya itu celik kembali daripada alam yang penuh dengan tipu daya dan kegelapan itu. Hamdan tersungkur tetapi tangan Badrul terus berasa panas. Tersandar Badrul ke belakang sambil tangan kirinya memegang tangan yang seakan – akan disentuh sesuatu yang panas.
“Kau takkan dapat Hamdan. Aku takkan benarkannya.” Jerit Badrul.
“Aku tak pernah takutkan kau, Cempaka. Biar pun mataku tak mampu melihat kau tetapi aku dapat rasakan kehadiran kau disetiap langkah Hamdan. Lepaskan dia.” Badrul memerhati sekeliling.  Kawasan hutan yang semakin gelap itu sedikit pun tidak melunturkan semangatnya untuk menyelamatkan Hamdan.
Badrul tergamam. Buat pertama kalinya dia mendengar suara milik Cempaka. Dia memang pasti itu Cempaka.
“Jika cintanya tidak menjadi milikku... kau juga akan merasakan keperitannya.Kalau pun bukan engkau, akan aku pastikan keturunan engkau akan merasa kesakitan ini.” suara yang berbisik itu terus menghilang.

HAJI Akhbar merenung sahabatnya yang terbaring di sofa ruang tamu. Fikirannya melayang entah ke mana. Sumaiyyah memanggil ayahnya berkali-kali namun tidak bersahut. Dia melihat sahaja ayahnya dari jauh.
“Ayah!” Sumaiyyah menepuk bahu Haji Akhbar. Kenangan lama itu menjauh daripada fikirannya.
“Terkejut ayah... Su nak apa?” Soal Haji Akhbar.
Sumaiyyah senyum. Dia mengerling Haji Akhbar dengan senyuman mengulum.
“Kita jumpa lagi Akhbar. Kau mahu jadi seperti keturunan Badrul?” bisik Sumaiyyah ke telinga Haji Akhbar.
“Allah...”
“Ayah!!” Haji Akhbar menoleh ke sisi kirinya pula. Sumaiyyah yang masih memandang ayahnya itu sedikit pelik.
“Ayah kenapa?” soal Sumaiyyah dan duduk di sisinya. Kalau ini Sumaiyyah... siapa yang menyerupai Sumaiyyah dan berbisik ke telinganya tadi? Cempaka?
“Tadi bukan Su?” Haji Akhbar menggosok wajahnya berkali-kali.
“Dari tadi Su pandang dan panggil ayah dari sana tapi ayah macam tak dengar.”
Haji Akhbar menggosok kepala Sumaiyyah dan terus bangkit untuk mengambil wuduk. Sumaiyyah melepaskan keluhan yang panjang. Penat dengan semua ini.


“ABANG... tolong Irina abang.”Sayup-sayup Hazrul mendengar rintihan Irina yang datang entah dari mana. Hazrul menggenyeh matanya berkali-kali. Tidak mungkin Irina di dalam rumah mereka. Langsir ditolak ke sebelah kiri. Cahaya bulan agak terang pada palam itu tetapi suasana kawasan rumah Hazrul menjadi sangat menyeramkan. Meremang bulu roma Hazrul tatkala melihat pokok-pokok yang bergoyang apabila ditiup angin kencang.
“Sayang...” Hazrul memanggil perlahan. Matanya meliar mencari kelibat Irina namun tidak bertembung dek mata kasarnya.
“Abang... tolong Irina abang.”Suara itu semakin menjauh dan Hazrul tidak peduli lagi. Kali ini dengan cepat dia menuruni anak tangga dan terus dibukanya pintu rumah. Angin kuat menampar pipinya. Bunyi laungan anjing yang menangkap deria pendengarannya  membuatkan kakinya berbelah bahagi untuk terus melangkah atau pun tidak.
“Abang...” Rayuan Irina semakin merobek hatinya.
Hazrul merasa ada sesuatu yang basah mengenai telinganya atau lebih tepat lagi telinganya telah dijilat sesuatu beberapa kali. Bulu romanya meremang dan terpaksa dia terus memejam mata agar kelihatan sedang tidur dan tidak menyedari apa-apa langsung.
“Pandai tipu ya?” Bisik suara itu. Kali ini matanya terbuka sedikit. Ada lendir pekat berwarna coklat gelap menitis di atas katilnya. Bau yang sangat busuk itu begitu memualkan Hazrul. Dia cuba untuk mengerling dan alangkah terkejutnya apabila melihat juntaian lidah benar-benar di hadapan matanya. Hazrul terus melompat daripada katil. Kelihatan Elly sedang mencangkung sambil kedua belah tangannya mencengkam cadar katil. Renungan Elly bagai mampu membunuh Hazrul. Kedua belah mata Elly penuh dengan lebam dan kehitam-hitaman. Lidahnya menjilat kembali lendir yang jatuh di katil Hazrul.
Terketar kaki tangan Hazrul dan tanpa disedarinya Elly menghilang begitu sahaja. Terjelepok Hazrul di lantai sambil menjerit sekuat hati.
Hazrul menelefon Doktor Ikhwan yang kebetulan ada di sebelah katil Elly. Mata Doktor Ikhwan berkerut dalam saat melihat Elly ketawa dengan kuat sambil tangannya menepuk-nepuk tilam katil.
“Dia takut! Dia takut!” tawanya melangsing hingga membingitkan telinga Doktor Ikhwan. Hazrul menggigil lagi.
“Itu... itu Elly?” Soal Hazrul.
“Ya, Abang Hazrul.”
“Tadi dia datang ke sini. Dia jilat telinga abang dan lidah dia...”
“Abang, saya bersama dengan dia sudah setengah jam. Itu bukan Elly tapi suruhannya. Walau saya di sisi dia pun, dia langsung tak pedulikan saya. Asyik merenung ke satu arah dan ketawa seorang diri.” Doktor Ikhwan memicit dahinya. Tiba-tiba Elly menoleh laju memandang Doktor Ikwan. Matanya terbeliak dan bibirnya menyebut sesuatu yang tidak mampu untuk Doktor Ikhwan faham. Ada dialek jawa di bahagian tertentu. Doktor Ikhwan menjeling Elly yang masih membaca mentera.
“Benda yang awak bela tu memang import dari seberang ke?” Soalan Ikhwan membuat Suriani tersenyum lucu. Elly gelak mempamerkan barisan giginya yang teratur.
Dia baring terlentang sambil matanya merenung siling. Dia mula menyanyikan sebuah lagu bahasa jawa yang agak seram didengar. Suriani memegang lengan baju Doktor Ikhwan. Selepas satu rangkap dia ketawa dan kadangkala cara dia mengilai itu membuatkan bulu roma Suriani meremang. Elly tersenyum sambil menyanyi dan kedua belah kaki dan tangannya kaku seperti dipegang sesuatu hingga menyukarkan dia untuk bergerak.
“Manusia yang rugi. Kau bukan semakin bahagia tetapi makin terseksa,”ujar Doktor Ikhwan. Elly menyanyi dan mengilai lagi. Suriani sudah tidak tahan dan terus meminta izin untuk keluar dari situ.
   Cuaca yang sejuk membuatkan Suriani kerap ke tandas. Selepas selesai dia mengadap cermin dan membetulkan cermin matanya. Tiba-tiba telinganya menangkap nyanyian Elly di bahagian hujung tandas. Pintu tandas yang berkunci itu direnung Suriani. Perlahan-lahan kakinya menapak mahu membuka tombol pintu tandas itu tetapi segera bahunya ditepuk Murni, sahabat baiknya.
“Kau mengandung, kalau dengar apa-apa jangan ambil peduli. Sejak dia datang ke sini bukan kau sahaja yang dengar.” Murni berbisik perlahan.
Dum!
Kedua-dua mereka terus keluar dengan segera sambil memegang dadanya yang berdegup kencang. Sungguh! Takkan mereka masuk ke tandas itu lagi.

2 comments: