Friday 6 December 2013

CERPEN: KASIH LELAKI ITU



 KASIH LELAKI ITU

Seguni beras diletak perlahan – lahan di atas lantai simen . Peluh yang memercik keluar membuatkan tangannya spontan mengambil tuala kecil yang berada di dalam poket seluarnya. Peluh di kesat dengan senyuman tatkala melihat Jihan berlari mendapatkannya.

“Ayah ada beli tak buku yang Jihan minta tu?’ soal Jihan. Wajahnya menghidangkan satu harapan yang tidak mampu untuk Karim jamah.

“Ayah beli beras ni dulu. Buku tu mahal sangatlah sayang. Ayah kumpulkan duit, nanti ayah belikan ya?” kepala Jihan digosok perlahan. Hanya senyuman yang Jihan berikan sebagai jawapan. Dia kemudiannya berpatah balik untuk menaiki anak tangga rumah papan yang sedikit uzur itu.

“Jihan marah ayah?” soalan itu terpacul keluar daripada mulut Karim. Bukannya dia tidak mahu tetapi beras itu lebih penting buat mereka sekeluarga. Dia berjanji akan membelikannya juga nanti.

“Tak ayah. Jihan tak marah. Tak apa, Jihan tahu kita susah” senyuman Jihan nampak ikhlas. Karim mengangguk.

“Abang ada janji dengan dia ke?” soal Intan. Segelas air sejuk dihulurkan ke tangan suaminya.

“Ya.. tapi abang terpaksa simpan duit tu untuk pembedahan sayang nanti” pipi Intan dielus lembut oleh tangan kasar suaminya. Mata Intan tertunduk menyembah lantai simen yang sudah pun retak di sana ini.

“Janganlah abang harapkan sesuatu yang kemungkinannya tidak pasti. Kanser ni dah terlewat untuk dibuang”

“Tapi kita masih belum tanya dengan doktor tentang itu. Dia kata semakin merebak tapi tak kata tak boleh dibuang” Karim menggenggam jari jemari Intan yang sedikit sejuk.

“Dah... dia katakan pada Intan” Intan memandang mata Karim. Biar Karim fikir apa yang dikatakannya itu bukan tempahan untuk memalsukan hakikat yang sebenarnya.

Terduduk Karim saat itu. Terus dia menangkap tangan Intan agar jatuh ke dalam pelukannya.

“Maafkan abang sebab tak sedar lebih awal, sayang” esakan Karim semakin kuat hingga mampu mencuit pendengaran Jihan yang sedang menyusun buku – bukunya waktu itu. kaki anak perempuan berusia 17 tahun melangkah mendapatkan ayahnya yang sudah seakan longlai.

Jihan tahu semuanya, Intan lebih awal memberitahunya sebelum Karim. Sebab itu banyak yang diajarnya pada Jihan. Masakan kegemaran ayahnya diajar oleh Intan sehingga budak perempuan itu mahir memasak sepertinya.

Jihan memeluk ayahnya.

“Kita bahagiakan mak selagi dia masih ada, ayah” bisik Jihan.

Karim mengangguk dan mengucup berkali – kali wajah Intan yang sentiasa pucat.

                            ******************
Basikal rosak lagi!. Jihan terpaksa berjalan kaki pergi dan pulang dari sekolah. Amy, sepupunya sengaja berhenti di sebelahnya sengan senyuman sinis.

“nak tumpang?” soal Amy. Jihan mengangguk dan terus mengangkat bajunya untuk naik ke atas tempat duduk tetapi dengan cepat Amy pergi begitu sahaja. Beberapa teman yang lain hanya menggeleng kepala melihat perangai Amy yang tak habis – habis menyakat sepupunya itu.


Allah Maha Pemurah...

Entah bagaimna doktor yang merawat Intan bertembung dengan Karim di tepi jalan. Keretanya rosak dan dia perlukan bantuan.

“Kak Intan ok tak bang?. Pujuklah dia agar buat pembedahan tu” Doktor Kila memandang sayu wajah Karim.

“Apa?. Dia kata dah terlambat” Karim benar – benar terkejut. Doktor Kila menggeleng kepala. Kereta yang sudah pun siap dibaiki oleh Karim di tutup kembali. Dia masih berdiri menghadapaa Karim yang kelihatan sedikit kecewa.

“Dia tak mahu duit beribu tu habis untuknya.... tetapi biarlah habis untuk masa depan Jihan” jawab Doktor Kila.

“Kalau saya perlu menyerahkan nyawa saya sekali pun, saya sanggup doktor ini kan pula berhempas pulas untuk dia yang sentiasa menyayangi saya” air mata Karim tumpah. Tergamam Doktor kila waktu itu. Karim lelaki yang tak punya kemewahan harta seperti suaminya tetapi mempunyai cinta yang mewah hingga melimpah ruah.

“Jangan tanya pada dia. Kalau Abang Karim nak selamatkan dia buat secara senyap dulu. Saya juga akan turut membantu” nampak begitu bersungguh – sungguh  Doktor Kila sambil membetulkan tudung berona merah yang dipakainya,

                           ***************

“Abang balik lambat lagi?. Jihan pun sama juga. Kenapa semua orang balik lambat ni?” Intan menyedok nasi ke dalam pinggan. Jihan yang kepenatan terus menyuap nasi lauk pindang ikan tongkol itu ke dalam mulutnya. Tidak mahu menjawab soalan yang diutarakan oleh ibunya sebentar tadi. Setelah siap makan, Jihan terus menunaikan solat Isyak dan masuk tidur kemudiannya.

“Ada yang kalian rahsiakan daripada pengetahuan Intan?’ soal Intan yang sudah pun baring selesa di paha Karim. Hanya gelengan diberikan. Seperti biasa, Karim aka membelai rambut Intan seingga permaisuri hatinya itu terlena. Kepala Intan diangkat perlahan – lahan dan diletakkan ke atas bantal. Karim menyelak lengan bajunya.

“aduh.......pedihnya” dia terus ke ruang tamu untuk menyapu minyak gamat ke sikunya yang bergesel dengan pokok kayu sewaktu mengangkat timbunan kayu yang jatuh di kebun getah Wak Ali. Mujur Jihan ada di situ untuk menariknya dari terus jatuh terduduk. Hanya sikunya sahaja yang bergesel dengan batang pokok yang strukturnya sedikit kasar.

Tangannya disentuh lembut.

“Biar Jihan sapukan. “ Jihan mengambil botol minyak gamat dan disapu minyaknya ke siku ayahnya yang kelihatan melecet teruk.

“Ayah tak payahlah pergi esok. Wak Ali beri ayah upah RM10 sahaja sedangkan ayah buat kerja dengan teruk” air mata Jihan bergenang. Sedih melihat kepayahan ayahnya mencari wang untuk pembedahan  Kanser rahim ibunya.

“Tak apa... sekurang – kurangnya bertambah juga duit kita”

Jawapan yang keluar dari mulut Karim menutup mulut Jihan daripada terus berkata – kata. Benar, setiap sen kini sangat bernilai buat keluarga mereka.

                              ***************

“Lagi lima ribu sahaja yang diperlukan , Abang Zam. Bila dapat duit, Karim bayar balik” rayu Karim pada satu – satunya keluarga yang ada. Abangnya itu tauke kedai runcit dan setakat wang RM5000 itu sebenarnya tidak menjadi hal pun.

“Ala... anak aku nak sekolah. Perlu pakai duit juga. Aku tak punya wang”  Abang Zam bermain – main dengan rokok di tangannya.

“Karim merayu bang....” Karim duduk melutut di hadapan abangnya. Masih seperti tadi. Jihan yang melihat betapa kejamnya Pak long Zam memperlakukan ayahnya sebegitu  bingkas bangun. Seraya dengan itu anak bongsu Zamri, Amy pulang ke rumah bersama – sama motorsikal barunya.

Jihan memegang lengan ayahnya agar bangun dari melutut di hadapan manusia hina seperti Zamri.

“Allah beri Paklong rezeki.... ingat! Sebahagiannya untuk manusia – manusia miskin seperti kami. Dengan mengatakan paklong tak punya wang adalah pembohongan paling hina pernah Jihan dengar!”

Zamri membulatkan matanya. Berani benar budak yang belum pun habis sekolah berbicara sebegitu dengannya.

“Allah berikan nikmat rezeki dengan wang yang banyak untuk Paklong tetapi Paklong dustakannya. Cukup kalau paklong kata aku tak mahu tolong kau!. Itu lebih baik daripada memfitnah Allah sebegitu. Kami tak perlukan wang daripada manusia tak tahu bersyukur seperti paklong!’

Sewaktu berselisih dengan Amy pun Jihan tidak mahu memandangnya. Ayah dan anak sama sahaja. Riak dengan kemewahan dunia sehingga tidak mahu menyimpan sedikit pahala untuk kesenangan di akhirat.

Di atas motor, Karim mengesat air matanya. Dia tidak mahu kehilangan Intan. Dia mahu Intan bersamanya melihat Jihan dinikahkan seperti ibu bapa yang lain.

“Ayah sayangkan mak....” kata Karim perlahan. Jihan terus memeluk belakang tubuh Karim sekuat hatinya. Air matanya jatuh entah berapa banyak pun dia tidak tahu.

“Ya... kita sayangkan mak...... Jihan juga sayangkan ayah. Tabah ayah!!!!” jerit Jihan. Kali ini air mata Karim lebih laju mengalir. Aku perlu kuat demi dua perempuan kesayanganku!!!!.

                            *****************

Intan memegang perutnya. Ada rasa sakit di situ. Karim yang baru sahaja selesai solat Isyak terus menyambut tubuh Intan yang hampir rebah. Jihan yang sedang menelaah pelajaran turut masuk ke dalam bilik ibubapanya.

“Intan.... kita pergi hospital” desak Karim tetapi Intan berdegil.

“kenapa Intan?” kita pergi ya sayang?” pujuk Karim.

“Tak payah... Intan salah makan agaknya. Mungkin masuk angin” jawapan yang diberi sedikit mengecewakan Karim. Nampak benar Intan masih mahu berahsia dengannya.

Selepas di beri makan ubat, Intan tidur di sisinya. Jihan mengucup dahi ibunya sebelum keluar dari bilik. Hanya RM5000 ... tak mustahil untuk mereka dapatkannya!.

                           *****************

Jihan yang sudah pun menukar pakaian terus berjumpa dengan tauke restoran di pekan. Dia rasa mereka berdua perlu berasingan mencari wang untuk mendapatkan wang yang lebih banyak.

“Muda sangat nak jadi pelayan ni. Cuci pinggan boleh?”soal Encik Halil, pengusaha restoran mewah yang terkenal dengan perniagaan francaisnya.

“Boleh encik!.. Encik, kalau ada over time atau kerja lain, saya boleh buat juga asalkan dapat bayaran yang lebih”

Encik Halil tergamam. Nampak akan kesusahan dari mata remaja di hadapannya itu. hanya anggukan yang diberi

Restoran yang sentiasa dikunjungi ramai pelanggan itu membuatkan Jihan tidak menang tangan. Dia menekan – nekan perutnya yang masih belum diisi makanan sejak tengahari tadi.

“kenapa?” soal Encik Halil yang kebetulan masuk ke dapur untuk mengarahkan sesuatu kepada chef restorannya. Jihan menggeleng.

“Dah makan?” soal Encik Hali. Jihan hanya berdiam diri dan dengan cara Jihan itu, Encik halil dapat meneka jawapannya.

“Pergi makan dulu” arah Encik Halil dengan senyuman.

“Tapi saya di sini untuk bekerja. Kalau saya makan, gaji saya akan dipotong, tak mengapa Encik Halil, balik nanti saya makan” senyuman Jihan nampak suram.
Encik Halil tergamam mendengar jawapan daripada Jihan itu.

“Apa sahaja yang kamu makan di sini takkan saya potong dari gaji kamu” senyum Encik Halil. Jihan ke hadapan dan mengambil telur dadar dan nasi kosong. Dia menjamah makanan itu dengan berselera sekali. Tumpah air mata Encik Halil saat itu. dia mmegang dinding dan memejam matanya. Ya Allah... kau utuskan siapa untukku hari ini......


Encik Halil mengikut Jihan dari belakang. Sekali lagi dia melihat betapa gigihnya Jihan meletak beg sekolah di tepi kebun pisang dan membantu ayahnya menebas semak samun di situ. Sesekali Jihan mengelap peluh dengan tudungnya.

Karim yang kasihankan Jihan beberapa kali menyuruh anaknya itu duduk di situ tanpa berbuat apa – apa tetapi Jihan tidak mahu dengar. Dia tahu Karim sakit pinggang sejak kebelakangan ini dan dengan bantuannya dapat membantu Karim menghabiskan kerjanya dengan cepat. Setelah selesai, dua beranak itu duduk di bawah pohon beringin sambil meneguk air kosong dari botol mineral.

“Assalamualaikum..”

Terkejut besar Jihan apabila di sapa Encik Halil. Setelah diperkenalkan, Encik halil menyoal semua yang bermain – main di mindanya.

Hari yang semakin gelap menghambat mereka untuk pulang ke rumah masing – masing.

                            ***********************



“Sudahlah Kak Intan. Janganlah lemah begini. Akak tak tahu betapa susahnya Abang Karim dan Jihan berusaha mencari duit untuk akak. Janganlah asyik kata akan mati..akan mati... begini”

Yana,  jiran mereka memaksa Intan menaiki keretanya untuk melihat pengorbanan suami dan anaknya untuk melihat dia terus bernafas. Sampai sahaja di tempat pembuangan sampah, mata Intan tidak mampu beralih pandang lagi dari terus memandang karim yang sedang sibuk mengasingkan sampah yang boleh dijual.

“Kak... semua kerja dia buat demi akak. Tolonglah jangan sia – siakan usaha Abang Karim tu”

Intan mengesat air matanya. Kalau diikutkan mahu sahaja dia peluk tubuh suaminya pada waktu itu. kali ini Yana membawa Intan ke restoran milik Encik Halil pula. Dengan keizinan Encik halil, Intan dibenarkan masuk ke dalam dapur. Melihat Jihan berpeluh – peluh mencuci pinggan yang bertingkat membuatkan Intan tidak mampu menahan resah hatinya. Dia terus meluru mendapatkan Jihan. Tubuh yang semakin susut itu dipeluk.

“Ya Allah... mak!” Jihan benar – benar terkejut. Dia turut sama menangis  dan memeluk tubuh Intan. Yana memandang Encik Halil yang mengangguk dan tersenyum.

                      *****************

Dengan bantuan Encik Halil yang kini menjadikan Jihan anak angkatnya, pembedahan berjaya dilakukan. Rahim Intan terpaksa dibuang keluar.

“Saya berjanji akan bayar balik duit Encik halil” janji Karim                                                   

“Kita berdua ayah pada anak hebat bernama Jihan.  Saya bertanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa ibu anak angkat saya tu. Dia sebenarnya Halil versi perempuan. Itulah saya yang dahulu. Buat apa saja yang termampu untuk menyelamatkan nyawa ibu saya tetapi nasib saya tidak sebaik Jihan. Cukup sahaja wang yang saya kumpulkan, ibu saya meninggal dunia di pangkuan saya tetapi waktu itu saya tidak kesal kerana saya telah melakukan segalanya buat ibu. Duit yang saya beri pada Abang Karim itu adalah sebahagian daripada duit pembedahan ibu saya. sebahagian lagi saya akan masukkan ke dalam akaun bank Jihan. Saya juga akan belikannya motor agar dia boleh berulang alik dengan cepat ke sekolah”

Karim hilang kata – kata. Dia terus memeluk utusan yang Allah utuskan buat mereka sekeluarga. Isteri Encik Halil , Mariam dan anaknya, Yassin yang seusia umurnya dengan Jihan memandang puas Intan yang kelihatan lebih sihat berbanding sebelumnya.    

“Apa  yang awak rasa masa pembedahan tu?. Sakit tak?” soal Mariam. Tangan Intan diusap – usap.

“saya hanya dapat rasakan KASIH LELAKI ITU” sambil matanya memandang Karim yang turut sama memandangnya dengan senyuman.

                                                ********

PIN PIN PIN.....

Amy terkejut. Jihan yang sedang menunggang motornya ke sekolah tersenyum sinis memandangnya.


“tayar meletup ye cik akak!!!!” jerit Jihan sambil tangannya melambai Amy yang menendang motorsikalnya. Sejak Zamri kehilangan kedai runcit akibat kerugian, Amy tidak mewah seperti dulu malah motornya yang baru dulu pun sudah ditukar kepada motor terpakai yang dibeli murah daripada  akan Zamri.                                                                                                                            

3 comments:

  1. Sedih sangat crita ni. Tahniah buat penulis..

    ReplyDelete
  2. tolong follow blog saya... cerpen anda sangat best.. boleh try buat novel lak...
    http://cahayaliya.blogspot.com/

    ReplyDelete
  3. kerna kasihmu,aku masih tegar disisimu..
    cinta sejati dan kasihsayang keluarga wlu miskin harta...
    andai nti dijadikan nvl lg bagus

    ReplyDelete