Saturday 15 November 2014

#BIDADARI - bab 1


BAB (1)


          “PEREMPUAN tu yang ayah nak Umar kenal? Ayah tahu tak budak perempuan tu gangster masa Umar di sekolah menengah dulu.” Umar sudah tidak tentu hala langkahnya. Ke kiri ke kanan mencari ayat yang sesuai untuk memangkah cadangan Tuan Syed Imran. Hanya gelak kecil yang kedengaran. Puan Sufiah hanya memandang anaknya yang nampak benar tidak puas hati dengan permintaan suaminya.
          “Kenal saja. Kalau tak berkenan sudahlah, bukannya ayah nak paksa Umar pula. Kalau boleh ikat Umar di tiang elektrik dan paksa Umar kahwin dengan Dayana Sofea tu dah lama ayah buat,” usik Tuan Syed Imran. Suka pula tengok wajah Umar begitu.
          “Ibu suka dia sebab nama dia sama dengan ibu.” Puan Sufiah mengangkat kening memberi isyarat pada suaminya.
          “Ibu nak anak ibu ni melempeng kena hentak dengan gangster tu ke? Kalau ibu nak tahu, dialah pengasas gangster Kampung Dusun dalam filem tu.”
          “Erk...” Puan Sufiah menekup mulutnya.
          “Assalamualaikum..” 
Semua di dalam rumah itu menoleh ke arah pintu yang terbuka luas. Mata Umar membulat tatkala melihat seorang wanita yang berbaju kurung moden dan memakai shawl berwarna merah jambu di muka pintu itu. Dia memegang jantungnya yang seakan-akan sudah memberi amaran. Puan Sufiah melintasi Umar dan sempat juga dia berbisik ke telinga Umar.
          “Cantiknya gangster Kampung Dusun kan?”
          “Dayana? Dayana Sofea? Dayana gangster?” Umar memandang Tuan Syed Imran. Dayana memandang Umar dengan senyuman manis dan dia menggamit Umar agar mendekatkan telinga ke bibirnya. Umar cuba untuk mendengar.
          “Kau terima ikatan ni, aku hempuk dan kemudiannya aku humban kau masuk parit.” Dayana mengerling Tuan Syed Imran dan kemudiannya tersenyum manis bagai tiada apa-apa yang berlaku. Langkahnya teratur sopan dan senyumannya kelihatan ikhlas di hadapan kedua orang tua Umar. Menjadi pekerja baru dan mendapat tempat di hati pemilik Butik Kasih Sufiah memang langsung tidak dijangka oleh Dayana. Dah rezeki namanya, dia juga agak terkejut apabila melihat di skrin telefon pintar majikannya akan wajah lelaki yang sering sahaja menjadi mangsa belasahannya sewaktu di sekolah menengah dahulu. Syed Umar Bin Tuan Syed Imran sememangnya terkenal di sekolah. Datang ke sekolah dihantar pemandu yang beruniform putih. Semua pelajar perempuan terus jadi lembik lutut kalau lelaki pujaan sekolah ini melintas di hadapan mereka tetapi tidak Dayana. Lagi kuat Umar mengusik lagi teruk dia kena dengan Dayana.



UMAR masuk ke dalam biliknya sebaik sahaja Dayana pulang. Dia mengepalkan tangan kanannya dan ditumbuk ke tilam. Tak lah rasa sakit sangat. Bodoh ke apa nak tumbuk dinding, sakitnya seminggu pun belum tentu hilang.
          “Ibu ni biar betul nak bermenantukan gangster tu. Sekarang ni nampaknya dah upgrade sikit dah, tahap vampire pun ada dah minah tu. Hish! Tak nak aku mati malam pengantin.” Umar menggaru-garu dagunya pula dan kali ini tubuhnya direbahkan terlentang sambil matanya memandang siling rumah. Terbayang pula bagaimana dia akan menjadi bahan utama akhbar tempatan. Itu belum lagi di blog-blog yang ada... SUAMI MATI DIGIGIT ISTERI MALAM PERKAHWINAN.
          “Tak payahlah nak bayangkan yang teruk-teruk pasal Dayana tu, Umar!” Jerit Puan Sufiah dari luar bilik anak bongsunya. Puan Sufiah kenyit mata pada suaminya yang tak habis lagi makan.
          “Kalaulah Azah tahu  cerita ni mesti dia bantai gelak punyalah.” Tuan Syed Imran menyampuk sebaik sahaja isteri tercinta menghampiri mejanya. Noor Azah, anak sulung pasangan itu yang sudah pun berkahwin dengan Nazri atas pilihannya sendiri. Lagipun Nazri itu memang layak menjadi suami kepada Noor Azah yang lemah lembut itu. Umar keluar dari biliknya dan menyertai ayahnya untuk makan. Sudah berkeroncong perutnya menahan lapar. Tak sanggup dia mahu makan semeja dengan Dayana tadi.
          “Tadi suruh makan dengan Dayana tak mahu.” Puan Sufiah menuangkan air ke dalam gelas anak bujangnya.
          “Patah selera tengok mata dia.” Satu suapan sudah selamat masuk ke dalam mulut.
          “Aik! Punya lawa macam tu pun boleh patah selera? Kalau tak mahu, bagi kat ayah pun ayah rela.” Gelak Tuan Syed Imran dan Puan Sufiah hanya tersenyum lucu. Faham benar dengan sikap suka bergurau suaminya.
           “Esok tolong temankan Dayana jumpa pembekal fabrik ya, sayang?” Bersinar-sinar mata Puan Sufiah meminta pertolongan daripada Umar yang tak jadi mahu menambah nasi ke dalam pinggannya.
          “Ibu, kenapalah ibu suka mendera anak sendiri ni?”
          “Please sayang.” Tak boleh nak bantah, Umar bangun dan terus membawa pinggannya ke dapur untuk dibasuh. Tuan Syed Imran gelak. Pandai betul memujuk, memang kepakaran Puan Sufiah.

MASUK sahaja ke dalam kereta Umar, Dayana sudah menghadiahkan jelingan percuma. Umar mencebik.
          “Tahu tak, daripada jauh nampak cantik sempurna. Muka ayu kulit cantik tapi kalau nak buat isteri lagi-lagi satu katil minta maaf lah, rasanya rela lagi aku kahwin dengan makcik yang jual karipap kat depan sekolah tu. Walaupun berisi tapi penuh kelembutan. Kau ni macam makhluk asing tau tak? Luar putih tapi hati kat dalam coklat gelap...ish!”
          “Kau kira aku punya coklat gelap, yang hati kau punya coklat hangus terbakar tu tak kira pula.” Dayana cuba menahan tawanya.
          “Nanti dulu, nak satu katil? Aduhai, perangai perasan melampau tak hilang-hilang rupanya. Tak ingin aku satu katil dengan kau. Jangan kata satu katil. Satu rumah pun tidak. Ish! Simpang malaikat 44.” Sambung Dayana.
          “Amboi mulut, siap disimpang-simpangnya aku ye? Kita tengok nanti. Dayana gangster Kampung Dusun, sekali aku cuit terpelanting keluar kau dari kereta ni tau.” Umar senyum lucu. Muncung Dayana punyalah panjang, hingga mahu sahaja tangannya tarik sampai ke cermin depan kereta.
          “Masukkan balik muncung tu, buruk benar rupanya.” Mengekek Umar dibuatnya. Dayana menjeling.
         “Eh eh... jelingan macam perempuan dulu-dulu. Malu tapi mau!”
         “Kau ni dah kenapa budak seluar koyak!” Kali ini suara Dayana sedikit tinggi. Umar mengetap bibirnya. Inilah budak perempuan yang mengoyakkan seluar sekolah dia 9 tahun yang lepas. Nasib baik hanya seluar sekolah sahaja yang tergantung di bilik persalinan, kalau tidak memang balik tak berseluarlah dia. Sejak kes itu, setiap kali waktu sukan, Umar akan masukkan pakaiannya ke dalam locker dan tidak ditinggalkan di dalam bilik persalinan seperti biasa lagi. Husni! Itu lah tali barut yang curi seluar Umar dengan bayaran hanya RM2.



ENTAH apa sebabnya Puan Sufiah asyik menyuruhnya menemani Umar pun Dayana tidak berapa pasti. Iyalah, dia tahu Puan Sufiah mahu menjodohkannya dengan Umar tetapi rasanya tidak perlulah dia mengekori Umar setiap hari. Alasannya mahu Dayana belajar mengenai selok-belok perniagaan. Umar pula terpaksa mengikuti apa sahaja kemahuan Puan Sufiah agar tidak perlu  untuk dia mendengar dan menonton drama swasta lakonan Puan Sufiah bersama ayahnya. Air mata mengalahkan air mata duyung. Mencurah tanpa had rasanya. Mereka berdua sudah tiba di gudang fabrik di Wangsa Maju pula. Dayana menggaru keningnya dengan mata yang mengerling Umar seketika.
            “Ibu kau ni nak suruh aku beli kain apa sebenarnya? Sebenarnya stok masih banyak lagi.” Umar yang mendengar soalan Dayana itu cuma tersenyum tawar.
            “Ke... ibu kau nak kita ni berdating?” Tekaan Dayana memang tepat. Itulah rancangan Puan Sufiah sebenarnya. Noor Azah dan suaminya sudah berpindah ke rumah mereka sendiri dan Puan Sufiah sebenarnya sunyi. Tuan Syed Imran kalau bercerita tentang hal orang perempuan ini selalunya akan mengangguk atau pun menggeleng. Paling nasib baik pun dia cuma akan tersenyum. Ikhlas atau tidak Puan Sufiah pun keliru. Dia mahu Dayana duduk bersamanya setelah berkahwin dengan Umar nanti. Wanita lain rasanya tidak mampu melayannya sepertimana Dayana.
            “Ni kalau dating boleh pegang tak ni?” Soalan yang seperti minta dihempuk itu dikeluarkan tanpa rasa ragu-ragu.
            “Kau sentuh, aku kilas. Dah kahwin baru boleh sentuh.” Dayana menjeling tajam.
            “Eh eh... orang tu ada hati nak kahwin dengan kita lah,” gelak Umar. Wajah yang   putih bersih itu terus bertukar kemerah-merahan.
           “Aku tak nak lah, kau ni memang alien kan? Kalau orang tak tahu semua cakap kau lemah lembut berbudi pekerti. Aku juga yang tahu semuanya. Ni, dompet aku 9 tahun lepas yang kau campak kat longkang pun kau belum ganti.” Cebik Umar. Tangannya menggosok stering beberapa kali.
           “Lantak kau lah! Aku nak keluar. Kalau tak nak ikut, tunggu kat dalam. Tak nak aku kena gossip dengan kau. Hilang mood nak mengurat Abang Zafran yang kacak lagi bergaya tu. Kalau berdiri sebelah kau, rasanya orang akan ingat kau mickey mouse dan Abang Zafran tu Orlando Bloom.” Menyengih Dayana.
            “Bukan Orlando Bloom tapi Olandak Broom.” Jawapan Umar yang singgah ke telinganya itu membuatkan Dayana memalingkan wajahnya. Tak boleh beri umar lihat dia tersenyum. Nanti dia ingat dia tu pandai sangat buat lawak. Dengan rasa tenang Dayana melangkah masuk ke dalam gudang dan menghampiri seorang lelaki yang nampak ringkas pakaiannya. Umar keluar juga daripada kereta. Mana boleh biar anak dara orang bersendirian begitu. Segugus kunci dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Zafran mengekori langkah Umar dengan biji matanya.
          “Aik, keluar pula? Kan aku suruh kau tunggu dalam kereta?” Soalan Dayana dibalas dengan kerutan di dahi. Suka hati Umar lah nak keluar ke tidak? Pelik juga Umar apa yang kacak sangat Orlandak Broom yang dipuja-puja Dayana itu. Kalau kata kacak, rasanya dia lagi berhak dipuji. Umar menghulurkan tangannya sebagai tanda perkenalan.Huluran tangannya disambut dengan senyuman manis. Ok, senyuman Zafran memang manis. Lebih-lebih lagi dengan lesung pipit yang dalam di kedua belah pipinya.
          “Puan Sufiah ada telefon tak tadi? Katanya nak kain chiffon warna ungu sebab ada bakal pengantin yang tempah warna tu kelmarin.” Dayana memeriksa tab di tangannya.
         “Itu kan pekerja abang dah hantar ke butik semalam?” Zafran sedikit pelik. Berapa banyak kain chiffon yang Puan Sufiah mahukan? Semalam katanya semua sudah cukup.
Umar sudah mengagak ini semua rancangan ibunya. Dia punyalah bergegas dari pejabat ke butik semata-mata mahu membantu ibunya. Walaupun syarikat itu milik ayahnya tetapi untuk makan gaji buta begitu sahaja bukan prinsip Umar.
        “Dah. Balik.” Ajak Umar dan sempat lagi menepuk bahu Zafran yang sedikit keliru.  Dayana  mengikut sahaja tanpa banyak bicara. Sebaik sahaja punggung dilabuhkan di seat kereta, Dayana menoleh ke sisi.
       “Lain kali kalau ibu aku suruh ajak aku hantar kau ke gudang fabrik kau kata saja yang aku ni selalu dera kau. Hati kau terluka tak mahu jumpa aku lagi. Tak pun, kau kata saja yang aku ni jahat. Tumbuk muka tauke fabrik tu sampai aku dilarang keras masuk ke dalam gudang.” Cadangan Umar tidak disambut walau dengan sepatah perkataan pun.
        “Aku cakap kau mengurat Abang Zafran ye?” Soal Dayana setelah agak lama membisu. Ditekupnya bibir dengan telapak tangan kanannya. Remuk pula hatinya apabila mendengar cadangan Dayana. Ingat dia gay? Melampau betul minah ni, kalau nak kutuk pun janganlah sampai ibu dia ingat anak tunggal lelaki dia ni luar alam. Mahu pengsan Puan Sufiah dibuatnya. Umar pening kepala dan terus dibawanya Dayana pulang ke butik dan kali ini Dayana hanya membisu seribu bahasa di dalam kereta. Gay? Pandai aku cari alasan, fikir Dayana sendiri.

3 comments: