Tuesday 1 July 2014

cerpen : MALAM LAILATUL QADAR BUAT ABANG LONG

HILANG lagi!. Masuk kali ini sudah tiga kali duit Munirah hilang. Tiada siapa yang patut dilemparkan semua tuduhan itu melainkan Abang Long. Memang suka hati dia sahaja mahu mengambil duit di dalam dompet Munirah.  Abang Cik menggeleng kepala. Tali leher dilonggarkan. Mereka bertiga duduk dalam satu rumah sejak mula – mula berpindah ke Kuala Lumpur. Pakcik Said dan Mak Bibah tidak mahu ikut sama. Mereka lebih rela bertemankan ayam dan itik peliharaan daripada mendengar bunyi kereta dan kenderaan yang menyesakkan halwa telinga.
     “Abang Long!!” Abang Cik memanggil kasar. Munirah kecewa. Dilemparnya dompet ke sofa tanda protes. Abang long turun dengan senyuman.
     “Ha... nak ajak pergi bazaar ramadhan ke?” soalnya tanpa rasa bersalah.
     “Kenapa curi duit adik?” Munirah mengambil tempat untukmelemparkan kemarahannya. Abang Long tidak menyambung bicara. Seperti tadi, dia cuma tersenyum. Bahu Abang Cik ditepuk – tepuk.
     “Sudahlah abang. Tak payah nak tunjuk yang abang ni abang penyayang. Kalau di kampung bolehlah... semua puji abang. Penyabar segala tapi diorang tak tahu yang abang ni pencuri. Mencuri duit adik beradik sendiri pula tu”
     “Jom... kita pergi bazaar” tidak mahu ambil kisah, Abang ong terus keluar. Munirah dan Abang Cik terus naik ke atas. Kurang pahala puasanya akibat tidak mampu bersabar dengan kerenah abang sulung mereka.
       Munirah mendengus geram Ingin sahaja dia beritahu mak dan ayah di kampung mengenai perangai anak sulung mereka di bandar tetapi tak sampai hati pula. Biarkan dahulu...


PLASTIK makanan dijinjit pulang ke rumah tetapi sebaik sahaja pintu pagar dibuka, dia tahu kedua orang adiknya itu sudah pun keluar. tidak mahu berbuka bersamanya barangkali. Tak mengapa, dia boleh berbuka sendirian walaupun terasa benar sunyinya tanpa adik – adik di sisi.
     ‘Marah sangat pada aku agaknya. Tak mengapalah... memang salah aku pun’ keluh Abang Long. Dia merenung murtabak daging kegemaran adik – adiknya itu dengan sayu. Sambil menanti azan maghrib berkumandang, Abang Long mengenang kembali zaman kanak – kanak mereka. Sangat indah. Kalaulah keindahan itu boleh dikekalkan... alangkah baiknya!. Sebaik sahaja azan maghrib berkumandang, Abang Long berbuka sendiri. Entah mengapa bergenang juga air matanya. Air sirap yang diteguk itu pun seperti hilang rasa manisnya. Bersalah benar ke aku ni....
     Selesai sahaja solat maghrib, kedua – dua adiknya itu pulang dengan tawa yang besar. Abang Long memandang mereka berdua tetapi hanya sekilas pandangan sahaja yang dibalasnya. Tanpa senyuman... tanpa teguran. Abang Long duduk di sofa dan seperti yang dia sudah jangka, kedua – dua orang adiknya itu sudah pun tidur awal. Tidak mahu berjumpa atau berbual dengannya lagi. Mungkin sudah sampai masa untuk dia pergi daripada situ. biarlah Munirah dan Abang Cik gembira berdua di dalam rumah ini. mata Abang Long terpejam rapat. Air mata mula keluar melalui kelopak matanya. Dia cuba tersenyum biarpun senyumannya sangat sumbang.

MUNIRAH dan Abang Cik langsung tidak mahu mencari Abang Long. Marah benar mereka kerana hampir setiap bulan wang mereka dicuri. Kalau seringgit dua tak mengapa juga, ini sampai RM150. Banyak lagi benda yang mereka boleh beli dengan wang sebanyak itu.
      Abang Long pulang ke kampung. Kerjanya sebagai mekanik di bandar dibawa ke kampung. Dia membuka kedai mekaniknya sendiri. Sejak dari awal dia keluar daripada rumah itu, seorang pun adik beradiknya tidak cuba bertanya khabar. Hampir setiap hari Abang Long memeriksa telefonnya. Manalah tahu kalau – kalau adik – adiknya memberi teks pesanan ringkas. Terubat juga rindunya pada mereka.
     Pak Said mengurut bahu Abang Long yang sedang duduk keletihan di beranda rumah. Dia tahu anak sulungnya itu lenguh satu badan. Lagi – lagi dalam keadaan lapar dan dahaga. Abang Long bangun dan mengurut bahu Pak Said pula.
     “Entah kenapa sejak abang Long pulang ni, adik – adik tak telefon pun ke rumah?” Pak Said menyoal. Abang Long hanya membisukan mulutnya. Sesekali dia mengibas – ngibas habuk di tepinya.
     “Adik – adik sibuk, yah”
     “Abang Long pun kerja di bandar tapi tak pun sibuk macam diorang. Hari – hari boleh telefon ayah dengan mak” luah Pak Said.
     “Diorang gaji besar. Kalau tidak, takkan diorang boleh pakai kereta besar macam tu”
Pak Said menoleh ke belakang. Ada rasa sayu pada intonasi anak sulungnya itu. Pak Said bergenjak sedikit.
     “Siapa pun Abang Long, ayah tetap sayang. Allah akan berikan yang terbaik buat anak yang berjasa dengan kedua orang tuanya” luah Pak said. Mak Bibah menggosok kepala Abang Long.
     “Mak yang melahirkan Abang Long, mak seolah – olah dapat rasa sesuatu yang pedih di sini” dada Abang Long ditepuk – tepuk. Tersenyum Abang Long mendengarnya. Wajah dua insan kesayangannya itu direnung lama. Selagi hayat masih ada, dia akan menjaga dua insan mulia itu dengan baik... itu janjinya.

 KEPULANGAN kedua orang adiknya ke kampung memang dinantikan. Sebaik sahaja Munirah tiba, Abang long yang ke hadapan dahulu. Munirah bersalaman dengan Abang Long tetapi tanpa senyuman manja seperti dulu. masih ada baki jelingan tajam. Begitu juga dengan Abang Cik. Saat itu Abang Long rindukan arwah Kak Ngah. Arwah adiknya itulah yang setia mendengar setiap ceritanya biarpun berulang kali. Setia memasak buat abang sulungnya goreng berlada ikan keli jika Abang Long pulang ke kampung.
     Abang Long yang baru sahaja pulang daripada surau terhenti langkahnya tatkala mendengar namanya disebut oleh kedua orang adiknya. Terdengar juga suara Pak Said yang menidakkan sesuatu. Abang Long terus mendengar.
     “Ya , ayah!. Setiap bulan dia curi duit kami. RM150 pula tu. Ingat sikit. Duit tu boleh bayar duit minyak kereta dan barang keperluan lain. Kalau tak percaya, tanya Munirah”. Pak Said termenung. Dia menggeleng kepala apabila Munirah juga mengiyakannya. Mak Bibah menangis di tangga dapur.
      “Assalamualaikum...” Abang Long masuk ke dalam rumah.
     Munirah bangun dan terus duduk di sebelah abang cik. Mereka memandang Mak Bibah yang menangis hingga terhenjut – henjut bahunya.
     “Abang dah buat mak menangis. Kecewa dengan sikap abang. Sekarang ayah dan mak dah tahu perangai abang di bandar” abang cik meneguk kopi dengan kelingan tajam. Abang Long tunduk. dia tidak mahu membela dirinya. memang benar dia mencuri, untuk apa dia menidakkannya.
     “Bagus sangat ke buat mak kecewa, abang?” soal Munirah. Abang Long memandang Mak Bibah dan Pak Said silih berganti. Mak Bibah bangun. Tangannya menggigil. Munirah dan Abang Cik berpandangan sesama sendiri. Ada senyuman pada wajah mereka. Baru mak dan ayah tahu siapa anak kesayangan mereka itu!.
     Mak Bibah sudah pun berada di hadapan Abang Long. Tangannya di naikkan tetapi untuk menyentuh pipi Abang Long dengan penuh rasa sebak. Munirah dan Abang Cik sedikit pelik.
Dengan pandangan yang tepat ke dalam mata Abang Long, Mak Bibah bersuara.
     “Baru hari ni mak tahu yang dua orang anak mak itu tak pernah mahu menghantar duit buat kami di kampung. Abang Long curi duit adik – adik untuk memberikannya pada kami?. Munirah, Abang Cik... setiap bulan Abang Long pulang ke kampung dan beri 3 sampul surat pada kami. Katanya, itu daripadanya, kamu dan Abang cik. Dua daripada tiga sampul surat itu berisi duit sebanyak RM150” mak Bibah memeluk tubuh Abang Long yang hanya kaku di situ. air matanya juga turut mengalir. Munirah dan Abang Cik tergamam.
     “Abang long pernah suruh adik – adik abang Long hantar duit ke mak dan ayah tapi nampaknya adik – adik Abang Long langsung tak endahkannya. Abang long tak mahu adik – adik Abang Long hidup tanpa keberkatan mak dan ayah. Setiap kali mak dan ayah terima sampul surat itu, mereka pastinya berdoa buat kita. Semoga Allah murahkan rezeki anak – anakku...” Abang Long berkata tenang.
     “Abang Long cuma ambil RM150 daripada gaji kamu berdua yang lebih daripada RM3000 itu setiap bulan. Abang Long yang cuma bergaji RM1500 ini menghantar pada mak dan ayah duit sebanyak RM600 setiap bulan. Kata kamu berdua... RM150 boleh bayar benda penting dalam seharian hidup kamu. Apalah yang penting bagi seorang anak selain ibu bapanya?. Abang Long curi demi kamu berdua. Supaya rezeki kamu berkat. Mak dan ayah juga akan rasa bahagia dan gembira apabila dapat tahu anak – anak mereka masih ingatkan mereka dikampung” Abang Long mengesat air matanya.Air mata Munirah berjujuran. Begitu juga dengan Abang Cik.
     “Jadi, semua barang yang kamu bawa balik dan katakan adik – adik yang beri tu... semuanya duit kamu?” soal Mak Bibah. Abang Long mengangguk.
     “Abang dah kata Bibah... abang kenal siapa anak – anak abang. Abang pernah kata semua itu pemberian Abang Long bukannya mereka berdua. Sedangkan telefon dua tiga saat pun tak mampu buat inikan pula nak cari segala langsir, mesin urut kaki dan rantai emas kamu tu?” bicara Pak Said membuatkan Munirah terduduk di kerusi. Abang long senyum dan terus keluar. tidak mahu duduk lama lagi. Tidak snaggup membuka satu persatu kesalahan adik – adiknya di hadapan mak Bibah dan Pak Said.

ABANG Long mengambil wuduk di surau kampung. Dia mahu solat tahjud di surau sahaja. sebaik sahaja selesai solat tahjud, seseorang memberi salam. Abang Long menoleh ke belakang. Seseorang yang berpakaian serba putih dan berserban duduk  dan tersenyum manis.
     “Hilangkanlah kesedihan itu kerana kamu tidak sepatutnya bersedih apabila menjadi seorang anak dan abang yang baik pada keluargamu. Allah maha mengetahui segala apa yang ada di langit dan juga di bumi. Begitu juga di luar dan di dalam hatimu. Walau sesakit mana pun hatimu... belajarlah tersenyum kerana senyuman itu tanda betapa kamu meredhai segala apa yang telah Allah tetapkan. Tidak kagumkah kamu apabila Allah membuka kebenaran dan kesucian hatimu di hadapan insan kesayanganmu apabila namamu dikotori dengan kata – kata nista darah dagingmu sendiri?.”
     Abang Long tunduk dan sebaik sahaja dia mengangkat kepalanya semula, lelaki berserban itu sudah pun hilang. Ketika itu air matanya menitis laju. Betapa Allah sudi memandang dirinya dan hatinya yang sekecil itu dengan menghantarkan satu kata – kata yang mampu membuatkan imannya menjadi kental. Lakukan kebaikan walaupun tidak mendapat pujian manusia yang lain. Bersedia menerima segala apa yang telah Allah tetapkan kerana setiap ujian itu menandakan kasih sayang tuhan buat hambanya.

MUNIRAH dan Abang Cik menangis dan memeluk abangnya apabila Abang Long pulang daripada surau. Semalaman mereka menunggu abang mereka. Tubuh itu dipeluk dan tangan itu dicium dengan penuh rasa kesal.
     “Abang... bimbinglah kami menjadi anak yang baik untuk mak dan ayah” Abang Cik menangis lagi.
     “Munirah juga abang. Munirah lebih pentingkan bag dan kasut berjenama daripada mak dan ayah. Terima kasih abang kerana mencuri duit kami untuk diberikan pada mak dan ayah” kali ini senyuman Abang Long benar – benar manis. Dia memandang ke luar tingkap. Lelaki itu tersenyum dan menghilang begitu sahaja.

Sesungguhnya rahmat Allah ditunjukkan dalam pelbagai cara dan yang pasti Allah itu maha penyayang...

    


8 comments:

  1. I likeeee....keep it up!!! God job sis

    ReplyDelete
  2. Izaaaa

    sobb sobbb sobbb itu je yg mampu akak tulis

    siapa yg masih bujang cepat2 pinang abg long tuk jdi suami... sure dpt menjadi pembimbing yg terbaikkkk

    tahniah iza... pendekatan terbaiiikkkkkk

    love
    kakita

    ReplyDelete
  3. Memang terbaik...menitis airmata bila membaca cerpen ni...thanks kak ami utk ingatan ini...

    ReplyDelete
  4. Terbaik!
    Hadiah ramadan ya ami?
    Teruskan menulis.

    ReplyDelete
  5. Terbaik lah kak!
    Tersentuh hati saya sobs sobs

    ReplyDelete