Wednesday 2 October 2013

DI SEBALIK DIA

DI SEBALIK DIA...

Aku merenung agak lama sutera merah di tangan, pemberian dari seorang insan yang menyedarkan aku betapa aku tidak pernah sempurna walaupun aku ditakdirkan untuk mengajar apa itu kesempurnaan pada anak bangsaku. Ya.. aku guru yang mengajar matematik untuk pelajar tingkatan empat. Aku garang?. Sudah semestinya. Kalau tidak ada sifat itu, mana mungkin hampir kesemua pelajarku lulus cemerlang di dalam peperiksaan mereka kecuali.... Azmin!.

Enam tahun yang lepas...

“Azmin!” jeritku agak kuat. Sudah pun namanya menjerit, sudah pasti kuat lontarannya. Azmin yang terhegeh – hegeh mencari buku latihannya kelihatan sedikit cuak. Sesekali dia mengesat peluhnya dengan lengan baju yang sudah pun lusuh warnanya. Ada koyak di kolarnya juga.

“Cikgu Intan... saya terlupa” buku matematiknya dipegang tanpa memandang wajahku. Sekali libas rotanku menghentam mejanya.

“Cikgu tak faham kenapa awak tak boleh jadi pelajar yang baik seperti pelajar yang lain” bebelku. Cermin mataku menjadi penghalang untuk menembus kemarahan ku tepat ke dalam matanya.

“Kenapa tak siap?” jerkahku lagi. Dia mengesat peluh di bibir dengan kolar bajunya pula.

“Saya penat cikgu”

“Penat merayap dekat kedai game di pekan tu?”. Aku pernah melihatnya di sana. Baru sahaja keluar dari permis itu dengan memegang wang di tangan. Azmin tunduk. Setelah aku beredar hatiku masih lagi sakit. Aku mahu dia menjadi insan yang sempurna, pelajar yang cemerlang tetapi jika hatinya beku ....apalah dayaku untuk mengubahnya.

                                         *********

Kelas matematikku sudah bermula setengah jam, Azmin baru sahaja muncul di muka pintu. Riak wajahnya tenang sahaja. aku mencapai rotan dan terus menuju ke arahnya. Tiada gentar di hatinya barangkali. Dia hanya memejam beberapa ketika matanya untuk mencuri kekuatan yang tidak pasti sama ada akan diperolehinya ataupun tidak.

“Cikgu... saya minta maaf. Lambat”

“Kenapa?”

“Maafkan saya cikgu” Azmin tunduk dan terus masuk ke dalam kelas,. Dikeluarkannya buku yang masih tidak berbalut. Itu kepantanganku! Bagiku ilmu harus dijaga sebaik mungkin,,,

“Kenapa tak balut buku?”

Azmin tunduk.

“Kenapa Azmin?”

Dia mendongak dan matanya yang berkaca itu menenggelamkan keinginanku untuk menyoalnya lagi. Seperti ada sesuatu dalam renungan itu. mengapa mata nya berkaca?. Ku pasti, jika lebih keras aku menyoalnya, air mata itu pasti akan mengalir. Hari itu aku banyak membisu. Mataku sering sahaja terarah kepadanya. Rambut yang tidak terurus itu menyemakkan mataku. Dari jauh ku lihat dia mencari sesuatu dan Nadia menghulurkan pen untuknya. Ya... pennya sudah kehabisan dakwat!.

Dialah pelajar yang akan keluar paling awal. Aku hanya melihatnya dan menahan Nadia sebelum pengawas itu turut sama keluar.

“Nadia... kenapa Azmin tu tak macam kamu semua?. Tak berdisiplin!” keningku berkerut. Nadia tunduk. Lama sehingga aku terpaksa  memanggil namanya sekali lagi. Saat di mendongakkan wajahnya, air matanya mengalir.

“cikgu... ya, dia tak macam kami semua... kerana kami semua tak mampu jadi macam dia”

Aku terpegun. Terdiam tanpa kata.

“Bukankah lebih baik cikgu melihatnya dahulu sebelum menilai siapa Azmin di mata cikgu. Jika cikgu dah tahu kebenarannya, untuk mengherdiknya pun cikgu tidak akan sanggup” Nadia merenung wajahku pula.

Mungkin dia mengerti persoalan yang bersarang di fikiranku... Nadia memberi alamat yang baru sahaja ditulisnya.

“Ini kedai makan sebelah kedai game. Dia kerja di sini, kadang – kadang hantar makanan tapi selalunya cuci pinggan dan lap meja” Nadia memandangku lagi.

“Nadia teman cikgu” pintaku dan Nadia terus bersetuju.

                             ************

Luluh hatiku saat melihat Azmin diherdik tuan punya restoran kerana tertumpahkan air ke lantai. Dengan langkah yang panjang, Azmin terus ke stor untuk mengambil mop. Peluh menitis ke pipinya dan seperti biasa dia akan mengelapnya dengan lengan baju. Ya Allah........ itu sahaja yang mampu terungkap. Semalam Nadia telah tunjukkan tempat tinggalnya. Aku harus ke sana sementara Azmin masih bekerja .

Rumah papan separuh batu itu senyap sunyi., tiada bunyi televisyen apatah lagi kabel astro. Ada tiga ekor ayam yang sedang mengais tanah.

Selepas memberi salam, aku melihat seorang wanita muda membuka pintu.

“Ya..nak jumpa siapa ya?” soalnya tenang,

“Saya Intan, cikgu Azmin” terangku sambil menghulurkan tangan. Wanita muda itu memperkenalkan dirinya sebagai Maya. Dia kakak kepada Azmin. Hanya satu – satunya adik beradik Azmin.

“ Cikgu.. jangan marah Azmin... dia bukan sengaja” rayuan itu mengejutkan aku. Seoalah – olah Maya tahu apa yang berlaku., aku masuk ke dalam rumah dan kaki ku tidak mampu melangkah terus apabila melihat seorang wanita pertengahan umur terbaring lemah di atas tilam bujang.

“Cikgu...” wajah Kak Halimah, ibu kepada Azmin begitu sayu sekali. Dia lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya yang turut mengorbankan suaminya.
Aku duduk bersimpuh di sebelahnya.

“Kalau lambat Azmin ke sekolah sebab dia angkat akak mandi, cikgu!. Kalau baju sekolahnya kotor sebab dia bekerja di restoran setiap kali pulang dari sekolah cikgu.. jika kerja sekolahnya tak siap...... itu kerana.....” Kak Halimah menangis.

“Dia.... penat cikgu!. Setiap kali pulang dari kerja, dia akan solat dan akan terus tertidur di sisi saya” air mata itu turut sama mempengaruhi mataku. Aku tak sedar bila air mata ini turut jatuh.

“Dia tak benarkan saya kerja. Dia mahu saya jaga mak! Kasut sekolah pun dia tak beli sebab dia belikan saya kasut baru tu” Maya menunjuk sepasang kasut baru di bawah televisyen yang sudah pun tamat perkhidmatannya.

“Cikgu Intan tentu bencikan dia. Saya nampak ada jalur merah pada tangan dia” kata Kak Halimah.

Aku tergamam!. Ya Allah....

“Dia selalu cakap yang dia suka pada cikgu tapi cikgu bencikan dia. Masa hari guru hari tu, dia tak ada duit nak beri hadiah hari guru jadi dia ukirkan ini untuk cikgu” ujar Maya yang baru sahaja keluar dari sebuah bilik.

Satu ukiran kayu yang mengukir namaku dengan menggunakan tulisan khat. ...CIKGU INTAN. Entah kenapa rasa marahku pada Azmin berkecai saat itu juga.

“Dia tak bagi pada saya pun!” kataku. Ukiran kayu itu kupeluk.

“Buat apa beri pada orang yang membenci kita” kata Kak Halimah.

Aku bagai dipukul dengan kata – kata Kak Halimah.

“Cikgu... jika dia ditakdirkan tidak berjaya dalam pelajaran, saya berbangga kerana punya anak yang berjaya menjaga saya walau dalam keadaan apa pun. Tiada resah di hati saya kerana tak punya harta kerana harta – harta saya yang dua orang ini lebih besar nilainya daripada harta yang ada di dunia ini” Kak Halimah senyum tenang,

Ya... aku lihat ketenangan pada wajahnya. Melahirkan zuriat yang taat padanya... itulah harta yang hakiki! Melahirkan zuriat yang mengusungnya mandi setiap pagi dan petang... itulah harta sebaik – baik harta. Anak aku?... jauhnya bagai langit dengan bumi.

Aku pulang ke rumah sebelum Azmin pulang. aku minta ukiran itu daripada Kak Halimah untuk kuletak di mejaku. Biar semua orang tahu... pelajar yang menyayangi aku telah mengukir satu rasa kasih buat gurunya.

                           ******************
Aku memanggil Azmin ke bilik kaunseling. Aku tahu dia gentar. Dari tadi dia meramas – ramas tangannya sendiri.

“kenapa Azmin tak beritahu cikgu sebab Azmin lambat....kerana mandikan mak Azmin kat rumah?” soalku. Azmin terkejut. Kak Halimah dan Maya menuruti kemahuanku tempoh hari agar merahsiahkannya dari pengetahuan Azmin.

“Cakap apa sahaja. demi tuhan.... cikgu tidak akan marah” jujurku. Dia memandangku dan kemudiannya tunduk.

“Sayan tak jawab mengapa saya datang lambat kerana saya tak mahu cikgu salah sangka dengan mak saya. Mak tak pernah menjadi penyebab mengapa saya lambat ke sekolah. Langkah kaki saya yang tak begitu laju untuk sampai tepat ke pintu pagar sekolah”

Aku memegang dadaku. Dia menjaga nama baik kak Halimah.......

“Saya tak beli baju baru sebab nak belikan baju baru buat mak dan Kak Maya. Dia tak boleh bekerja sebab jaga mak. Jadi saya yang harus belikan semua keperluan untuknya. Kak Maya tak pandai jahit.... masak tak berapa sedap tapi cukup untuk mengenyangkan kami semua” senyum Azmin.

Ya Allah..... manisnya senyuman dia!. Mengapa tidak pernah aku lihat siapa dia di sebalik Azmin yang aku herdik setiap hari?

“Masa depan Azmin macam mana?” soalku.

“Masa depan saya di tentukan Allah dan saya akan berusaha keras untuk itu. Allah beri kita banya jalan dan cara untuk menjadi yang terbaik. Mungkin saya tak mampu menjadi pelajar cikgu yang terbaik.... tapi saya boleh menjadi seorang anak yang terbaik!. Sungguhpun cikgu marah saya setiap hari, namun doa saya untuk cikgu tidak pernah putus. Cikgu ibarat ibu di sekolah”

AKu menarik nafas dalam – dalam.

“Cikgu akan tanggung kamu” kataku yakin,

“Tak!”

Aku terkejut!

“Kakak dan mak adalah amanah saya sebagai anak lelaki. Saya akan tanggung mereka. Biarlah hidup saya begini. Saya janji dengan cikgu, saya tidak akan selamanya kerja di kedai makan tu. Saya akan berusaha menjadi yang lebih baik demi keluarga saya” ujarnya yakin. Nadia yang baru tiba tersenyum memandangnya.

                                                ************

Setiap bulan aku menghantar seguni beras, barangan dapur untuk keluarga Azmin. Puas aku memujuknya hinggakan aku merayu pada kak Halimah agar masuk campur. Kuasa Allah itu Maha luas, besar dan tiada tandingan!.

Dalam sibuk – sibuk dia pun, keputusan SPMnya menjadikan dia antara 10 pelajar cemerlang sekolah itu. dia di terima masuk ke dalam institusi pengajian tinggi awam dan pada sebelah malamnya pula dia akan bekerja sambilan. Dia masih berdikari seperti dahulu.

TING TONG!!!!
Belon memoriku pecah saat mendengar loceng rumahku di tekan. Azmin , Nadia dan anak mereka sudah sampai. Dibelakangnya pula Kak Halimah , Maya dan keluarganya menyusul.

Azmin yang sudah mempunyai kumis membuatkan aku terfikir betapa sudah lama pengajaran pertamaku itu berlalu. Guru bukan sahaja mengajar tetapi peru juga belajar sesuatu daripada muridnya dan aku belajar sesuatu malah lebih lagi dari Azmin... pelajar yang pernah aku benci suatu ketika dahulu. Dia mengaja aku agar melihat dan merasai sesuatu sebelum menilaikannya dari pemikiranku sendiri dan pastinya aku belajar bahawa Allah Maha Pengasih dan penyayang...... Azmin adalah antara hamba yang disayanginya.....                 

DARI BEKAS GURU YANG MASIH LAGI BELAJAR TENTANG HIDUP....INTAN


7 comments:

  1. hd ;(Y) karya yg x pernah mengecewakan...teruskannn

    ReplyDelete
  2. Time nak sengal,sengallah dia....time nak sentap,setaplah dia....time utk ikhtibar,sesungguhnya itu yg pasti... Thanx azizah...

    ReplyDelete
  3. saya pun belajar sesuatu di sini....kemanusiaan, berusaha, berbaik sangka, redho...arrghh banyknya pengajaran disini

    ReplyDelete
  4. hurm ini lah dia yg insan yg mempunyai pelbagai nama

    Seperti nama nya yg pelbagai... begitu juga nukilan dia... mcm2 ada... ada sengal,,... super sengal... lawaknya yg tak hingat... seram tidak serupa seram.. keluar sedih... kita yg meleleh air mata... setiap nukilan ada maksud sendiri... ada yg untuk release tense... ada untuk cucian nurani... ada untuk pelajaran kpd hidup... ada untuk dijadikan pedoman meneruskan langkah

    tahniah buat Ami @ Azi @ Iza @ Seri Dewi Petang Ami

    sentiasa tgk u menyengal
    kak ita

    ReplyDelete
    Replies
    1. wakakakakkaa, i lebiuuuuuuuu kak ita kuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu. terima kasih kak!

      Delete
  5. Ayaq mata menitih baca cte nie.. huwaaaaa... sob sob...

    ReplyDelete