Sunday 27 October 2013

CERPEN: DI TELAPAKMU ..... SYURGAKU

Di telapakmu…syurgaku

Bukan mudah melalui hari – hari yang penuh dengan debu – debu hinaan. Ya… salahnya kerana tidak menciptakan sesuatu yang indah buat zuriatnya iaitu pemberian terindah dari Allah untuk dia, insan yang terlalu zarah di mata manusia.

Tetapi jika dibahaskan tentang kasih sayang, dia tidak akan tewas ! kasih sayangnya cukup  mewah buat Adila. Cintanya cukup luas untuk Adila berlari mengejar erti hidup. Keikhlasannya cukup untuk Adila merasainya…mungkin!.

Asmah berdiri disebalik pokok untuk melihat Adila dari jauh. Lambaian buat mertuanya begitu gemalai dan senyumannya cukup manis hingga terdetik di hati Asmah bahawa tiada lagi kemanisan di hatinya walau secubit cuma.


Mariam menggeleng kepala melihat sahabat baiknya mengesat air mata dengan hujung lengan bajunya. Air mata itu tak akan tumpah jika Adila masih meminjamkan sedikit rasa rindu buatnya. Asmah membetulkan tudungnya dan kembali berpaling memandang Mariam.

“Dia masih cantik ….”

“Seperti kau!” Mariam mencantas terus kata – lata sahabatnya. Asmah terdiam. Tangannya terus memaut lengan Mariam untuk sama –sama menunggu bas di seberang jalan.

Mariam duduk disebelah Asmah. Airmata yang cuba untuk disekat dari terus mengalir itu membuatkan Mariam rasa bersalah.

“Lepaskan… tidak akan aku tegur atau aku marah lagi” Mariam memandang ke sisi bertentangan. Air mata itu terus jatuh dan membasahi pipinya yang masih cantik. Walaupun sudah berusia hampir 50 tahun, Asmah tetap cantik. Kedut – kedutnya tidak banyak kerana kulitnya masih lagi tegang dan muda. Bila orang tanya, Asmah hanya mampu tersenyum. Siapalah yang mahu percaya manusia seperti dia mampu berselawat malah ada yang kata dia tidak layak untuk berselawat. Mariam terus memeluk Asmah. Hiba hatinya!.

                             **********************

Nazri memegang tangan Adila tetapi tiada respon daripada isterinya itu.

“Depan ni sahaja rumah ibu awah, sayang. Sebelum pulang ke rumah, tak bolehkah awak jenguk dia sekejap?” Nazri mencetuskan api kemarahan Adila waktu itu juga.

“Dila dah kata mak Dila cuma mama…mama abang!” Adila merengus. Dikeluarkan iPadnya dan sengaja mencari sesuatu yang dia sendiri tidak inginkan di laman web. Nazri menggeleng kepala. Nazri yang sedang memandu terus memberhentikan keretanya apabila melihat Asmah di tepi jalan sambil memegang mangkuk tingkat.

“Ibu” nazri menggoncang lengan Adila.

Semyuman Asmah membuatkan Adila terasa tersekat emosinya. Tubuh itulah yang didakapnya sebelum tidur dahulu. Tubuh itulah yang menghangatkan kedinginan malamnya. Dia tidak mampu untuk menipu, hatinya mendesak agar dia membuka pintu dan terus memeluk ibunya tetapi apabila terkenangkan sesuatu Adila mematikan perasaannya.

Nazri tidak peduli. Dia keluar mendapatkan Asmah., diciumnya tangan ibu mertua dengan perasaan bersalah.

“Maafkan Nazri ibu!! Mafkan Nazri sebab tak mampu mendidik Dila!!!” genggaman tangan nazri menggoncang naluri keibuan Asmah. Digosoknya kepala Nazri.

“Tak apa. Ini bubur sum sum. Dila suka. Yang bawah ni pulut kuning, Nazri suka kan?. Habib, kawan baik Nazri beritahu masa dia hantarkan barang dapur ke rumah,. Terima kasih nak!.” Ucap Asmah.

Nazri memegang bahu Asmah dan merenung dalam – dalam anak mata ibu mertuanya.

“Nazri akan cuba ibu..” janji Nazri sebelum beredar pergi. Asmah tidak berdaya mahu meneruskan langkahnya menghampiri Adila. Terasa hina dirinya saat itu. Sebaik sahaja nazri membuka daun pintu keretanya, mangkuk tingkat itu diserahkan ke tangan Adila.

Terkejut besar Nazri apabila Adila melempar mangkuk tingkat itu keluar dari kereta. Asmah hanya memejam matanya. Dia belum makan lagi bubur itu kerana mahu memberikannya pada Adial. Air matanya mengalir melalui kelopak mata yang masih terpejam.

Nazri naik angin.

“Dila gila ke?” jerkah Nazri dan terus membuka kembali pintu keretanya. Nazri mengangkat magkuk tingkat yang bahagian tepinya sudah pun pecah. Nazri membukanya. Bubur sum sum itu berkecai. Nazri yakin… begitu juga berkecainya hati Asmah. Mujur mangkuk tingkat bahagia bawahnya masih elok. Nazri membukanya. Pulut kuning yang dimasak sempurna itu membuatkan hati Nazri sebak. Dia memandang Asmah yang sudah pun dua tiga langkah menjauhinya.

“Ibu!” panggil nazri. Dia menoleh ke arah Adila.

“You balik makan dengan mama you. Today I nak makan dengan ibu i. you drive sendiri. Kalau you boleh campak benda ni takkan you tak boleh balik sendiri”

Adila tergamam.

Nazri terus memimpin tangan Asmah pulang ke rumahnya. Sampai sahaja di depan pintu, Asmah menyuruh Nazri pulang tetapi permintaan Asmah itu ditolak.

“Ibu tak sudi makan dengan anak ibu?” soal Nazri. Asmah menangis lagi.

“Bukan….ibu sudi malah ibu rasa seperti nazri anak ibu sendiri. Masa ibu masak pulut ni ibu tersenyum bila bayangkan Nazri akan makanan yang di masak oleh ibu” tudungnya yang sedikit senget dibetulkan.

Nazri membuka bungkusan kari dan dituangnya di dalam bekas. Di ambilnya pulut kuning itu dan disuapnya ke dalam mulut Asmah. Berjurai air mata Asmah. Dulu Adila selalu menyuapnya begitu tetapi tidak lagi….

“Mak Asmah..” mereka berdua tersentak. Milia anak Haji Din datang menghampiri.

“maaf kacau. Ni, baju mak Asmah dah siap. Hmm.. Milia  balik dulu” Milia mengucup dahi Asmah dan terus pergi.

“Masih ada yang jagakan ibu…. Nazri jangan risau” senyum Asmah. Kepala Nazri digosok – gosok mesra. Nazri tergamam. Dia rindukan belaian seorang ibu seperti itu. Mamanya?... hanya rancak berbual mengenai bisnes!.

“Ya… tapi siapa jaga hati ibu?” soal nazri kembali. Asmah senyum tawar.

“Biar anak lelaki ibu jaga okey?” Nazri kenyit mata. Kali ini Asmah ketawa. Sangat manis ibu ketawa…. Alangkah baiknya kalau Adila melihat keindahan ini seperti mana aku…

                                            ********************

“Yang Naz pergi layan orang tua kotor tu kenapa?” marah Anisa. Adila hanya mendengar.

“Apa ni mama?. Itu ibu menantu mama kan?”

“Anak dia sendiri tahu maknya bagimana” jeling Anisa.

“Eh… dia ada anak ke?. La.. Naz ingatkan dia sebatang kara” ujar Nazri. Adila tersentak. Kata – kata itu memang ditujukan padanya.

“Lain kali jangan!” Anisa memberi amaran tetapi hanya disambut dengan gelengan kesal oleh Nazri.

Selepas mandi Nasri baring sebentar sementara menunggu azan manghrib. Adila datang menghampiri dan terus memeluknya. Nazri memejam matanya. Berpura – pura tidur. Sudah tidak larat mahu bertengkar mengenai perkara yang sama. Dia tahu Adila mahu memujuknya menggunakan cara lembut. Tak guna!. Adila terus keluar dengan wajah yang masam mencuka.

Beberapa minit kemudian dia masuk semula.

“Bangun abang..” arah Adila. Nazri membuka matanya.

“Abang sayang sangat ibu kan?. Nah! I dah ambil borang persetujuan poligami dan I dah tandatangan. You pergi lamar ibu!”

Nazri rasa mahu beri penampar sahaja mulut Adila yang celupar itu!. Malas mahu bertengkar lebih lama, nazri terus ke masjjid. Lebih tenang jiwanya!.

                                       ***************

Asmah mengaji Al-Quran sebaik sahaja menunaikan solat Asar. Dia tidak putus – putus mendoakan Adila disetiap solatnya. Tangannya di tadah sedikit tinggi.

“Ya Allah… kau ampunkan dosa ibu bapaku, dosa anakku Adila. Janganlah dihitung dosanya melalui setiap titis air mataku Ya Allah kerana air mata itu adalah air mata keredhaan bukannya air mata kekesalaan. Aku tidak salahkan dia Ya Allah. Bahagiakanlah hidupnya bersama Nazri dan kurniakanlah zuriat yang soleh buatnya. Ya Allah.,.,… dia adalah anakku dan aku maafkan setiap kesalahannya sehingga nafas aku yang terakhir. Pintaku buatmu Allah yang maha pengasih….. berikanlah sinar kebahagiaan buat anak lelakiku juga, Nazri. Aku anggap dia anakku kerana kasih sayangnya, ketulusannya dan keikhlasannya. Terima kasih ya Allah kerana menghantarkan cahaya itu buatku. Cahaya yang mampu mengurangi kerinduanku terhadap anakku”

Milia yang sedang mendengar dari luar menitis airmatanya mengenai penutup mangkuk berisi masak lemak cili api kegemaran Asmah.

Dia tidak mahu mengganggu Asmah dan terus meletakkan mangkuk itu di atas bangku sebelah pintu rumah Asmah. Sepanjang jalan air matanya tidak mampu berhenti mengalir.

“Kenapa kau yang punya ibu tak mahu menyayangi ibu kau?... bukankah lebih baik dia yang menjadi ibu aku?. Aku tak pernah rasa kasih sayang seorang ibu sejak aku lahir, Adila!” air mata itu di kesat dengan tudung sebelum tiba di rumahnya.

                                     **************

Adila menghentak meja suaminya. Gambar Nazri dengan wanita lain dilempar ke muka Nazri. Terkejut Nazri waktu itu. Tindakan tidak beradabnya itu dilakukan di hadapan semua pekerja bawahan nazri yang ketika itu sedang bermesyuarat.

“Apa ni?” soal Nazri

“You ada affair you Tanya kenapa?” makin melantun – lantun kekuatan suaranya. Nazri mengambil sekeping dari foto yang bertaburan di atas mejanya. Nazri mengeronyokkan foto itu dan terus memanggil Fakri dan Jihan. Mereka berdua dating menghampiri Adila.

“Ini?” Nazri menuding jari ke arah Jihan, pemilik wajah di dalam foto itu, Adila terus menampar Jihan.

“You tahu tak yang masa ni I dengan dia makan lepas kerja dengan Fakri?. Fakri ni tunang dia tahu tak!!!!” kali ini suara Nazri lebih kuat daripada apa yang pernah Adila dengari sebelum ini.

Fakri menyentuh pipi Jihan yang merah akibat ditampar.

“Perempuan kalau kurang ajar dengan mak sendiri memang tak hairanlah kurang ajar dengan suami!” jerkah nazri. Kekesalan di hati Adila tadi terus bertukar menjadi kebencian. Baginya, Asmah yang menghasut Nazri agar berani menengkingnya seperti ini. Adila terus keluar dengan kaki yang dihentak dengan kuat. Nazri memohon maaf pada Fakri dan jihan..

“Naz… ada beza suami yang lembut,baik dengan suami yang terlalu ikutkan kata isteri” teguran Fakri membuatkan nazri malu. Adila benar – benar memalukannya!.

Adila memandu terus ke rumah Asmah. Kebetulan milia ada di situ untuk menggunting rambut Asmah yang semakin panjang. Milia mahu ianya lebih kemas. Pintu terus dtolak kasar. Terkejut Asmah dan Milia dibuatnya.

“kenapa nak hasut suami Dila bencikan Dila!!!!” jerit Adila. Asmah yang tak tahu apa – apa terus meluru mahu memeluk Adila tetapi tangan Adila lebih dahulu menahannya.

“Jangan peluk Adila dengan badan mak yang kotor. Mak dah pun berdosa sebab bagi Dila duit haram tu!!” jerit Adila. Asmah memegang dadanya. Terasa sakit di situ. Kata – kata itu bagaikan panah yang sedang menusuk jantungnya dan racun itu sedikit demi sedikit mula merebak ke seluruh ruang hatinya.

“Tak…tak!!!” Asmah menidakkannya.

“Apa ni Dila?” Milia cuba masuk campur,

“Dengar sini… mak jangan kacau Nazri dan kalau mak nak tahu kalau anak dibolehkan berdoa untuk kemusnahan ibunya… Dila adalah orang pertama berdoa!”

“Ya Allah.. Dila!” Asmah terduduk mendengarnya. Air mata sudah terlalu banyak mengalir. Milia sudah tidak tahan. Satu penampar hinggap ke pipi Adila. Dengan kemarahan yng membuak – buak Adila cuba menyerang Milia tetapi ditahan oleh Nazri yang baru tiba.

“Cukup!” tengking nazri. Adila membisu.

Milia menangis dan berdiri menghadap  Adila.

“Kau kata kau orang pertama yang akan mendoakan kemusnahan ibu kau?Solat ke kau? Kalau kau solat, hati ku takkan sehitam ini, Dila. Kau tahu apa yang ibu kau doakan kau setiap kali dia solat?..aku mendengarnya setiap hari sehingga boleh menghafalnya dengan baik Adila… kau dengar doa yang ibu kau pinta pada Allah setiap kali dan aku yakin setiap waktu…


“Ya Allah… kau ampunkan dosa ibu bapaku, dosa anakku Adila. Janganlah dihitung dosanya melalui setiap titis air mataku Ya Allah kerana air mata itu adalah air mata keredhaan bukannya air mata kekesalaan. Aku tidak salahkan dia Ya Allah. Bahagiakanlah hidupnya bersama Nazri dan kurniakanlah zuriat yang soleh buatnya. Ya Allah.,.,… dia adalah anakku dan aku maafkan setiap kesalahannya sehingga nafas aku yang terakhir. Pintaku buatmu Allah yang maha pengasih….. berikanlah sinar kebahagiaan buat anak lelakiku juga, Nazri. Aku anggap dia anakku kerana kasih sayangnya, ketulusannya dan keikhlasannya. Terima kasih ya Allah kerana menghantarkan cahaya itu buatku. Cahaya yang mampu mengurangi kerinduanku terhadap anakku”

“Tak guna berdoa kalau tubuhnya kotor menjadi pelacur “ air mata Adila mengalir deras. Asmah menangis dan semakin lemah di hujung kusyen.

Milia menentang mata Adila.

“Kau dengar sini… kalau ditakdirkan ibu aku seorang pelacur sekali pun aku tetap akan sayangkan dia! Melebihi diri aku sendiri!!!” tengking Milia.

Adila terus meluru keluar. Dia tidak mahu melembutkan hatinya yang masih  menempatkan ibunya di suatu tempat yang penuh dengan lumpur dan lumut.

“Ibu!..” Nazri memangku Asmah yang hampir terkulai lemah. Milia juga mendapatkan Asmah dengan tangisan yang belum reda.

Adila yang baru sahaja sampai ke keretanya terlupa akan beg tangan yang tertinggal di atas meja kopi Asmah. Dia berpatah balik. Dia tergamam apabila melihat Milia dan Nazri sedang memangku tubuh Asmah yang terkulai. Dia cuba bergerak ke hadapan untuk menyentuh ibunya tetapi tidak mampu. Kakinya seolah – olah dipaku sesuatu.

Dalam terketar – ketar Asmah bersuara dan cukup jelas didengar oleh Adila.

“Ibu pergi ke sana. Semua orang kampung nampak. Ibu tak ada wang nak beli makanan buat Adila tapi bila sampai sana ibu tak mampu… ibu terus pulang dan menangis dan rasa berdosa pada Allah. Demi Allah… selain ayah Adila tak ada siapa yang menyentuh ibu.”

Adila meraung tetapi dia masih tidak mampu bergerak.

“Ibu sayangkan Nazri. Milia… cahaya dalam doa ibu itu adalah….kamu”

Beberapa saat selepas itu Asmah terus terkulai tanpa nyawa. Milia meluru dan memeluk tubuh Asmah tetapi mengapa dia terus pengsan.

                                               *****************

Perlahan – lahan Adila membuka matanya. Anisa tersenyum memandangnya. Dengan wajah yang masih pucat, Adila terus meraung – raung memanggil ibunya tetapi cepat ditenangkn Anisa. Nazri masuk ke dalam wad dan duduk berhadapan dengan Adila.

“nak meraung apa?. Ibu dah pergi. Seminggu Dila tak sedarkan diri, lihat kuasa Allah… Dila tak mahu sentuh ibu bukan? Allah pengsankan Dila agar tidak dapat menyentuh ibu walau ketika matinya. Malah Dila dengar sendiri yang ibu kata Milia itu cahayanya. Betapa hancurnya hati ibu bila Dila kata ibu begitu. Allah dah kabulkan kata – kata Dila” Nazri menggeleng kepala.

“Hmmm…. Lagi satu, abang akan berkahwin dengan Milia. Terima kasih sebab cabar abang. Atas cabaran itu abang bertemu dengan perempuan yang menjadi cahaya pada ibu abang” Nazri terus keluar dari wad dan Anisa terpaksa memujuk Adila yang meraung – raung bagai orang gila di katil.

                                 ******************

Sudah seminggu Nazri dan Milia berbulan madu di Singapura. Adila terpaksa menerimanya walaupun hatinya sakit bagai ditusuk sembilu. Lebih – lebih lagi diakui bahawa Milia lebih pandai melayan nazri berbanding dirinya.

Pengesahan doktor pakar yang mengatakan dia tidak mampu untuk melahirkan zuriat membuatkan dia terpaksa redha malah menerima Milia dengan baik. Hanya Milia sahaja yang mamapu melahirkan zuriat buat Nazri. Lebih menyakitkan hati apabila Nazri berkata bahawa lebih baik Adila tidak mempunyai zuriat kerana bila besar akan menjadi seperti ibunya. Saat itu Adila menangis semahu – mahunya.

Dia duduk ditepi tingkap. Foto arwah Asmah dicium dan dipeluknya penuh rasa rindu. Air mata sentiasa mengalir setiap kali terkenangkan arwah ibunya. Dia melemparkan pandangannya jauh – jauh. Teringat memori silamnya waktu itu…

“Ibu…ibu,… kejarlah Dila!” Adila menjerit dari hujung rumahnya. Asmah yang sedang menyidai kain di ampaian terus meninggalkan kain di dalan baldi dan terus mengejar Adila sampai dapat.

“ibu kan tengah sidai kain… kenapa kejar Dila?” ketawa Adila sambil mengucup pipi Asmah.

“Sebab ibu tak mahu Dila sendirian. Ibu akan kejar Dila walau mana pun Dila pergi supaya Dila tahu kasih sayang ibu tak akan terpisah dan meninggalkan Dila” kali ini pii Dila digomol Asmah.


“Kenapa Dila suruh ibu kejar?” soal Asmah pula.

“Sebab Dila tak nak ke depan sendirian. Dila nak sentiasa bersama ibu sampai bila – bila dan Dila mahu ibu tahu Dila tak nak pisah dengan ibu. Ibu janji takkan tinggalkan Dila kan?” soal Dila lagi.


“Tak… ibu janji… kalau Dila jauh, ibu akan tunggu Dila di tepi jalan denagn bubur sum sum”

3 comments:

  1. penyesalan yg tidak bermakna lg....
    sayangi lah orgtuamu selagi hayat dikandung badan...
    cerpen SE yg meruntun hati....

    ReplyDelete
  2. ya ALLAH kak,tahniah, kerana mampu membuat weeda mengalirkan airmata :) best (Y)

    ReplyDelete
  3. terbaik r... cuma apa yg sy nk katakan kt cni.... walaupun ibunya sorg pelacur sekalipun,dia tetap seorang ibu dan syurga kita tetap dibawah tapak kakinya.. andai dia blm insaf adalah kewajiban kita menbimbingnya dan andai dia sudah insaf kita patut bersyukur kerana membukakan pintu hati.. bukan mencemuh atau menbenci dirinya... kerana dia juga punya hati...
    apapun tahniah untuk cerpen yg menyedarkan ini...

    ReplyDelete