Sunday 31 March 2013

CINTA AKU, KAU & KAMBING (CAKK)- BAB 2


BAB 2

Kandang kambing yang agak besar milik Izhar itu menjalankan penternakan secara sistematik. Izhar mahu menjadi penternak moden malah kandang kambingnya yang sentiasa bersih dan besar itu banyak kali di ambil menjadi contoh dan pernah juga keluar di dalam rancangan televisyen berbentuk majalah dokumentari di sebuah stesen penyiaran.  Waktu itu  tok penghulu sangat bangga akan kejayaan Izhar yang menggunakan tanahnya yang terbiar itu sebaik mungkin. tanah itu akan jadi milik Izhar juga suatu hari nanti. Hari ini Tok Penghulu sengih lagi. Wajah Izhar terpampang di suratkhabar. Tajuk Penternak muda berdaya saing itu dipandang lama oleh Tok penghulu.  Izhar sudah membanggakannya.

“Eleh... janganlah ayah nak bangga sangat! Bukan anak ayah pun” kata Hidayu apabila melihat haji Seman dok sibuk menghulurkan helaian akhbar itu kepadanya.

“Ishh... memang bukan anak .. tapi bakal anak menantu” jawab Haji Seman selamba. Terlepas sudu dari tangannya. Bihun yang selalunya lazat dan kena pada tekaknya itu tiba – tiba sahaja menjadi pahit. Tidak lalu untuk dijamah lagi.

“Ayah dengar Izhar sayang Dayu. Ramai orang cerita. Bangga pula ayah” Haji Seman mengintai wajah Hidayu.

Haji Seman menelan air liur saat Hidayu mengangkat wajahnya. Muka yang merah padam itu meyakinkan Haji Seman yang dia di dalam masalah sekarang. Hidayu menggosok wajahnya dengan kuat.

“Ayah tahu tak dayu tu siapa?” soal Hidayu.

“Anak ayahlah” sengih Haji Seman.

“Itu bukan anak ayah tapi dayu yang Izhar tu cintakan sangat tu, Dayu si kambing suka gigit plastik  barang. Ayah tahu tak?” Hidayu seperti mahu menangis. Bukannya haji Seman tidak tahu malah kelmarin sudah pun Hidayu ceritakan  segalanya.

“Yang marah ayah ni kenapa pula?”

“Ye la... Ayah nak Hidayu anak ayah yang vogue lagi menawan ni bermadu dengan kambing?”

Tersembur air kopi yang baru sahaja masuk ke dalam mulut Haji Seman. Mengucap panjang dia. Nasib baik isterinya tidak dengar, kalau tidak boleh datang balik migrain  Hajah Ani dibuatnya.

Hidayu berdiri dan mencapai beg silangnya. Dia menggeleng kepala.

“tahu pun!. Ayah nak tengok anak ayah ni menderita bila tengok laki anak ayah ni dok belai janggut si Dayu tu?. Jadi, tok sah lah ayah nak jodoh – jodohkan Dayu dengan dia. Dayu ulang sekali lagi. Dayu tak nak bermadu dengan kambing!!!” Hidayu terus pergi. Dia perlu segera ke kilang. Kalau lewat lagi, Abang Jali akan memarahinya tanpa belas kasihan.

Sampai – sampai sahaja dia di kilang, hidayu terus duduk di tempatnya. Dia perlu memeriksa alat – alat elektronik itu supaya dalam berkaadaan yang baik dan mampu berfungsi.

“Hidayu lambat lagi!” jerkah Abang Jali. Tercampak test pen ke lantai. Hidayu kelam kabut mengutipnya semula.

“Kau ni kan Dayu, nak jadi bos... datang kerja lambat.. belajar rajin – rajin. Bukannya dok main kombat dengan Si Pian ni kat kebun kelapa sawit!. Dah tak pandai tu tak apalah tapi rajinlah kerja” bebel Abang Jali. Janggut nya dibelai – belai. Serta  merta bayangan Dayu Si Kambing menerjah ke ruang fikirannya. Hidayu masih mampu berdiam diri. Beberapa orang pekerja warga Bangladesh menunjukkan wajah simpati mereka. Hidayu memang baik dengan semua orang. Kalau tidak, masakan pekerja – pekerja Bangladesh tu pun  pandai makan sambal belacan dan sambal tempoyak, kalau Hidayu tak ajar dan sogokkan makanan – makanan itu.

“Siapalah nak kahwin dengan kau tu. Tak boleh ke kau ikut kakak sepupu kau tu?. Si Laily tu. Pandai belajar, cantik, bekerjaya” masih membebel. Hidayu berdiri.

””Ish... ini dah melampau ni”.. marah Hidayu dan Pian menarik tangannya agar duduk semula.

“Saya tahulah Kak Laily tu cantik segala tapi tak payahlah nak terlolong sana – sini bukannya dia nakkan abang Jali yang dah terlajak tak boleh undur ni. Kertu dah bang... kalau jalan dengan Kak Laily tu dah macam itik serati jalan dengan Miss world tu ha.. tahu siapa itik serati tu?” soal Hidayu.

“Kau nak kata aku?”

Semua pekerja ketawa.

“Ha.. mengaku tak apa.. sedar diri rupanya” senyuman sinis mula membuatkan wajahnya nampak menjengkelkan pada pandangan mata Abang Jali.

 Bukannya boleh di layan sangat si Hidayu ni, buatnya dia naik angin, mahu terbang badan Abang Jali yang kurus melempeng itu .

“Dah.. buat kerja” kata Abang Jali dan terus pergi.

“Wei Rahman! Kau nak beli tempoyak tak? Mak Minah jiran aku jual RM5 sebekas” jerit Hidayu.

“Yang betul punya ka?” soal Rahman.

“Kau ni.. takkanlah ada tempoyak tak betul” jeling Hidayu.

“Ada... itu tempoyak juga ada campur pisang juga” kata Rahman.

“Tapi ini tempoyak juga tak campur pisang juga. Murah saja... kat Bangladesh tak jual punya. Kau tanya sama itu Abdullah?.” Balas Hidayu.

“Nanti panas badan jugalah, adik Hidayu” jawab Abdullah.

“Oh.. itu abang Abdullah makan itu kari banyak – banyak tak ada panas juga?” soal Hidayu. Pian menepuk dahi. Pening!

“Itu sikit saja adik Hidayu”

“Aisey... kedekut  betullah ini Abang Abdullah. Itu Abang Rahman juga hati banyak baik. Itu orang banyak susah tau. Itu laki sudah mati. Anak ramai juga..”

PELEPUK!

Kepala Hidayu di ketuk oleh Abang Jali. Semua terdiam. Abang Jali merenung tajam dan mula bersuara.

“Ini adik Dayu a.a.. ada banyak cakap juga! Itu tangan aaa.. tak boleh kasi jalan ka?. Itu mulut banyak bising macam itu keretapi pot pet sana sini. Ini kapla aa.. banyak sakit dengar ini suara”

Hidayu menjeling dan meneruskan kerjanya. Sesekali dia menjeling Abang Jali yang masih ada di sebelahnya. Tidak mahu berganjak.

“Abang Jali tak mahu beli tempoyak Mak Minah?” soal Hidayu perlahan. Takut – takut.

Abang Jali terus pergi begitu sahaja. Sakit hati dibuatnya.

“Itu itik banyak kedekut punya. Itu hidung ada banyak masin punya tahi hahahaha” gelak Hidayu.

“Ya Allah... bahasa kau  melampau betul. Si Rahman punya susunan ayat lagi bagus daripada kau tau. Kita tunjuklah bahasa yang betul, yang kau ikut cara diorang cakap kenapa?” marah Pian. Rambut yang baru di highlight itu di usik – usik.

“Diamlah!” marah Hidayu.

Kerjanya sudah selesai. Jam sudah pukul lima petang dan Haji Seman masih belum datang menjemputnya.

Pian sudah pun pulang dengan menaiki bas kilang.

Haji Seman tidak mahu Hidayu naik bas kilang lagi sejak peristiwa dia di usik budak – budak lelaki dikilang itu. Tiba – tiba kereta Exora berwarna putih menghampirinya. Izhar keluar. Mata Hidayu membulat. Dia sudah tidak tentu arah. Dibuat – buatnya mencari barang sana sini. Izhar senyum. dia terus duduk di sebelah Hidayu yang masih tidak duduk diam.

Hati....jangan menggelebah! Hati... jangan berdebar... nanti aku pitam!.. Hidayu memegang dadanya. Dia menarik naas. Aku kenalah jual mahal!.

“Haji Seman minta tolong ambil awak. Keretanya rosak. Katanya minyak habis. Masa tu dia tengah lalu di jalan dekat dengan kandang kambing saya” terang Izhar.

Minyak habis?... jalan dekat kandang?.. bukan rumah aku arah lain ke?.. wah!! Sayang ayah! Lebih maju selangkah nampaknya.. sengih Hidayu. Dia berdehem.

“Saya tak suka susahkan orang tapi kalau awak dah paksa saya ok”

“Saya tak paksa” jawab Izhar.

“Habis tu?” muka Hidayu mula lain macam.

“saya tak paksa, jadi awak tak perlu ikut. Nak saya panggikan teksi?” soal Izhar.

“Ishh.. mana ada teksi lalu kat sini” sebaik sahaja Hidayu menghabiskan ayatnya, sebuah teksi berhenti di hadapan mereka berdua. Teksi Uncle Ong. Hidayu membuat isyarat tangan agar Uncle Ong pergi tetapi Uncle Ong terus keluar dari keretanya.

“Haiya.. Dayu! Come Uncle hantar balik. Nanati Haji Seman susah hati’ ajak Uncle Ong.

Adeh... apa Uncle Ong ni.. tak nampak ke aku buat tangan macam tu?. Ingat aku kipas ke?. Izhar memandang Hidayu begitu juga dengan Uncle Ong.

“Saya naik dengan Izhar lah, Dayu tak ada duit” dalih Hidayu.

“Tak payahlah.. uncle Ong dengan Haji Seman kamcing punya kawan. Mari!” ajak Uncle Ong. Dayu berdiri. Serba salah. Hidayu menggaru – garu kepalnya. Wajah tenag Izhar itu membuatkan hati Hidayu sedikit kecewa.

“Uncle Ong, saya pergi dulu” permisi Izhar.

“Ehhh.. janganlah” tahan Hidayu. Uncle Ong dan Izhar memandang Hidayu serentak.

“Uncle... saya balik dengan Izhar. Uncle Ong boleh lah cari penumpang. Hari ni banyak ong punya. Macam nama Uncle” sengih Hidayu. Uncle Ong menarik tangan Hidayu merapatinya.

“Itu Izhar ke?” bisik Uncle Ong. Cepat – cepat Hidayu mengangguk. Tiba – tiba Uncle Ong gelak besar.

“Tak apa, Izhar bawa balik.. tiba – tiba uncle ingat sesuatu. Uncle mahu pergi ambil penumpang di Kedah” Uncle Ong terus pergi.

“Jauhnya! Sampai ke Kedah?” Izhar sedikit terkejut.

“Nak bagi tumpang tak?” soal Hidayu. Tiba – tiba hujan turun dengan lebat.

Wallaweiiii.. macam dalam filem Hindustan!!!!.. hati Hidayu bersorak gembira.

“Tunggu sini, saya ambil payung” kata Izhar. Hidayu tidak dapat menahan bibirnya daripada tersenyum. Izhar datang semula.

“Rapat sikit, nanti kena hujan” arah Izhar.

Owwhhhh..... mata Hidayu mula bersinar – sinar. Malu benar dia ketika itu. Dia memegang payung itu bersama. Izhar menoleh memandangnya yang sedang tersenyum malu.

Di dalam kereta, Hidayu mula tidak keruan. Izhar sangat tenang.  Melihatkan ketenangan lelaki itu membuatkan debaran Hidayu semakin kuat.

“kenapa?” tiba – tiba Izhar menyoal.

Apa aku nak jawab ni... idea...idea..

“Hmm.. lapar” jawab Hidayu.

“Nak pergi makan?” soal Izhar.

Takkan aku nak jawan ya?. Karang dikatanya aku ni pengikis tak pun dia kata aku ni nak mengurat dia. Ish....

“Tak apalah, boleh tahan lagi.” Jawab Hidayu. Izhar terus membelok keretanya ke sebuah restoran. Hidayu gembira.

“Dengan baju kilang ni?” soal Hidayu. Izhar menoleh.

“Setahu saya Dayu tak pernah pakai baju dan dia tak malu pun ke sana sini tak berbaju” jawab Izhar. Ceh..... boleh tak!!!!

“Awak ingat saya kambing?. Nak saya tak berbaju sana sini?” geram Hidayu.

“Kalau tunjuk, tengok sajalah” senyum Izhar dan terus keluar dari keretanya. Hidayu juga keluar. Dia jalan beriringan di samping Izhar. Duduk di hadapan restoran yang selalunya dikunjungi orang yang bercinta. Dengan samar lilin  begitu membuatkan mood Hidayu mula menjadi lain. Dia tersenyum manja. Izhar gelak kecil sambil membaca menu di tangannya.

Sementara menunggu hidangan mereka sampai, Izhar hanya lebih suka memandang gelagat Hidayu yang tidak tentu hala.

“Lesung pipit awak comel” puji Izhar.

Ha?... dia kata lesung pipit aku comellah...

“Mata awak besar dan galak” tambah Izhar

Aku dah nak pengsan dah ni.. haji Seman.. anakmu ini sedang menggigil ni...

“Tapi...” Izhar menyentuh dagunya.

Ini yang aku tak suka. Bila puji ada sahaja tapinya..

“Suara awak ni macam Pontianak kadang – kadang bila dengar. Macam menakutkan sahaja bila awak gelak “ jujur Izhar. Muka Hidayu bagai terbakar.. telinganya bagai sudah berasap.

“Tak takut Pontianak ke?” soal Hidayu.

Izhar gelak.....

Tak apa....ada hari aku boleh balas. Baru sahaja nak cintan cintun tapi kau dah buat hati aku sakit. Suara macam Pontianak ye....

                                    *******************

Pian terpaksa bersubahat. Walaupun tanpa rela tetapi demi sahabat baiknya, Pian sanggup lakukan apa sahaja. Hidayu mahu menakutkan Izhar yang menyakitkan hatinya kelmarin. Suara macam Pontianak ya....

Mereka bedua menunggu di dalam semak. Sebaik sahaja melihat Izhar turun dari tangga surau, Pian cepat – cepat menyuruh Hidayu ke pokok besar di simpang jalan.

"Cepat Dayu" bisik Pian sambil mengangkat kain pelekat hingga ke paras lutut. Hidayu kelam kelibut. dia hilang arah.

Izhar semakin hampir dengan mereka.

"Aku tak sempat pakai telekung ni!. bedak sejuk pun tak sempat pakai!!!!" Hidayu terlompat - lompat. Pian terus menyambar kain telekung milik Hidayu dan terus disarungnya ke kepala. Bedak sejuk sahaja yang belum ditepek ke muka.

"Cepatlah Dayu.. nanti dia kenal aku!!" tergopoh gapah mereka dibuatnya. Hidayu memerhati ke kiri dan ke kanan. matanya kecil besar. Dia senyum. Diambilnya botol yang beirisi air di tepi pokok itu dan ditaruhnya ke tangan Pian.

“Woi apasal bau lain macam ni?’ soal Pian.

“Pakai sajalah!” arah Hidayu. Pian terus memanjat pokok. Sebaik sahaja Izhar menghampiri mereka berdua, Pian terus mengilai sambil bergoyang – goyang di atas pokok.

Izhar mengamatinya betul – betul. Matanya terbeliak.

“Tolongggg!!!! Pontianak pondan!!!!” jerit Izhar dan lari bagai lipas kudung.
Ketawa berdekah – dekah mereka berdua.

“Wei, apasal air tu bau hancing?” soal Pian.

“Aku ambil kat bawah pokok tu” sengih Hidayu.

“Itu air kencing akulah!!!” jerit Pian.

“Ha?”

“Mak aku tak kasi aku kencing merata. Takut tersampuk, itu yang aku bawa botol tu” terang Pian. Kali ini Hidayu pula yang lari lintang pukang. Bukan kerana takut tetapi kerana mahu menyental tangannya sekuat yang boleh...

Pian.. kau gila!

4 comments:

  1. Main kombat tu ayat yg akak rasa kelakar sgt.. Dah lama tak dengar.. Dulu akak selalu main kombat dgn anak jiran kat kebun pisang dekat rumah. Sampai bertelur kat dahi sb ganas sgt.. Serupa jantan tak sedar diri masa tu.. Dgn rambut pendek n baju budak lelaki.. Nostalgic toi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahahah.. tak sangka akak dulu ganas sbb sekarang tengok dressing tak macam bekas tomboi... vouge!
      main kat kebun pisang hehehe... mesti kena berleter cam machine gun sbb macam lelaki kan kan kan
      terima kasih kak sudi komen
      <3 u lah!

      Delete
  2. Tq kak...lama sungguh menanti...gaya hidayu ingatkan saya pada Putih...

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq ina hashim..
      ala... ye ke macam Putih? ades..
      minta maaf ya..
      nanti akak akn tukar sedikit personalitinya ya?

      Delete