Tuesday 28 October 2014

~CERPEN~ TANPA TAJUK

TANPA TAJUK

Pandangan Izzaty semakin kabur. Air matanya menitis laju melalui pipinya yang sudah merah kerana terlalu banyak menangis. Buat seketika dia menoleh ke arah  Laila, ibu mertuanya. Esakan Puan Laila membuatkan seluruh wad diselubungi rasa duka yang bertambah-tambah. Tirai hijau dibuka oleh jururawat dan doktor wanita yang baru sahaja selesai memeriksa keadaan Firman sempat memandang akan Izzaty yang mengetap bibirnya.
“Saya tak mampu menjanjikan apa-apa. Rasanya kita sebagai orang islam perlu reda dengan apa sahaja yang ditentukan Illahi. Tiada apa lagi yang pihak hospital mampu lakukan. Kami akan beri ubat dan Encik Firman boleh dibawa pulang esok.” Doktor menepuk bahu Laila dan memandang Talha yang tunduk menekur lantai hospital. Izzaty tidak dapat menahan sebak dan rasa sedihnya lagi lalu dia menghampiri tubuh suaminya yang sedang terbaring lemah. Dahi Firman dikucup agak lama. Puan laila menarik tangan Talha, suaminya agar meninggalkan Izzaty berdua bersama Firman.
“Abang dah beritahu kan. Mungkin sudah tiba masanya untuk abang pergi, sayang.” Pipi Izzaty yang merah disentuh. Sesekali Firman menekup mulutnya menahan batuk.
“Izzaty kesal kahwin dengan abang?”
Izzaty menggeleng laju. Tidak! Tidak sesekali dia menyesal biarpun cuma seketika dia mampu mengecap bahagia di dalam pelukan suaminya. Walaupun cuma setahun, kenangan indah itu akan dia simpan di dalam memorinya buat sepanjang hidupnya kelak.
“Izzaty bahagia.” Jawapan Izzaty membuatkan Firman tidak mampu menyekat air matanya.
“Masih sempatkah untuk membahagiakan Zaty buat kali terakhir?” Soalan yang begitu mencengkam nalurinya sebagai seorang isteri membuatkan Izzaty terus meluru keluar dari wad itu dan terus ke tandas, Laila menggenggam tangan suaminya dan mengajaknya masuk ke dalam wad untuk bertemu dengan anak sulung mereka.
“Kenapa bila kanser tu dah merebak teruk baru Fir beritahu mama?” Kepala Firman diusap dan dahinya dikucup dengan penuh kasih sayang.
“Jagakan Zaty buat Fir ya, mama.” Mata Firman berkaca. Genggaman tangannya membuatkan Laila  semakin longlai. Dia bakal kehilangan seorang insan yang sering membahagiakannya.
“Jika dia punya lelaki yang mampu menjaganya dengan baik, mama janganlah halang kebahagiaannya.”
Laila terpaksa mengangguk setuju. Apa sahaja buat anak kesayangannya.

PANTAI yang indah itu diperhatikan agak lama oleh Firman. Izzaty memeluknya dari belakang. Biar sesedih mana pun dia, tekad dan julat hatinya untuk melihat Firman bahagia sebelum dia menutup mata buat selama-lamanya. Kepala Firman dikucup dan kepala Firman diusap. Menitis air mata Izzaty saat hampir segenggam rambut Firman berada di dalam genggamannya. Izzaty mendongak ke atas. Tidak mahu Firman nampak akan segala apa yang meluluhkan hatinya.
“Rambut abang gugur lagi ya?” Soal Firman. Izzaty tidak mampu menjawab tatkala hatinya sedang sebak sebegitu. Pasti Firman dapat menekanya daripada getaran suara yang menangisi rasa sengsara suaminya. Izzaty mahu berlalu tetapi tangannya ditarik lembut oleh Firman. Perlahan-lahan tubuh Izzaty menghampiri suaminya. Air mata Izzaty dikesat oleh jemarinya yang pucat.
“Sayang... jangan macam ni,” pujuk Firman.
“Tersenyumlah semanis yang boleh demi suamimu ini. Itu pinta abang. Jangan mengalirkan air mata ini untuk mengiringi sisa-sisa waktu yang hanya tinggal sejengkal.”
Izzaty memeluk suaminya. Digenggam leher baju Firman sekuat yang mampu. Hatinya tak mampu untuk menanggung rasa sakit itu lagi. Sakit kerana terlalu pedih untuk menerima kenyataan suaminya akan pergi meninggalkannya.
“Tahu tak kenapa abang beli villa yang menghadap pantai sepeti ini?” Firman membelai rambut Izzaty yang bersandar ke bahunya.
“Sebab abang nak Zaty ingat abang sentiasa. Ingat cinta kita bermula di sini. Zaty ingat lagi tak saat abang mengurat Zaty di sini dulu?” senyum  Firman. Izzaty angguk. Jika bisa... akan Zaty pergi dari situ. pergi daripada Firman agar dia tidak dapat mendnegar esak tangisnya lagi.
“Hei... janganlah menangis”
“Mana mungkin Zaty tak menangis . Zaty akan hilang abang!”
“Zaty tak hilang abang. Abang cuma tidur dalam tempoh yang agak lama. Suatu hari nanti kita akan berjumpa juga. Zaty isteri yang baik. Abang tahu di mana perlu abang cari Zaty... di syurga.”
“Abang...”
Firman senyum dan perlahan-lahan bangun menuju ke katilnya. Kanser tulang membuatkan pinggangnya tidak begitu kuat untuk duduk lama. Dia tidak mahu duduk di atas kerusi roda. Biarlah rasa sakit sedikit asalkan dia dapat menggunakan kedua belah kakinya.

IZZATY  baring di ribaan Firman yang tersenyum saat melihat Izzaty membaca puisi yang ditulisnya buat wanita itu.
“Mana tajuknya?” soal Izzaty.
“Hmm... iya juga, puisi tak sempurna tanpa tajuk ya?” Firman gelak kecil.
“Zaty berikanlah tajuk. Biar sempurna.” Suruh Firman. Izzaty meletak buku itu ditepi dan terus memeluk suaminya. Dia mengusap kepala Firman hinggakan lelaki itu terlena. Baru sahaja Izzaty mahu bangun Firman memanggilnya dengan lembut.
“Abang tak tidur? Tadi macam dah tidur.” Izzaty menghampiri Firman semula.
“Abang cintakan Izzaty sampai bila-bila tapi abang nak Izzaty tahu yang abang takkan berikan syarat untuk sayang terus setia dengan abang. Jika ada lelaki yang lebih baik. Terimalah dia untuk terus menyayangimu, sayang. Zaty perlukan kasih sayang. Zaty perlukan lelaki.”
Zaty tidak mampu bersetuju.
“Cukuplah untuk abang tahu yang Zaty cuma ingin melihat abang ketika di akhirat nanti sebagai satu-satunya suami Zaty.”
Firman memejamkan matanya sebentar.
“Abang cintakan Zaty. Sangat cintakan Zaty dan anak dalam kandungan ini,” Firman mengucup perut Zaty yang masih belum ketara besarnya. Izzaty memeluk Firman.
“Zaty sangat cantik...” Firman senyum dan terus memejam matanya.

“ABANG!!!!” Izzaty menggoncang perlahan tubuh Firman. Mata suaminya sudah tertutup rapat dengan tangan yang sudah siap dikiamkan dengan sendirinya. Terjelepok Izzaty di lantai. Dia mengesat air matanya dan terus menelefon seluruh ahli keluarga,
Izzaty mengucup dahi Firman dengan penuh kasih sayang.
“Zaty juga cintakan abang. Nantikan Zaty di sana dan Zaty yakin Zaty yang akan mencari abang dipintu syurga kerana abang adalah suami yang hebat buat isteri tidak sesempurna Zaty. Selamat tinggal sayangku. Akan Zaty kirimkan rasa cinta Zaty melalui A- Fatihah buatmu setiap hari.” Zaty memeluk tubuh Firman. Dia menarik nafas dalam-dalam.Tidak mahu terus meratap pilu.

DUA BULAN SELEPAS ITU..
“Ini puisi terakhir Encik Firman Malique sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir” Izzaty menyerahkan puisi yang ditulis oleh Firman kepada pelajar-pelajar suaminya. Mereka membuka buku itu dan terus memandang Izzaty.
“Encik Firman pernah suruh kami terbitkan puisi ni bersama puisi-puisi yang lain tapi puan, puisi ni tak punya tajuk,” kata salah seorang pelajar Firman.  Izzaty senyum dan terus bangun daripada pejabat Firman. Dia sempat menoleh kebelakang sebelum terus pergi.
“Itu adalah puisi tanpa tajuk. Sesebuah puisi takkan sempurna tanpa tajuk bukan? Puisi itu ditulis untuk saya. Saya tidak sempurna tanpa dia... maka biarlah puisi cinta kami tanpa tajuk sebegitu... kerana itu adalah kami. Sempurna dan kurang dalam cara kami yang tersendiri,” ujar Izzaty sebelum pergi. Perlahan-lahan pelajar itu menulis di atas puisi itu dengan perkataan ‘TANPA TAJUK’

Aku akan sentiasa mencintaimu sayang...

Biarpun tanpa kau di sisi tetapi aku tetap merasa akan cintamu di setiap langkahku. Cinta kita akan ku simpan buat selamanya. Takkan ada lelaki yang mampu menyentuh hatiku sepertimu. Akan ku ceritakan pada anak kita betapa hebatnya seorang lelaki bernama FIRMAN MALIQUE... 

No comments:

Post a Comment