Showing posts with label NOVEL. Show all posts
Showing posts with label NOVEL. Show all posts

Saturday, 1 December 2012

DIA WANITA EDISI TERHAD(DWET) bab 7


                                                       BAB 7


Tan Sri Zainal dan Puan Sri Zaleha menaiki kereta iswara milik mereka ke kampung. Kereta itu dibeli untuk ke pasar atau pulang ke kampung. Puan Sri Zaleha memang tidak mahu membawa kereta mewah mereka ke kampung. Sikap merendah diri itu ternyata menjadi ikutan Iqram.  Belum sempat sampai ke rumah Maklong Jihan, tiba – tiba kereta mereka terberhenti.Tan Sri Zainal cuba memeriksa enjin tetapi apalah yang dia tahu. Puan Sri Zaleha keluar dari kereta. matanya tertumpu ke arah kebun cili dan sayur milik Jasmin.

“Kita tanya orang sanalah. Mana tahu ada orang boleh baiki kereta ni” cadang Puan Sri Zaleh. Tan Sri Zanal mengikut sahaja. Jasmin yang baru lepas membersihkan kebunnya agak terperanjat melihat ibubapa Iqram datang ke arahnya. Jasmin menghampiri.

“Assalamualaikum pakcik, makcik!” senyum Jasmin. Puan Sri Zaleha menyambut salam Jasmin.

“Kereta kami rosak. Tak tahu nak cari bengkel di mana” cerita Tan Sri Zainal. Sudah agak lama mereka tidak pulang. Keadaan memang banyak berubah.

“Ooo... tak mengapa. Nanti saya telefon abang Samad. Dia mekanik di sini. Sementara tu pakcik dan makcik duduk dulu di pondok ni ya. Maaflah, kotor sedikit. Nanti saya lapik dengan suratkhabar” kata Jasmin.

“Eh, tak payah. Bukan kotor pun” mereka berdua terus duduk bersebelahan. Jasmin menelefon Samad. Lebih kurang 15 minit Samad tiba dengan peralatannya.Tan Sri Zainal seolah – olah seronok melihat kebun cili Jasmin yang subur. Sayur – sayuran lain pun tumbuh subur.

“Saya ada buat ubi rebus dengan sambal tumis ikan bilis. Makcik dan pakcik makan tak?” soal Jasmin.

“Eh... makanlah! Dah lama tak makan” jawab Puan Sri Zaleha.dan Tan Sri Zainal turut gembira mendengarnya. Jasmin membuka bekalnya.

“Makanlah pakcik, makcik. Jangan risau, saya belum sentuh pun. Tapi minum dengan air masak sajalah”  Jasmin melayan mereka dengan ramah. Tan Sri Zainal duduk bersila. Nampak berselera mereka menjamah masakan Jasmin. Pelik juga Jasmin. Macam sedap sangat saja masakan dia .

“Pandai anak masak” puji Tan Sri Zainal. Jasmin senyum

“Kalau kau hidup zaman pakcik, dah lama pakcik pinang..” seloroh Tan Sri Zainal.

“Amboi.. gatal!” jeling Puan Sri Zaleha. Jasmin mula perasan satu perkara. Jelingan Puan Sri Zaleha sama dengan jelingan Iqram.

“Kebetulan...” kata Jasmin sendiri. Dia yang masih belum mengetahui siapa mereka berdua tetap melayannya dengan penuh rasa hormat.

“Ni siapa punya kebun?. Anak punya atau tauke  punya?” soal Tan Sri Zainal. Sambal tumis ikan bilis itu di cicah dengan jarinya saja sebelum dimasukkan ke dalam mulut.

“Ala... saya punya pakcik. Kebun kecil saja” jawab Jasmin.

“Tak apa.. pakcik juga suka berkebun tapi selalunya tanam bunga saja yang menjadi. Tanam sayur semuanya kurang menjadi” terang Tan Sri Zainal. Samad yang sudah pun menghabiskan kerja – kerjanya menghampiri mereka semua. Selepas bersalaman dan mengucap terima kasih yang tidak terhingga mereka meneruskan perjalanan. Puan Sri Zaleha tersenyum sendiri.

“Kenapa pula?. Tak sabar nak carikan isteri baru untuk saya ke?. Janda banyak kat kampung ni” usik Tan Sri Zainal. Puan Sri Zaleha menjeing tajam.

“Kalaulah wanita edisi terhad Iqram sebaik budak tadi... baguskan?” soal Puan Sri Zaleha.

“Nak ke Iqram perempuan begitu?. Dulu, kekasih dia Si Melissa tu pun sikit punya bergaya!” ujar Tan Sri Zainal pula.

“Sebab itulah tak kekal!” cebik Puan Sri Zaleha. Tan Sri Zainal ketawa berdekah – dekah. Teringatkan peristiwa Iqram yang putus cinta sebelum terbang ke luar negara. Kekasihnya itu cemburu mengalahkan isterinya sendiri. Cemburunya hingga ke tahap mengintip sampai ke rumah!.

Menjerit gembira Maklong Jihan bila mendengar enjin kereta Tan Sri Zainal tiba di rumahnya. dikejarnya dan dipeluknya badan adiknya yang sentiasa ramping walaupun sudah berusia.

“Mari masuk!. Aku masak nasi dah ni” pelawa Maklong Jihan.

“Nanti dululah Kak Long. Tadi dah kenyang makan ubi rebus dengan sambal tumis ikan bilis. Sedap budak tu masak. Lupa pula Angah nak tanya namanya. Ala.. tuan punya kebun cili” terang Puan Sri Zaleha.

“Oooo... tu Jasmin. Dia kawan dengan Iqram juga. Memang sedap budak tu masak” puji Maklong Jihan.

“Edisi terhad?” sengih Tan Sri Zainal.

“Entahlah.. terhad ke tidak tapi dia rapat dengan dua orang perempuan sekarang” terang Maklong Jihan. Air kelapa muda ais dihidangkan. Tan Sri Zainal meneguknya laju.

“Sampai dua?” sengih Puan Sri Zaleha. Mereka bertiga ketawa. Iqram tidak tahu kedua ibubapanya datang melawatnya hari ini. Tan Sri Zainal baring di pangkin luar. Seronok benar dia ketika berada di kampung.

Hari sudah petang. Iqram singgah di kedai Abang Abu sebelum pulang ke rumah. Maklong Jihan menelefonnya agar membeli 10 kilo beras dan beberapa kilo ikan keli. Abang Abu menegurnya ramah.

“Maklong kau nak buat kenduri ke?. Semalam baru ambil 10 kilo beras” soal Abang Abu.

“Tak tahulah bang. Saya beli saja.” Jawab Iqram. Kebetulan Cikgu Zue datang ke kedai Abang Abu.

“Ha.. jumpa pun Iq di sini. Ini ada dokumen nak dihantar ke rumah Paklong Jai” senyum Cikgu Zue. Abang Abu mengeluh. Dia bukannya suka sangat dengan Cikgu Zue yang pernah menolak pinangan adiknya dengan kasar sekali. Tidak perlu diungkit tentang kerja adiknya yang hanya bekerja kampung sahaja. Waktu itu Cikgu Zue baru saja mula mengajar di sekolah yang berdekatan dengan kampung mereka.

“Tak apalah, ikut saya saja. Nanti saya hantar awak balik. Lagipun mesti ada yang awak nak terangkan” pelawa Iqram. Cikgu Zue tersenyum dan terus mengikut Iqram masuk ke dalam kereta.

“Kalau setakat datang kedai aku nak mengurat si Iqram, baik tak payah datang, Menyampah!!” meluat betul Abang Abu melihat cara Cikgu Zue menarik perhatian Iqram.

Cikgu Zue dan Iqram keluar dari kereta. Iqram sudah tersenyum lebar apabila melihat kereta ayahnya di hadapan rumah. Iqram mengajak Cikgu Zue naik.

“Ada orang ke?” soal Cikgu Zue.

“Mama dan ayah saya” senyum Iqram. Cepat – cepat Cikgu Zue memperbetulkan rambut dan baju kurungnya. Dia mesti kelihatan cantik di hadapan ibubapa Iqram. Selepas memberi salam Cikgu Zue dan Iqram mendapatkan Tan sri Zainal dan Puan Sri Zaleha yang sedang menyicah pelam muda dengan kicap yang dicamur gula dan cili. Berkerut – kerut muka Tan Sri Zainal menahan masam di lidahnya.

“Apa khabar makcik” sapa Cikgu Zue tanpa mengetahui status kedua orang tua Iqram yang sebenarnya. Puan Sri Zaleha senyum. dia tidak pasti sama ada wanita muda di hadapannya itu adalah calon menantunya atau pun tidak. Tan Sri Zainal mengangkat kening berkali – kali apabila Iqram memandangnya.

“Hmm... siapalah ayah ni.. itu pun tak nak mengaku” usik Tan Sri Zainal. Cikgu Zue yang dapat menangkap maksud usikan ayah Iqram itu tersenyum malu. Iqram malas mahu memberi sebarang jawapan. Nanti meleret – leret pula.

“Iqram cuti hujung minggu depan. Ikutlah dia balik ke rumah kami. Boleh kami bawa Zue jalan – jalan di KL. Maksu Zila banyak cerita tentang Zue dan Iqram. Katanya kamu berdua sangat rapat” ujar Puan Sri Zaleha. Maklong Jihan mencebik. Pandai – pandai sahaja Maksu Zila mereka cerita. Memang Iqram agak rapat tetapi tidaklah serapat Jasmin. Menyampah pula melihat Cikgu Zue yang sedari tadi asyik tersenyum malu. Malulah sangat!!!!!...geram maklong Jihan. Cikgu Zue seperti biasa... tunjuk ayu!.

                                          ***********************

Sudah dua hari Jasmin tidak melihat kelibat Iqram. Hatinya menjadi rindu. Mahu ke klinik...malulah pula!. Jasmin duduk sambil menghirup air sirap yang di bawa oleh Kak Lijah. Selepas mengemas semua keperluan ke dalam pondoknya, Jasmin terus berjalan kaki untuk pulang ke rumah. Dia menoleh ke belakang apabila terdengar bunyi hon kereta. Iqram memberhentikan keretanya. Jasmin mengintai. Kereta Iqram penuh.

“Nak ke mana?” soal Jasmin. Mukanya berubah apabila terlihat Cikgu Zue yang tersenyum bangga memandangnya. Puan Sri Zaleha turut sama mengintai.

“Eh.. itu budak yang beri kita makan di kebun dialah, abang” Puan Sri Zaleha menepuk bahu Tan Sri zainal. Dengan segera Puan Sri Zaleha keluar bersalaman dengan Jasmin. Terkejut Jasmin apabila mengetahui bahawa Puan Sri Zaleha dan Tan Sri Zainal adalah ibubapa Iqram.

“Makcik ibu Iqram rupanya” senyum Jasmin.

“Kami nak pergi makan. Zue nak belanja kami. Marilah ikut sekali” pelawa Puan Sri Zaleha. Jasmin mengelak.

“Tak mengapalah makcik. Makcik pergi sahaja dengan mereka. Kalau ada waktu kita jumpa lagi ya” dalih Jasmin. Puan Sri Zaleha bersalaman sekali lagi sebelum masuk ke dalam kereta. sejurus sahaja kereta Iqram jauh dari pandangan matanya, Jasmin menjerit semahu – mahunya. Bukannya ada orang lain di situ. Jasmin tiba – tiba terdiam. Termenung buat seketika.

“Kenapa aku marah?.... cemburu?... ahhh... bukan kacak sangat pun Si Iqram tu” cebik Jasmin.

“Tapi memang kacak pun. Boleh pula dia buat macam tak bersalah keluar dengan Cikgu Zue tu!... tapi memang tak bersalah. Ishh aku ni, dah macam Siti Tanjung Perak pula... jahat semacam!” Jasmin menampar pipinya berkali – kali. Apapun, dia tidak dapat menafikan yang dia memang sudah jantu cinta!!!!!.
Maklong Jihan datang ke rumah Jasmin. Ibu Jasmin keluar mendapatkan Maklong Jihan.

“Aku nak jumpa Min sekejap” kata maklong Jihan.

“Dia tengah masak Kak Jihan. Nanti saya suruh dia pergi rumah akak sajalah” Makcik Khadija mula berdalih. Geram pula Maklong Jihan dibuatnya.

“Haii... dahlah semua kerja dia buat. Takkanlah masak pun kau suruh dia. Padanlah dia lebih pandai masak daripada kamu” perli maklong Jihan. Makcik Kahdija menjeling tajam. Dia memang tidak sukakan maklong Jihan yang sememangnya agak lepas percakapannya. Beberapa minit kemudian Jasmin keluar.

“Kenapa Maklong?” soal Jasmin. Mereka berdua duduk di kerusi lama di bawah pokok cermai. Jasmin tahu Maklong Jihan tentu ada hajat besar.

“Kamu tak nak ikut Iqram balik ke KL hari Jumaat ni?. Iqram ada cakap dengan aku dia nak ajak kamu tapi tiba – tiba Si Zue tu sibuk nak ikut. Katanya kawan ketika belajar dulu nak kahwin juga. Dia suruh Iqram temankan. Iqram cuba telefon kamu malam tadi tapi tak berangkat” terang Maklong Jihan.

“Rasanya ibu tak bagi kot. Siapa nak jaga ayah?.. Ibu bukan mahu jaga ayah. Suap ayah pun tak mahu” Jasmin duduk termenung.

“Kamu kena pergi. Adik aku tu sibuk nak jodohkan mereka berdua. Min, Maklong tahu kamu sukakan Iq. Maklong suka jika kamulah bakal isteri Iq. Bukan Maklong kata Cikgu Zue tu tak bagus tapi kamu lebih mampu membahagiakan anak buah kesayangan aku tu. Pasal lain kamu jangan risau, aku buat pakatan dengan Yaya . Kamu ada apa – apa urusan tak di KL tu. Tak kiralah dengan Zana atau siapa – siapa?” soal Maklong Jihan panjang lebar. Jasmin termenung.

“Memanglah Zana ada buat baju dengan Min. Baju penuh dengan manik dan labuci. Katanya nak pakai masa dinner tempat kerja dia tu. Maklong tahukan dia baru dapat kerja?”

Maklong Jihan mengangguk.

“Zana memang sukakan baju tu... nak Min bagi alasan itu ke?” soal Jasmin. Maklong Jihan mengangguk berkali – kali. Jasmin termenung lagi. Maklong Jihan pulang dengan harapan supaya Jasmin dapat mencari alasan yang sesuai supaya dapat mengikut Iqram ke Kuala Lumpur.

Setelah berbincang dengan Yaya akhirnya Jasmin berani mengutarakan hasratnya di hadapan Makcik Khadija.

“Nak buat apa ke KL tu? Ikut doktor tu nak buat apa?.” Marah Makcik Khadija. Gelang tangan yang baru dibelinya itu di susun kemas di dalam peti simpanan.

“Ala ibu.. ingat tak Kak Zana kata baju dia mahal sangat. Dia kan sibuk. Lagipun bagus jika Kak Min hantar sendiri. Nanti terjaminlah baju Kak Zana tu. Nanti ibu masaklah masakan kegemaran Kak Zana, serunding daging tu. Kak Min boleh hantarkan. Bukankah Kak Zana selalu minta mak buatkan serunding tu. Kasihan Kak Zana. Lagipun Kak Min nak cari gelang yang cantik di KL tu untuk ibu” Yaya cuba membantu. Mata Jasmin terbeliak. Bila masa pula aku nak belikan ibu gelang???....

Setelah lama berfikir akhirnya Makcik Khadija bersetuju. Yayalah orang yang paling gembira. Pakcik Yasin juga begitu. Dia tahu mengenai Iqram melalui Yaya. Jika Jasmin ke kebun, Yaya banyak berbual dengan ayahnya. Hinggakan  Jasmin sering menyebut nama Iqram ketika tidur pun diberitahunya.

“Pergilah Min... sudah tiba masanya untuk Min mencari bahagia Min sendiri. Jangan bimbang tentang ayah sebab anak ayah yang satu lagi ni serupa macam Min.. sangat sayangkan ayah” Pakcik Yasin menggosok kepala Yaya. Jasmin memeluk Pakcik Yasin. Begitu juga dengan Yaya.

                        ************************************


Semua berkumpul di rumah Maklong Jihan. Maksu Zila juga pergi sama. Walaupun di tegah suaminya, Maksu Zila tetap berdegil. Cikgu Zue yang sedang memasukkan begnya ke dalam bonet kereta sedikit terkejut apabila melihat Yaya menghantar Jasmin. Iqram senyum lebar. Dibantunya Jasmin membawa beg pakaian masuk ke dalam kereta.

“Jaga Kak Min baik – baik ya abang Iq” pesan Yaya. Iqram mengangguk sambil tersenyum.

“Awak jangan jual saya tau” gurau Jasmin.

“Laku ke?” usik Iqram pula. Jasmin menampar lembut pipi Iqram. Maksu Zila berdehem. Dijelingnya Jasmin yang dianggap sebagai pengacau dalam usahanya menyatukan Iqram dengan Cikgu Zue.

“Jalan baik – baik. Kamu tu Zila, jangan nak buat aniaya orang pula. Jangan pula kamu nak buat apa – apa dengan Jasmin. Aku tahu kamu buat sesuatu, aku ambil balik tanah aku tu” ugut Maklong Jihan. Iqram tergamam. Sampai begitu sekali sayangnya Maklong Jihan terhadap Jasmin. Maksu Zila merempan. Terus masuk ke dalam kereta.

“Min.. duduk depan dengan saya” pinta Iqram. Yaya dan Maklong Jihan mencuit pinggang antara satu sama lain.

“Apa pula.. biarlah Zue yang duduk depan” bantah Maksu Zila.

“Kamu diam aku kata!... nanti kereta yang aku belikan tu pula aku ambil balik. Dah lah belum bayar habis lagi” ugut Maklong Jihan lagi. Iqram ketawa. Jasmin mahu turun dari kereta tetapi tangannya ditarik oleh Iqram.

“Kalau awak ada di depan saya takkan mengantuk” Iqram mengenyit mata.


“Macamlah jauh sangat!” cebik Jasmin. Wajah Cikgu Zue masam mencuka. Maksu Zila mengurut belakang badan Cikgu Zue. Dia tahu Cikgu Zue sakit hati apabila melihat Iqram dan Jasmin ketawa mesra berdua sedangkan dia di belakang terpaksa mendengar tawa mesra yang menyakitkan telinga.

Selepas beberapa jam perjalanan akhirnya mereka sampai ke rumah Tan Sri Zainal yang tersergam indah. Jasmin dan Cikgu Zue masing – masing terpegun sebentar. Dia tidak menyangka yang Iqram sekaya ini. Jasmin turun agak lambat. Maksu Zila bersuara.

“Cepatlah... kamu ingat kamu tu siapa nak kami tunggu?” agak tinggi suaraa Maksu Zila. Iqram memandang Maksu Zila. Dia tidak suka dengan cara Maksu Zila melayan Jasmin. Puan Sri Zaleha dan Tan Sri Zainal menjengah di muka pintu.

“Alamak bang, sampai dua dibawanya. Mana satu yang jadi bakal menantu kita ni” bisik Puan Sri Zaleha.

“Apa susah.. yang tak dipilih Iqram, abang ambil jadi.... adoiiii” Tan Sri Zainal mengerang kesakitan akibat dicubit isterinya. Maksu Zila memeluk Puan Sri Zaleha. Jasmin dan Cikgu Zue bersalaman dengan kedua orang tua Iqram. Mereka semua duduk di ruang tamu untuk menghilangkan lelah. Kak Kasma, pembantu rumah Puan Sri Zaleha datang membawa minuman dan kuih muih. Jasmin bangun dan bersalaman dengan Kas Kasma.

“Itu orang gaji” sindir Maksu Zila.

“Saya tahu. Tak salah salam kakak ni kan?” kata Jasmin selamba. Kak Kasma senyum memandang Puan Sri Zaleha yang turut sama memandangnya.

“Tak mengapa. Masuklah mana – mana bilik di atas. Ada banyak bilik. Pilih seorang satu” kata – kata Puan Sri Zaleha itu membuatkan Jasmin sedikit cuak. Dia tahu dia tidak boleh tidur bersama Cikgu Zue ataupun Maksu Zila. Dia akan hangus digoreng dengan leteran Maksu Zila. Cikgu Zue dan Jasmin menghantar cawan di dapur walaupun ditegah oleh Kak Kasma dan Puan Sri Zaleha. Apabila Cikgu Zue naik ke atas, Jasmin terus mendapatkan Kak Kasma.

“Kak.. saya takut tidur seorang. Boleh tak saya tumpang bilik akak. Pagi – pagi saya akan kemas bilik akak. Saya janji tak menyusahkan akak”kata Jasmin bersungguh – sungguh.

“Kau takut tidur seorang diri ya...” Kak Kasma mengusik. Jasmin mengangguk. Memang dia takut tidur seorang diri.

“Ok.. bawa beg masuk. Akak pun ada kawan gak” senyum Kak Kasma. Jasmin senyum dan menggosok tangan Kak Kasma beberapa kali tanda terima kasih. Dia terus mengikut Kak Kasma masuk ke dalam biliknya. Iqram yang baru sahaja turun tangga, agak pelik melihat Jasmin yang sedang masuk ke dalam bilik Kak Kasma. Iqram menegur mereka berdua.

“Min.. itu bilik Kak Kasmalah. Naik ke atas. Mama dah kemaskan bilik awak”

“Tak naklah”

“Kenapa?” soal Iqram. Jasmin terdiam.

“Dia takut tidur seorang diri” jawab Kak Kasma. Iqram ketawa.

“Brutal – brutal pun takut tidur seorang diri. Macam mana kalau saya kena bertugas malam nanti?” Iqram merenung Jasmin.

“Nanti saya ikutlah awak ke klinik ke hospital ke” cebik Jasmin.

“Saya tak boleh keluar malamlah kalau begitu. Kena temankan awak nanti” sambung Iqram.

“Ala.. tidur saja” jawab Jasmin. Kak Kasma menggaru kepala. Apa masalah budak berdua ni.. macamlah suami isteri cakap begitu... fikir Kak Kasma dan akhirnya tersenyum.

“Tak apa, nanti saya carikan orang gaji temankan awak bila saya tiada di rumah malam – malam ya” kata Iqram. Jasmin mengangguk.

“Hei...ni apa cerita ni!!! Orang gaji, tidur malam, takut tidur, teman pergi klinik!!!!.. kau berdua ni dah kahwin ke??” jerit Kak Kasma. Iqram dan Jasmin terdiam. Masing – masing berfikir kembali. Perbualan spontan itu buat mereka keliru sebentar. Tiba – tiba wajah Jasmin merah padam. Iqram menoleh ke arah lain. Kak Kasma mengangkat – angkat keningnya yang agak tebal itu.

“Ha... kan dah malu!!!” kata Kak Kasma. Iqram terus naik ke biliknya semula. Jasmin pula terus masuk semula ke dalam bilik dan mula mengemas pakaiannya ke dalan almari. Kak Kasma ketawa berdekah – dekah. Dia sukakan perempuan itu!.


Monday, 26 November 2012

DIA WANITA EDISI TERHAD (DWET) - bab 6


 BAB 6

Paklong Jai membawa fail ke meja makan. Iqram yang sedang bersarapan pagi sebelum ke klinik memandang Paklong Jai yang sibuk meneliti sesuatu.

“Fail apa tu paklong?” soal Iqram.

“Ini minit mesyuarat. Tapi setiausahanya tak pandai buat. Ni yang nak suruh Jasmin buat. Pak Lek tu yang jadi setiausaha. Hari tu aku suruh dia buat minit mesyuarat sekali aku tengok dalam kertas dia tulis Paklong Jai 10 minit, Mak Kiah 20 minit. Semuanya minit.rupanya dia catit berapa minit orang bercakap” Paklong Jai menggeleng kepala. Iqram tersenyum.

“Pandai ke Jasmin buat?. Cikgu Zue kata dia sekolah rendah saja?” soal Iqram.

“Pandai lah Cikgu Zue tu. Kalau kau nak tahu, Jasmin tu budak paling pandai kat kampung ni tau. PMR dia dapat  6A 1B. Aku ingat lagi sebab aku yang beri hadiah hari kecermelangan tu. Si Cikgu Zue tu pula cuma dapat 3A saja. Memang dari dulu dia tak sukakan Jasmin” cebik Paklong Jai. Terkejut Iqram mendengarnya.

“Habis tu kenapa jadi pekebun je?. Dia tak masuk U ke lepas SPM?” soal Iqram lagi.

“Macam mana nak ambil SPM?. Pakcik Yasin tu kena strok masa Jasmin tingkatan 4. Makcik Khadija tak bagi dia sekolah. Suruh jaga ayah dia. Kalau Si Zana tu dia bagi pula sekolah. Mentang – mentanglah Jasmin tu jenis tak membantah. Anak tirilah katakan” sambung Maklong Jihan pula.

“Kamu ingat kerja jadi pekebun ni tak ada duit ke?. Kalau Si Jasmin tu tak ada duit, masakan boleh sara adik dia belajar. Si Zana tu, bukan tak ada PTPTN, tapi masih minta duit dengan kakak dia” bebel Maklong Jihan lagi. Iqram meminta diri untuk ke tempat kerja. Sedikit rasa pilu terbit dihatinya. Jasmin sangat menyayangi keluarganya tetapi rasa cinta itu belum hadir. Kadang kala dia sukakan Cikgu Zue tetapi ada ketikanya dia tertarik dengan Jasmin. Sebelum tiba di klinik kesihatan Iqram memperlahankan keretanya apabila hampir dengan kebun cili Jasmin. Dia tersenyum melihat Jasmin yang sedang membuang rumput dan melakukan kerja – kerjanya dengan tekun. Tidak perasankan Iqram yang leka memerhatikannya. Jasmin yang agak rimas membuka topi kebunnya. Mata Iqram terbeliak apabila melihat Jasmin mula membuka butang baju kemeja longgarnya satu persatu.

“Tak malu ke berbogel dekat kebun cili. Kecut semua cili tu nanti!” sengaja  Iqram menjerit. Jasmin terperanjat. Dia menoleh.  Jasmin menghampiri Iqram.

“Saya pakai dua lapis lah!” jawab Jasmin . tangannya mengibas – ngibas bajunya yang belum ditanggalkan.

“Saya dah pakai produk awak bagi. Dah licin sikit” Jasmin tersengih – sengih. Iqram keluar dari keretanya.

“Tak pedih atau menggelupas ke?” soal Iqram.

“Tak.. tapi best. Nampak ni dah lawa hhihiihih” Jasmin senyum malu. Iqram menyentuh lembut pipi Jasmin. Kepalanya sedikit terlentok. Ada rasa getar di hati Jasmin . tiba – tiba dia rasa malu untuk menatap mata Iqram.

“Min..” panggil Iqram. Jari – jemarinya masih menyentuh pipi Jasmin.

Jasmin memandang. Pipinya mula bertukar warna. Iqram senyum. dia tahu Jasmin malu.

“Awak cantik bila malu – malu begini. Ya.. makin lembut malah lebih cantik bila awak tersenyum malu begini” Iqram keliru. Dia sendiri tidak pasti akan bait – bait perkataan yang lahir dari mulutnya. Akhirnya mereka berdua masing – masing tergamam. Jasmin jadi tidak tentu hala.

“Hmm.. awak pergi lah ke klinik. Nanti lambat” Jasmin mencari alasan. Rasa malunya sudah sampai ke tahap malu untuk bertentangan mata. Rasa mahu saja dia membenamkan mukanya ke dalam tanah gambut. Iqram terus pergi tanpa menoleh lagi.

Pandangan Iqram terhadap Cikgu Zue sedikit berubah. Tidak sangka dia boleh menipu hal – hal begini. Dia juga perasan yang Jasmin tak pernah berbicara mengenai Cikgu Zue apatah lagi memburuk – burukkannya. Akhirnya Iqram menganggap mungkin Cikgu Zue berniat sekadar mahu bergurau mengenai Jasmin. Cuba berfikiran positif.

Seperti biasa, pesakit – pesakit yang membuat temujanji makin mengikut arahan. Apa makanan yang dilarang oleh Iqram tidak mereka sentuh. Penyakit mereka makin stabil. Sudah tentu Iqram makin di sayangi dan di senangi. Malam nanti dia akan membawa Maksu Zilanya ke rumah Cikgu Zue untuk makan malam. Paksunya tiada di rumah. Katanya ada hal penting. Iqram tidak pasti apa tetapi Maklong Jihannya selalu berpesan agar tidak terlalu melayan kerenah adik bongsunya itu.

Jasmin ke kedai Abang Abu untuk membeli bihun dan kicap. Yaya mahu membawa bekal ke sekolah esok. Abang Abu yang memang rapat dengannya menghampiri Jasmin.

“Hai.. makin rapat dengan doktor Iqram ya?” usik Abang Abu. Jasmin hanya ketawa.

“Abang... Min nak kicap yang lain. Tak nak yang ini.”

“Mari ambil dibelakang” ajak Abang Abu, bapa kepada dua orang anak perempuan yang masih kecil. Jasmin mengikutnya ke belakang. Setelah mendapatkan kicap, Abang Abu dan Jasmin berjalan keluar dari stor. Mereka menangkap perbualan dua orang wanita. Jasmin berhenti. Begitu juga dengan Abang Abu.

“Habsah, kau nak buat apa beli ayam dan udang banyak – banyak ni?” soal Makcik Lah. Makcik Habsah, ibu Cikgu Zue tersenyum.

“Malam ni doktor Iqram nak makan di rumah aku. Nak rapat – rapat dengan si Zue. Hari tu dia ada keluar berdua. Dia datang dengan Si Zila. Bukan nak kata apa tapi nampak doktor Iqram tu macam sukakan Zue” tersenyum bangga Mak Habsah bercerita. Abang Abu yang agak rapat dengan Iqram dan Jasmin menggeleng kepala. Muka Jasmin di pandang.

“Tapi aku dengar dia pun rapat juga dengan Si Jasmin”  kata Makcik Lah yang memang terkenal dengan sikap suka bawa mulutnya.

“Alah... dia kesiankan saja Si Jasmin tu. Kau fikir sendiri lah, takkanlah doktor tu nakkan Si Jasmin yang asyik pakai baju kebun dia tu aja. Kalau pakai baju kurung pun jarang – jarang. Berkebun macam orang lelaki. Lainlah Zue tu. Bukanlah aku nak puji anak aku... tapi memang cantik dan pandai pula tu” senget – senget mulut Mak Habsah berbicara.

Jasmin memandang baju kemeja longgarnya. Pipinya yang sedikit berminyak itu disentuh. Ada sedikit rasa pedih di hatinya. Abang Abu kasihankan Jasmin. Kata – kata Mak Habsah tu memang melampau. Abang Abu terus ke depan untuk mengira barangan yang dipilih oleh Mak Habsah. Jasmin mula menghampiri. Wajah Mak Habsah sedikit pucat.

“Eh.. Min. Bila kau sampai?” soalnya. Makcik Lah tergamam. Jasmin hanya tersenyum.

“Dah lama dia sampai.... sampai boleh dengar makcik komen semuanya” perli Abang Abu.

“Kirakan saya punya ya abang” pinta Jasmin. Suaranya sedikit kendur. Tidak seperti selalu yang ketawa terkekeh – kekeh apabila berbual dengan Abang Abu.

“Tak payah Min, hari tu kau terlebih bayarkan... aku tolak dari situ.cepat balik, nanti hujan pula. Dengar tak petir kuat tadi.” Perli Abang Abu. Mak Habsah terus pergi bersama Makcik Lah.  Jasmin menghidupkan enjin motor. Dia tidak dapat menahan air matanya dari menitis laju. Dia menangis semahu – mahunya. Dalam perjalanan dia terpandangkan Alan yang sedang memancing di jambatan. Setelah ditahan oleh Alan, Jasmin memberhentikan motornya.  Cepat – cepat dikesat air matanya.

“Kak Min nangis?’ soal Alan. Dia mengintai – ngintai mata Jasmin.

“Taklah, masuk padi!” seloroh Jasmin. Alan ketawa besar.

“Alan baliklah.. dah petang ni kan?” suruh Jasmin.

“Mari Kak Min hantar balik”

Alan membonceng motor Jasmin hingga ke rumahnya. Makcik Som, ibu Alan menahan Jasmin dari pulang. Jasmin duduk di beranda rumah.

“Kenapa mata kau merah. Min?” soal Makcik Som.

“Masuk padi” Alan menyampuk. Jasmin ketawa. Agak lama dia membisu sambil mengunyah keledek goreng panas. Makcik Som tahu Jasmin selalu memendam perasaan. Dia tidak pernah bercerita mengenai ibu tirinya yang kejam terhadapnya. Makcik Som sangat yakin Jasmin sedang terluka.

“Min.. kadang – kadang kita kena luahkan juga”

“Min buruk sangat ya makcik?” soal Jasmin. Tunduk memandang cawan kopi yang masih penuh. Makcik Som senyum. tangan Jasmin dipicit – picit lembut.

“Cantik... jujur makcik jawab, Min memang cantik cuma kerja Min yang tak sesuai untuk Min pakai cantik – cantik. Takkanlah nak tanam cili pakai kasut tinggi, subang besar, make up tebal... nanti orang kata Min..”

“Gila!” Alan menyampuk lagi. Jasmin ketawa. Makcik Som turut sama ketawa. Setelah berbual agak lama, Jasmi meminta diri untuk pulang ke rumah. Ayahnya perlu dimandikan. Yaya tidak berdaya mengangkat ayahnya seorang diri. Dalam perjalanan pulang, Jasmin masih berfikir.. mengapa aku harus sedih bila dapat tahu Iqram keluar dengan Zue?.. kenapa aku harus menangis bila aku dengar Makcik Habsah kata aku tak padan dengan Iqram...itu hakikatnya!!!!.....



                                             ***********************

 Maksu Zila masak nasi tomato. Inilah kali pertama dia mengajak Iqram makan di rumahnya. Dia sudah berpesan berkali – kali agar Iqram tidak memberitahu Maklong Jihan mengenainya. Iqram menurut sahaja. Iqram naik ke atas rumah Maksu Zila selepas memberi salam. Sedikit terkejut apabila melihat Makcik Habsah dan Cikgu Zue turut ada bersama. Paksunya mengerutkan kening dan menggeleng kepalanya beberapa kali seolah – olah memberitahu bahawa dia tiada kaitan dengan semua ini. Semua makanan sudah terhidang. Mereka semua menjamah makanan. Seperti biasa, Cikgu Zue sangat ayu dan bersopan santun hinggakan mengunyah makanan pun sangat lambat. Iqram terkulat – kulat mahu menelan nasi yang langsung tidak digemarinya. Maksu Zila tidak seperti maklong Jihan yang sentiasa peka apa kegemaran Iqram. Maklong Jihan sedia maklum yang Iqram tidak sukakan nasi tomato. Dia lebih gemarkan nasi ayam dan nasi minyak yang tidak berwarna.

“Tak sedap ke?” soal Maksu Zila. Iqram hanya tersenyum. Cikgu Zue menghulurkan segelas air sarsi ke tangan Iqram. Itu pun dia tidak suka!!!. Iqram menelannya kerana terpaksa. Tidak mahu Maksu Zilanya berkecil hati.

Sesudah makan mereka semua duduk berbual di ruang tamu.

“Zue kata nak balik cepat. Suruhlah doktor Iqram hantar. Mak nanti suruh adik ambil” cadang Makcik Habsah. Cikgu Zue memandang Iqram yang hanya mengangguk. Mereka berdua masuk  ke dalam kereta.

“Hantar ke rumah awak saja kan?” soal Iqram. Tiba – tiba air mata Cikgu Zue mengalir. Iqram sedikit panik. Bimbang menjadi punca air mata Cikgu Zue jatuh.

“Saya rasa bersalah” kata Cikgu Zue. Iqram hanya menunggu. Mahu mendengar selanjutnya.

“Bersalah kerana mengharapkan kasih... awak” jujurnya. Cikgu Zue tunduk. Iqram menarik nafas dalam – dalam. Entah mengapa tiba – tiba wajah Jasmin muncul di mindanya.

“Saya cuma guru sekolah rendah. Tak macam awak,. doktor . Siapalah saya” sambung Cikgu Zue. Sebenarnya Iqram agak terkejut dengan pengakuan Cikgu Zue di hadapannya. Tidak sangka Cikgu Zue sebegitu berani. Iqram memberhentikan keretanya apabila tiba di hadapan rumah batu Cikgu Zue yang besar. Cikgu Zue masih duduk dan tunduk.

“Dah sampai, Zue” beritahu Iqram.

“Saya tak ada langsung di hati awak?” Cikgu Zue memandang Iqram yang tersandar ke belakang. Dia juga sukakan Cikgu Zue. Dia juga tertarik tetapi terlalu cepat untuk dia menerima atau memberikan cintanya.

“Terlalu awal. Kita berkawan saja dulu ya. Kalau ada jodoh antara kita saya menerima dengan hati terbuka” pujuk Iqram.

“Bagaimana kita nak berkawan sedangkan masa awak banyak dihabiskan dengan Jasmin?” soal Cikgu Zue lagi. Seperti tidak berpuas hati. Iqram terdiam.

“Baiklah... sekarang saya akan bahagikan sedikit masa saya untuk awak. Tapi saya pinta jangan halang persahabatan saya dengan Jasmin. Dia benar – benar seorang sahabat yang baik. Tapi itu bukan bermakna saya mencintai awak atau Jasmin. Berikan masa... biar berlaku dengan sendirinya” kata Iqram. Cikgu Zue sedikit lega.

“Tapi orang kata kalau terlalu rapat seperti sahabat baik, mustahil untuk awak jatuh cinta. Lebih – lebih lagi dengan Jasmin” .

Iqram tidak memberi respon. Dia rasa seperti sedikit tertekan. Kenapa perlu dia berjanji untuk menghabiskan masanya dengan dua wanita itu sedangkan mereka berdua tidak mempunyai hak langsung ke atas dirinya.

“Zue balik dulu ya, saya ada hal” pinta Iqram. Cikgu Zue terus membuka pintu kereta dan menghadiahkan senyuman buat Iqram sebelum keretanya bergerak keluar dari halaman rumahnya.

Iqram mahu duduk sebentar, dia ke warung Pak Musa. Lebih – lebih lagi Abang Abu sedang makan tengahari di situ. Kedainya di jaga oleh pembantu yang baru diupahnya. Iqram menepuk bahu Abang Abu.

“Dari mana Iq?” soal Abang Abu. Milo ais yang baru disedutnya di letak ke atas meja semula.

“Dari rumah Maksu Zila” jawab Iqram. Nescafe ais di pesan.

“Ooo.... tadi aku nampak Si Zue dengan mak dia pun ke sana”

“Mereka makan sekali” jawab Iqram.

“Minang kau kot!” sengih Abang Abu. Iqram ketawa.

“Tak adalah Abang Abu. Saja ajak makan” selindung Iqram.

“Tak pergi jenguk Jasmin di kebun ke?. Hari ni dia teruk sikit sebab nak kutip cili yang berlambak tu. Alhamdulillah.. cili dia elok dan cantik sangat. Sekarang Ah Meng, tauke pasar di pekan tu pun ambil dengan dia sekarang. Ni Kak Ros tauke sos tu nak cepat. Ada pesanan banyak katanya” terang Abang Abu.

“Teruk sangat ke?” soal Iqram.

“Kak Lijah mana boleh angkat semua tu, dia kan pernah buat pembedahan masa lahirkan anak bogsunya. Kak Lijah kata Jasmin tak pernah suruh dia buat kerja berat” sambung Abang Iqram terus meminta diri untuk ke kebun Jasmin. Dia mahu membantu Jasmin mengangkat apa yang patut. Jasmin tidak patut buat semua itu. Bahaya pada tulang belakangnya.

Jasmin memandang Iqram yang menghampirinya.

“Kenapa?” soal Jasmin.

“Awak jangan angkat berat – berat begini. Bahaya tau” bebel Iqram.

“Tak apalah. Dah biasa pun. Bukan berat sangat. Dari sini saya guna kereta sorong. Kak Ros nak ambil sekejap lagi”

Iqram menarik tangan Jasmin duduk di pondok. Dia tidak mahu melihat Jasmin terbongkok – bongkok mengangkat timbunan cili itu. Walaupun Jasmin mampu mengangkatnya tetapi hati Iqram tidak tenang. Dai bimbang Jasmin sakit.

Dia mengangkat satu persatu bungkusan besar ke atas pondok. Kak Lijah tersenyum memandang Iqram. Dia menghampiri Jasmin.

“Akak rasa dia suka kau” bisik Kak Lijah. Berkerut kening Jasmin mendengarnya. Dia merenung Iqram yang sedang sibuk membantunya. Setelah mengakat bungkusan ciii yang terakhir, Iqram memegang belakang pinggangnya.

“Awak boleh buat semua ni?. Saya yang baru buat ni pun dah rasa sakit” kata Iqram. Jasmin ketawa. Dia datang kepada Iqram. Ditamparnya belakang pinggang Iqram dengan kuat.

“Macam mana nak jadi Hang Tuah kalau angkat cili pun tak larat” perli Jasmin.

“Sebab saya tak laratlah, saya tak ditakdirkan jadi Hang Tuah” jawab Iqram.

“Habis.. hang apa?” soal Jasmin. Menghulurkan segelas air teh ke tangan Iqram

“Hang Cili!” Iqram mengenyit mata. Jasmin ketawa.

“Terima kasih Iqram” ucap Jasmin. Mukanya mula merah. Seperti sedikit sebak. Iqram memegang pipi Jasmin.

“Awak ni nampak saja brutal dan jenis selamba tapi awak cepat sedih ya?” soal Iqram.

Jasmin tunduk. Tangannya menggaru – garu pipi.

“Nampak tu, dah merah pipi” sambung Iqram. Mata Jasmin berair.

“Awak ada patahkan cili atau pegang cili yang dah rosak tak?” soal Jasmin. Iqram mengangguk. Air mata Jasmin mengalir.

“Kenapa?” soal Iqram.

“Muka saya tengah pedas, panas!. Awak terpegang pipi dan tepi mata saya dengan tangan awak yang bercili tu” Jasmin terus berlari ke paip. Menyimbah mukanya berkali – kali. Iqram tergamam. Kak Lijah ketawa semahu – mahunya.

“Ingatkan adegan romantik. Adegan panas! Rupanya adegan pedas cili merah!!!!” Kak Lijah masih ketawa. Iqram juga turut sama ketawa. Jasmin mendapatkan Iqram dan memegang hujung baju Iqram dan di kesat ke mukanya.

“Wei.... baju ni saya baru beli tau!” Iqram geram. Jasmin menekup mulutnya. Dengan cepat dia mengelap semula baju Iqram dengan jari jemarinya. Jasmin terus mengambil begnya. Duit RM50 dihulur ke tangan Iqram.

“Ini bayaran tadi” senyum Jasmin. Iqram menjeling. Marah betul dengan tindakan Jasmin. Dia melakukannya dengan ikhlas. Kalau nmahu duit tidak perlu dia bersusah payah mengangkat guni yang penuh dengan cili. Lebih baik dia ke pekan dan mengeluarkan wang dari mesin ATM.

“Eh.. jeling pula. Ambil lah” pujuk Jasmin.

“Awak ingat saya nak sangat kerja dengan awak ke?” sinis sahaja suara Iqram.

“Habis tu saya nak beri apa sebagai balasan?” soal Jasmin. Bibirnya muncung.

“Cukup dengan mengucapkan terima kasih sambil tersenyum ikhlas” Iqram memandang wajah jasmin yang muram. Mungkin sedih dimarahi Iqram sebentar tadi.

“Saya nak balik. Nanti awak pun balik rumah bila kerja dah selesai. Jangan lupa bawa Pakcik Yasin datang esok untuk rawatan susulan” pesan Iqram. Jasmin mengangguk faham.


                             *******************************

Maklong Jihan memicit – micit belakang badan Iqram yang sakit dan sudah tentu snagat lenguh. Zahid yang sedang membaca buku terpinga – pinga melihat Paklong Iqramnya mengaduh kesakitan.

“Bukannya berkebun!. Periksa pesakit pun teruk sangat ke?” soal Maklong Jihan. Iqram hanya membisu. Dia bangun semula dan duduk di kerusi rotan sambil menonton berita bersama Maklog Jihan.

Jasmin membeli sehelai t-shirt berwarna putih seperti yang dipakai Iqram petang tadi. Memang harganya jauh berbeza tetapi itu sahaja yang dia mampu. Dia juga membelikan beberapa jenis kuih dan bahulu kemboja buat Iqram dan Maklong Jihan serta sebiji burger ayam untuk Zahid. Dia tersengih – sengih menghampiri Yaya yang sudah pun meletak semua makanan yang dipesan oleh ibu dan ayah mereka. Pasar malam yang sentiasa ramai orang itu agak merimaskan Yaya. Dia terpandangkan bungkusan di tangan Jasmin.

“Kak Min nak buat apa barang – barang ni lagi?” soal Yaya.

“Ini nak beri pada Abang Iqram dan Maklong jihan”

“Nak pergi sekarang?” soal Yaya. Jasmin mengangguk. Yaya menggaru – garu kepala. Bibirnya mengomel sendiri. Jasmin mengangkat kening. Ingin tahu kenapa resah sangat adik bongsunya itu.

“Nak kena halau dengan Maklong Jihan ke?. Yaya takutlah!” adu Yaya.

“Kenapa takut?”

“Akak ingat tak, dulu Maklong Jihan pernah halau Yaya sebab minta derma malam – malam. Esok tengaharinya baru dia datang bawa duit tu bagi Yaya di rumah” kata Yaya. Jasmin mengangguk.

“Habis tu makanan ni macam mana?”soal Jasmin pula. Yaya dan Jasmin sama – sama termenung. Akhirnya mereka berdua nekad. Motor dimatikan sebeum tiba di jalan rumah Maklong Jihan. Yaya dan Jasmin terbongkok – bongkok berlindung di sebalik rimbunan pokok yang begitu hampir dengan tingkap ruang tamu rumah Maklong Jihan. Jasmin lega apabila melihat Iqram yang berbaju melayu biru pekat sedang duduk berdekatan dengan tingkap.

“Panggillah!” suruh Yaya.

“Nanti Maklong Jihan dengar” takut juga Jasmin dengan sikap tegas Maklong Jihan.

“Buat suara kucing” cadang Yaya. Di atas permintaan Jasmin, Yaya meniru suara kucing. Segalanya tidak berhasil. Jasmin punya idea. Dia menyuruh Yaya diam sebentar. Dia mahu mencubanya sendiri.


“Mbeeeekkkkk....mbeekkkkkkk” Jasmin cuba mengembek. Yaya menekup mulut menahan gelak. Jasmin menoleh ke arah Yaya.

“Macam kambing gatal!” kata Yaya. Jasmin menjeling. Dia mencuba lagi.

“Mebeeekkkkkkk embekkkkkkkk embekkkkk!!!” kali ini suara Jasmin agak kuat. Usahanya berhasil. Iqram menoleh ke luar tetapi tidak perasankan Jasmin yang melambai – lambainya. Iqram duduk semula.

Jasmin cuba lagi. Kali ini dia mengembek lebih manja. Biar Iqram dapat meneka. Maklong Jihan bangun. Memandang Iqram.

“Kamu dengar bunyi kambing?” soal Maklong Jihan. Iqram mengangguk. Zahid bangun cuba mengintai. Cepat – cepat Jasmin dan Yaya menyorok.

“Jomlah balik!” ajak Yaya.

“Last.. kalau tak berhasil kita balik ya” kata Jasmin. Masih mahu mencuba dan tidak berputus asa.

“Kita tak bela kambing. Pak Ghani jiran kita pun tak bela. Habis tu kambing siapa?” soal Zahid. Iqram mengangkat bahu. Dia sendiri hairan. Kalau angsa dan ayam, berlambaklah!

“Itu mesti setan!.. tak pun jin nak cuba masuk rumah kita” Maklong Jihan menelah. Berkerut dahi Iqram mendengarnya. Maklong Jihan terus mengambil batu di dalam akuariumnya. Batu yang sederhana besar itu agak berbahaya jika di baling.

“Tak payahlah maklong. Ntah orang main – main ke?” larang Iqram. Maklong Jihan berdegil. Begitu juga dengan Jasmin.

“Mbeeeeekkkkkkkk”

Mak Long Jihan membalinngnya.

“Mbeeeekkk.. adoiiiiii!!!!!!!!!!!” jerit Jasmin. Maklong Jihan dan Iqram berpandangan sesama sendiri. Yaya panik. Dahi Jasmin berdarah. Iqram turun ke bawah.

“Abang Iqram!!!” jerit Yaya. Mengucap panjang Iqram apabila melihat darah yang mengalir di dahi Jasmin. Cepat – cepat Maklong Jihan menyuruh Jasmin naik ke atas. Mulut Jasmin muncung ke hadapan. Sakit! Malu! Geram!... semuanya ada.

“Kenapa awak baling saya?” rajuk Jasmin. Iqram yang sedang mencuci luka di dahi Jasmin hanya tersenyum panjang.

“Bukan saya baling. Maklong yang baling. Dia kata awak setan!” Iqram mahu ketawa.

“Yang kamu mengembek macam kambing betina gatal tu kenapa?. Tak boleh panggil elok – elok?” marah Maklong Jihan. Yaya hanya tunduk ke bawah.

“Dulu Maklong marah saya datang malam – malam” jawab Yaya takut – takut.

“Habis tu.. datang malam jumaat! Aku nak baca yassin. Yang kamu tu terjerit – jerit minta derma” Maklong Jihan menjegilkan matanya. Iqram merenung mata Jasmin sambil tangannya masih merawat luka di dahi Jasmin.

“Awak nak apa dengan saya malam – malam ni?” soal Iqram. Pelekat di gunting. Jasmin sudah siap dirawat tetapi mereka masih duduk bertentangan. Jasmin menghulurkan dua tiga bungkusan.

“Baju dan beberapa kuih dan bahulu kemboja ni untuk awak dan Maklong. Burger untuk Zahid. Nak bagi siang nanti orang mengata saya. Baju ni tak sampai RM50. Itu saja yang saya mampu” sedih benar cara Jasmin menerangkannya.

“Ala... comelnya awak ni” Iqram memicit hidung Jasmin.

“Maklong, Min dan Yaya balik ya. Ayah nak makan mi sup. Nanti lambat pula” Jasmin dan Yaya bersalaman dengan Maklong Jihan.

“Jangan jadi kambing lagi! Dah elok – elok jadi orang nak jadi kambing!!!!” perli maklong Jihan. Iqram ketawa sambil mengiringi mereka berdua ke bawah.

Di atas motor Jasmin mengaduh sakit.

“Kak Min ni jatuh cinta ke?” teka Yaya. Jasmin menelan air liur.

“Tak” dalihnya.

“Orang anagu saja yang buat benda yang Kak Min buat tadi” perli Yaya. Jasmin terdiam. Angaukah aku?.. cintakah ini?.. tapi tidk mungkin cinta jika dia juga tidak mencintaiku. Mana aku tahu dia tak mencintaiku?.... kenapa pula dia perlu mencintai aku si pekebun cili. Cikgu zue tu lebih layak untuk dia.... aku yakin dia tahu itu... fikir Jasmin. Walau apapun, memang rasa sayang itu ada untuk Iqram Cuma dia tidak pasti adakah itu yang dinamakan cinta!

Pakcik Yasin mengusap rambut Jasmin dan Yaya.

“Kenapa sampai jadi begini?” soal Pakcik Yasin.

“Kakak terjatuh tadi ayah” Yaya cuba membantu Jasmin. Pakcik Yasin menggeleng. Mungkin Jasmin terlalu penat bekerja hingga jalan pun tak larat, fikir ayahnya. Makcik Kahdija membebel. Menjeling tajam kepada Jasmin.

“Tak pandai jaga diri langsung!. Kamu tengok Zana tu, jaga kulit. Ini, dahi dah luka. Lepas ni berparut. Tak lakukah kamu tu nanti” jelingan Makcik Khadija membuatkan jasmine hilang selera mahu makan.

“Kalau Kak Min macam Kak Zana, ibu... maka tak makanlah kita. Asyik beli alat solek saja. Ibu tu pun tak rasalah pakai gelang besar. Kak Min tu pakailah gelang silver beli kat pasar.” Yaya sudah hilang sabar. Makcik Khadija menjeling lagi. Yaya memang rapat dengan Jasmin. Dia sedia maklum yang semua yang ada di rumah itu di tanggung oleh Jasmin tetapi bagi Makcik Khadija, itu memang tanggungjawabnya Jasmin sebagai anak sulung. Jamin terus masuk tidur selepas menyuap ayahnya dan memberi ayahnya makan ubat. Yaya yang kasihankan Jasmin terus memeluk badan Jasmin hingga mereka berdua tertidur di atas katil yang sama.