BAB 4
Terbeliak mata Sutera membaca ruangan hiburan di
suratkhabar pagi itu. Roti yang baru ditelan dirasakan tidak hancur. Kopi yang
dihirup dirasakan seperti rempah jamu. Dia membaca sekali lagi tajuk di atas
muka surat 25 itu.
DARREN MIKAIL MAIN CINTA DENGAN P.A SENDIRI DI SEBUAH KAWASAN BERBUKIT BERHAMPIRAN KUALA
LUMPUR...
Zie sudah agak benda ini akan berlaku juga. Dia
menggeleng kepala apabila melihat Sutera menarik perlahan rambutnya.
“Mati aku!” resah Sutera.
“Baguslah... popular kau nanti. Nasib baik dia blur
kan muka kau yang sedang berlari tu. Yang kau pegang tangan Darren tu kenapa?”
soal Zie. Dia masih sibuk menyusun undangan nyanyian yang bakal Darren penuhi
bulan hadapan.
“Aku menyelamatkan diri” cebik Sutera.
Pintu pejabat terbuka. Sutera malu berhadapan dengan
Darren. Tiba – tiba dia menjadi asing dan janggal setelah membaca gossipnya
pagi itu.
“Zie, saya nak awak buat sidang media pukul 4 petang
ni. Sutera, awak perlu hadir sama” ujar Darren tanpa memandang wajah Sutera
yang sedikit merah di sebelah Zie. Sutera terus masuk ke dalam bilik Darren
tanpa dipinta.
“Ini semua salah awak” kata Darren. Merenung Sutera.
“Apa pula?”
“Kalau awak tak tarik tangan saya hari tu, tentu tak
jadi begini” Darren duduk. Sutera semakin hampir. Mukanya semacam. Tidak puas
hati.
“Kalau Encik Darren tak ajak saya pergi ke bukit tu
tak adalah jadi begini”
“Itu bukan masalahnya. Sebelum awak jadi PA saya,
Zie juga pernah teman saya jogging. Tak jadi kes pun” bentak Darren.
“Dah saya kena kejar kucing!” jeling Sutera.
“Siapa suruh baling?” Darren pula berdiri
menghadapnya.
“Saya nak awak katakan depan semua wartawan yang
awak dan saya tiada hubungan cinta” arah Darren.
“Memanglah tiada!. Encik Darren ingat saya nak
dengan Encik Darren ke?” Sutera mempersoalkannya pula.
“Eh budak ni... ini bukan persoalannya. Saya cuma nak
awak menafikannya”
“Sudah pasti!” jeling Sutera dan terus keluar menuju
ke pantry. Api kemarahannya membuak – buak. Dia rasa tidak sepatutnya dia
dipersalahkan.
*************************************
Semua wartawan dari majalah hiburan, tabloid, akhbar
harian dan juga media elektronik menunggu kehadiran Darren. Artis paling
popular itu memang sentiasa diburu oleh wartawan. Dia yang tidak pernah di
gossip bersama wanita sebelum ini, agak tertekan dengan isu ini. Darren membuka
pintu dan diekori pula pengurus syarikat rakaman dan Sutera. Pelabagai soalan
di ajukan sehingga membuatkan Sutera terketar – ketar. Kaki tangannya mula
seram sejuk. Darren menjawab segala persoalan dengan tenang. Mata Sutera
seperti berpinar – pinar.
“Cik Sutera.. cik Sutera!!” panggil wartawan dari
majalah hiburan yang memang terkenal di kalangan artis kerana suka menyoal
dengan telus setiap apa yang terfikir dimindanya.
“Adakah ada sedikit rasa cinta di hati awak?. Kalau
tidak, masakan awak sanggup keluar pagi – pagi begitu untuk beriadah bersama
Darren?. Difahamkan awak tidak bekerja pada hari itu memandangkan Darren tiada
apa – apa program. Bukan itu sahaja, ada maklumat yang mengatakan Darren telah
mengahdiahkan awak sebuah iPhone yang memang mahal harganya?”
Soalan yang panjang membuatkan Sutera terpinga –
pinga. Lidahnya kelu. Dia menoleh ke sisi. Memandang Darren yang sudah pun
mengecilkan matanya.
“Cinta atau tidak?” wartawan itu mendesak lagi.
Sutera menelan air liur.
“Cinta atau tidak?” mereka yang lain cuba mengambil
kesempatan apabila melihat Sutera seperti kebingungan. Desakan demi desakan
membuatkan telinga Sutera hampir meletup.
“Cinta!!!” jawab Sutera yang hampir menjerit.
Seluruh bilik sidang media terus senyap. Para wartawan sedang mencatit sesuatu.
“What????” Darren memandang Sutera yang sedang
menggigit bibirnya.
“Tak .. tak.. tak cinta” jerit Sutera pula. Wartawan
tidak mengendahkannya. Darren terus bersuara melalui pembesar suara.
“Maafkan saya, mungkin ada cinta dalam hati dia tapi
tidak saya. Saya langsung tidak mencintai dia apatah lagi mahu hidup bersama
seorang yang memang tidak akan saya cintai. Jujur saya katakana, dia bukan
kekasih dan tidak akan menjadi kekasih saya.. Assalamualaikum” kata Darren dan
terus bangun. Keluar dengan muka yang mencuka. Sutera menepuk dahinya. Darren
pasti esok, wajahnya dan Sutera akan jadi muka hadapan suratkhabar dan akan
menjadi berita sensasi di program hiburan televisyen
Sutera takut berhadapan dengan Darren. Dia terus
pulang ke rumah. Mahu tidur!. Dia mahu melupakan semuanya buat seketika. Memang
kejadian tadi memalukan dirinya. Lebih – lebih lagi apabila Darren
memperkecilkannya dengan mengatakan dia tidak sesekali akan jatuh cinta
terhadap dirinya. Sutera menutup langsir
bilik. Lama kelamaan dia terlelap sendiri.
Pagi – pagi lagi Zie sudah turun membeli
suratkhabar. Muka Zie sedikit sedih apabila membaca tajuk akhbar pada hari
itu..
PA MENAGIH CINTA DARREN YANG DITOLAK MENTAH –
MENTAH.
Zie terus membuang suratkhabar itu ke dalam tong
sampah besar di bawah apartment mereka. Sedikit hampa dengan kenyataan Darren
semalam. Bukan salah wartawan jika menulis begitu kerana Darren yang berkata
begitu. Jika Darren membisu tanpa mengiyakannya, tentu wartawan tidak akan
menulis tajuk sedemikian rupa. Zie tahu Sutera mesti terluka.
“Kau ke mana?. Aku dah buat sarapan ni” senyum
Sutera.
“Tak ada ke mana – mana. Saja ambil angin” senyum
Zie.
“Ambil angin apa?” ketawa Sutera.
Setelah bersarapan bersama, Zie dan Sutera terus ke
pejabat bersama. Darren masih belum hadir. Dua orang pekerja Darren yang lain
sudah tersengih – sengih memandang Sutera yang masih tidak tahu apa – apa.
“Ala.. Suzi.. engkau tu pipit. Nak kawan dengan
enggang, dah kena gelak!!” perli Ani sambil memandang Sutera yang tak tahu apa
– apa. Mata Sutera memandang suratkhabar yang baru tiba. Matanya terbeliak. Dia
memegang dadanya. Tidak sanggup membacanya.
“Ala.. sabar ya. Lagipun benda ni jadi sebab kau
yang mengaku. Tak lama lagi hilanglah” pujuk Zie.
“Aku rasa macam nak berhenti kerja saja sekarang ni.
Biarlah dia cari PA baru” rajuk Sutera. Suzi dan Ani menghampiri.
“Aku perli gurau saja tadi. Tak payahlah berhenti.
Kau kan penghibur kami semua. Lagipun kau saja yang berani bantah Darren tu”
Suzi mengurut lembut belakang badan Sutera. Sutera diam membisu. Dia cuma
terbayangkan wajah ayah dan maknya sahaja. Dia perlu kerja untuk membantu
keluarganya. Adiknya masih lagi bersekolah.
****************
Di dalam kereta Sutera diam. Membisu tanpa memandang
Darren walaupun sekali. Hari ini Darren tiba dengan pemandu barunya. Dia sudah
membeli kereta yang lebih mahal dan mewah. Dia hanya mahu duduk berehat pergi
dan pulang dari kerja. Keretanya yang lama di gunakan untuk kegunaan selain
dari kerja. Sutera duduk di sebelah pemandu yang bernama Abang Rashid.
“Sedih pasal suratkhabar pagi tadi ke?” soal Abang
Rashid. Sutera senyum tawar. Darren yang mendengarnya buat – buat tidak tahu
apa – apa. Bukannya dia tidak kasihan tetapi semuanya kerana ketelanjuran kata
– kata Sutera sendiri. Dia terpaksa menafikannya. Dia tahu Sutera sedikit
terluka. Sudah pasti dia tahu kerana dari tadi Sutera hanya berdiam diri tidak
seperti selalu yang bercakap dan ketawa sentiasa.
“Program malam ini dibatalkan. Zie ada beritahu
awak?” soal Darren. Sutera hanya mengangguk. Darren menarik nafas dalam –
dalam. dia seperti merindui gelak tawa Sutera seperti sebelum ini. Dia juga
seolah – olah lebih sukakan Sutera yang sering memarahinya sebelum ini
berbanding Sutera yang hanya membisu tanpa kata.
Mereka bertiga sudah sampai ke bangunan sebuah
stesyen televisyen swasta.
“Abang Rashid tinggalkan kami berdua di dalam kereta
ni dulu” arah Darren. Dengan segera abang Rashid keluar dan terus menutup pintu
kereta. Sutera masih belum mahu memandang Darren.
“Saya tahu awak marahkan saya. Mungkin kata – kata
saya agak melukakan hati awak tapi apa yang saya katakana semuanya benar. Saya
memang tak mencintai awak” terang Darren. Memandang Sutera dari belakang.
“Saya tahu saya ini memang tak dicintai Encik
Darren. Tapi kata – kata Encik Darren tu seperti memijak – mijak maruah saya
sebagai seorang perempuan. Encik Darren kata encik tak mencintai saya dan
sesekali tak akan mencintai saya. ‘akan’ itu dirujuk pada waktu yang akan
datang, Encik tahu semua yang bakal terjadi akan datang. Berdoa seperti tidak
mahu sesuatu itu pada masa akan datang seperti membenci, menafikan dan yang
pasti tidak di mahukan lagi. Saya tak kisah Encik, Darren tak suka saya. Saya
peduli apa?. Cuba dengar baik – baik.... saya juga tak mencintai Encik Darren
dan saya tidak sesekali akan mencintai Encik Darren!” kata Sutera dan terus
keluar. Tiba – tiba hati Darren terasa sedikit terguris. Emosinya terusik. Ada rasa
kecewa apabila mendengar dari mulut Sutera sendiri yang dia tidak akan sesekali
mencintainya. Darren menghela nafas yang panjang. Ya.... itulah yang dirasakan
Sutera.. seperti satu penghinaan.
Program hiburan itu membincangkan soal gossip yang
melanda Darren kebelakangan ini. sutera makin tidak selesa. Ceritanya seperti
ditertawakan hos rancangan itu. Hos itu seperti memerli sutera. Dengan set
rancangan yang berserabut itu, hos itu mula bercakap sesuatu yang menyakiti
hati Sutera
“Kalau saya Darren, jangan nak mengaku cinta.. nak
pandang kaki awak pun malu tau. Tak sangka ada juga yang begitu. Ambil sajalah
PA lain.. ops.... jangan terasa pada yang tengah makan sambal belacan cili api
tu”
Sutera memandang pekerja stesyen televisyen yang
menepuk perlahan bahunya. Menunjukkan rasa simpati.
“kalau dia buat hal, tak masuk pula dalam rancangan
gossip ni. Baru – baru ni dia kena serang dengan isteri Sugar Dady dia.... tu
yang tiga episod tak datang kerja” bisik pekerja itu. Sutera senyum.
“Darren... cuba terus terang ciri – ciri perempuan
idaman Darren.. tak adalah si tuttt tu perasan...”
“Stop it ... karren” kata Darren dengan tegas. Terdiam
hos itu apabila melihat wajah Darren yang serius memandangnya. Penerbit
rancangan memberhentikan siaran dengan menggantikannya dengan commercial break.
Darren memanggil penerbit rancangan itu. Sutera hanya melihat dari jauh.
“I nak tanya... ada lagi atau tidak soalan
sebegini?. Kalau masih tanya jangan marahkan i kalau i terus blah. Reputasi you
juga yang terjejas. I tahu ni rancangan gossip tapi jangan sampai terlalu
memijak emosi orang lain. Dengar Karren... kalau you tanya pasal PA i lagi...
dengan spontan i akan tanya pasal kes sugar daddy you depan berjuta orang yang
menonton rancangan ini. ingat... ini siaran langsung” tegas Darren.
Penerbit rancangan itu meminta maaf dan memberi
peringatan kepada Karren supaya tidak terlalu melebih – lebih. Muka Karren
berubah. Selepas 6 minit, rancangan itu pun berakhir. Darren meminta maaf
dengan penerbit rancangan itu .
“Maafkan i. Dia sedikit melampau” kata Darren.
Menoleh ke arah Karren yang terus pergi meninggalkan set dengan perasaan marah.
“Darren... you pasti you tak cintakan dia?” soal
Siti, penerbit rancangan yang sememangnya
sentiasa bertolak ansur. Darren tersenyum dan terus pergi. Tanpa jawapan
yang diberikan Siti hanya ketawa kecil.
“Abang Rashid nanti boleh hantar Sutera ke rumah
dia. Saya ada rakaman ni studio rakaman. Lepas tu Abang Rashid juga boleh
pulang. Saya akan memandu sendiri” kata Darren. Sutera tidak menyampuk apa –
apa seperti selalu yang dia lakukan.
Sampai sahaja di hadapan bangunan kediaman Sutera,
dia terus keluar sambil mengucapkan terima kasih dan yang membuatkan Darren
sedikit terkilan Sutera tidak seperti selalu. Dia yang gemar menanti Darren
berlalu sambil melambai beberapa kali dengan senyuman. Sutera terus masuk ke
rumahnya. Zie masih belum pulang. Dia keluar dengan tunangnya yang baru datang
dari Sabah.
************************
Sedang mereka bertiga dalam perjalanan pulang ke
rumah selepas habis konsert di Johor Bharu, mereka sedikit terkejut apabila
mendapat khabar tentang ibu Darren yang baru sahaja jatuh di bilik air.
“Cepat bang, kita pergi ke Perlis. Ummi saya sakit”
arah Darren.
“Zie.. batalkan persembahan saya di mall esok. Ummi
saya sakit” beritahu Darren melalui panggilan telefon. Darren kelihatan cemas.
Tidak sampai hati pula Sutera melihat Darren begitu.
“Ummi Encik Darren sakit teruk?” soal Sutera.
“Ummi saya ada darah tinggi. Bila jatuh ni, saya
takut jadi apa – apa” ujar Darren. Dia memang sayangkan umminya itu. Sejak
walidnya meninggal dunia sewaktu dia berusia belasan tahun, umminya lah yang
banyak berkorban membesarkan dia dan abangnya dengan baik sekali. Kini,
abangnya, Haidar sudah pun meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Isteri
dan anak tunggalnya kini duduk bersama ummmi mereka. Duit perbelanjaan
segalanya ditanggung oleh Darren. Kakak iparnya, Rita diminta oleh Darren untuk
menjaga ibunya. Malah, dia diberi imbuhan di atas segala yang dia lakukan
terhadap ibu mertuanya itu.
Setelah berjam – jam perjalanan, mereka bertiga tiba
di sebuah rumah kayu limas yang tersergam indah. Sangat cantik. Jam di tangan
sudah pukul 3 pagi. Darren terus memberi salam dan mengetuk pintu. Tidak lama
kemudian Umminya, Hajah Nora membuka pintu. Darren terus memeluk umminya.
“Ummi kenapa bangun?. Kan ummi sakit?” soal Darren.
Dia terus memimpin Hajah Nora ke sofa. Sutera dan Abang Rashid bersalaman
dengan Hajah Nora. Wajah Sutera direnung.
“Ini yang masuk tv hari tu. Yang kena gossip dengan
adik?’ soal Hajah Nora. Darren dan Sutera berpandangan sesama sendiri.
“Gossip je makcik. Siapalah saya ni” kata Sutera.
Seperti memeli Darren.
“Hmmm.... kalau adik suka, ummi lagi suka. Manis
sahaja orangnya. Cantik” Hajah Nora
memegang tangan Sutera.
“Ummi... adik tanya ni.. sakit dimana?” soal Darren
lagi. Memeriksa kaki umminya.
“Ummi bohong tak sunat” sengih Hajah Nora. Terkejut
Darren mendengarnya.
“Ya lah... adik dah lama tak balik kan?. Kalau tak
buat begitu, adik tak balik” ujar Hajah Nora.
“Kan adik kata Rabu depan adik balik?. Lagi lima
hari sahaja ummi” Darren cuba mengesyaki sesuatu. Tidak lama kemudian Rita
keluar dengan senyuman.
“Sebenarnya ummi nak tengok sendiri wajah PA kamu ni”
senyum Kak Rita. Darren menggeleng kepala. Hajah Nora menutup mulutnya yang
tersengih – sengih.
“Kat luar lebih cantik ya ummi” Rita memuji. Sutera
malu – malu.
“Kak Rita bersubahat dengan ummi. Ummi tahu tak adik
punyalah risau tadi. Lain kali kalau ummi buat begini, adik merajuklah” jeling
Darren.
“Hek eleh.... manja bukan main!” cebik Sutera.
Mereka yang lain memandang Sutera.
“Hmm... ummi sukalah” sengih Hajah Nora. Darren
pening kepala dan terus masuk ke dalam biliknya. Sutera sudah masuk ke dalam
bilik tetamu. Begitu juga dengan Abang Rashid.
Sutera bangun lebih awal dari biasa. Selepas mandi
dan menunaikan solat subuh, dia terus ke dapur membantu Hajah Nora dan Rita
menyediakan sarapan.
“Ni buah sukun kan?” soal Sutera.
“Ya.. Darren memang suka makan sukun. Dia lebih suka
buat cekodok sukun yang dah masak tu. Satu mangkuk dia boleh habiskan” terang
Hajah Nora.
“Sukun?...Encik Darren suka sukun?” soal Sutera
berkali – kali. Dia tersenyum sendiri. Lawak betul otak tersentot ni suka makan
sukun.. padanlah otak tak berkembang.. sengih Sutera. Darren juga masuk ke
dapur. Dia senyum lebar apabila melihat semangkuk cekodok sukun di hadapannya.
Dia terus duduk dan mengalihkan mangkuk itu di hadapannya. Sutera yang duduk
dihadapannya hanya memerhati. Darren masuk seketul demi seketul cekodok sukun
yang bulat comel itu ke dalam mulutnya. Sutera menelan air liur. Macam sedap
saja!. Sutera cuba mengambil seketul cekodok dari mangkuk itu tetapi tangannya
ditampar oleh Darren.
“Kedekut betul. Bagilah saya rasa” marah Sutera.
“Pergilah buat sendiri. Ummi saya buat untuk saya.
Awak kan tak makan buah sukun” kata Darren.
“Siapa kata?. Saya tak pernah makan cekodok sukun,
bagilah saya rasa” Sutera cuba mengambilnya lagi. Sekali lagi tangannya
ditampar. Kali ini lebih kuat. Rita cuba meleraikannya tetapi di tahan oleh
Hajah Nora dengan menggunakan isyarat tangan dan mata.
“Yang kedekut ni kenapa?. Bukannya mahal” marah
Sutera sekali lagi.
“Jangan sibuk. Tu ada nasi goreng pergilah makan”
kata Darren pula. Seketul cekodok sukun sahaja yang tinggal. Darren sengaja
menyakitkan hati Sutera dengan menggigitnya sedikit – sedikit. Cekodok yang
tinggal seketul itu sudah separuh dimakan oleh Darren. Dengan hati yang
membara, Sutera terus mengambilnya dengan cepat. Darren terkejut. Sutera terus
memasukkan cekodok sukun yang tinggal separuh itu ke dalam mulutnya. Darren
menggeleng kepala.
“Tak malu ke makan sisa orang lelaki?” soal Darren.
Air teh diteguk dua kali.
“Ala... biarlah. Yang adik kedekut sangat tu kenapa?”
soal Hajah Nora. Sutera ketawa. Darren merenung. Ya... gelak tawa itu sudah
kembali. Darren tersenyum.
best la kak nak lagi boleh.
ReplyDeletehi baby mio..
Deleteboleh dik.... apa saja untuk baby mio.
nanti akak masukkan n3 baru lepas akak masukkan DWET bab 13 yek
cayang awak :)
iza superb...awk mmg berbakat...sambung lagi yer...
ReplyDeletehi kalam cinta :)
Deleteterima kasih banyak2 tau ..
izah akan sambung lagi punya hihiih
cayang awak!