Friday, 3 August 2012

TERIMA KASIH BEB - bab 11


  BAB 11

Puan Kalsom menyuruh Luqman makan malam dirumahnya. Katanya Ayu mahu bertemu sebelum pulang semula ke kampung esok. Kali ini Luqman tekad mahu membawa Amy bersama. Dia tidak perlu menyembunyikan bakal isterinya itu dari pengetahuan ibunya lagi. Lulu juga menyokong tindakan Luqman itu. Lulu tidak berapa sukakan Ayu yang kelembutannya itu bagaikan ‘plastik’ pada pandangan matanya.

Biar pun Amy itu agak manja tetapi Amy tidak berpura – pura menjadi orang lain. Menjadi diri sendiri itu lebih penting, bagi Lulu. Sejak Ayu berada di rumah mereka 2 hari yang lalu tidak pernah sekali pun Lulu memulakan perbualan. Ayu yang banyak beralah. Luqman memeberi salam. Memegang tangan Amy yang sejuk seperti batang pisang. Ayu yang berlari untuk membuka pintu tergamam apabila membukanya.

“Asssalamualaikum” Amy memberi salam. Terpandangkan genggaman Luqman yang cukupkuat itu membuatkan Ayu tidak dapat mengawal air matanya daripada menitis. Amy menarik semula tangannya. Berasa kesal membuatkan Ayu menangis.

Puan Kalsom tercengang melihat Luqman dan Amy bersama. Dia masih tidak dapat mengagak. Lulu berdebar, dia tahu sikap ibunya yang panas baran. Segalanya boleh dijadikan senjata. Lulu cepat – cepat menarik tangan Amy duduk di sebelahnya. Muka Amy pucat lesi.

“Apa yang bos kamu buat di sini?” soal puan Kalsom. Duduk bertentangan dengan Amy. Luqman membisu. Memandang Ayu yang sudah pun menangis. Puan Kalsom memandang Ayu pula.

“Amy bakal isteri saya” jawab Luqman. Memandang tepat ke dalam anak mata Puan kalsom. Bagai mendidih darah wanita separuh abad itu mendengar kata – kata Luqman. Puan Kalsom bangun.

“Cari wanita bermaruah untuk dibawa pulang ke rumah ibu. Dia bukannya wanita yang baik. Boleh ikut lelaki balik rumah malam – malam” kata Puan Kalsom dengaan sinis. Amy memejamkan matanya menahan sakit di dada. Hatinya hancur saat mendengar kata – kata hina dari mulut ibu kepada kekasihnya sendiri.

“Ibu... tak sepatutnya ibu berkata begitu pada Amy. kami saling menyayangi ibu. Sepatutnya ibu tanya pada Maman sama ada mahu atau tidak pada Ayu. Sekarang ibu bukan sahaja sakitkan hati Maman tetapi juga, Ayu. Dan sekarang ibu juga dah sakitkan hati Amy”Luqman masih mampu berlembut dengan ibunya.

“Maafkan saya makcik” pinta Amy. Puan Kalsom menampar wajah Amy.

“Baik kamu pergi... aku hormatkan kamu sebagai majikan Luqman. Tetapi untuk menerima kamu lebih dari itu. Jangan bermimpi. Luqman, kalau kamu berdegil, pergi dari sini!.. kamu bukan anak ibu lagi” kata Puan Kalsom. Amy sedih mendengar kata – kata Puan Kalsom kepada Luqman. Amy menahan Puan Kalsom.

“Jangan sesekali Puan memutuskan hubungan puan dengan Luqman. Dia anak yang baik dan percayalah dia tidak akan bahagia jika dibuang oleh ibunya sendiri, puan. Sebagai seorang ibu, sudah tentu puan tidak sanggup untuk melihat dia menderita. Demi kebahagiaannya, demi tanggungjawabnya, demi amanahnya dan demi rasa cintanya pada saya. Juga rasa cinta saya untuknya, berikan saya masa untuk pergi dari hidupnya. Tetapi bukan sekarang puan!. Berilah saya masa untuk merawat lukanya dahulu.... bukan untuk saya tetapi untuk dia... Luqman yang amat saya cintai dan Maman yang amat keluarga Puan sayangi” Amy mengesat air matanya dan terus keluar dari rumah Puan Kalsom.

“Mengapa ibu buat Maman begini?” soal Luqman sebelum keluar mendapatkan Amy yang sudah pergi meninggalkannya. Luqman mencari Amy. dia pasti tidak jauh kerana Luqman yang menjemputnya dari rumah. Amy tiada kenderaan untuk pulang.

Mata Luqman terpandangkan Amy yang sedang duduk di perhentian bas. Menunggu teksi dengan matanya yang bengkak. Luqman menghampiri.

“Sayang... saya hantar awak ya?” pujuk Luqman. Amy menurut. Dia masuk ke dalam kereta. Air matanya masih mengalir.

“Kenapa perlu beralah?” soal Luqman. Amy terdiam.

“Walaubagaimanapun cinta awak pada saya, dia tetap ibu awak. Saya tak mahu awak menderhaka dengan ibu kandung awak sendiri” teresak – esak suaranya. Luqman mengusap lembut rambut Amy.
                
“Awak perlu lebih cintakan saya” kata Luqman. Amy mengiring sedikit menghadap Luqman.

“Sayang... berjanji pada saya, jika terjadi apa – apa pada hubungan ini saya mahu awak tahu satu perkara. Saya tak pernah merasa sebahagia ini selama saya kenal apa itu cinta. Hati saya, jiwa saya dan kasih saya ada pada awak. Jika suatu hari nanti saya tiada di sisi awak, kenangkanlah saya yang pernah singgah di hati awak. Awak tahu, saya boleh hidup bila tiada di sisi awak. Tapi hidup tanpa hati dan perasaan. Hidup tanpa cinta..... tanpa cinta awak, sayang”  Amy tunduk. Setitis demi setitis air matanya mengalir. Air mata Luqman turut sama bergenang.

Dia perlu menghantar Amy pulang. Mak Biah tahu bagaimana mahu menenangkan perasaan Amy. dia mahu Amy berehat. Air mata Amy sudah banyak tumpah. Dia tidak sanggup wajah kekasihnya itu merah kerana membendung kesedihan. Luqman menghampiri Mak Biah yang terpinga – pinga melihat Amy menangis dan berlari ke biliknya. Luqman duduk di buaian dan menceritakan apa yang berlaku di rumahnya. Mak Biah menarik nafas dalam – dalam.

“Luqman... adakala memang sukar untuk mendapatkan restu seorang ibu yang ego seperti ibu Luqman. Kita berusaha ya?. Mak Biah tahu Luqman amat cintakan Amy. Amy juga begitu” kata mak Biah.

“Kalau tak mampu, bawa orang lain untuk sama – sama berbincang” cadang Mak Biah. Serta merta Luqman teringat akan Pak Ngahnya. Pak leman dapat membantunya. Dia ingin mengahwini Amy dengan segera. Semuanya sudah merapu sekarang. Kalau dilambatkan, lebih banyak drama yang akan timbul.

Luqman terus ke rumah Pak Leman.  Terkejut besar Pak Leman dan Mak Gayah mendengar cerita dari mulut Luqman.

“Ibu kamu tu tak habis – habis” bebel Pak Leman.

“Pak Ngah abang ayah kamu. Biar Pak Ngah yang uruskan. Selama ini bukannya dia yang menjaga kamu” tambah Pak Leman.

Setelah berbincang agak lama. Luqman pulamg ke rumah. Hatinya berat kerana terpaksa berhadapan dengan Puan Kalsom yang tidak pernah faham akan dirinya.
Luqman terus ke atas. Masuk ke dalam biliknya. Dia memejamkan matanya rapat – rapat. Pintu biliknya di ketuk. Lulu masuk dan duduk di samping satu – satunya abang yang dikasihinya.

“Lulu sukakan Kak Amy.” beritahu Lulu.

Dia memegang tangan luqman dengan penuh kasih sayang. Luqman cuba mengukir senyuman. Dia duduk dan menepuk lembut telapak tangan Lulu.

“Lulu tak perlu risau. Abang akan buat apa saja demi mendapatkan restu ibu. Abang sangat sayangkan ibu. Abang juga sayangkan Kak Amy. Abang tidak mahu kedua – duanya terluka” kata Luqman.

Lulu mula mengalirkan air mata. Dia menyentuh pipi Luqman sambil air matanya mengalir membasahi pipinya yang berkulit hitam manis. Dia mengerti betapa deritanya Luqman saat ini. Ibunya terlalu tegas. Bagi Lulu, Amy sudah terlalu padan dengan abangnya. Abangnya yang matang itu memang sesuai berkahwin dengan wanita sebaik dan semanja Amy. Dia sendiri melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Luqman bahagia bila bersama dengan Amy. Lulu bangun. Dia menarik nafas panjang.

“Adik jangan buat bukan – bukan” kata Luqman.

“Abang diam sahaja di sini. Biar Lulu berhadapan dengan ibu. Selama ini abang dah banyak berkorban demi Lulu dan ibu. Sudah tiba masanya Lulu membalas semua jasa abang. Lulu berjanji akan mendapatkan semula cinta abang itu” kata Lulu bersunguuh – sungguh.

Luqman ingin bangun tetapi di halang oleh Lulu. Dia menuruni anak tangga lalu masuk ke dalam kamar Puan Kalsom. Dia harus tekad. Lagipun selama ini ada beberapa perkara yang ingin diluahkan kepada Puan Kalsom.

“Ibu.. Lulu mahu berbincang” kata Lulu. Dia duduk berhadapan dengan Puan Kalsom yang baru sahaja selesai solat.

“Ada apa?. Kalau nak berbincang pasal abang Maman, ibu tidak mahu” kata Puan Kalsom dengan tegas.

“Tidak mahu berbincang?. Memang itu yang selalu ibu buatkan?. Semua keputusan ibu yang kuat. Abang dah banyak berkorban untuk kita bu!. Tak bolehkah ibu buang sedikit rasa benci ibu itu demi hidup abang?. Kak Amy dah sempurna buat abang” kata Lulu.

“Kamu jangan nak masuk campur urusan abang kamu!. Ibu hantar kamu belajar tinggi – tinggi bukan suruh kamu jadi pemberontak” suara Puan Kalsom mula meninggi.

“Bukan ibu yang hantar. Abang yang hantar Lulu sejak dari Lulu kecil lagi. Dia ambil tanggungjawab ayah seratus peratus menjaga dan memberi Lulu makan dan pakai.Ibu dan ayah hanya tahu ke sana  ke mari. Tinggalkan Lulu dengan abang. Pak Ngah dan Mak Ngah juga banyak memberi Lulu semangat.Walaupun Lulu masih kecil waktu itu, Lulu masih boleh ingat bagaimana terketar – ketarnya tangan abang menyuap nasi dan telur goreng ke mulut Lulu. Ibu dan ayah di mana waktu itu?. Pergi berkaraoke bersama kawan – kawan. Abang demam panas waktu itu ibu!. Seorang abang yang berusia 12 tahun menyuap adik yang bukan dari keturunan ayahnya sendiri yang masih berusia 8 tahun. Tak rasa bersalahkah ibu kerana masih mendera abang walaupun dia dah dewasa sebegini?” suara Lulu tersekat – sekat. Puan Kalsom termenung sebentar.

“Lulu nak kata yang Lulu lebih sayangkan abang?” Puan Kalsom menentang mata anak bongsunya.

“Malangnya ya!. Dialah ibu dan ayah Lulu walaupun bukan dia yang melahirkan Lulu.

“Tapi sekurang – kurangnya Lulu berterima kasih juga pada ibu sebab mengabaikan abang sehingga dia terpaksa bekerja di warung untuk memberikan Lulu wang belanja setiap kali Lulu ke sekolah. Dia bekerja dan belajar atas bantuan Pak Ngah dan akhirnya dia pakar dalam bidang masakan.... semuanya kerana ibu!. Selain daripada melahirkan dia, rasanya itulah jasa terbesar ibu buat abang” Lulu mengesat air matanya.

Dia hanya bercakap dengan nada yang perlahan tetapi itu sudah cukup untuk membuatkan Puan Kalsom terpanah dengan kata – kata anaknya.

“Ibu cuma mahu yang terbaik untuk abang” suara Puan Kalsom sedikit mendatar.

“Jadi.... restui mereka!” Lulu menggenggam tangan ibunya. Matanya masih berkaca.

“Lulu keluar. Ibu mahu bersendirian” kata Puan Kalsom.

Lulu berlalu. Dia hampa. Tidak banyak yang mampu dilakukannya. Yang dia tahu Amy sangat terluka apabila di hamun oleh ibunya sebentar tadi. Lulu naik semula ke atas. Mahu menjenguk Luqman tetapi Luqman sudah memejamkan matanya. Lulu pasti abangnya masih belum terlena. Lulu menjeling tajan ke arah Ayu yang juga menangis.

“Kak Ayu tahu bagaimana sikap ibu. Sepatutnya kak Ayu tak perlu percaya kata – kata ibu. Kasihan Kak Amy dan Abang Maman” kata Lulu. Ayu tidak manjawab sebaliknya terus menangis.

                                 ********************************

Luqman bangun pagi – pagi. Tanpa bersarapan dia terus ke rumah Amy. mak Biah membuka pintu. Memandangkan wajah Mak Biah yang suguk Luqman dapat mengagak emosi Amy juga masih belum stabil. Mak Biah naik ke bilik Amy untuk memberitahu akan kehadiran Luqman. Mak Biah lihat Amy menangis. Dia memeluk Mak biah. Dia menenangkan Amy. Jiwa Amy punah. Hatinya hancur. Kasih dan cintanya itu tidak akan bersatu jika Puan Kalsom tidak merestui mereka berdua. Mak Biah turun ke bawah. Mak Biah menyuruh Luqman mententeramkan Amy. Mata Luqman agak bengkak. Mak Biah pasti Luqman juga banyak menangis. Ya.... selama ini dia tidak pernah menangis. Amy adalah satu – satunya wanita yang mampu membuatkan dia menangis. Dia memang tidak mahu kehilangan Amy.

“Sabar ya Luqman!. Mak Biah tahu segalanya sukar untuk kamu berdua. Mak Biah selalu memohon agar Allah satukan kamu berdua. Duduklah. Mak biah akan panggilkan Amy” kata Mak BIah.

Luqman memandang tangga di sudut kanan rumah Amy. Melihat Amy turun dengan mata yang sembap dan muka yang merah membuat hati Luqman luluh dan hancur. Luqman memejam matanya rapat – rapat. Amy duduk rapat di sebelahnya. Kepalanya diletak di bahu Luqman.

“Maafkan saya sayang” kata Luqman.

Air mata Amy makin mengalir. Dia tidak dapat menahan tangisannya. Luqman menggosok bahunya.

“Kita akan berpisah?” soal Amy. Dia mengangkat kepalanya. Memandang tepat ke dalam anak mata Luqman. Wajah Amy direnung. Air mata Amy yang masih mengalir di kesat dengan penuh rasa cinta. Luqman merapikan rambut Amy yang terjuntai di  tepi wajahnya.

“Tidak sayang. Kita berjuang dahulu kemudian bertawakal kepada Allah. Berdoa bersama.

“Amy tak mahu kehilangan awak!. Tahu kan?... Amy tak mampu lagi. Luqman... Amy sayang Luqman” Amy bagai tidak mampu mengawal emosi lagi.

“Kenapa Amy tak boleh bahagia bersama awak?... Amy benci !!!!. Luqman... janji ya??? Jangan tinggalkan saya?. Siapa yang nak suapkan saya lagi? Siapa yang nak kesatkan air mata saya lagi? Siapa yang........” Amy tersedu sedan. Kata – katanya malam tadi tidak dapat ditunaikan. Sepanjang malam dia berfikir. Dia tidak mahu melepaskan Luqman.
Dia tidak mampu meneruskan kata – katanya lagi. Hati Luqman hancur melihat Amy yang seperti sudah putus harapan. Air matanya semakin laju mengalir. Mak Biah juga menangis.

“Selagi saya masih hidup, sayang! Saya akan lakukan apa saja demi melihat awak tersenyum. Tangisan ini melemahkan saya tetapi senyuman awak itulah kekuatan saya. Jadi, senyumlah sayang.... senyum untuk saya demi cinta kita” pujuk Luqman. Amy mengesat air matanya.

“Awak tak akan tinggalkan saya Luqman?’ soal Amy lagi. Dia menggenggam tangan Luqman dengan kuat.

“Dengan izin Allah.... kita akan bersama juga” kata Luqman. Amy menangis lagi.

Luqman tidak mampu buat apa – apa lagi. Dia membiarkan sahaja Amy menangis. Mungkin itu lebih baik untuk merawat rasa sedihnya. Luqman memegang pipi Amy. Tamparan yang hinggap di pipinya tadi pasti sangat pedih. Lebih pedih kerana ibu kekasihnya sendiri yang menamparnya tanpa sebab.

Luqman terpaksa pergi. Kafe harus dibuka. Perniagaan Amy harus diteruskan. Dia mahu melihat Amy berjaya. Amy tidak mahu melepaskan tangan Luqman. Mak Biah terpaksa memujuk Amy. Akhirnya tangan Luqman di lepaskannya perlahan – lahan. Amy memandang Luqman pergi hingga jauh dari pandangan matanya.


Mak Biah memandang sayu wajah Amy. Dia tahu Amy amat terluka. Lebih terluka dari kisah silamnya. Ini kerana Luqman dan Amy saling mencintai antara satu sama lain. Mak Biah agak kesal dengan Puan kalsom yang amat mementingkan diri.


                     ************************************


“Sabarlah Luqman. Aku faham situasi kau. Aku tak akan ceritakannya pada papa. Aku pun tak mahu papa risau. Amy dah banyak menderita dulu. Jadi untuk melihat air matanya jatuh lagi..... itu akan membuatkan papa jatuh sakit” kata Fikri.

“Terima kasih Fikri!. Kalau kau tak sokong aku, aku tak tahu macam mana lagi” kata Luqman.

“Kita kan kawan baik merangkap abang ipar” kata Fikri sambil menampar belakang badan Luqman.

“Apapun, kau memang kawan dan abang ipar terbaik” senyum Luqman.

Fikri ketawa besar. Dia yakin dengan Luqman. Dia akan menyokong Luqman sepenuhnya. Qaseh sentiasa menemani Amy. Itu permintaan Fikri. Sejak menjadi sahabat Luqman, dia nampak segala kebaikan yang terdapat di dalam diri Luqman. Lelaki yang matang seperti Luqman mampu mendidik adiknya menjadi wanita yang sejati.

“Kalau kau kahwin dengan Amy nanti, aku nak kau bagi aku sport rim yang cantik punya!. Sebagai hadiah melangkah bendul” usik Fikri.

Luqman ketawa. Kalau Amy menjadi isterinya, jangan kata sport rim, sport arena pun dia akan berikan. Itupun jika cinta mereka berjaya. Luqman mengeluh. Dia masih terbayangkan wajah Amy yang suguk. Hilang gelak tawanya kini. Dia rindukan usikan Amy. Dia rindukan segala – galanya tentang Amy.

Dato Kamal tahu semuanya. Mak Biah menceritakan semuanya pada Dato Kamal. Dengan hati yang  berat, Dato Kamal menegah Amy dari bertemu dengan Luqman. Perasaan Amy amat terseksa. Puan Kalsom amat gembira mendengar Luqman dan Amy sudah tidak serapat dulu. Memang mereka sudah tidak berjumpa lagi. Kafe telah di ambil alih oleh Fikri. Atas desakan Dato Kamal yang tidak mahu Amy terluka lebih teruk, Fikri terpaksa menegah Amy dari datang ke kafe itu lagi. Luqman amat sugul. Jiji dan Lela juga tidak seceria dulu. Mereka amat bersimpati dengan Luqman dan Amy.

Amy pergi ke rumah Dato Kamal. Mahu bersemuka dengan papanya yang juga seolah – olah tidak mengerti akan penderitaannya.

“Kalau Amy hidup dengan mertua begitu, Amy juga akan menderita, sayang” terang Dato kamal.

“Selagi Luqman menyayangi, Amy akan terus bahagia Papa” tegas Amy.

“Luqman sudah bersetuju untuk tinggalkan Amy” kali ini kata – kata Dato kamal tegas dan jelas. Amy terdiam. Dia tidak dapat membantah kata – kata Dato Kamal.

“Papa.... jika papa tidak lihat lagi senyuman pada wajah Amy, anggaplah Amy hanya mayat hidup. Bergerak dan hidup tanpa perasaan” kata Amy.

Dato kamal terkedu. Hatinya luluh mendengar kata – kata puteri kesayangannya itu. Dato Kamal hanya mampu memandang Amy keluar dari rumahnya dengan tangisan yang teresak – esak.

                    
 Amy memandu ke rumah Luqman. Dia tidak dapat menahan diri daripada berjumpa dengan Luqman. Dia juga takut jika terserempak dengan Puan Kalsom. Dia sudah begitu hampir di kawasan rumah Luqman. Kakinya tidak mahu melangkah keluar. Amy memberanikan diri. Suasana malam tentu akan mengaburi mata Puan Kalsom dari dapat melihatnya. Dia tidak mampu membunyikan loceng rumah Luqman. Dia hanya mampu melihat bilik Luqman dari jauh.

Amy amat berharap agar Luqman membuka tingkap biliknya dan memandangnya dari situ. Air mata Amy mengalir lagi. Bilik Luqman nampak gelap. Mungkin dia sudah tidur... fikirnya sendiri. Amy mengeluh. Dia mahu pulang, tiada gunanya dia berdiri seperti tiang di situ. Amy menoleh. Dadanya berdegup kencang. Air matanya kini mengalir lebih laju. Dia hampir lemah memandang Luqman yang sedang memerhatikannya dari belakang.

“Sayang...” ungkapan itu yang terkeluar dari bibir Luqman. Amy menangis dan terus menangis.

“Saya rindukan awak” kata Amy.

Luqman memejam sebentar matanya. Dia cuba mengawal emosinya sendiri di hadapan Amy. Dia tidak mahu Amy lihat dia di dalam keadaan yang lemah.

“Kenapa sayang di sini?” soal Luqman. Mereka masih terpaku di tempat masing – masing.

“Saya tak tahu... saya dah macam orang gila sekarang ni. Hari – hari menunggu awak di sini. Saya tak dapat kawal rasa rindu saya. Luqman, awak juga rindukan saya bukan?. Awak rindu .. betul tak?” Amy menghampiri Luqman.

Hati Luqman seperti mahu mencair melihat air mata Amy yang mengalir tanpa henti. Seperti biasa, Luqman mengesatnya dengan penuh kasih sayang. Di renungnya mata Amy dalam samar kegelapan. Luqman memegang pipi Amy.

“Jangan menangis lagi. Saya dah tak sanggup melihat awak begini. Dengar sini Amy... saya sedang berusaha untuk mendapatkan restu ibu. Lulu juga begitu. Sabar ya, sayang?.jangan buat begini lagi. Nanti ibu akan lebih salah faham” pujuk Luqman.

“Betul?. Kita tidak akan berpisah?” soal Amy bersungguh – sungguh. Dia mengesat air matanya sendiri. Dia cuba untuk mengukir senyum. Kata – kata Luqman tadi memberikannya sedikit harapan. Luqman mengangguk.

Amy masuk ke dalam kereta. Dia memandang Luqman sepuas – puasnya. Wajah lelaki itu sangat dirinduinya setiap hari. Sejak Puan kalsom menghalang perhubungan mereka berdua, semuanya jadi tidak tentu hala. Luqman memerhatikan Amy pergi hingga hilang dari pandangan matanya. Dia mengeluh lagi.

Luqman masuk ke dalam rumah. Puan Kalsom yang baru selesai menikmati makan malam menegur Luqman.

“Ya, ibu” jawab Luqman. Masih taat seperti dahulu.

“Maman marah pada ibu?” soal Puan Kalsom. Luqman hanya senyum tawar.

“Ibu buat yang terbaik untuk Maman” Puan Kalsom masih mahu menegakkan apa yang dirasakannya betul.

Luqman yang mahu menaiki tangga menoleh ke arah Puan Kalsom.

“Tapi itu bukan yang terbaik bagi Maman, ibu” kata Luqman. Dia terus ke biliknya. Tidak mahu bertengkar dengan Puan kalsom sekali lagi. Puan Kalsom mendengus. Dia tidak tahu bagaimana lagi harus dia terangkan mengapa dia bertindak sebegitu. Dia terus ke rumah Puan Jah, teman karibnya sejak dari dulu lagi. Banyak rahsia yang mereka simpan bersama.

“Kau ni pun satu, bukan menjadi dosa pun berkahwin dengan janda!. Lagipun janda berhias. Masih dara!” kata Puan Jah.

“Kau pun sama dengan mereka yang lain. Aku mahu hidup Maman bahagia. Cuba kau fikir, mengapa suami si Amy tu ceraikan dia?. Tentu sikap dia tak elok!” bantah Puan Kalsom.
Dia yang sudah tahu akan sejarah silam Amy kini, lebih membenci Amy kerana statusnya itu.

Puan Jah menggeleng beberapa kali. Tidak tahu bagaimana mahu menyejukkan hati Puan Kalsom yang degil itu. Dia sangat kasihankan Luqman sejak dulu lagi. Membantu ibu dan bapa tirinya yang pemalas mencari rezeki. Bagi Puan jah, Puan Kalsom tidak patut melukakan hati Luqman dengan begitu teruk sekali. Amy memang sepadan dengan Luqman. Isu janda tidak patut ada kalau Puan Kalsom ikhlas mahu melihat kebahagiaan Luqman. Satu perkara yang membuatkan Puan jan sangat mengkagumi Luqman ialah dia tidak perah mendengar langung rungutan dari mulut Luqman sejak dari dulu lagi. Dia tidak kisah di marahi bapa tirinya tanpa sebab. Puan Kalsom mulai menjadi lebih baik setelah bapa tiri Luqman iaitu bapa kandung Lulu menghadap Illahi akibat kemalangan jalan raya.

“Kau sepatutnya memberi budak Amy tu peluang. Apalah kau ni Som, semua nak ikut kepala otak kau sendiri saja” bantah Puan Jah.

Wajah Puan Kalsom masam mencuka. Sakit hatinya apabila stu – satunya sahabat karibnya lansung tidak sependapat dengannya. Puan Kalsom terus pulang ke rumah. Mahu merehatkan otaknya yang berserabut. Dia akui Amy itu cantik dan baik tetapi hatinya tetap sukakan Ayu. Dia mahu membalas jasa bapa Ayu yang telah menyelamatkan bapa Lulu dari di penjara. Wang jaminan yang diberikan oleh keluarga Ayu itu amat bererti baginya. Kalau tidak, suaminya itu akan merengkok di penjara. Nasib Puan Kalsom malang apabila tidak sampai setahun keluar dari lokap, bapa Lulu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Sejak dari hari itu Luqmanlah yang banyak mencari rezeki untuk dia dan Lulu walaupun masih bersekolah.

2 comments:

  1. puan kalsom nie blh dilipat-lipat masuk peti sejuk ea.........

    ReplyDelete
  2. cik jah ni selalu buat saya tersenyum...
    awak ni pandai bergurau yeak... i likeee..
    nanti saya tolong lipatkan dan masuk peti sejuk
    bagi beku kihkihkih

    ReplyDelete