Tuesday 16 December 2014

~MINI NOVEL~BILA KITA KATA CINTA bab 1-3

Siapa kata perkahwinan yang tidak dimulakan dengan cinta tidak akan bahagia walaupun pada awalnya? Jika lelaki dan wanita itu terima jodoh yang ditentukan tuhan itu dengan hati yang terbuka, cahaya cinta itu akan meresap terus tanpa sebarang sempadan...

KUCUPAN pertama  singgah ke dahi wanita itu dan membuatkan sanak saudara yang mengelilingi mereka bersorak riang. Lampu kamera dan video menyala bagi merakamkan detik indah sepasang mempelai yang buat pertama kalinya bertentang mata sedekat itu. Mayra senyum dan cuma tunduk malu saat usikan teman-teman dan sanak saudara semakin memuncak. Kadangkala merah wajahnya dan senyumannya diperhati leka oleh Farhan yang turut sama menjadi mangsa usikan.
“Dulu tak boleh pegang, sekarang apalagi bangunlah. Ambil gambar seromantik yang boleh.” Usik Zul, selaku jurufoto mereka. Sahabat yang sangat rapat dengan Farhan itu ketawa lucu tatkala melihat Farhan bangun dan sempat mengerling ke arah isterinya. Mayra juga berdiri di sisi Farhan. Zul menyuruh mereka lebih rapat lagi untuk mendapatkan gambar yang cantik untuk dirakam.
“Peluklah pinggang tu.” Zul mengarah bagaikan pengarah filem cinta. Farhan memandang Mayra dan berkata perlahan.
“Izinkan abang..”
Mayra angguk dan buat pertama kalinya tangan Farhan melingkari pinggang Mayra. Bagai menerima kejutan elektrik Mayra bergerak ke hadapan sedikit. Mereka yang lain bersorak lagi. Yang paling kuat suara rakan pejabatnya yang bertempuk tampar sesama sendiri. Farhan ketawa dan dia menarik tubuh Mayra mendekatinya.  Gambar di ambil berkali-kali.
Bersalaman dengan ibu mertuanya, Puan Faridah membuatkan Mayra rasa disayangi. Kucupan yang penuh kasih sayang itu melekat ke dahinya. Mayra memandang Farhan di sisinya yang mengangguk dan tersenyum.
“Semoga menjadi permaisuri di hati anak ibu dunia dan akhirat.” Bisik Puan Faridah ke telinga Mayra.
“Insya-Allah ibu.” Jawapan yang keluar dari bibir Mayra itu menyenangkan hati Puan Faridah. Mayra melihat dengan jelas akan kucupan Farhan yang singgah di dahi ibu mertuanya.
“Han sayang sangat pada ibu.”
Air mata Puan Faridah menitis dan segera dikesatnya dengan tuala kecil di tangan. Mayra kemudiannya memeluk dan mencium tangan ibunya, Puan Hanis.
“Jadilah isteri yang baik buat suamimu, sayang.” Pesanan itu dibalas dengan anggukan. Kali ini giliran  Farham pula mencium tangan Puan Hanis.
“Jaga anak mama ni baik-baik ya, Han. Sayangilah dia seperti mana kami menyayangi dia.” Pinta Puan Hanis.
“Malah lebih lagi...” Senyum Farhan. Mayra memejam matanya.
“Dia amanah untuk Han jaga. Mama jangan risau. Insya-Allah Han akan menyayangi dan mencintai dia sepenuh hati Han.” Janji Farhan dan kali ini Puan Hanis turut sama menangis. Puan Faridah menyentuh tangan besannya dan mereka berpelukan. Walid Farhan, Encik Syawal tersenyum melihat gelagat isterinya. Encik Azmin juga begitu.
“Banjir rumah awak, Azmin.” Kata Encik Syawal pada Encik  Azmin.
“Banjir air mata gembira tak apa. Jangan banjir lumpur sudah.” Jawapan Encik Azmin membuatkan mereka berdua ketawa besar. Kedua orang bapa itu terus memeluk anak menantu mereka.
“Selamat pengantin baru. Jadi suami yang baik. Jangan sia-siakan menantu walid ni.” Bahu Farhan ditepuk agak kuat oleh walidnya. Farhan ketawa sahaja mendengarnya. Amboi, bukan main kuatnya bahu Farhan ditepuk. Bagai nak beri amaran pula. Selesai majlis akad nikah berakhir mereka semua keluar ke perkarangan rumah untuk menikmati juadah di bawah khemah yang dihias cantik dengan kain berwarna merah jambu dan putih mutiara. Hanya majlis sederhana kerana itu permintaan Mayra yang tidak mahu majlis besar-besaran. Besok mereka akan terus berbulan madu untuk mengenali cinta hati masing-masing. Setelah semua tetamu pulang mereka berdua terus naik masuk ke dalam bilik untuk membersihkan diri.

MAYRA membuka tudungnya. Rambut lurus cantik yang melepasi bahu itu diperhatikan Farhan di muka pintu. Mayra termalu dan menutupnya semula dengan kain tuala. Farhan ketawa.
“Kedekutnya. Rambut pun tak nak bagi abang tengok.” Usikan Farhan itu membuatkan Mayra menjatuhkan kain tuala yang menutupi rambutnya. Farhan mengusap rambut isterinya itu dan terus beredar daripada situ. Dia tahu Myara malu kerana masih terlalu baru untuk dia bicara mesra dengannya. Mayra cepat-cepat ke bilik mandi dan apabila sudah selesai memakai baju,  Farhan masuk semula ke dalam bilik. Farhan yang baru sahaja mahu membuka bajunya ditegah oleh Mayra.
“Saya tak sedia.” Cepat-cepat Mayra berdiri.
“Bersedia apa?” Farhan menyoal kembali.
“Abang nak mandi. Nak solat asar. Mayra tunggu abang ye, kita solat berjemaah.”
“Ooo...” Mayra termalu sendiri dan terus berlari keluar. Dalam perjalanan turun ke bawah sempat lagi dia menampar bibirnya berkali-kali. Tak malu sungguh aku ni. Mesti dia kata aku perasan, gerutu hati Mayra. Farhan di dalam bilik menggeleng dan ketawa.
Dia memandang wajahnya di cermin.
“Takkanlah aku ni gelojoh sampai begitu sekali.”
Mayra memeluk mamanya daripada belakang. Terkejut Puan Hanis dan terus mengusap kepala anaknya.
“Ish, anak mama ni salah peluk orang ni. Patutnya peluk yang di atas.”
“Mama ni.”
Puan Hanis menarik Mayra masuk ke dalam bilik tetamu. Tangan anaknya digenggam.
“Sayang mama... tahu tak, apabila seorang lelaki itu sudah menjadi suami kita, mereka juga menjadi ketua yakni khalifah kita. Mayra selalu tanya pada mama menagapa mama dan papa begitu bahagia. Kami bercinta selepas berkahwin. Debaran cintanya lebih hebat tau. Bukan maksud mama bercinta sebelum kahwin tu tak bagus tapi dua-duanya punya keistimewaan tersendiri. Sayang, cintailah dia maka dia juga akan turut mencintai Mayra. Walaupun kamu berdua tak pernah meluangkan masa berdua, tapi mama lihat cahaya cinta pada mata Farhan. Mayra perlu ingat, bukan mama yang memilih dia tapi Allah.” Pipi Mayra dikucup. Mayra tersenyum.
“Bukan masalah cinta. Mayra akui yang Mayra juga sukakan dia waktu pertama kali Mayra melihat dia tapi Mayra malu. Mayra gugup.” Akui Mayra.
“Sayang, biarkan masa berjalan dengan sendirinya. Rasai kebahagiaan itu dengan rela bukan keterpaksaan. Sentuhan seorang suami boleh meredakan kekalutan dalam jiwa Mayra.” Nasihat Puan Hanis lagi.
“Sentuhan seorang suami?”
“Ya, sentuhan Farhan... suami Mayra.”
Mayra tersenyum dan memeluk Puan Hanis agak lama.
“Doakan anak mama bahagia, ya?”
Puan Hanis mengangguk dan menepuk-nepuk pipi Mayra.
“Sudah, pergi naik atas.”
Mayra ketawa dan naik semula ke tingkat atas. Dia memegang tombol pintu dan membukanya dengan mata yang terpejam. Saat dia membuka matanya, kelihatan Farhan sudah siap berbaju melayu dan songkok dikepala. Sejadah sudah dibentangkan untuk mereka berdua solat berjemaah.
“Maafkan Mayra. Mayra turun bawah tadi.” Farhan cuma tersenyum. Mayra berdiri di belakang Farhan dan buat pertama kalinya dia solat berimamkan seorang suami yang sangat merdu alunan bacaannya. Air mata Mayra bergenang saat menadah tangan dan mendengar doa suaminya untuknya.
“Terima kasih Ya Allah menganugerahkan hambamu ini seorang wanita yang bergelar isteri buatku. Jadikanlah rumahtangga kami seperti jannah kecilmu di dunia. Aku bersyukur kerana kau hadiahkan rasa cintaku buat isteriku semewah ini. sesungguhnya kau maha Pemurah lagi Maha penyayang. Ampunilah dosanya dari kecil hingga dia menjadi isteriku. Akan kubimbing dia menjadi hambamu yang baik dan isteriku yang solehah. Ya Allah, selain ibuku... aku berdoa agar kau hindari rasa kasih sayangku buat wanita lain. Tetapkanlah rasa cintaku ini buat isteriku, Nurul Mayra. Aamiin.”
Sebaik sahaja Farhan menoleh ke belakang dia sendiri tergamam melihat air mata Mayra menitis laju.
“Semoga Allah hindarkan cinta Mayra buat lelaki lain. Tetapkanlah cinta Mayra hanya untuk suamiku, Ahmad Farhan,” ucap Mayra dan Farhan terus mengucup dahi isterinya.
“Sayang...”
Mayra mendongak.
“Terima kasih sudi menjadi isteri abang.”
Mayra cuma tersenyum dalam tangisan.

FARHAN sedar Mayra masih malu-malu. Tidak mahu memaksa, Farhan rela memberi Mayra masa untuk dia lebih tenang.
“Kalau Mayra tak mahu abang menyentuh Mayra, abang akan tidur saja di bilik tetamu. Abang tak mahu Mayra rasa terpaksa.” Lembut soalan yang diajukan pada Mayra yang sudah pun duduk berlunjur di atas katil. Farhan senyum tatkala melihat wajah Mayra yang tertunduk malu. Mungkinkah Mayra marah atau takut untuk berterus-terang? Farhan mengambil bantal yang terletak elok di sisi Mayra tetapi tangannya dipegang oleh Mayra dengan mata yang dikerlingkan sedikit. Ada riak manja di situ.
“Mayra kan hak abang. Macam mana kita nak menanam benih cinta jika saling berjauhan?” Soalan Mayra membuatkan Farhan melepaskan kembali bantal yang baru sahaja digenggamnya. Farhan ketawa kecil. Dikucupnya dahi Mayra buat kali kedua selepas upacara membatalkan air sembahyang semalam.
Malam yang berlalu menjadi detik indah bagi mereka berdua. Benar kata mamanya, biarkan masa berjalan dengan sendirinya dan rasai kebahagiaan itu dengan rela. Dia merasainya dan benar-benar rela.


“ASSALAMUALAIKUM.. good morning sayang,” bisik Farhan ke telinga Mayra. Buat seketika Mayra hanya menggerakkan kepalanya lantas satu kucupan singgah di ubun-ubun isterinya.
“Sayang..” Farhan berbisik lagi. Selepas solat Subuh tadi Mayra yang keletihan tertidur semula di katil. Farhan memangku kepala Mayra dan dia tersenyum lucu apabila Mayra cuma memeluknya tanpa membuka mata.
“Abang dah siapkan sarapan. Bangun, sayang. Nanti kita nak pergi honeymoon.” Gelak Farhan. Rambut Mayra dilurut perlahan. Membulat mata Mayra memandang Farhan yang cuma mengangguk.
“Mayra terlupa buat sarapan.”
“Tak apa, abang dah buat. Bangun, mandi semula kita bertolak ya?”
Mayra ketawa manja dan terus memeluk suaminya.          
“Eh, dah hilang malu dah? Malam tadi bukan main malu lagi.”
“Abang ni..” Mayra menekup mukanya dengan kain tuala yang dihulurkan oleh Farhan.
Puan Hanis gelak sendiri di dapur. Pandai Farhan mengambil hati  Mayra. Benar kata suaminya, Farhan seorang lelaki yang baik. Encik Azmin turun ke bawah dan mula menyuap bihun goreng ke dalam mulutnya.
“Sedapnya. Sayang masak ke?”
“Tak. Menantu abang yang masak.”
Terbeliak mata Encik Azmin mendengarnya.
“Farhan yang masak? Mayra mana? Sepatutnya dia yang masak untuk suaminya.” Encik Azmin mula mahu berleter gaya nenek tua.
“Dia penatlah abang. Macam tak faham pula. Esok dia pulalah yang masak.”
“Penat apanya? Bersanding pun tak nak. Akad nikah je.” Masih membebel. Puan Mayra berbisik ke telinga suaminya. Serta-merta gelak besarnya memenuhi ruang dapur.
“Lupa pula abang.” Dia terus menyuap bihun yang masih banyak di dalam pinggannya.
Puan Hanis memandang ke tingkat atas. Dia mengucap syukur tidak terhingga kerana hati Mayra terbuka dengan mudah menyayangi Farhan. Memang lelaki itu yang terbaik buat anaknya.



BAB 2

MEREKA di Pulau Tioman setelah 4 jam memandu dari Kuala Lumpur. Memang pinggang Mayra sedikit lenguh. Mujurlah Farhan memahami dan berhenti setiap jam di perhentian rawat dan rehat untuk mengisi perut yang kosong dan paling tidak pun untuk merehatkan pinggang Mayra yang mungkin lenguh. Dalam pada mereka berjalan masuk ke dalam resort sempat lagi Farhan menggosok pinggang Mayra.
“Sakit?” soal Farhan. Mayra menggeleng dan terus memaut lengan Farhan. Masuk sahaja ke dalam bilik, Mayra terus dicempung dan diletakkan di atas katil. Menjerit juga Mayra kerana terperanjat.
“Sayang rehat dulu. Nanti kita berdua jalan-jalan ya?” Farhan menggosok kepala isterinya yang sudah pun memeluk bantal.
“Abang, macam tak nak keluar. Kita duduk dalam bilik sahajalah. Dari sini pun boleh nampak pantai,” ujar Mayra dan Farhan yang sedang memasukkan beg pakaian ke dalam almari tersenyum nakal.
“Lain macam je permintaan.”
Mayra bangun dan duduk tegak. Dia merenung Farhan dan  mula meletuskan tawanya.
“Abang jangan fikir lain. Kenapa abang pandang Mayra macam tu?” Mayra memeluk bantal kepala dan sesekali dia menutup wajahnya. Farhan hanya berdiri dan menggeleng. Dia meneruskan kerjanya yang terbehenti sebentar tadi. Mayra menghampiri Farhan dan menyambung kerja Farhan memasukkan pakaian di dalam almari.
“Tak apa. Biar abang buat.”
“Tak apa, biar Mayra buat. Ini kan tanggungjawab Mayra. Abang pergi rehat. Nanti Mayra picitkan kaki abang. Mesti abang letih kan?”
“Tak, abang okey. Mayra pergi rehat.”
“Tak. Abang letih, biar Mayra buat.”
“Mayra nak tolong abang?” Farhan senyum. Mayra mengangguk sambil menyentuh pipi suaminya.
“Kita buat sama-sama ya, sayang?”
Mayra terus membantu Farhan mengemas apa yang patut. Setelah pakaian siap dimasukkan ke dalam almari baju, Farhan baring sebentar di daybed dan akhirnya terlena di situ begitu sahaja. Mayra duduk disisi Farhan dan merenung dalam-dalam wajah lelaki yang telah mencuri hatinya. Mata, hidung dan bibir Farhan ditelek dan Mayra tersenyum. Bibirnya didekatkan di pipi Farhan. Satu kucupan indah dari seorang isteri buat suami.
“Terima kasih abang. Mayra bahagia sekali dengan abang.” Rambut Farhan diusap dan apabila Farhan bergerak Mayra tertawa sendiri. Tangannya diambil dan Farhan meletakkan tangan isterinya itu dalam pelukannya. Mayra cuba menariknya keluar.
“Jangan ambil bantal peluk kecil abang, kalau tidak abang peluk bantal yang besar.” Farhan bersuara dengan mata yang terpejam. Mayra fikir Farhan mengigau dan dia cuba menarik tangannya lagi sehinggalah...
“Auww.. abang!”
Tubuhnya sudah pun berada di dalam dakapan Farhan.
“Teman abang tidur.” Pinta Farhan dan Mayra hanya membiarkannya sahaja. Akhirnya mereka berdua tidur berpelukan di atas daybed yang tidak sebesar mana itu.

PADA sebelah petangnya Farhan dan Mayra makan di sebuah restoran tidak jauh daripada situ. Itu permintaan Mayra. Mahu semuanya sederhana. Dia tidak mahu makan di hotel mewah kerana baginya apabila berduaan dengan Farhan segalanya akan jadi sempurna. Selepas makan, Farhan memimpin tangan Mayra yang malu-malu apabila dipandang beberapa orang lelaki tidak jauh daripada mereka. Mayra berbisik.
“Abang, Mayra malu orang pandang abang pegang tangan Mayra.” Dia menggigit bibir bawahnya. Farhan gelak.
“Sayang,  sepatutnya kita tak malu tau sebab tangan yang abang genggam ni tangan isteri abang. Biar semua orang tahu yang abang cintakan sayang.”
Mendengar jawapan ikhlas dari mulut Farhan, Mayra terus menggenggam tangan Farhan lebih erat lagi.
Mayra mencuri pandang wajah Farhan yang leka memerhatikan gelagat kanak-kanak bermain ombak kecil. Kadangkala wajahnya terhias sekuntum senyuman yang bisa mencairkan naluri kewanitaan Mayra. Perlahan-lahan jari telunjuk Mayra mengait jari kelingking Farhan.
“Kenapa sayang?” Farhan menyoal lembut. Pipi Mayra disentuh dan tangan Mayra digenggam dan dikucupnya. Mayra lantas menumpangkan  kepalanya pada bahu si suami.
“Abang rasa kita boleh bahagia?” Mayra bermain-main dengan jemari Farhan.
“Soalan Mayra sudah pun abang jawab malam semalam.” Farhan mengusik lagi.
“Lelaki kalau tak sayang pun masih mampu kan?”
“Siapa kata? Tanpa cinta tak akan ada feel tau.” Farhan memalingkan wajahnya ke sisi untuk melempiaskan senyuman lucunya. Mayra mencubit manja lengan Farhan.
“Abang berjanji akan berusaha sedaya upaya membahagiakan rumahtangga kita. Biar tanpa cinta pada awalnya, namun begitu ianya boleh dipupuk malah tak mustahil jika cinta kita lebih teguh daripada mereka yang bercinta sebelum diijabkabulkan.”
Mayra merenung sepasang mata Farhan.
“Terima kasih.” Ucapnya dan farhan dapat merasakan perasaan Mayra melalui getaran suaranya.
“Apa saja untuk sayang.” Balas Farhan. Mayra lega. Perasaannya lebih tenang ketika ini setelah mendengar kata-kata Farhan. Impiannya kini cuma mahu membina rumahtangga mereka berdua penuh dengan rasa cinta. Dia mahu Farhan berbangga punya isteri sepertinya dan yang pasti dia akan lakukan apa sahaja demi Farhan.

SEBELAH malamnya mereka hanya duduk berbual di bilik kerana Mayra rasa kurang sihat. Mungkin kerana banyak berjalan pada siangnya. Farhan menonton televisyen sambil tangannya membelai rambut Mayra. Telefon bimbit Farhan berbunyi. Setelah melihat di skrin, kening farhan berkerut dan riak wajahnya seperti kurang senang dengan panggilan itu. dia mula berbelah bahagi. Mahu menjawab di hadapan Mayra atau pun tidak. Jika dia menjawabnya di luar bilik, pasti Mayra akan mula menaruh syak. Mahu atau tidak, Farhan menjawabnya di situ juga. Mayra memandang.
“Vee, sudah. Han dah kahwin. Yang lepas tu lepas.”
Mayra mula rasa tak sedap hati. Tubuh yang pada awalnya menumpang pada badan Farhan kini ditegakkan.
“Cerita kita dah lepas. Kita sama-sama mahukan perpisahan itu. Lagipun memang Vee juga yang minta berkali-kali agar hubungan kita diputuskan. Yes!” Suara Farhan sedikit tegas.
“Han cintakan dia. Sangat-sangat mencintai dia. Sudahlah Vee, bukan ke dia yang paling ideal buat Vee? Sekarang Han dah dapat wanita yang Han cari selama ini. Apa yang mustahilnya? Kalau kita dianugerahkan cinta, tak mustahil jika hanya sekali pandang Han boleh jatuh cinta.” Farhan terus menutup telefon bimbitnya. Muka Farhan sedikit tegang. Vanida benar-benar merosakkan mood Farhan pada malam itu.
“Abang keluar sekejap.” Farhan mengucup dahi Mayra sebelum kakinya melangkah keluar. Mayra memegang dadanya. Ada rasa pedih di situ. Dia cuma mampu memandang telefon bimbit yang sengaja Farhan tinggalkan.
Farhan berjalan keluar dan duduk di bangku yang disediakan oleh  pihak resort. Dia menarik nafas dalam-dalam. Untuk apa Vanida mencarinya di saat dia sudah pun merasai kebahagiaan rumahtangga bersama Mayra?
“Mayra... Ya Allah, apa aku buat ni. Kenapa perlu aku tinggalkan dia disebabkan Vee?” Farhan bangun dan terus pulang ke biliknya. Tombol pintu dibuka dan kelihatan Mayra memandang ke luar tingkap dengan tangan yang menggenggam kain langsir. Tubuh Mayra dipeluk daripada belakang.
“Maafkan abang. Tak sepatutnya abang tinggalkan Mayra tadi. Dia...”
“Mayra tahu siapa dia. Mama pernah cerita.” Mayra memotong kata-kata Farhan.
“Abang ingat Mayra akan menangis.” Farhan meneliti wajah kesayangannya tanpa rasa jemu.” Mayra senyum.
“Tak abang. Mayra memang nampak lembut tapi jiwa Mayra tak begitu. Kita punya sejarah masing-masing dan mama dah ingatkan Mayra yang musuh utama sesebuah perkahwinan yang dibina dengan lelaki yang pernah mempunyai kekasih adalah sejarah silamnya. Jika Mayra tak meletakkan kepercayaan Mayra pada abang, bagaimana Mayra nak bahagia. Mayra pegang satu sahaja... Jika abang mencintai Mayra dan cinta abang itu memang ikhlas, datanglah seribu wanita sekalipun hati abang ini takkan tergoda walaupun sedikit.” Dada Farhan disentuh.
“Terima kasih Mayra. Abang beruntung punya isteri setabah Mayra.” Perlahan-lahan Mayra memeluk suaminya. Dia perlu menenangkan kegelisahan di hati Farhan. Vanida... Dia perlu tahu lawannya bukan calang-calang wanita.



BAB 3

Sudah seminggu mereka pulang dari berbulan madu dan mereka berdua sudah pun berpindah ke rumah milik Farhan. Rumah yang sudah pun Farhan miliki empat tahun lalu itu dihias mengikut citarasi isterinya yang tercinta. Sedang leka mereka berdua menonton televisyen, Farhan mendapat panggilan telefon daripada seseorang. Sebaik sahaja mematikan talian, Farhan keluar dengan wajah yang kelat. Mayra mengintai dari dalam rumah sahaja.
Mayra hanya memerhatikan daripada jauh akan Vanida yang menepuk-nepuk dadanya dengan perasaan marah tatkala tiada respons yang diterima daripada Farhan. Hanya tangannya sahaja yang menyeluk kocek seluar tetapi pandangan mata Farhan hanya statik menjauhi mata Vanida.
“Tak bolehkah Han maafkan Vee? Bukannya susah pun kan? Mana perginya cinta Han pada Vee? Semudah itu Han lupakan Vee dan berkahwin dengan perempuan tu!” Vanida menempelak dengan wajah yang merah padam. Farhan akhirnya memandang juga mata Vanida.
“Perempuan? Perempuan tu punya nama. Nama dia Mayra. Tolong sebut dengan sopan nama isteri Han.” Farhan tegas kali ini. Mencebik Vanida mendengar pembelaaan itu.
“Sayang...” Panggil Farhan dengan lembut. Mayra menghampiri mereka berdua dengan senyuman yang tidak pasti sama ada manis atau pun pahit. Dia menghulurkan tangannya dan langsung tidak disambut oleh Vanida.
“Ini isteri Han, Mayra.” Terus pinggang Mayra dirangkul merapatinya. Vanida merengus dan masuk ke dalam kereta. Pintu kereta di tutup dengan kasar hingga memeranjatkan Mayra yang kemudiannya menoleh pada Han yang hanya menggeleng.
“Bekas tunang tak jadi.” Jawapan Farhan lebih mengelirukan Mayra.
“Maknanya bekas kekasih? Ini ke kekasih abang yang nak hantaran sampai 57 ribu tu?” Soal Mayra telus. Farhan ketawa besar dan menggosok kepala isterinya.
“Abang laparlah sayang.”
Mayra ketawa seraya menggenggam tangan suaminya masuk ke dalam rumah. Nasi hujan panas sudah pun  siap terhidang di atas meja makan. Biarlah kisah Vanida itu pergi. Tidak sesekali Mayra akan cuba mengungkitnya. Adalah satu kesilapan yang besar jika seorang isteri mengungkit kisah cinta suaminya yang sudah berlalu. Dia masih ingat pesanan mamanya tetapi dia tetap seorang isteri. Rasa bahagianya sedikit tercabar dengan keberanian  Vanida datang ke rumah mereka. Selesai makan tengahari Farhan hanya duduk menonton filem kegemarannya tetapi mula rasa sedikit pelik. Mayra tidak menemaninya seperti biasa. Perlahan-lahan kakinya diatur menuju ke dalam bilik dan bagai sudah dijangka oleh Farhan akan situasi itu. Sekuat mana pun wanita itu, air mata juga yang akan melemahkannya.
“Sayang...” Farhan menarik perlahan tubuh  Mayra ke dakapannya. Wajah yang tertunduk ke bawah itu dapat diteka emosinya oleh Farhan. Masih menyembunyikan wajahnya, Mayra berdalih mahu ke dapur  namun begitu Farhan masih belum mahu melepaskan pelukannya.
“Abang, Mayra nak ke dapur.”
“Sayang marah sebab Vee datang ke sini tadi ya?” Farhan berbisik perlahan. Nak mengaku? Mayra juga punya ego. Tidaklah dia mahu rasa cemburunya itu kelihatan ketara pada mata Farhan.
“Mana ada. Mayra nak kemas dapur.”
“Habis, kenapa sayang tak nak pandang abang? Kalau tidak, nak mandi pandang abang, nak masak pandang abang dulu. Jadi malu pula pandang abang?” dieeratkannya lagi pelukannya hingga membuat Mayra tersenyum. Setelah melihat senyuman itu terbit dari wajah comel Mayra barulah Farhan melepaskan pelukannya. Itu pun sedikit demi sedikit.
“Orang dah okey, abang tak nak peluk pula.” Berkerut kening Mayra. Telapak tangannya menampar perlahan dada Farhan. Dengan tawa yang lucu, Farhan memeluk kembali Mayra malah didukung isterinya itu terus ke dapur.
“Abang buat apa ni?”
“Servis penghantaran percuma. Nanti kalau Mayra nak keluar dari dapur panggil abang. Abang dukung bawa ke tandas pula.”
“Abang!”
Farhan meletakkan tubuh isterinya di kerusi.
“Duduk sini diam-diam. Biar abang basuh pinggan ni ya?” Farhan mula menyingsing lengan bajunya. Mayra berdiri dan turut mengingsing lengan bajunya.
“Abang sabun, Mayra bilas,”ujar Mayra. Farhan mengangguk dan mengenyit matanya dengan mulut yang sengaja dimuncungkan. Nampak nakal!
Hati Mayra sedikit terubat kerana Farhan memang bijak mengawal situasi. Dia juga memang pandai memujuk Mayra. Terfikir juga Mayra buat apa dia mahu bertelagah dengan lelaki yang mencintainya semata-mata kerana gangguan wanita bernama Vanida itu? Dia perlu kuat, malah perlu bongkak di hadapan wanita yang sebolehnya mencari setiap inci kelemahan yang ada pada dirinya.


PAGI ahad begini memang Farhan suka menghabiskan masa bersama-sama Mayra. Dia membaca akhbar di daybed biliknya. Matanya tidak memandang Mayra yang cuba menghampiri.
“Baca apa?”
“Yellow pages.” Sengaja mengusik Mayra. Dengan jelingan, Mayra duduk di atas katil mengadapnya. Menyedari isterinya sedang memandangnya dengan mata yang mengecil Farhan segera menggamit Mayra agar baring dalam pelukannya.
“Mari sayang, abang bacakan. Sayang baring dekat abang.”
Mayra senyum lebar dan terus menjatuhkan tubuhnya di samping Farhan  Kepalanya diletak kemas di dada Farhan yang mula membacakan akhbar buat isterinya.
“Kenapa dia nak bunuh anak dia?” Mayra menyoal dan mendongak. Farhan tunduk sedikit memandang Mayra.
“Sayang rasa kenapa?”
Mayra membetulkan kepalanya dan memegang pula akhbar untuk menggantikan tangan Farhan yang sudah lenguh.
“Bagi Mayra bacakan pula,” Mayra mula membaca dan Farhan mengucup rambut isterinya. Dibelai kepala Mayra yang terletak elok di atas dadanya. Bukannya dia dengar sangat apa yang dibacakan oleh Mayra. Rambut Mayra lebih menarik perhatiannya.
“Kan, abang?” soal Mayra. Tiada respons.
“Kan, abang?” Masih lagi mahu menyoal. Mayra memusingkan badannya dan Farhan sedikit terkejut.
“Abang tak dengar Mayra baca ye tadi?”
Farhan gelak. Mayra menegakkan tubuhnya dan mencubit pinggang Farhan hingga meletus tawa besar yang membuatkan dirinya juga ketawa. Kedua belah tangannya dipegang oleh Farhan agar cubitan itu tidak singgah lagi ke pinggangnya.
“Sayang ni kuat mencubit.” Mayra cuba menggigit Farhan pula. Dengan tenaga yang ada Farhan menjatuhkan Mayra hingga terbaring di daybed. Tangan kanannya memegang kedua belah tangan Mayra dan sebelah lagi menggeletek Mayra hingga tawa Mayra memenuhi ruang bilik tidur mereka. Tidak tahan digeletek begitu, air mata Mayra keluar kerana terlalu banyak ketawa.
“Ok..ok. Mayra kalah.”
Farhan tak peduli. Dia terus menggeletek tapak kaki Mayra pula.
“Abang!!” Mayra ketawa lagi. Farhan melepaskan tangan isterinya dan terus berlari turun. Dia tahu Mayra akan membalasnya pula. Mayra terbaring keletihan. Tak kuasa dia nak mengejar Farhan. Sakit perutnya digeletek sebegitu. Perangai Farhan kadangkala mengalahkan anak kecil. Mayra bangun dan baring di katil. Dia memeluk bantal peluk sambil tersenyum. Matanya terbuka apabila tangannya yang sedang memeluk bantal peluk itu diangkat sedikit. Farhan mengetepikan bantal peluk itu dan menggantikan dirinya untuk didakap Mayra.
“ Abang cintakan Mayra.” Farhan menentang mata Mayra dan tangan Mayra semakin erat mendakap tubuh Farhan. Selesa berada di dalam dakapan lelaki yang amat mencintainya.

MAYRA baru sahaja selesai memasukkan barang-barang keperluan harian ke dalam bonet keretanya. Dia didatangi Vanida yang sentiasa sinis memandangnya.
“Kau tahu tak yang dia masih lagi mencintai aku?” Tanpa kata permulaan dan salam Vanida terus membakar hati Mayra.
 “Oh, iya ke?” Mayra sempat lagi menghadiahkan senyuman sinisnya buat Vanida.
“Rasanya kau ni tak tahu malu agaknya. Rampas kekasih orang lain. Dia hak aku tapi kau yang rampas.” Vanida menambah air bisa dalam percakapannya tetapi dia silap, Mayra sedikit pun tidak melatah dengan kata-katanya malah Mayra sempat ketawa kecil.
“Hak? Hmm... jari siapa yang berinai ye?” Mayra memandang jari jemarinya sendiri dan kemudiannya menyentuh cincin perkahwinan di jari manisnya.
“Jari manis siapa yang punya cincin nikah pemberian Farhan ye? Boleh tengok jari tak? Manalah tahu kalau incin nikah awak tu lagi besar dari cincin nikah saya. Ops, itu pun kalau Farhan yang bagi. Kalau bukan Farhan yang bagi, sorry, i tak berminat nak tengok pun.”  Mayra menutup bonet kereta dan terus masuk ke dalam. Cermin keretanya dibuka sedikit.
“Cik penjaga parking, boleh tepi sikit tak? Suami saya nak makan sup hari ni, kalau terlanggar kaki cik, dengan kaki-kaki cik ni saya buat sup nanti.” Mayra senyum dan terus meninggalkan Vanida yang menjerit geram. Memang tak boleh buat apa lagi. Mayra bukan mudah untuk melenting seperti jangkaannya. Mayra ketawa sahaja di dalam kereta sambil matanya memandang cermin atas.
“Hello, sayang.” Mayra menelefon Farhan di pejabatnya.
“Hai sayang abang. Kenapa Mayra?”
“Nak makan sup tak?”
“Nak. Sup apa?” Farhan menyoal kembali.
“Sup kaki Vanida.”
Terdengar tawa Farhan yang panjang. Dia memang sudah agak perkara ini akan terjadi. Mujur, Mayra bukan seorang wanita yang cemburu buta. Farhan masih ketawa mengenangkan betapa tertekannya Vanida dengan sikap Mayra.


3 comments: