Tuesday 3 March 2015

CERPEN|KEHADIRAN

DEDAUN yang berguguran Alina kutip dan ruas daun itu disentuh perlahan. Tempat itu mengingatkan dia tentang Fatah yang seringkali membawanya ke sana untuk berbicara tentang cinta. Kaki yang bersila tadi dipeluk lututnya dan kepala Alina tertunduk sayu. Menggigil tangannya menahan sebak yang semakin menghimpit rasa. Jiwanya kosong sejak Fatah pergi tetapi untuk apa dia masih di situ sedangkan segalanya sudah berakhir? Mengapa perlu kakinya ringan sahaja menapak ke tempat itu hanya sekadar mengenang kisah lalu yang manis tetapi terasa pahit tatkala memori itu terhenti disapa realiti. Perlahan-lahan dia mengasak kudratnya agar berdiri  dan pergi dari situ agar kesakitan itu akan beransur hilang biarpun tidak mungkin akan terjadi. Rambutnya diikat semula dan Alina berjalan perlahan sambil merenung sepasang burung yang sedang bermian cinta di dahanan. Senyumannya terlorek tapi untuk seketika sahaja.  Dia menyentuh dadanya yang semakin sakit. Mengapa perlu diingatkan Fatah atas segala apa singgah di hadapan matanya. Alina berjalan laju ke keretanya untuk terus pulang ke rumah.

        “Untuk apa Alina menyeksa diri Alina sebegini?”

      Suara yang menerjah pendengarannya itu membuatkan Alina berhenti melangkah tetapi tidak sekali pun dia mahu menoleh ke arah empunya suara. Zahid menghampiri isterinya yang masih mengepal kedua belah tangannya menahan sakit hati apabila tindakannya mengenang cinta bersama Fatah dipersoal.

       “Abang tiada apa makna langsung pada Alina ke?” lembut soalan yang diutarakan. Aline memaling ke sisi. Menyongsang daripada melihat wajah suaminya yang masih setia di sisi. Dia tahu Zahid terluka tetapi dia lebih terluka apabila terpaksa berkahwin dengan Zahid di saat hatinya sedang dirundung kesedihan kerana ditinggalkan Fatah yang tidak mahu berjuang dmei cinta mereka.

      “Kalau bukan sebab awak, saya takkan kehilangan dia.” Tuduhan Alina sedikit melukakan Zahid. Keluhan dilepaskan dan tangannya cuba membelai rambut yang diikat satu itu tetapi Alina lebih awal mengelak.

      “Abang tak pernah tahu mengenai cinta kalian. Abang tak sangka mama terima pinangan abang walaupun tahu Alina sudah mempunyai seseorang di dalam hati. Abang minta maaf, sayang.”

      “Jangan panggil saya sayang, Zahid.”

     “Bukan Zahid tetapi abang. Alina boleh membenci abang tapi satu sahaja yang abang pinta, lembutkanlah lidah itu untuk memanggil suamimu ini dengan perkataan yang lebih indah, Alina. Abang tak minta Alina memanggil abang dengan perkataan sayang, sepertimana isteri bahagia yang lain. “ Zahida tersenyum tawar dan hanya memerhatikan Alina yang menapak naik ke biliknya. Zahid merenung gambar perkahwinan mereka. Jelas, tiada riak bahagia pada wajah isterinya itu. Berdosakah dia memisahkan Alina dengan Fatah? Bukankah jodoh itu ketentuan Allha malah dia sendiri tidak akan melamar Alina jika tahu ainya akan memusnahkan perasaan wanita itu sehingg menimbulkan rasa benci terhadapnya.

ALINA menghidangkan makan tenghari buat Zahid yang baru sahaja selesai menunaikan solat Zohor. Zahid turun dan duduk di meja. Alina tidak mahu turut serta dan itu membuatkan Zahid hilang selera makan. Dia masih mampu menyimpulkan senyumannya apabila Alina memandang sekilas. Zahid mencapai segelas air kosong dan meneguknya beberapa kali sebelum bangun dan beredar. Alina tersentak.

      “Awak tak mahu makan?”

      “Abang hanya akan sentuh sesuatu yang nampak ikhlas Alina sediakan. Memasak untuk seseorang yang dibenci takkan ada keikhlasannya apatah lagi kasih sayang. Makanlah sayang. Mungkin jika abang makan bersama Alina selera makan itu akan menjauh. Sekurang-kurangnya biarlah waktu makan ini menjadi saat paling bahagia dan tenang buat Alina.” Zahid naik semula ke biliknya. Entah mengapa air matanya boleh menitis apabila mendengar kata-kata Zahid.

      Aku ikhlas Zahid menyediakan masakan ini buatmu biarpun tanpa cinta di hati. Sungguh, jikalah boleh bibir ini menuturkan betapa aku mahu kau menjamahnya. Aku tahu kau terluka dengan kata-kataku tadi. Aku faham Zahid! Wahai hati, kejamnya kau kerana masih menyimpan nama Fatah sehinggakan aku tak mampu menerima Zahid.

      Alina tak mampu menyuap makanan ke dalam mulutnya lagi. Pinggannya dibasuh dan perlahan-lahan dia turut sama naik ke tingkat atas. Bilik Zahid dikuak perlahan dan lelaki itu sedang baring dengan mata yang terpejam rapat. Alina menutupnya semula tetapi tombol pintu masih digenggam seolah-olah tidak mampu untuk melepaskannya.

      Dia belum makan. Pagi tadi pun dia cuma makan sekeping roti yang dia sediakan sendiri. Pasti dia kelaparan nanti. Ya Allah....

     “Alina nak apa-apa ke?”
 
        Alina sedikit terkejut apabila Zahid menyoalnya dari dalam bilik. Tombol pintu Zahid pulas dan mata mereka berdua bertentangan. Lidah Alina tak mampu untuk menuturkan sebarang perkataan tungal sekalipun. Dengan pandangan yang dijatuhkan Alina mula bersuara.

        “Awak turun makan. Saya akan cedokkan nasi. Saya ikhlas.” Alina terus turun dan Zahid pula yang terkedu di situ. Dia memandnag Alina yang baru sahaja turun ke bawah. Zahid menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskannya. Dia menuruni anak tangga dan duduk di meja makan. Alina menghulurkan pinggan yang telah lengkap diisi nasi, ayam goreng dan kuah asam pedas tanpa ikan. Zahid senyum sedikit., Tidak sangka Alina peka yang dia tidak berapa suka makan asam pedas bersama ikannya sekali. Alina kembali ke tempat duduknya di hujung meja makan.

       “Kalau ikhlas, makan sebelah abang.” Zahid menunggu Alina yang serba-salah. Pinggan diangkat dan Alina meletakkannya sedikit jauh daripada pinggan Zahid. Baru sahaj dia melabuhkan punggungnya, Zahid menarik pinggan Alina lebih rapat lagi. Alina memandang Zahid yang mendekatkan pula kerusinya betul-betul di sebelah Alina. Pinggan Alina diambil dan nasi itu disatukan ke dalam pinggannya. Alina semakin tidak faham dengan apa yang Zahid mahu lakukan. Tangannya menjemput nasi serta ayam yang dikutil tadi dan kemudiannya menyuakannya ke mulut Alina. Zahid senyum dan masih menanti Alina menyambut suapan itu.

      “Jangan risau, abang takkan tuntut apa-apa untuk apa yang telah abang buat ini. Selagi Alina belum bersedia abang tak akan bicara soal itu.”

    Alina menerima suapan itu dan sebaik sahaja mengunyahnya, Zahid menghulurkan lagi suapan kedua. Alina merenung mata Zahid dan dia nampak keikhlasan dalam mata itu yang dia tidak pernah lihat sepanjang dia mengenali Fatah. Alina cuba untuk menyambut suapan itu tetapi dia cuma mampu menekup mulutnya. Alina berlari naik ke biliknya. Dia menyembamkan wajahnya ke bantal dan menangis teresak-esak. Zahid menurunkan tangannya sambil menarik nafas sedalam yang boleh.

       Zahid mengetuk pintu bilik Alina tetapi tiada jawapan. Dia membukanya dan melihat bahu Alina terhenjut-henjut menahan sebak di sebalik air matanya yang mengalir . Zahid mendapatkan Alina dan duduk di sisinya. Rambut Alina diusap perlahan.

      “Abang nak makan dengan Alina.  Boleh Alina temankan?”

Tiada jawapan.

     “Seorang isteri sepatutnya menangis di dalam dakapan suaminya. Meletakkan kepala dan segala resah hati di bahu lelaki yang menjadi pembimbingnya. Alangkah baiknya kalau Alina melepaskan segalanya di...”

    Belum sempat Zahid menghabiskan kata-katanya, Alina sudah pun mendakapnya dengan esakan. Zahid terkedu sendiri. Perlahan-lahan tangannya membalas pelukan itu. Zahid mengucup dahi Alina buat pertama kalinya selepas kucupan pertama pada hari pernikahan mereka.

PART II

Zahid menyusun kesemua buku pelajar yang akan diserahkan semula keesokan harinya. Sedang buku-buku itu dimasukkan ke dalam beg jingjit, pintu biliknya terbuka. Zahid tergamam di situ apabila melihat sebiji bantal berada di dalam pelukan Alina.
“Malam ni Alina mahu menemani malam suami Alina,” wajahnya ditundukkan sedikit. Zahid terpaku di situ malah masih tidak mampu berganjak biarpun pintu itu sudah ditutup olah Alina.
“Boleh Alina tidur di sini?” Alina menyoal lagi.  Zahid akhirnya mengukir senyuman dan tertunduk dengan tawa kecil.
“Abang yakin abang tak mampu mengawalnya nanti kalau Alina baring di sisi abang sepanjang malam,” Zahid cuba mengingatkan.
Renungan mata yang jaraknya cuma seinci itu tidak mungkin Zahid jauhkan lebih-lebih lagi apabila jemari Alina mula mencengkam lembut baju melayu pada bahagian dadanya. Zahid masih merenung dan renungan itu menggetarkan seluruh jiwa Alina yang sudah semakin tidak mampu untuk mengendahkan rasa cinta yang mula menyapa. Cintakah ini? Alina bermonolog sendiri seraya menyembamkan wajahnya ke dada Zahid.
"Abang..."
Zahid memejam matanya apabila panggilan 'abang' itu diungkapkan dengan nada paling lembut yang pernah Alina lontarkan selama ini.
Belum sempat dia meneruskan ayatnya, tubuhnya kini sudah pun didakap Zahid. Dengan kudratnya, tubuh Alina dicempung dan letak perlahan di atas dada katil.
Saat wajah Zahid mula merapati wajah Alina, matanya mula tertutup rapat.
“Abang cintakan Alina. Izinkan abang...” Bisik Zahid. Alina tersenyum malu.

ZAHID mengambil tangan Alina yang terbaring di sisinya dan meletakkan tangan itu ke dadanya. Zahid berbisik.
"Rasa tak degupan jantung ini? Inilah yang abang rasa sewaktu pertama kali mengucup dahimu sewaktu hari pernikahan kita, sayang." Dahi Alina dikucup agak lama. Alina menarik semula tangannya untuk mengesat air mata yang sudah pun mengalir di pipi.
"Abang, derita Alina beransur pergi setelah Alina menjadi hak abang sepenuhnya. Hati ini..." Alina menyentuh dadanya dan kemudian meletakkan pula tangan itu ke dada Zahid.
"Hak abang sepenuhnya dan Alina berjanji akan mencuba sedaya upaya Alina untuk menjadi isteri yang baik buat abang. Terima kasih untuk malam paling indah dan bermakna dalam hidup Alina," ucapan itu diakhiri dengan dakapan cinta buat si suami. Zahid memeluk erat tubuh Alina tanpa mampu meleraikan pelukan itu biar pun sesaat.
“Abang..” Alina mendongak pada Zahid yang menjatuhkan pandangan pada Alina yang melentok manja dalam pelukannya.
“Cintai Alina sepenuh hati abang ya?”
Zahid mengangguk lalu tersenyum panjang.  Doanya diperkenankan juga walaupun mengambil sedikit masa.

ALINA mengikat kain langsir. Rumahnya kini dihias dengan penuh rasa cinta yang membara tidak seperti sebelum ini. Zahid pulang dari mengajar di sekolah dan menapak ke arah Alina. Pinggang itu dirangkul dan pipi itu dikucupnya.
“Abang rindukan sayang. Sayang rindu abang?” Soal Zahid. Alina memusingkan tubuhnya menghadap Zahid.
“Sangat-sangat cikgu Zahid!”
Tertawa Zahid mendengarnya dan dia memimpin tangan Alina ke sofa, Zahid menghenyakkan punggungnya dan menepuk paha beberapa kali menyuruh Alina agar duduk di atasnya. Alina yang ketawa lucu terus melabuhkan punggung ke atas ribaan suaminya. Tangan Zahid sekali lagi melingkari pinggang isterinya.
“Sayang abang masak apa hari ni?”
“Masak kari ayam, ayam goreng dan sayur campur.” Alina pula memaut leher Zahid.
“Semua ayam?”
Alina mengangguk menjawab soalan Zahid yang tersenyum lebar . Dia bangun dan mengajak suaminya makan bersama. Kali ini Alina pula ingin menyuapnya walaupun Zahid mengelak untuk tidak menyusahkan isterinya. Atas pujukan yang tak putus-putus akhirnya Zahid menyambut juga suapan Alina. Entah mengapa sejak Alina membuka hatinya buat Zahid, kebahagiaan itu mula menerpa masuk ke ruang hatinya tanpa sempadan. Dia mencintai Zahid setulus hatinya dan mula melupakan cinta yang mencengkam emosinya sebelum ini.

YAHYA tidak mahu buka mulut tatkala Fatah mula mendesak agar memberitahu di mana Alina tinggal. Buat apa dia memberikan ruang untuk Fatah mengucar-ngacirkan kebahagiaan anaknya? Yahya hanya menoleh keluar walaupun Fatah merayu berkali-kali. Izzan memandang suaminya yang tidak mahu memberikan sebarang respons. Nampaknya dia yang terpaksa membuka mulut untuk memujuk Fatah agar melupakan Alina.

 “Lepaskanlah Alina daripada rasa cinta Fatah itu. Alina sudah boleh menerima Zahid sekarang. Makcik pohon agar Fatah kasihankanlah Zahid dan Alina.” Izzan mengerling seketika suaminya yang mengeluh panjang.

“Dahulu masa aku merestui hubungan kamu berdua, banyak sekali alasan yang kamu berikan. Kamu tak mahu bernikah dengan Alina sehinggalah kamu mampu membeli sebuah rumah. Jika kamu tak bekerja dan berusaha jangan kata rumah, reban ayam pun kamu takkan dapat beli, Fatah. Kamu berbeza sekali dengan Zahid yang berusaha bersungguh-sunggh mendapatkan Alina.Sebelum itu pun pakcik dah banyak beri peluang pada kamu tapi kamu masih teruk seperti dulu. Duit gaji Alina kamu habiskan untuk kereta kamu. Alina tu bukan lubuk duit kamu, tahu tak?!” Meninggi suara Yahya sehinggakan wajah Fatah tertunduk.

“Itu dulu tapi sekarang saya sudah bersedia menanggung Alina.” Fatah cuba mempertahankan dirinya.

“Dia sudah menjadi isteri Zahid. Walaupun kamu merayu sekali pun kamu takkan dapat dia, Fatah. Carilah wanita lain.” Yahya masih lagi boleh bersabar. Fatah bangun dan terus menendang kerusi di hadapannya sebelum berlalu pergi dengan rasa marah. Izzan menggeleng. Kalau masih begini sikapnya, Alina takkan bahagia jika menjadi isterinya. Pilihan suamiku tepat untuk menjodohkan Alina dnegan Zahid, Izzan mengeluh.

ALINA menggenggam jemari Zahid dan berjalan berduaan di taman. Mengejutkan, kerana dia langsung tidak berduka apabila menjejaki taman itu seperti sebelumnya. Belaian Zahid membuatkan dia lupa pada Fatah. Jika tidak, pohonan bersebelahan batu besar itu mampu membuatkannya menitiskan air mata. Zahid menyelitkan rambut isterinya ke celah telinga.

“Sayang tentu cantik bila berhijab. Muka ini akan bertambah serinya,” Zahid cuba memujuk. Alina mengerti dan dia berhenti melangkah.
“Abang belikanlah Alina tudung.”
Zahid ketawa dan pipi Alina disentuhnya. Mata itu direnung dalam dan kali ini Alina tak mampu menundukkan wajahnya seperti selalu., dia mahu terus menentang mata itu dengan perasaan cinta.
“Alhamdulillah... Terima kasih sayang. Abang bahagia hidup bersama Alina. Sangat bahagia.”ucap Zahid dan Alina menumpangkan kepalanya pada bahu Zahid.
“Alina cintakan abang,” ucapnya perlahan.
“Abang juga,” Balas Zahid dengan nada yang sama dan jawapan itu membuatkan Alina tersenyum lebar. Fatah yang melihatnya dari jauh menggenggam penumbuk. Sakit hatinya apabila wanita yang dicintainya itu berada di dalam pelukan lelaki lain. Lebih menyakitkan hati Fatah apabila Alina tidak mahu melepaskan rangkulannya pada tubuh Zahid yang sedang asyik berbisik ke telinganya. Gelak tawa Alina membuatkan hati Fatah bagai dilempar jauh sehingga terhempas lalu pecah.


ZAHID yang mengajar pada sebelah pagi awal-awal lagi berpesan pada Alina mahu makan kari udang galah pada hari itu dan Alina dengan penuh semangat keluar ke pasar untuk membeli bahan-bahan yang perlu ada untuk menyediakan makanan kegemaran Zahid itu.  Baru sahaja keluar daripada kereta, Fatah sudah menahannya dengan tangan yang didepakan.

“Alina curang dengan abang!”
Alina tergamam dan tak mampu untuk mengeluarkan sepatah perkataan pun.

“Mana cinta Alina pada abang?!” Jerkah Fatah. Alina tunduk kerana tidak mahu menatap wajah yang dirinduinya suatu ketika dulu.
“Kenapa Alina buat begini pada abang?” Bertalu-talu soalan itu mengasak Alina memberikan jawapan.
“Jangan bahasakan diri Fatah dengan perkataan abang. Abang itu hanya untuk suami Alina.” Ayat Alina itu benar-benar mengejutkan Fatah. Dia mencengkam rambutnya.
“Hanya untuk dia? Kau memang jenis perempuan tak setia!” Bumbung kereta ALina ditumbuk kuat. Terkejut Alina dibuatnya. Alina mengesat air mata yang sudah pun berjuraian. Fatah mendekat tetapi dengan sepenuh tenaga Alina menolaknya lalu masuk semula ke dalam keretanya sbelum memecut pulang ke rumah tanpa sempat membeli apa-apa di pasar. Fatah menjerit bagai orang gila sewaktu melihat Alina pergi. Hatinya sudah hancur saat Alina mempertahankan cintanya pada Zahid.

PINTU dikuak dan Zahid mencari Alina di dapur tetapi tiada di situ. Dia kemudiannya naik ke tingkat atas. Esakan Alina membuatkan jantungnya berdebar. Tubuh Alina yang mengiring ditarik lembut oleh Zahid. Air mata Alina membuatkan hati Zahid tak keruan.
“Kenapa sayang?” Rambut Alina dikemaskan dan kepala Alina diletak ke ribaannya.
“Alina minta maaf tak sempat nak beli udang di pasar.”
“La, takkan sebab itu sayang menangis. Tak apa, nanti hari Sabtu kita pergi bersama ya?” Pujuk Zahid. Alina bangkit dan duduk menghadap Zahid.
“Abang, Alina cintakan abang. Alina tak mahukan dia lagi. Memang dulu Alina rindu pada dia tapi sejak ada abang Alina sudah tak fikirkan soal itu lagi. Hati Alina cuma ada abang,” Alina menangis teresak-esak. Dia sangat bimbang jika Fatah mula bermain kotor untuk memcah-belahkan rumahtangga mereka. Kening Zahid bertaut.
“Fatah ganggu Alina?” Teka Zahid dan wajahnya kelihatan serius sekali. Alina angguk dan menangis lagi. Zahid menarik tubuh Alina ke dalam dakapan sambil menggosok kepala isterinya itu agar bertenang.
“Alina cintakan abang... Percayalah abang. Alina tak nakkan dia lagi,” makin kuat esakan Alina sehingga meluluhkan hati Zahid.
“Ya, sayang. Syh... Abang tahu. Abang percaya pada Alina.” Pujukan itu nampaknya tidak mampu meredakan tangis Alina yang masih kuat memeluk tubuhnya.
“Sayang, dengar sini...” Zahid memegang kedua belah pipi Alina sebaik sahaja pelukan itu terlerai.
“Rumahtangga itu tunjangnya adalah kepercayaan dan abang sentiasa meletakkan sepenuh kepercayaan abang pada Alina. Jangan risau, abang akan jaga Alina. Jaga rumahtangga dan cinta kita.”
Alina angguk. Zahid bangun dan terus ke bilik air setelah mencapai tuala yang tersangkut. Sebaik sahaja pintu dikunci Zahid tersandar ke dinding bilik air. Kenapa? Kenapa hati ini masih punya perasaan bimbang jika kehilangan Alina? Zahid memulas kepala paip dan memandang wajahnya di cermin empat segi.Abang cintakan Alina melebihi diri abang sendiri. Kuat sayang, kuat demi cinta kita...


FATAH tidak peduli. Kali ini dia mengekori Alina yang dalam perjalanan ke rumah ibunya. Fatah memintas kereta Alina dan terus mengetuk pintu kereta yang bertutup itu. Alina berkira-kira untuk keluar. Dia tak patut menunjukkan ketakutannya pada Fatah. Lelaki itu hebat berkata-kata tetapi satu pun tak pernah selari dengan sikapnya. Alina keluar dan memandang Fatah tanpa air mata.

“Sejak adanya dia, Alina dah lupakan abang. Apa lebihnya dia? Dulu bukan main lagi berjanji takkan lupakan abang tapi bila abnag dah kembali, Alina menidakkan rasa cinta Alina itu buat abang! Abang akan pergi tinggalkan Alina jika Alina masih ego tak mahu mengaku tentang cinta Alina yang masih ada itu!” Memetir suara Fatah. Alina mengepal kedua belah tangannya. Hanya bayangan wajah Zahid yang tenang itu memberikannya kekuatan.

"Ya! kehadiran dia buat Alina tahu apa erti cinta. Kehadiran dia membuatkan Alina sedar tiada istilah berputus asa dalam cinta dan kehadiran dia membuatkan Alina membuka mata bahawa cinta seorang suami itu lebih indah daripada cinta yang sia-sia seperti apa yang Alina dan Fatah lalui bersama dahulu. Ketulusan dia, kasih sayang dia membuatkan hati Alina terbuka untuk terus mencintai dia tanpa meletakkan mana-mana lelaki lagi di dalam hati Alina. Sejak kehadiran dia... pintu hati ini telah lama tertutup buat Fatah. Ketahuilah sekelumit pun cinta Fatah tidak setanding cinta Zahid. sekelumit pun tidak!"
Fatah benar-benar terpukul dengan bicara Alina yang menyongsang daripada apa yang dia fikirkan sebelum ini. Sangkanya Alina akan memujuk rayunya seperti dahulu agar tidak pergi lagi buat kali kedua.  Alina masuk semula ke dalam kerta dan pergi meninggalkan Fatah yang benar-benar kecewa di situ.

FATAH bagaikan orang hilang pedoman. Semuanya serba tidak kena. Asyik mengintai Alina di rumahnya bersama Zahid. Setiap kali melihat Zahid membantu Alina menjemur kain dan bergurau senda di halaman rumah, hatinya pedih. Stering kereta menjadi mangsa amarahnya. Fatah menghentak kepalanya pada stering kereta dan membiarkan kepalanya di situ agak lama sehinggalah cermin keretanya diketuk. Fatah mengangkat kepalanya. Dia menelan air liur saat Zahid melemparkan senyuman buatnya. Fatah keluar.
“Assalamualaikum, kalau mahu bertandang ke rumah, silakan. Tak molek rasanya encik Fatah buat begini. Mari masuk ke dalam rumah dan kita berbincang."
Fatah merengus dan ingin masuk semula ke dalam kereta tetapi bicara Zahid membuatkannya masih berdiri di situ untuk mendengarnya.
"Saya mencintai dia walaupun saya tahu nama awak masih terpahat di hatinya. Saya tak mampu memaksa dia mencungkil keluar nama awak dalam masa yang singkat tetapi saya yakin cinta saya perlahan-lahan akan mengusir nama awak pergi tanpa dia sendiri sedari. Alina isteri saya walaupun bekas kekasih awak. Daripada hujung rambut sehingga hujung kakinya adalah amanah untuk saya pegang. Saya yang akan memikul setiap zarah dosa yang telah dan akan dia lakukan dengan itu, jangan sesekali terlintas di hati awak untuk menarik dia menjadi isteri yang nusyuz pada suaminya. Saya akan mendidik dia menjadi isteri yang solehah dan bukannya kekasih yang mencintai awak separuh mati sehingga melupakan dosa dan pahala," Zahid berbicara tegas sehinggakan mata Fatah mula membulat.
Top of Form

Bottom of Form
KEESOKAN harinya, Fatah tersenyum puas apabila bernasib baik mengekori Zahid dan Alina menuju ke Port Dickson untuk bercuti. Dendamnya tidak akan habis lebih-lebih lagi Zahid seakan mencabarnya semalam dengan ayat yang cukup bisa untuk didengari olehnya. Dia yang sudah pun diberhentikan kerja tidak peduli lagi dengan semua itu. Yang dia tahu cuma Alina. Alina dan Zahid duduk di sebuah resort tidak jauh dari kawasan pantai. Dengan gelak tawa yang manja Alina sentiasa mahu berada di samping Zahid. Seakan rindu jika tidak melihat wajah suaminya biarpun seketika. Zahid pula tidak pernah jemu melayan kemanjaan Alina terhadapnya. Setiap pelukan Alina pasti akan dibalasnya dan Alina benar-benar sukakan cara Zahid itu. Sanggup Fatah menyewa bilik hotel bertentangan dengan bilik hotel Zahid dan Alina untuk mengintai bekas kekasihnya itu.
Alina berdiri di balkoni sambil memandang pemandangan yang membiru itu dengan senyuman. Fatah senyum lebar. Wajah yang terukir senyuman tadi mula mencuka apabila melihat Zahid merapati Alina. Pinggang Alina dirangkul rapat mengenai tubuhnya dan Zahid tidak menoleh ke lain melainkan memanah pandangannya tepat ke dalam anak mata itu. Fatah sudah kegelisahan di tempatnya berdiri. Belakang jari telunjuk Zahid leka menyentuh lembut pipi Alina yang sudah kemerahan dengan sentuhan tak di duganya itu. Kedua belah tangan sudah dikepal dengan bibir yang mengetap geram. Memang Zahid mahu mencabar aku! Fatah menoleh ke sisi lain mengelak daripada matanya dijamu dengan pelukan mesra pasangan suami isteri yang nampak bahagia tidak jauh dari tempatnya berdiri.
Zahid menyinggahkan pula bibirnya ke dahi Alina yang tertunduk dengan senyuman dan perlahan-lahan Alina menggerakkan tubuhnya sedikit ke hadapan. Kali ini respons Alina membuatkan jiwa Fatah hampir terbakar hangus. Dia cuba mencuri pandang sekali lagi. Makin pedih hatinya tatkala melihat Alina memimpin tangan Zahid masuk ke dalam bilik itu dengan liuk lentuk menggoda. Dia masuk semula ke dalam biliknya dan melemparkan bantal sehingga bertaburan ke lantai.

“Alina tak nak keluar? Tak nak mandi pantai?” Soal Zahid dengan nada berbisik. Alina menggeleng dan hanya memicit lengan Zahid yang ketawa lucu.
“Kenapa abang ketawakan Alina?”
“Ni mesti nak apa-apa?” Zahid meneka dan Alina ketawa manja sambil merebahkan tubuhnya ke sisi Zahid. Tangannya memegang dada Zahid dan tidak lama selepas itu dia berbisik ke telinga suaminya sehingga bibir lelaki itu tersenyum lebar. Seperti tidak mahu kendur lagi. Zahid bangun dan terus menutup pintu ke balkoni.


SATU tumbukan hinggap ke muka Fatah. Zahid sudah hilang sabar apabila lelaki itu dengan beraninya merentap tangan Alina sekuat itu.
"Jangan kata kulit Alina, jika rambutnya pun kau sentuh kau akan menerima nasib yang sama, Fatah!"  Berang benar Zahid apabila melihat tangan Alina direntap sewaktu isterinya itu membeli topi untuknya di kedai yang menjual barang-barang cenderahati.  Fatah memegang bibirnya yang sedikit berdarah.
Zahid tidak mahu melepaskan Fatah lagi. Kali ini Zahid menariknya ke kawasan lapang dan melepaskan tangan Fatah yang terkejut dengan tindakan Zahid. Fikirnya Zahid seorang yang lembut tidak snagka dia setegas ini apabila haknya disentuh oleh lelaki lain. Sangat tidak cerdik Fatah memandang Zahid seperti itu. Tiada lelaki yang suka jika isterinya disentuh sesuka hati.
“Dia cintakan aku. Kau menyeksa dia dengan menjadikan dia isteri kau,” Fatah bersuara tetapi Alina menidakkannya.

“Alina cintakan Zahid. Alina sudah tak cintakan Fatah. Mungkin dulu ianya bukan cinta, Fatah! Tetapi lebih kepada keinginan. Dia lelaki dalam hidup Alina dan Alina mahu ianya kekal begitu. Tiada lelaki lain yang Alina dambakan selain daripada Zahid. Tolonglah Fatah, biarkan kami hidup bahagia.” Alina menangis sambil memeluk lengan Zahid. Fatah tidak mahu mengalah. Dia manju lagi ke hadapan dan belum sempat tangannya menyentuh lengan Alina, perutnya pula ditumbuk dengan kuat.

“Aku tak mahu berkasar dengan kau tapi kenapa mesti kau memperbodohkan diri kau sampai begini Fatah?Kau tak cintakan Alina tapi kau benci kerana ikatan perkahwinan aku dan Alina ini seolah-olah mencabar ego kau sebagai seorang lelaki. Kalau kau cintakan dia, kau hanya akan mahu melihat dia gembira tak kira dengan siapa pun pilihannya.” Zahid menyuak rambutnya ke belakang dan tangannya merangkul tubuh Alina yang sudah teresak di bahunya. Fatah terduduk sambil mencengkam rambutnya.

“Aku cuma mahu membahagiakan dia setelah apa yang aku sudah buat padanya dulu. Kehadiran kau membuatkan aku terlepas untuk menebus kesalahanku. Tangan ini pernah menamparnya berkali-kali dan aku ingin menebus kesilapan aku. Abang cuma mahu menebus salah abang dengan membahagiakan Alina!” Fatah memandang Alina.

“Kau pernah tampar dia?!” Zahid meluru dan sekali lagi satu penumbuk singgah ke pipi sebelah kirinya.

“Lelaki apa kau ni menaikkan tangan kau pada wanita?” Zahid ingin menambah lagi tetapi Alina terus memeluknya.

“Fatah, Alina sudah maafkan semuanya. Jika Fatah mahukan kemaafan, berilah kebahagiaan buat Zahid kerana dengan melihat Zahid tersenyum mampu membahagiakan Alina. Kita perlu mulakan hidup baru. Alina mahu membahagiakan lelaki paling bermakna dalam hidup Alina. Kehadiran fatah membuatkan zahid terluka. Alina tahu walaupun Zahid cuba menyembunyikannya daripada Alina,” Alina menoleh pada Zahid yang memandangnya.

“Alina sudah bertemu dengan cinta Alina dan Fatah juga perlu cari cinta Fatah. Kalau kemaafan yang Fatah inginkan... jauhilah kami jika ada tersimpan satu perasaan yang boleh membinasakan tetapi kami menerima kehadiran Fatah sebagai seorang sahabat dengan hati yang terbuka.” Alina memujuk dan Zahid mengangguk. Dia menghampiri Fatah.
“Maafkan aku. Jangan ganggu Alina lagi.” Zahid menarik tangan Alina jauh dari situ. Seorang peniaga wanita yang bekerja berhampiran datang mendapatkan Fatah.
“Encik tak apa-apa? Nanti saya ambilkan ais untuk bengkak di muka tu,” Peniaga wnaita itu berlari dan datang semula beberapa ketulan ais di dalam plastik. Fatah merenung wajah wnaita itu dalam-dalam. Pandangannya berbalas dan wanita itu melarikan wajahnya. Fatah menagduh kesakitan dan wanita ketawa apabila melihat memek muka Fatah yang melucukan. Akhirnya Fatah juga turut sama ketawa. Dia melemparkan pandangannya ke sisi. Alina dan Zahid sudah menghilang...

 FATAH sudah tidak mengganggu Alina lagi. Setahu Alina, Fatah kini bekerja di Port Dickson dan menjalinkan hubungan cinta denagn salah seorang peniaga di situ. Jujur, Alina gembira mendengarnya. Pintu dikuak dan Alina berkejaran ke ruang tamu mendapatkan Zahid yang terus mencempungnya dengan gelak tawa.
“Cikgu Zahid, nak Alina siapkan hidangan?” Alina menyoal sambil memaut leher Zahid yang masih mencempungnya. Zahid menggeleng.
“Habis, cikgu Zahid nak apa?” Hidung Zahid dipicit. Tiada jawapan. Zahid terus menapak naik ke tingkat atas dan kemudiannya terdengar suara Alina ketawa manja. Hidangan yang sudah siap dihidang itu terbiar begitu sahaja tanpa ada yang menjamahnya.

TAMAT



2 comments:

  1. Salam Cik Waniza,

    Kami dari Novel Plus ingin meminta jasa baik cik untuk kita bertukar link blog di mana link cik kami akan masukkan ke dalam page di website kami yang masih sedang dikemaskini. Oleh itu kami harap cik juga sudi berbuat demikian untuk website kami juga..
    http://www.novelplus.co

    Terima kasih

    ReplyDelete
  2. Sis pls update cite Tuan Danial dan Sihir Cinta. Dah lama tnggu nie.

    ReplyDelete