Hari ini hari terakhir kami di Pulau yang indah ini. Menurut Fareez, setelah pulang dia akan membawaku bersama - sama Opah dan Mak Jah pulang ke Kuala Lumpur dan tinggal di rumah baru kami sementara menunggu rumah Opah siap di baik pulih. Aku agak teruja mendengarnya. Aku tunggu juga waktu makan tengahari. Mana tahu Fareez benar - benar menerima pelawaan Zana untuk makan tengahari bersama.
"Kata nak makan tengahari bersama?," soalku. Aiskrim coklat di tangan ku jamah sedikit.
"Tak payahlah. Tak seronoklah tengok sayang muncung nanti. Habis abang kena cubit," jawapan Fareez membuatkan aku tersenyum. Pandai pula jaga hati isteri.
"Sayang pasti sayang tak hamil?. Macam dah buncit sikit sahaja," ujarnya seraya tangannya menyentuh perutku. Aku memukul manja tangannya.
"Malu tau. Nanti orang nampak. Oooo... abang nak cakap Amy dah gemuk ya," kataku. Fareez menggeleng kemudian dia terseyum sendiri.
"Macam nak sangat sahaja. Dah pandai tukar lampinkah?," soalku. Fareez mengangguk. Iyalah tu, lelaki memang tidak mahu kalah.
"Mestilah nak. Kalau dapat kembar lagi bagus," ujarnya pula.
"Mana ada keluarga kita yang kembar jadi jangan mimpi ya cik abang sayang,". Aku mencuit hidung Fareez. Fareez berpura - pura merajuk. Aku memeluk lengannya.
"Farah bagaimana," soalku pula. Tiba - tiba aku teringat akan Farah.
"Dia uruskan syarikat. Abang dah jualkan semua saham kepadanya. Balik sahaja ke Kuala Lumpur nanti, abang akan mulakan perniagaan abang yang baru," terang Fareez. Aku hanya mengangguk. Kami menikmati permandangan indah Pulau Pangkor sepuas yang mungkin kerana esok aku akan pergi meninggalkan segala kenanganku dan Fareez di sini.
"Assalamualaikum Opah!," jeritku mendapatkan Opah di dapur. Opah terkejut melihatku.
"Cantiknya cucu Opah bertudung begini," kata Opah. Di pegangnya kedua belah pipiku.
"Baru isteri solehah," sampuk Mak Jah pula. Tina memelukku. Rupa - rupanya sepanjang ketiadaanku di sini, Tina telah tinggal dan tidur di rumah Opah. Dia tidak pernah meninggalkan Opah dan Mak Jah walaupun sehari. Dia memang teman yang baik.
Fareez mencium tangan Opah dan Mak Jah. Opah turut mencium dahi Fareez.
"Bagaimana bulan madu?," soal Tina.
"Hmmm.... kalau tak merajuk pun dia pengsan. Nak marah sahaja," adu Fareez.
"Nak marah dan asyik pengsan?," soal Opah. Fareez mengangguk.
"Orang bawa budak memang begitu," jawab Opah selamba. Aku tercengang. Opah sama sahaja seperti Fareez.
"Benarkah Opah?," soal Fareez. Wajahnya kelihatan agak teruja.
"Opah kamu dulu kan bidan," Mak Jah menyampuk.
"Tengok punggungnya sahaja Opah sudah tahu," jawab Opah selamba. Fareez cepat - cepat merangkulku dan mengucup pipiku.
"Hish.... korang berdua ni asyik buat aksi macam ni depan aku. Mana tahan. Sudahlah Dollah tu lambat faham. Berapa kali aku bagi kata pembayang suruh melamar aku. Tak faham - faham juga,' Tina merungut. Fareez melepaskanku. Dia malu sendiri melihat Opah dan Mak Jah mentertawakannya.
"Mana ada Opah. Amy tak muntah pun. Doktor tak kata apa pun," aku cuba mengelak.
"Esok pergi periksa sekali lagi," suruh Opah. Fareez tersengih memanjang. Dah macam kerang busuk.
"Kamu macam arwah ibu kamu. Mengandung asyik nak marah lepas tu pengsan. Menurun ke kamu rupanya. Kasihan Si Fareez ni nanti melayan kerenah kamu. Mahu botak kepalanya," usik Opah. Aku memegang perutku.
"Ha... kan dah menendang," kata Fareez.
"Melampaulah tu, aku yang tak lulus spm ni pun tahu bayi baru kecil macam ni tak tahu menendang. Kaki pun belum panjang. Baru macam berudu. Gelojoh juga Fareez ni ya," kata Tina selamba. Fareez menggaru - garu kepalanya yang tidak gatal. Bahagianya mengalahkan aku. Di dalam hatiku Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya aku jika benar aku hamilkan tanda cinta kami berdua.
"Macam keretapi ekspress. Agaknya banyak betul penumpang yang masuk ya," usik Tina lagi. Fareez ketawa dan terus masuk ke dalam bilik. Opah menepuk punggung Tina.
"Kamu esok bukan lagi keretapi ekspress tapi jet pejuang. Kepala kecil macam kamu ni lagi banyak anak tau. Mahu sedozen!," kata Opah. Ternganga mulut Tina mendengar kata - kata seorang bidan yang terkenal suatu masa dahulu. Aku dan Mak Jah ketawa besar. Opah menyumbat cucur bawang ke dalam mulut Tina yang masih ternganga itu.
Fareez membawa kami semua makan malam di restoren KFC sebagai tanda terima kasih kepada Tina kerana menjaga Opah dan Mak Jah untuk kami. Bukan main berselera lagi mereka bertiga makan. Opah agak terkial - kial kerana gigi hadapannya sudah tiada lagi. Fareez hanya memberikan aku air mineral. Dia tidak membenarkanku untuk menjamah walaupun sedikit air bikarbonat. Katanya tidak elok untuk bayi kami. Macamlah aku ini benar - benar hamil. Selesai sahaja makan, Fareez membawa kami untuk membeli beberapa helai baju. Tina mendapat 3 helai blouse yang cantik. Mak Jah dan Opah membeli seorang 4 pasang baju kurung. Aku tidak mahu membeli apa - apa.
"Belilah baju mengandung," bisik Fareez.
"Mana ada mengandung. Abang ni kan tak sabar - sabar tau,"jawabku. Fareez memeluk bahuku. Mereka bertiga kelihatan amat gembira sekali.
"Fareez, esok awak pergilah bercuti lagi. Biar saya jagakan Opah. Bukan susah sangat pun jaga mereka. Nanti boleh dapat upah begini," kata Tina. Fareez ketawa kecil.
Tina akan tidur di sini lagi malam ini. Esok baru dia akan pulang ke rumah. Dia mahu mendengar ceritaku. Sampai sahaja di tangga rumah Opah kepalaku mula memusing. Pandanganku menjadi kabur dan aku rebah sekali lagi. Mujurlah Fareez sempat menyambutku kalau tidak sudah tentu aku terjelepok di kaki tangga rumah Opah. Setelah beberapa minit aku mula membuka mataku walaupun terasa amat berat. Kulihat wajah Opah dan Fareez di sekelilingku. Opah memegang nadiku. Dirasanya perutku. Aku mendengar Fareez memanggil namaku.
"Amelia... bangun sayang," ujarnya lembut.
"Batul sangkaan Opah, dia mengandung. Esok bawa dia ke klinik. Di kawasan ni mana ada klinik malam - malam begini. Hospital ada tapi agak jauh," terang Opah. Aku dapat rasakan tapak tangan Fareez memegang dan membelai rambutku.
"Rehat ya sayang. Tidur, abang akan jaga sayang," ujar Fareez lagi dan aku terlena kembali.
Aku dan Fareez pergi ke klinik Lim yang terletak di pekan. Dr Lim mengesahkan aku hamil 4 minggu. Fareez beberapa kali mengucapkan syukur kehadrat Illahi di atas rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kami. Dr Lim berpesan agar aku menjaga kandunganku kerana aku agak lemah dan jika tidak mendapatkan rehat yang cukup, kandungan aku dan aku akan mendapat masalah. Fareez memeluk dan mencium pipiku di dalam kereta.
"Nampak, abang lagi tahu daripada sayang. Anak abang, abang tahulah," ujarnya. Aku hanya senyum. Masih tidak berdaya. Perasan sungguh suamiku ini. Sampai sahaja di rumah aku terus ke tandas. Kali ini aku muntah pula. Rupa - rupanya baru sekarang aku rasa mabuk. Penatnya hanya Allah yang tahu. Sehari dua ini aku hanya berehat. Segalanya di uruskan oleh Fareez, Opah dan Mak Jah. Fareez sentiasa tersenyum. Setiap kali dia melihatku, dia akan mencium dahi atau pipiku.
Aku rasa seperti puteri raja pula. Seronok juga hamil ni!. Di belai bagai menatang minyak yang penuh. Tina sudah pulang ke rumah. Opah juga kelihatan amat gembira kerana pada usianya yang mencecah 75 tahun dia akan mendapat seorang cicit. Mak Jah pula akan mendapat seorang cucu.
No comments:
Post a Comment