Friday, 11 May 2012

bab 18 (cinta sos dan kicap)

   Esok pagi mereka berdua akan bertolak meninggalkan kampung halaman. Ayah Man memanggil Suraya masuk ke dalam kamarnya.
  "Ayah nak tanya. Suraya betul betul sayangkan budak lembik tu?" soal Ayah Man.
  "Apalah ayah ni. Tak baik panggil macam tu" kata Suraya. Mulutnya mencung.
  "Habis tu, makan durian pun boleh demam. Bukan lembik namanya" senyum Ayah man.
  "Su yakin dengan dia?" soal Ayah Man.
  "Ayah tahu, bila Su bersama dia, Su akan rasa selamat seperti ketika Su bersama ayah. Bila Su peluk lengan dia, Su rasa seperti memeluk lengan ayah. Su sangat sayangkan dia, ayah" Suraya memintal - mintal hujung baju kurungnya. Bibirnya mengukir senyum. Ayah Man boleh lihat kebahagiaan anaknya ketika ini. Ayah Man ketawa besar.
   "Su ni macam arwah mak. Gatal!" Ayah Man ketawa lagi. Suraya bangun dan terus memeluk tubuh ayahnya yang sudah semakin tua. Ayah Man menangis. Kali ini air mata Suraya juga gugur.
   "Sudah, pergi panggil budak lembik tu" arah Ayah Man. Suraya bingkas bangun dan memanggil Amri yang sedang menonton televisyen di ruang tamu. Amri melangkah masuk dan duduk di lantai.
   "Kenapa pakcik?" soal Amri. Ayah Man memandang wajah Amri dalam - dalam.
   "Maafkan ayah kalau sebelum ni ayah melayan Amri dengan teruk. Ayah hanya mahu lihat kesungguhan Amri. Ayah yakin Amri dapat membahagiakan anak tunggal ayah yang tak matang tu" senyum Ayah Man. Amri agak terkejut apabila Ayah man membahasakan dirinya sebagai 'ayah' apabila berbicara dengan Amri sebentar tadi.
   "Tak apa ayah. Saya ikhlas ingin memperisterikan dia. Saya akui dia memaang tidak matang tetapi sikapnya itu yang buat saya sentiasa gembira apabila bersamanya. Saya menerima dia seadanya" terang Amri. Ayah man mengangguk faham.
   "Berjanjilah dengan ayah, Amri akan sentiasa membahagiakan dia sehingga akhir hayat dia. Ayah sudah semakin tua. Entah esok atau lusa ayah akan meninggalkan dunia ini. Ayah cuma harapkan Amri untuk menjaga Suraya" kali ini Ayah Man memeluk Amri. Hati Amri agak terusik ketika ini. Pertama kali dia melihat Ayah man sebegini. Sentimental. Amri mengurut - ngurut belakang badan Ayah Man.
   "Saya berjanji ayah" kata Amri. Ayah Man mengangguk. Yakin dengan janji Amri.  Amri keluar. Dia melihat Suraya sedang sibuk mengopek ikan bilis di dapur untuk membuat sambal nasi lemak pada esok hari.
    "Nak aku tolong?" Amri mengambil ikan bilis dan dikopeknya dengan cepat. Suraya memandang Amri sambil tersenyum.
    "Aku cintakan kau kicap" katanya. Matanya memandang Amri. Satu pandangan yang penuh makna.
   "Aku tahu" senyum Amri. Suraya ketawa.Dia bangun tetapi kakinya tersadung kerusi di sebelah dapur. Suraya jatuh. Anak lesung batu yang ada di atas dapur jatuh menimpa kaki Suraya. Amri bingkas bangun dan mendapatkan Suraya. Suraya yang tidak tahan sakit itu menangis kesakitan. Ayah Man keluar dan mendapatkan Suraya yang sedang sakit. Ayah Man mengambil peti ubat di dalam kabinet dapur. Amri merawat luka di kaki Suraya. Jari - jemarinya menggenggam baju Amri.
   "Macamana Su boleh jadi begini?" soal Ayah Man. Suraya yang kesakitan tidak mampu menjawab.
   "Amri... sakit!" Suraya mengerang kesakitan.
   "Boleh bangun?" soal Amri. Suraya menggeleng. Amri mendukung Suraya dan meletakkannya di katil. Amri menggosok lembut kepala Suraya. Amri amat risau. Ayah Man membiarkan Amri merawat dan melayan Suraya.
    "Tak tahan ..sakitlah Amri" adu Suraya.
   "Sabar ya sayang. Kita pergi klinik" pujuk Amri.
   "Tak nak!" kata Suraya.
   "Kita pergi ya?" Amri masih memujuk.
   "Kejap lagi baiklah. Bukan teruk sangat pun. Hujung kaki sahaja. Dia saja nak bermanja dengan kamu. Nak kamu layan dia. Kan ayah dah kata dia macam mak dia" Ayah Man berbisik ke telinga Amri. Tersenyum Amri mendengarnya. Dipandangnya Suraya sambil tersenyum.
   "Kenapa?." soal Suraya. Amri dan Ayah Man tersenyum.
   "Tak baik tau. Su sakit betul ni" kata Suraya.
   "Eh, kami tak kata apa - apa pun" kata Amri. Suraya yang mula sedar Amri dan Ayah Man mula mentertawakannya Suraya mula merajuk lalu membelakangkan mereka berdua.
   "Anak ayah ni merajuk pula. Takkan ayah nak suruh Amri temankan kamu. Belum kahwin mana boleh!. Sudah pergi tidur. Ayah nak minum kopi dengan Amri di luar" kata Ayah Man. Mereka berdua keluar duduk berehat di hadapan rumah. Ayah Man membancuh seteko air kopi dan minum bersama - sama Amri. Banyak yang mereka bualkan. Suraya akhirnya tertidur. Sesekali Amri menjenguk Suraya di biliknya.

    Walaupun dalam keadaan yang sakit, Suraya bangun awal pagi untuk menyiapkan sarapan pagi. Amri yang terdengar bunyi bising didapur turut bangun.
   "Kaki kan sakit lagi. Buat apa buat semua ni. Nanti aku beli sahaja di luar". Amri memegang lengan Suraya. Membantunya untuk duduk.
   "Tak apalah. Sikit saja" senyum Suraya.
   "Nak aku tolong apa - apa?" soal Amri.
   "Panggil aku sayang sekali" pinta Suraya. Dia mengenyit mata.
   "Tengah macam ni pun nak aku panggil sayang" kata Amri.
   "Ala.... buat penawar"
   "Sayang..."panggil Amri. Suraya suka.
   "Biar aku masakkan sambalnya". Amri mula menumbuk bawang merah dan bawang putih. Suraya yang tidak di benarkan memasak hanya duduk sambil memerhati.
   "Macam kahwin dengan chef pula" kata Suraya.
   "Kau nak kahwin dengan chef ke dengan ceo syarikat?" soal Amri.
   "Mestilah dengan Amri yang kacak dan pandai tangkap ayam jantan jiran sebelah" usik Suraya. Dia ketawa. Amri hanya menggeleng terkenangkan ayam jantan yang ditangkapnya semalam.
   Ayah Man bangun. Terseyum lebar dia melihat Amri yang sedang memasak di dapur.
   "Sedap ke?" perli Ayah Man.
   "Sedap tau ayah" puji Suraya. Amri buat - buat tidak dengar.
  "Ayah nak rasa dulu baru tahu sedap atau tak" kata Ayah Man. Tangannya mencapai sudu dan di cedok sedikit sambal nasi lemak yang baru siap di masak itu. Selepas merasa sedikit Ayah Man terangguk - angguk.
   "Sedapkan ayah?" soal Suraya.
   "Sedap lagi aku masak" jawabnya selamba dan terus masuk ke dalam tandas. Amri mengangkat bahunya.
   "Sedaplah tu. Ayah memang tak nak kalah" ujar Suraya.

     Semua pakaian sudah di masukkan ke dalam bonet kereta. Amri bersalaman dengan Ayah Man.
    "Kalau senang datang tengok ayah di sini" kata Ayah Man.
    "Baik ayah. Nanti bila - bila saya datang jemput ayah. Ayah boleh duduk dengan saya"kata Amri.
   Suraya memeluk ayahnya. Berbagai - bagai pesanan yang dipesan oleh Ayah Man kepada Suraya. Sebelum masuk ke dalam kereta, Amri menghulurkan RM1000 kepada Ayah Man buat perbelanjaan hariannya.
    "Banyak sangat ni" kata Ayah Man. Amri hanya tersenyum dan masuk ke dalam kereta. Suraya melambai dengan wajah yang muram. Dia tidak tahu Amri memberi wang kepada ayahnya.
    "Kenapa salam banyak kali?" soalnya. Kereta Amri menuju ke simpang keluar rumah Ayah Man.
   "Saja ambil berkat" gurau Amri. Suraya mencubit pipi Amri. Setelah sejam perjalanan, Suraya menepuk bahu Amri.
    "Nak tidur boleh?" soalnya.
    "Tidurlah" jawab Amri tanpa memandang Suraya.
    "Nak tidur dekat bahu kau" kata Suraya sambil menggigit jari.
    "Gatal!. Macam mana aku nak bawa kereta?" soal Amri lembut.
    "Ala...".
    "Jangan mengada Sos!. Nanti aku tinggalkan kau baru tahu"
    "Tak apalah" rajuk Suraya.Amri ketawa. Malas nak layan kerenah Suraya. Akhirnya Suraya tertidur sendiri. Perjalanan yang jauh itu amat memenatkan. Mereka tiba di rumah Fatin pada pukul 2.45 petang. Fatin terkejut melihat kaki Suraya yang berbalut.
    "Korang ni kena kejar pencegah maksiat ke?" soal Fatin.
    "Dia terjatuh" jawab Amri yang membantu Suraya keluar dari kereta.
    "Dukunglah" senyum Suraya. Amri mengangkat kening.
    "Sakit tau" kata Suraya lagi. Amri terus mendukungnya masuk ke dalam rumah. Setelah mengeluarkan beg pakaian Suraya, Amri terus pergi. Fatin mendapatkan Suraya.
   "Sakit sangatkah. Aku tengok tak teruk sangat pun" kata Fatin.
   "Kau tak kerja ya?" soal Suraya dan bangun mendapatkan air di dapur.
    "Boleh jalan rupanya. Kau saja ja nak didukung Amri ya" Fatin bercekak pinggang. Suraya ketawa.
    "Aku tak sihatlah hari ni. Demam sedikit" jawab Fatin. Amri memang selalu memanjakan Suraya. Dia begitu tahan dengan segala kerenah Suraya. Bertuah Suraya punya kekasih sebaik Amri, bisik hati kecil Fatin.

  

No comments:

Post a Comment