Saturday, 12 May 2012

bab 20 (cinta sos dan kicap)

  Amri meluangkan masa bersama Suraya. Memujuk hati Suraya yang terguris. Amri mengikut sahaja segala kehendak Suraya. Suraya memaut lengan Amri.
  "Kau rasa aku ni cantik tak?" soal Suraya.
  "Bolehlah kalau nak dibandingkan aci jual bunga tu" kata Amri.  Suraya menampar pahanya.
  "Kau ni ganaslah. Cuba lemah lembut sikit. Barulah wanita namanya" kata Amri sambil menggosok - gosok pahanya.
   "Macam Mawar?" soal Suraya. Amri tidak menjawab. Dia terus bangun. Menghadap tasik yang indah pada waktu pagi.
   "Jangan bandingkan diri kau dengan orang lain. Kau adalah kau, sos!" kata Amri. Suraya terdiam. Hatinya masih tidak dapat melupakan Mawar, wanita yang berjaya membangkitkan perasaan cemburunya. Suraya bangun dan berdiri rapat sebelah Amri.
   "Aku takut kehilangan kau" katanya dengan suara yang perlahan. Amri menoleh ke arahnya. Dia dapat melihat kerisauan di wajah Suraya.  Dia juga sedar betapa Suraya amat takut ketika ini sejak kehadiran Mawar. Amri memegang jari - jemari Suraya.
   "Doakan agar kita bersama ya" pujuk Amri. Mengikut perancangan, Amri mahu meminang Suraya setelah berjaya menyiapkan projek mega syarikatnya yang akan siap kira -kira satu setengah tahun lagi. Dia mahu menikmati alam perkahwinan dan bulan madu tanpa gangguan.
   "Sekarang aku susah nak jumpa kau tau. Rindu ni macam nak meletup dah" kata Suraya lagi. Amri ketawa.
   "Hari ini aku akan jadi hamba abdi kau. Kau suruh buat apa pun aku akan ikut" kata Amri. Suraya teruja. Dia melompat - lompat gembira.
   "Hari ini beta mahu lihat kondo kamu, petani Amri" kata Suraya. Amri terdiam.
   "Tak bolehlah tuan puteri, kita belum kahwin" kata Amri.
   "Ala... macam tu, memandangkan esok hari Ahad, jadi saya nak buat unggun api di pantai. Boleh?" soal Suraya. Amri mengangguk. Suraya seronok. Dicubitnya kedua belah pipi Amri yang tersenyum melihat gelagatnya. Amri terus memandu ke Port Dickson. Menuruti segala kehendak Suraya.
Suraya menyanyi perlahan - lahan sambil matanya memandang ke luar tingkap kereta.
   "Kau jangan menyanyi boleh tak?" kata Amri. Suraya mengerut keningnya.
   "Kenapa pula?. Aku ganggu deria dengar kau dari berfungsi ke?" marah Suraya.
   "Kau kata nak buat unggun api tapi kau menyanyi. Kalau hujan macam mana. Dah lah bunyi macam persatuan koir katak sedunia" usik Amri.
    "Eleh... cakap saja la yang suara aku ni sedap kan"
     "Tak sedap langsung"
     "Sedap atau tak?" ugut Suraya.
     "Tak!" kata Amri.  Suraya menggetap bibir. Dia tidak mahu memandang Amri. Suraya hanya membisu. Sesekali dijelingnya Amri yang buat tidak tahu sahaja. Amri membelok masuk ke kawasan hotel.
    "Aku tak nak pergi hotel" kata Suraya.
    "Kenapa pula?" soal Amri.
    "Aku nak bermalam depan unggun api" jawab Suraya.
     "Kalau hujan malam ni, kau tidur juga depan unggun api yang terpadam tu" balas Amri. Kali ini Suraya membisu. Ada benarnya kata - kata Amri itu. Mereka berdua masuk ke dalam bilik hotel masing - masing. Amri menyuruh Suraya turun ke bawah tepat pukul 5 petang.
 
    "Kita nak pergi mana?" soal Suraya.
     "Beli pakaian. Kita tak bawa satu apa pun. Kita cari kedai pakaian ya?" senyum Amri. Tiba sahaja kedai pakaian yang terletak tidak jauh dari kawasan pantai, Amri menyuruh Suraya memilih pakaian sementara dia pergi ke kedai lain yang terletak bersebelahan sahaja. Amri menghulurkan wang kepada Suraya.
    "Kenapa tak nak beli sama - sama?" Suraya menarik tangan Amri.
    "Takkan aku nak tengok kau beli..." Amri tidak meneruskan kata - katanya. Suraya tidak mengerti.
    "Beli baju saja kan?. Marilah" ajak Suraya lagi. Amri tidak berganjak.
     "Kalau sekadar beli yang di luar, aku boleh ikut tapi kalau yang dalam tu , aku minta maaf" bisik Amri. Suraya memandang dadanya kemudian tersengih - sengih.
      "Dah pergi beli. Nanti aku tunggu di kereta" kata Amri dan terus masuk ke kedai yang lain.
Suraya cepat - cepat membeli pakaian. Amri sudah tunggu lama di dalam kereta. Suraya masuk.
     "Nak tengok tak apa yang aku beli?" soal Suraya.
     "Tak payah mengada. Simpan saja, Aku tak ingin tengok pun" cepat - cepat Amri menjawab.
     "Kau ni perasanlah, kau ingat aku ni gatal sangat ke?. Ni dia, T-shirt untuk pasangan kekasih. Gambarnya kalau kita pakai kemudian duduk bersebelahan akan bercantum" senyum Suraya. Amri senyum.
     "Kau ingat aku ni orang jepun ya. Suka buat benda konon - konon comel tu" kata Amri.
     "Tadi kata nak penuhi permintaan aku" rajuk Suraya. Amri segera mencapai t - shirt di tangan Suraya. Di pandangnya wajah Suraya yang tersenyum puas itu.
     "Kau buat aku jadi gila sama macam kau" kata Amri.
     "Sebab kau buat aku tergilakan kau, sayang" balas Suraya. Kali ini Amri pula mencubit pipi Suraya. Mereka berdua ketawa. Amri puas melihat Suraya ketawa. Itulah yang diingininya untuk Suraya. Dia mahu Suraya gembira selalu lebih - lebih lagi apabila bersamanya. Sebelum maghrib mereka berdua pulang ke hotel untuk membersihkan diri.

   Selepas solat Isya' Suraya menunggu Amri di lobi hotel. Amri memakai t - shirt yang dibeli Suraya petang tadi. Walaupun hanya mengenakan T-shirt, Amri tetap kelihatan segak. Dia menghampiri Suraya.
    "Aku suka" kata Suraya.
    "Aku tak suka" jawab Amri. Suraya ketawa dan terus berdiri di sebelah Amri.
    "Kalau kita kahwin nanti, kita pakai macam ni pun ok kan" kata Suraya.
     "Jangan harap" jawab Amri. Suraya memeluk lengan Amri dan mereka jalan beriringan menuju ke tepi pantai. Suraya terkejut melihat unggun api yang menyala  terang di hadapannya. Rupa - rupanya Amri sudah menyiapkannya sebelum Suraya turun ke lobi lagi.
     "Rasa romantik pula" senyum Suraya. Amri menggeleng kepala sambil tersenyum lucu melihat Suraya yang menggosok - gosok kedua telapak tangannya ke arah api yang menyala. Amri duduk di sebelah Suraya. Lekas - lekas Suraya memaut lengannya. Sengaja dilentokkan kepala di bahu Amri.
    "Seronok kan?. Rasa macam dalam filem" kata Suraya.
    "Kau ni tak habis - habis macam dalam filem" kata Amri.
    "Aku cintakan kau" kata Suraya perlahan tanpa memandang Amri.
    "Aku tahu" jawab Amri.
    "Tak. Kau tak tahu betapa cintanya aku pada kau."kata Suraya. Amri memandang Suraya yang masih melekat di bahu sebelah kirinya.
     "Aku boleh gila kalau kau tak cintakan aku lagi. Aku takut" sambung Suraya. Amri diam.Dibiarkannya Suraya berbicara sehingga dia puas. Sesekali digosoknya lembut tangan Suraya yang memeluk lengannya itu.
     "Kau tahu tak?. Setiap malam aku peluk sejadah pemberian kau itu. Setiap malam tanpa jemu" sambung Suraya. Amri sedikit terharu. Dia tidak sangka begitu sekali cinta Suraya padanya.
     "Aku berdoa agar Allah akan memilih aku  dahulu sekiranya antara kita akan pergi buat selama - lamaya kerana aku tak mampu hidup tanpa kau. Tak mampu berdiri dan tersenyum tanpa kau. Aku tak mampu menjadi aku tanpa kau. Aku tak tahu tapi aku perlukan cinta kau untuk seumur hidupku." Suraya mula sebak. Amri mengusap rambut Suraya.
    "Dah sayang.... jangan cakap lagi. Kau juga tak tahu yang aku mencintai kau lebih dari nyawa aku sendiri" kata Amri. Suraya mendongak memandangnya.
     "Janji dengan aku, jangan tinggalkan aku" pinta Suraya. Di pegangnya tangan Amri. Kelopak matanya sudah bergenang. Dari wajahnya Amri tahu Suraya amat mengharapkan janji dan kepastian daripadanya.
    "Ya sayang.." kata Amri dan buat pertama kalinya dia mengucup dahi wanita yang dicintainya itu.
Air mata Suraya sudah jatuh. Dikesatnya air mata Suraya dengan jarinya. Sejak kebelakangan ini Suraya banyak menangis. Dia tidak mahu Suraya menangis lagi kerana tangisan Suraya itu turut melukai hatinya. Suraya memeluk lengannya hingga tertidur. Amri tahu Suraya sudah lena. Amri meletakkan kepala dan sebahagian badan Suraya di ribaannya. Dibiarkan Suraya tidur walaupun kakinya sudah kebas dalam tempoh yang agak lama. Sesekali diusapnya rambut Suraya yang lembut dan lebat itu. Amri juga rasa Mawar akan menyebabkan perhubungan mereka berdua akan teruji. Dia dapat rasakan Mawar punya sedikit perasaan terhadapnya. Mawar selalu mengambil berat akan dirinya. Mawar juga sering mencuri pandang. Amri tahu Mawar mahu mendekatinya. Amri mengeluh. Rasa simpati mula hadir apabila dia melihat Suraya yang agak emosi sejak kebelakangan ini. Dia akan berusaha sedaya upaya membahagiakan Suraya. Sedang dia berfikir panjang, Suraya bangun dari ribaannya.
     "Aku tertidur. Maafkan aku ya" Suraya membetulkan rambutnya. Amri senyum.
     "Kenapa tak dukung? bawa masuk dalam bilik?" soal Suraya.
     "Jangan nak mengada. Mari balik hotel. Balik mandi kemudian tidur" kata Amri. Suraya mengangguk. Amri menghantar Suraya hingga ke pintu bilik hotel. Suraya masuk ke dalam.
     "Terima kasih bagi pinjam paha. Empuk macam tilam spring" kata Suraya. Amri ketawa dan terus masuk ke dalam kamarnya sendiri. Amri tidak mampu melelapkan mata. Dia masih memikirkan Suraya. Dia sentiasa berharap agar Suraya yakin dengan cintanya. Sedikit pun tiada di dalam hatinya untuk bersama Mawar. Dia perlu harungi segalanya dengan tabah demi cintanya pada Suraya.

No comments:

Post a Comment