Tuesday, 24 July 2012

TERIMA KASIH BEB! - bab 2


                                                               BAB 2


  Hady sudah pergi ke pejabat. Amy hanya memerhati Mak Biah yang mahu menggosok kemeja Hady. Amy menghampiri Mak Biah.
“Biar Amy yang gosokkan baju Hady ya?” pinta Amy.
“Tapi.. baju ni Hady mahu pakai sekejap lagi. Lagipun Amy tahu bukan yang Hady tak benarkan Amy menyentuh barang – barangnya?” Mak Biah cuba mengingatkan Amy.
“Ala... Mak Biah ni. Janganlah beritahu. Biarlah Amy buat. Amykan isteri dia” pinta Amy berkali – kali. Mak Biah jadi serba salah. Akhirnya dia menyerahkan kemeja berwarna putih yang berharga ratusan ringgit itu ke tangan Amy. Tersenyum lebar Amy memegang kemeja milik suaminya itu.
“Mak Biah pergi rehat. Biar Amy yang uruskan” sengih Amy. Dengan rasa tidak sedap hati Mak Biah meninggalkan Amy sendirian. Amy menggosok dengan cermat dan setelah siap, digantungnya kemeja itu ke dalam almarinya. Tidak berapa lama kemudian Hady pulang dengan tergesa – gesa. Dia mendapatkan Mak Biah yang sedang sibuk menggoreng bihun di dapur. Mak Biah rasa serba salah kerana membiarkan Amy menggosok kemeja Hady.
“Apa?. Dia gosokkan?. Habislah baju saya Mak Biah” rungut Hady. Mak Biah hanya mampu tersenyum tawar. Rasa bersalah. Hady bergegas menaiki anak tangga dan mengetuk pintu bilik Amy.
“Nak apa abang sayang?” soal Amy dengan nada yang manja.
“Mana kemeja saya?’ soal Hady. Tanpa membuang masa Amy terus mengambil kemeja Hady.
“Awak tak tahu menggosok, nanti habis baju saya tu” bebel Hady. Amy menghampiri Hady. Dia menyerahkan kemeja yang sudah di gosok dengan begitu sempurna kepada Hady. Mulut Hady terkunci. Tidak sangka Amy mampu menggosok dengan begitu sempurna... kalah Mak Biah.
“Kenapa?.. tergamam?. Tak payahlah, saya memang pandai buat kerja rumah. Bukankah cita – cita saya mahu jadi suri rumah yang terbaik... abang sayang tahu kan?” kata Amy dengan selamba.
“Jangan nak perasan sangatlah. Setakat gosok baju begini saya pun tahu. Bukan cantik sangat pun. Kalau bukan sebab nak cepat, saya dah gosok semula baju ni” Hady berdalih. Amy menggetap bibirnya. Dirampasnya semula kemeja yang berada di tangan Hady. Hady terkedu.
“Tak cantik ya?... nak gosok sendiri ya?.. nah! Gosoklah!” kata Amy setelah merenyokkan baju kemeja Hady. Terbeliak biji mata Hady memandang Amy.
“Lain kali kalau orang dah tolong buat, ucap terima kasih!. Bukannya membebel macam mak janda!” tegas Amy.
“Awak.....” geram Hady. Dipandangnya wajah Amy dalam – dalam.
“Anyway.... terima kasih beb!”  perli Amy dan terus menutup pintu biliknya.  Geram benar Hady dengan tindakan Amy sebentar tadi. Dia memandang kemeja di tangannya. Mahu atau tidak dia terpaksa memakai kemeja yang lain dan terus keluar. Amy tidak keluar dari bilik sehingga dia benar – benar pasti kelibat Hady sudah tiada di rumah banglo dua tingkat milik mereka berdua. Mak Biah sudah pening kepala. Sikap panas baran Amy kadang kala membuatkan Mak Biah sedikit cuak. Dia faham perasaan Amy. Jika dia ditempat Amy , dia juga akan meradang apabila usahanya tidak di hargai.

  Hady menunggu Nafisah sendirian di restoran yang menjadi pilihan Nafisah. Sudah 20 minit Hady menunggu Nafisah. Doanya agar marah Nafisah sudah reda. Dia tahu Nafisah benci apabila berhadapan dengan Amy tempoh hari. Setelah puas menunggu akhirnya Nafisah datang dengan wajah yang manis.
“Maafkan saya ya. Lambat sedikit” senyum Nafisah. Hady hanya membalas senyuman Nafisah tanpa sepatah kata.
“Bolehlah pesan makanan” kat Nafisah.
“Maafkan saya atas kejadian tempoh hari” ujar Hady.
“Tak mengapa. Dia budak mentah. Setelah puas berfikir saya rasa saya terlalu bodoh kerana melayan perempuan bodoh begitu” kata Nafisah geram. Hady terdiam. Dia agak tidak senang dengan perkataan ‘bodoh’ yang baru sahaja dilontarkan oleh Nafisah kepada Amy sebentar tadi.
“Awak dah berubah sekarang” kata Hady setelah sekian lama membisu. Nafisah mengerutkan keningnya. Tanda tidak faham.
“Saya tak pernah dengar awak cakap orang lain bodoh sebelum ni” tambah Hady.
“Sebab saya tak pernah jumpa orang sebodoh dia. Perampas. Budak hingusan yang bodoh!”  Nafisah melepaskan rasa bencinya terhadap Amy. Hady menarik nafas dalam – dalam.
“Dah... kita bicara soal lain.” Hady mengubah topik perbualan.
“Bila nak ceraikan dia?” soal Nafisah telus.
“Cerai?” soal Hady semula. Muka Nafisah berubah.
“Jangan awak nak kata awak tak mahu ceraikan dia!” bentak Nafisah.
“Kita berjumpa bukan untuk bertengkar. Jangan cerita pasal Amy” tegas Hady. Nafisah tidak senang hati. Dia benci apabila Hady seolah – olah mempertahankan Amy.
“Saya nak pulang” kata Nafisah dan terus berlalu pergi. Hady faham akan sikap Nafisah. Hady buntu. Dia juga bangun dan juga terus pergi. Sepanjang perjalanan Hady banyak berfikir. Fikirannya berkecamuk. Pelbagai soalan bermain di ruang mindanya. Akhirnya Hady terus membelok menuju ke rumahnya. Jam di tangan sudah menuju ke angka 12 tengah malam. Hady naik ke atas dan berdiri betul – betul di hadapan bilik Amy yang sememangnya tidak pernah berkunci. Tangannya memegang tombol pintu. Hampir 5 minit dia berjegat di situ. Dengan perlahan – lahan Hady membuka pintu kamar Amy. Niatnya nmahu melihat sama ada Amy sudah tidur atau pun belum. Setelah pintu dibuka, wajahnya menjadi merah padam apabila melihat Amy yang masih belum tidur berdiri di hadapannya dengan senyuman yang seakan – akan memerlinya.
“Abang sayang sesat ya?. Tak jumpa bilik ke abang sayang?. Atau... abang sayang nak intai Amy ni?.. ooooo.. gatal sungguh abang sayangku ini” usik Amy. Cepat – cepat Hady menutup pintu bilik Amy dan terus masuk ke dalam biliknya. Malunya bukan kepalang. Di sangkakan Amy sudah pun tidur. Dia malu besar ketika itu dan diketuk – ketuk kepalanya sendiri. Menyesal kerana buat perkara yang bodoh sebegitu. Aku yang buat syarat.. sekarang aku yang langgar syarat tu..... marahnya sendiri.  Amy ketawa besar. Dia tidak pasti sama ada Hady memang mahu masuk ke dalam biliknya atau tidak. Dia tidak peduli. Yang dia tahu..... itu satu petanda yang baik. Amy tidur sambil tersenyum puas. Hady pula masih tidak dapat melelapkan mata. Dia malu mahu bersua muka dengan Amy esok. Dia sangat malu dengan tindakannya sebentar tadi. Fikirannya menerawang.


                                    ***********************

   Iqram, teman karib merangkap teman sepejabatnya ketawa besar apabila mendengar cerita Hady tentang kesilapannya malam tadi. Hady bengang melihat Iqram yang ketawa sehingga mengalirkan air mata.
“Lawak sangat ke?” soal Hady.
“Kau ni ada niat nak buat zuriat ke malam tadi?’ soal Iqram. Hady terdiam.
“Tak adalah. Aku cuma mahu tengok dia. Itu saja” jawab Hady jujur.
“Isteri cantik beb!. Siapa tak nak tengok” Iqram masih lagi mengusik.
“Kau pun macam dia! Beb...beb!” jeling Hady. Iqram mengesat air matanya.
“Kalau dia tak kunci pintu tu maknanya dia rela. Apa lagi?” soal Iqram.
“Aku tak nak sentuh dia hanya kerana nafsu....” jawab Hady.
“Habis malam tadi.. bukan nafsu?”
“Baik kau siapkan kerja kau sekarang. Kalau tak aku pecat!” kata Hady. Iqram ketawa lagi.
“Amboi mak!.. sampai nak pecat aku. Baiklah.. aku keluar. Nanti waktu lunch kita cerita lagi” ketawa Iqram. Dia terus keluar dari bilik Hady. Iqram pasti suatu hari nanti keegoan Hady itu akan tewas juga di tangan Amy. Siapa yang dapat menolak Amy dari hadir di dalam hidup?. Wajahnya, hartanya dan yang paling penting cintanya. Dia memang kebudak – budakkan tetapi kesetiaannya dalam menjalinkan cinta patut dipuji. Betapa ramai lelaki yang inginkannya menjadi isteri dan kekasih tetapi Hady juga menjadi pilihannya. Amy datang ke pejabat pagi itu. Dia membawa beberapa kotak pizza untuk di berikan kepada semua pekerja. Bapa mertuanya kini berada di Mekah mengerjakan umrah bersama ibu mertuanya. Segala urusan syarikat diserahkan kepada Hady. Amy masuk ke dalam pejabat dengan senyuman yang manis sekali.
“Selamat pagi semua!” sapa Amy. Mereka yang lain tersenyum melihat isteri majikan mereka datang dengan membawa makanan di tangan.
“Kak Cha ambil ni kemudian makanlah sama-sama ya” Amy menghulurkan 8 kotak pizza ke tangan Habsah, setiausaha Hady.
“Wah!... makan pizza kita hari ni” kata Habsah. Amy ketawa dan terus masuk ke dalam bilik Hady. Terbeliak mata Hady melihat Amy yang masuk kedalam biliknya dengan senyuman yang mengulum.
“Abang sayang dah makan?” soal Amy. Hady menjeling. Dia tahu Amy memerlinya.
“Abang sayang.... mari pergi makan” ajak Amy. Hady menjeling lagi.
“Amboi.. tajamnya jelingan. Nanti juling baru tau. Marilah... Amy lapar ni” rengek Amy.
“Kalau dah tahu lapar kenapa tak makan tadi?” soal Hady. Pen ditangan di letak ke tepi.
“Nak makan dengan abang sayanglah” jawab Amy selamba. Hady menarik nafas panjang.
Dia menjeling lagi.
“Abang sayang jeling – jeling macam ni sebab tu lah salah masuk bilik” ketawa Amy. Muka Hady merah padam.
“Ish ish.. merahnya muka.. malu ya?” sengih Amy.
“Awak nak makan apa?. Cepat.. saya temankan. Lepas tu balik” tegas Hady dan terus bangun untuk keluar menemani Amy makan. Amy tersenyum dan terus memegang tangan Hady keluar dari biliknya. Iqram yang kebetulan mahu masuk ke dalam bilik Hady terpinga – pinga melihat Hady dan Amy berpegangan tangan keluar.
“Yang awak pegang tangan saya ni kenapa?. Nak menimbulkan fitnah?” soal Hady.
“Fitnah apa?. Bukankah kita suami isteri yang penyayang lagi romantik” jawab Amy cepat – cepat. Hady memandang Amy.
“Romantiklah sangat!.sejak bila pula saya romantik dengan awak?”
“Malam tadi!”
“Apa pula?. Itu tersalah masuk bilik. Bukannya saya nak tengok awak!” Hady berdalih. Dia menarik semula tangannya.
“Eleh.... buaya tembaga juga awak ya” usik Amy bertalu – talu.
“Jangan nak samakan saya dengan buaya tau! Kalau saya buaya, sekarang ni awak dah mengandung tau tak!” marah Hady. Amy ketawa besar. Berkerut dahi Hady melihat Amy yang ketawa tidak henti – henti.
“Malas saya nak layan perempuan menggedik macam awak ni!” kata Hady. Dia terus masuk ke dalam keretanya. Tanpa bicara dia terus membawa Amy makan di kafe kegemarannya. Amy sebenarnya bukan mahu makan. Dia hanya mahu melihat wajah Hady yang menjadi penyejuk jiwanya. Dia mahu memikat Hady selagi ada waktu. Spageti di hadapannya dipandang kosong. Amy memandang pasangan yang duduk di hadapan mereka. Sesekali Amy tersenyum sendiri. Hady menoleh ke belakang. Ingin juga tahu apa yang membuatkan Amy tersenyum begitu. Pasangan itu memang kelihatan amat bahagia sekali. Lelaki itu menyuapkan kekasihnya makanan dan sesekali dia mengelap bibir wanita itu dengan sapu tangan. Mereka ketawa gembira. Berbual sambil diiringi tawa manja. Amy meneguk air teh tanpa memulakan apa – apa bicara. Hady mula rasa bersalah. Dia faham akan makna senyuman Amy sebentar tadi. Amy berhak mendapat lelaki yang mampu membuatkan dia bahagia sebegitu. Hady memandang jauh ke dalam anak mata Amy.
“Maafkan saya” kata Hady setelah sekian lama membisu. Amy memandangnya.
“Kenapa abang sayang?” soal Amy.
“Jangan panggil begitu boleh?” pinta Hady.
“Kenapa pula?” soal Amy pula.
“Amy, dengar sini. Saya tak mahu beri apa – apa harapan kepada Amy. Jika kita mulai mesra sekarang, agak sukar untuk saya melepaskan awak suatu hari nanti” tutur Hady dengan nada yang perlahan.
“Jadi, jangan lepaskan” kata Amy. Hady menggeleng kepala.
“Tidak. Hati saya tiada pada awak, Amy. Kita berdua tahu kenapa kita berkahwin dan kita berdua juga tahu siapa cinta saya sebenarnya” ujar Hady. Sesekali dia menoleh ke luar tingkap. Amat payah untuk dia menyusun kata – kata agar Amy tidak begitu terluka.
“Awak tak pernah beri hati awak dan saya peluang. Awak hanya fikirkan dia tanpa mengambil tahu akan saya” Amy memandang tepat ke wajah Hady.
“Kalau kita mencuba, jika sesuatu yang buruk terjadi, awak yang akan sangat terluka” jawab Hady. Amy mengeluh. Begtu sukar untuk di meyakinkan Hady betapa mereka boleh hidup bahagia bersama.
“Saya cintakan awak dunia dan akhirat. Jika saya terlepas dari ikatan suci ini, saya tidak akan sesekali mengikat hati saya ini pada lelaki lain. Awak yang pertama dan terakhir walaupun saya tahu saya bukan di tempat pertama atau terakhir. Malahan, saya langsung tiada tempat di hati awak.” Nadanya mendatar. Amy menahan sakit di dadanya. Jiwanya terasa bagai digenggam sehingga tiada ruang untuk dia bernafas. Dia tidak mahu air matanya jatuh di hadapan lelaki itu. Amy terus bangun dan meninggalkan Hady sendirian. Dia terus keluar dan mengatur langkah walaupun tidak pasti arahnya. Hady termenung di meja itu. Dia pasti benar hati Amy terluka. Dia tidak faham mengapa hatinya juga rasa sakit sedangkan itu yang dipintanya selama ini. Menuturkan kata  - kata itu kepada Amy membuatkan dia juga rasa pedihnya. Kenapa?... Hady sendiri tidak faham. Setelah lama bersendirian di kafe itu, Hady pulang ke pejabatnya. Fikirannya tidak menentu. Salahkan kata – kata aku tadi?. Kenapa perlu aku rasa bersalah pada dia?.... fikir Hady sendirian.

                                                ******************

 “Anak papa ni bahagia?” soal Datuk Kamal membuatkan Amy tersentak dari lamunannya. Dia mengukir senyum.
“Bahagia papa” jawabnya. Datuk Kamal senyum. Dia bangun dari kerusinya yang empuk itu dan menghampiri Amy yang sedang duduk di sofa.
“Amy tak mahu kerja di sini?” soal Datuk Kamal.
“Pa... biarlah abang seorang yang uruskan. Kalau Amy nak kerja, Amy nak buka kedai kek dan roti sahaja” jawab Amy.
“Dengan harta papa yang berjuta ni, Amy hanya nak papa bukakan kedai kek saja. Apa kata Amy buka butik?” cadang Datuk Kamal.
“Taknak lah... Amy nak buka kedai kek. Suka tengok senyuman orang yang datang ke kedai kek” ketawa Amy. Datuk Kamal ketawa besar.
“Bila nak bawa Hady makan rumah papa?” soal Datuk Kamal lagi. Amy terbatuk. Agar sukar permintaan dari papanya itu.
“Dia sedang sibuk tu. Kan abah pergi umrah” Amy memberi alasan. Datuk Kamal mengangguk.
“Amy pulang dulu papa. Amy nak masak” kata Amy. Datuk kamal terkejut mendengarnya.
“Amy memasak?”
“Ya. Lah! Amy kan nak jadi surirumah terhebat!” senyum Amy.
“Kata nak buat bisnes kek dan roti?” soal Datuk Kamal. Mahu menguji Amy.
“Itu suatu hari nanti papa. Bila sudah tiada keutamaan yang boleh membuatkan hidup Amy bermakna lagi” jawab Amy. Dia mencium pipi Datuk Kamal dan terus keluar. Datuk Kamal termenung jauh. Dia pasti ada sesuatu di sebalik kata – kata Amy sebentar tadi.

    Amy pulang ke rumahnya dengan wajah yang merah. Mak Biah memerhatikan Amy tanpa menyoal apa – apa. Amy membasuh beras. Dia mahu memasak untuk Hady. Dia tidak pasti sama ada Hady akan menjamahnya atau pun tidak tetapi yang pasti dia lakukan semua ini demi cintanya yang tidak pernah berbalas.
“Amy..” panggil Mak Biah dengan lembut. Tiada apa – apa respon. Mak Biah menyentuh bahu Amy. Air mata Amy sudah pun mengalir. Mak Biah yang menyedarinya memegang bahu Amy dan terus memeluk Amy dengan penuh kasih sayang. Kali ini Amy membiarkan tangisannya didengari oleh seorang wanita yang disayanginya. Mak Biah mengucup dahi Amy. Air mata Mak Biah turut mengalir.
“Sabar sayang.... Allah akan mendengar doa isteri yang solehah jadi Amy perlu berdoa agar pintu hati Hady terbuka buat Amy” kata – kata Mak Biah membuatkan Amy bertambah sebak. Amy cepat – cepat mengesat air matanya.
“Mak Biah rehat hari ini ya. Amy dah tahu masak sekarang ni. Kan Mak Biah dah ajarkan semua resipi makanan kegemaran Hady?” senyuman Amy nampak begitu janggal sekali. Mak Biah mengangguk dan membiarkan Amy bersendirian di dapur. Dia faham akan perasaan Amy. Mak Biah masuk ke dalam biliknya. Hari itu Amy masak sambal tumis udang dengan ikan tenggiri goreng. Tidak lupa sayur campur kegemaran Hady. Dia menghidangkan semuanya dengan sempurna.
“Kalau mama tengok Amy hidangkan makanan ni, pasti mama akan bangga!” kata Amy sendiri. Kedengaran enjin kereta Hady dari luar. Amy pasti Hady pulang. Dia terus naik ke atas dan masuk ke dalam biliknya. Biarlah Mak Biah yang melayan Hady makan. Dia belum bersedia mahu bertentang mata dengan Hady.  Mak Biah keluar dan mendapatkan Hady.
“Nanti Hady turun makan ya” kata Mak Biah. Hady hanya mengangguk. Dia menaiki anak tangga dan berhenti di hadapan bilik Amy. Hady menarik nafas dalam – dalam. Setelah beberapa ketika berdiri di hadapan bilik Amy, Hady masuk ke dalam biliknya sendiri.
Setelah membersihkan diri, Hady turun untuk makan bersama Mak Biah.
“Sedapnya!.” Senyum Hady. Dia duduk dan mencedok nasi ke dalam pinggan.
“Amy masak semua ni” kata Mak Biah. Hady terdiam. Dia merenung semua juadah di hadapannya.
“Mari makan Mak Biah” katanya dan terus mengambil beberapa ekor udang dari pinggan sambal udang itu . Buat pertama kali dalam hidupnya, Hady menjamah makanan yang disediakan oleh isterinya sendiri. Mak Biah turut makan bersama. Air mata Mak Biar jatuh ke pipinya. Hady yang melihatnya hanya membisu.  Ada rasa bahagia dalam sanubarinya. Dia tidak pasti apa atau kenapa tetapi makan makanan yang disediakan oleh isterinya sendiri membuatkan Hady rasa lain sekali. Ada rasa istimewa tapi dia tidak pasti.
“Sedap Hady?” soal Mak Biah. Hady mengangguk dan terus mengangkat pinggan ke dapur untuk di basuh. Mak Biah tersenyum puas. Tidak sabar mahu menceritakan perkara ini kepada Amy yang sedang lena di biliknya.

2 comments:

  1. Replies
    1. hehehhehe....
      terima kasih sudi baca novel kedua yang bakal saya hantar ke syarikat penerbitan ...
      doa - doakanlah berjaya ya :)
      terima kasih banyak2 Hartini :)

      Delete