BAB 11
Zarin mengikuti Fareez ke Wawasan
Holdings. Bunyi bising membuatkan Zarin naik rimas. Serta merta dia mula merasakan
cadangan Puan Sri Norma untuk bekerja di wawasan Holdings itu bukanlah satu
cadangan yang baik.
Ya.. memang Zarin ada diploma tapi
bukanlah jurusan yang terarah ke lapangan perniagaan seperti ini. Nombor –
nombor itu pun sudah cukup membuatkannya sakit kepala. Fareez menjemput Zarin
masuk ke dalam bilik pejabatnya. Pintu dibukakan untuknya. Wah... budimanlah
pulak. Zarin sengih dan terus melangkah masuk.
Seorang setiausaha masuk ke bilik Fareez
dan menletakkan secawan teh di atas meja. Sebaik sahaja setiausaha yang vogue
lagi ranggi itu keluar, Zarin mula berbisik.
“Tukang buat teh pun kena vogue macam tu
ke?” Zarin sengih. Masih cuba buat lawak.
Ternyata.... tak menjadi langsung!. Malu
lagi adalah bila melihat Fareez merenungnya tanpa sebarang reaksi di wajah.
Kedekut benar!. Paling kurang pun, cubalah tersenyum. Kalau tak ketawa berdekah
– dekah pun tak apa.
“Zarin akan kerja di sini. Awak perlu juga
tahu selok belok Wawasan Holdings.” Ujar
Fareez serius. Zarin pula buat muka bodoh. Dia memandang Fareez dengan mata
yang berkelip – kelip.
“Tak comel pun buat muka begitu” jawab
Fareez seraya menjatuhkan pandangannya ke dokumen yang baru diselaknya tadi.
“Saya tak suka kerja di sini. Semua macam
robot. Taip – taip lepas tu print out. Tu belum lagi kena marah dengan bos” jawab
Zarin selamba.
Fareez menutup dokumen itu dan terus
merenung wajah Zarin
“Awak suka renung orang kan?. Awak tahu
tak yang renungan awak tu mampu membunuh?.” Gurau Zarin.
“Boleh tolong tak?” pinta Fareez.
“Tolong apa?” soal Zarin pula.
Fareez bangun dan terus duduk di kerusi
sebelahnya. Tiba – tiba Zarin rasa malu direnung sebegitu rupa. Janganah renung
begitu, mahu cair nanti..
“Suatu hari nanti awak akan berterima
kasih dengan saya kerana memaksa awak bekerja di sini, Zarin” tegas Fareez.
“Eleh... ni mesti nak buat macam cerita
kat tv tu.. semua harta ni sebenarnya saya yang punya.. hahahhaha.. ahmad albab
yang punya” gelak Zarin. Fareez mengeluh panjang.
“Minta maaf banyak – banyak ye Ahmad
Albab!. Banyak cantik muka awak semua harta ni awak yang punya” jegil Fareez.
Mulut Zarin terkunci.
Dia sebenarnya hanya bergurau. Menyampah
betul dengan Fareez ni!. Asyik serius memanjang. Kalau kat luar tu tahu pula dia bergurau...
gerutu hati Zarin.
“Ok.. saya kerja. Jadi pengurus ke?” soal
Zarin lagi.
“Layak ke?”
“Uish... layak!” Zarin menepuk dadanya
sendiri. Fareez memandang tangan yang masih berada di dadanya. Cepat – cepat
Zarin menutupnya dengan beg tangan yang dia dan Opah beli di pasar malam di
kampungnya.
Fareez seperti sesak nafas apabila
berbincang dengan Zarin. Tak pernah nak serius!
“Mata tu jangan gatal ya bos!. Saya ni
bukan pengurus yang boleh di goda” marah Zarin. Fareez mencebik.
“Tak ada selera pun nak lihat dada awak tu
dan janganlah meninggi diri sangat!. Tak layak pun jadi pengurus. Jadi kerani
biasa dulu” Fareez bangun dan duduk di tempatnya semula.
“Kerani ni kena taip – taip je kan?..
eleh.. kacang buncis masak kicap campur telurlah!!!” gelak Zarin. Fareez
menepuk dahinya.
Alamak aih.... macam teruk sangat je
perangai aku ni sampai nak tepuk – tepuk dahi...
Zarin akan di ajar oleh Kak Vee. Nasib
baik Kak Vee ni lemah lembut dan baik hati. Kalaulah dia garang macam singa, mahu
Si Zarin cabut lari!.
Puan Sri Normah memandang Zarin sambil
senyum manis. Zarin membalasnya. Berdosa kalau tak balas senyuman orang,
walaupun sakit hati. Dia yang sentiasa bergaya itu terus masuk ke dalam
biliknya bersama seorang lelaki yang berusia separuh abad. Zarin hanya memerhatikannya
dari jauh.
Setiausaha Maklong ni lelaki agaknya!..
teka Zarin.
Sedang Zarin menaip dokumen dengan penuh
tekun, seorang pekerja lelaki datang menghampirinya. Razlan namanya. Boleh
tahan kacak juga orangnya.
Kalau buat suami Si Tina, kawan baik aku
tu...lepaslah juga. Tapi ada satu yang aku tak suka pasal Razlan ni, jari
telunjuknya itu suka sangat menari – nari di meja aku. Kalau di meja sahaja tak
mengapa.. ini kadang kala terbabas ke tangan aku. Geram. Mahu sahaja aku
tomoikan saja budak tu!.. mata Zarin mula mengecil. Kalau jari Razlan mencuit
lengannya lagi, memang patahlah jari kurus tu nampaknya!.
“Luch sama – sama” ajaknya.
Razlan senyum dengan senyuman yang paling
manis.sesekali tangannya menyentuh janggut sejemput di dagunya. Zarin rimas!.
“Tak apa, saya rasa nak makan dengan Encik
Fareez je nanti” jawab Zarin selembut boleh.
“Nak ke Encik Fareez tu makan dengan
awak?” soal Razlan pula.
“Kenapa pula tak nak?” Zarin menyoalnya
kembali. Dia sengih...
“Kalau nak tahu, Encik Fareez akan makan
dengan Cik Aishah tu” dia memuncungkan bibirnya ke belakang Zarin. Sudah tentu
Zarin akan menoleh. Matanya terbeliak.
Habis aku!. Tak ada harapan!. Putus jiwa
raga!
Melihatkan wajahnya yang tenang sambil
tersenyum manis ke arah Fareez yang baru keluar dari biliknya sahaja sudah
membuatkan Zarin bagai terjatuh dalam perigi buta. Orangnya sopan santun. Tutur
bahasanya halus dan pandai menjaga hati orang lain.
“Makwe Fareez ke?’ Zarin berbisik. Razlan
senyum. Macam cemburu saja..
“Entah... ikut gossip ya. Tapi Encik
Fareez tak pernah pula sentuh – sentuh dia” bisik Razlan kembali.
“Wei.... makwe – makwe kena sentuh ke?”
Zarin membeliakkan mata.
Razlan gelak dan terus meninggalkan Zarin
yang terpinga – pinga.
Hish... ini yang buat aku tak seronok nak
kerja ni. Fareez pula selamba saja keluar makan tanpa mempelawa aku sekali. Dia
tak tahu ke yang aku ni tak ada duit?. Duit semuanya aku sorok dalam almari
baju. Terlupa pula nak keluarkan lagipun fikirku, tentu Fareez akan menampung
kos makan tengahari aku hari ni. Kejam sungguh !!... Zarin menggaru – garu
kepalanya. Masalah betul!.
Kak Vee ajak juga keluar makan bersama
tapi malulah Zarin kalau Kak Vee tahu dia tak berduit. Mahu atau tidak, Zarin terus ke pantry. Buat milo panas yang dia tak suka tu. Zarin
memang tak sukakan teh, kopi atau milo..
Jam di tangan sudah pukul 4 petang. Fareez
yang keluar meeting selepas lunch tadi pun sudah pulang. Perut Zarin siap buat
konsert metalica dah. Lapar!!! Mana sama minum air dengan makan. Semua kerja
telah dia selesaikan. Cuma menunggu waktu untuk pulang setengah jam lagi. Kak
Vee tanya juga kenapa dia melepek sebegini tetapi hanya senyuman yang mampu
Zarin berikan sebagai jawapan. Dah tak larat!
Zarin dipanggil masuk ke dalam bilik
Fareez. Aishah yang baru keluar dari bilik Fareez itu memberikan senyuman manis
buatnya sewaktu mereka berselisih tadi.
Eleh... tahulah senyuman kau manis macam
Miss World!!!!... Zarin berbisik sendiri.
Fareez memandang Zarin dan mempelawanya
untuk duduk.
“Nak apa?” soal Zarin pendek. Dah tak
larat nak cakap banyak – banyak.
“Ada beberapa kesalahan. Semak dan
betulkan semula” Fareez menghulurkan dokumen yang baru sahaja Zarin hantar sejam yang lalu.
Macam nak pitam Zarin mendengarnya. Dia
memandang jam dinding.
“Dah pukul 5 lah....”
“Habis tu?” soal Fareez. Zarin meletakkan
kepalanya di atas meja. Mukanya berkerut. Macam nak meraung rasanya!.
“Ni kenapa pula ni?. Macam orang tak makan
saja?” soal Fareez. Cepat – cepat Zarin berdiri. Zarin memandang Fareez setepat
yang boleh ke dalam anak matanya.
“Memang tak makan! Awak asyik pergi makan
dengan Aishah tu. Dah lah saya tak sempat sarapan pagi tadi sebab awak nak
cepat saja. Ni, badan ni dah menggigil tahu tak?... kalau pengsan tadi?” kali
ini Zarin benar – benar marah. Sebenarnya marahnya tidak kepada perutku yang
lapar tetapi lebih kepada ‘Aishah’!.
Fareez terus memimpin tangan Zarin keluar
dari biliknya. Semua memandang gelagat mereka berdua termasuklah Aishah.
“Ambil beg. Kita pergi makan” suaranya
sedikit mendatar. Mungkin kerana rasa bersalah kerana membiarkan Zarin lapar
begini. Lapar boleh membunuh tau!
Fareez membawa Zarin makan di sebuah restoran
yang agak asing baginya. Dekorasi restoran yang sangat indah itu membuatkan
perut Zarin bertambah lapar.
Fareez tidak mahu Zarin sakit. Kesal juga
dia kerana mengabaikan Zarin sebentar tadi. Bukannya dia sengaja. Dia fikirkan
Zarin pandai menguruskan dirinya sendiri. Ternyata Zarin juga perlu sering
diberi perhatian.
Makanan sudah dihidangkan di hadapan
Zarin. Dia memandang Fareez. Keningnya terangkat sedikit.
“Apalagi.. makanlah,nanti kebulur..mati
pula” kata Fareez.
Zarin tidak peduli apa yang Fareez fikir.
Lantak dialah dia nak kata aku ni gelojoh
ataupun apa, janji konsert metalica di perut aku ni tamat. Penatlah... nak
dengar kosert tu sepanjang hari.
Setelah selesai makan, mereka berdua
beredar dari situ.Mereka berdua duduk di dalam kereta. Fareez menoleh.
Memandang ke luar.
“Terima kasih belanja saya Bos!” perli
Zarin.
“Kenapalah kurang cerdik?. Cakaplah pada
saya” dia menoleh. Zarin mencebik.
Dia keluar tak toleh kiri kanan, nak
salahkan aku pula. Tengok cara dia berbual dengan Aishah tu pun aku yakin dia
langsung tak ingatkan aku walaupun seminit dua..gumam Zarin.
“Habis tu.. kalau asyik berbual dengan
Aishah tu, mana nak ingat saya” cuba menduga.
Fareez tidak menjawab. Sebaliknya dia
hanya membelek jari jemarinya sendiri. Kadang kala dibetulkannya cermin kereta
yang dah sedia betul itu. Fareez meraup wajahnya dan dia mula tersenyum.
“Apahal pula sengih – sengih ni?” kering Zarin
berkerut. Mestilah marah! Orang cakap betul – betul, dia tersengih pula.
“Tak ada apalah.. kita balik” senyum
Fareez. Senyum lagi! Ada hormon kambing ke apa!.
Sepanjang perjalan pulang, Zarin hanya mendengar alunan muzik yang membosankan
dari radio Fareez. Kalau sound system bagus pun tapi lagunya tak sedap, tak guna
juga. Ringan saja tangan Zarin nak menutupnya.
Zarin cuba memandangnya. Masih tersengih
lagi!.
“Awak ni kenapa?.” agak tinggi suara
Zarin. Geram sangat apabila melihat senyuman Fareez yang seakan - akan mengejeknya. Apa yang di ejekkan tu pun
Zarin tak tahu. Tiba – tiba terdengar suara ketawa. Sesekali dia mengerling.
“Awak cemburukan Aishah ke?”
GEDEBUSH!!!!... rasa macam kena tumbuk
saja muka Zarin!.
“Wajarkah seorang lelaki bertanyakan
soalan sebegitu?. Nampak sangat dia tak hormatkan aku sebagaimana dia hormatkan
Aishah tu. Kalau dia bercakap dengan Si Aishah tu, mahu menangis siput kat
lumpur tu dengar. Lemah gemalai. Aku pula.. asyik diejek – ejeknya. Memang
sakit hati betul!. Menyampah pula aku pada ciptaan Allah bernama Fareez ni.
Malas mahu melayan, Zarin hanya membatukan diri. Fareez masih gelak
hinggalah dia terlanggar lubang besar di tengah jalan jalan raya. Kelam kabut
dia memutarkan stering kereta dan seterusnya menekan brek kereta. Wajahnya
sedikit pucat. Zarin bantai gelak!.
“Hahahahahahahhaha!!!!!!!.. itulah
balasannya sebab suka kutuk perempuan sesuci saya ni.” Zarin pula ketawa lebih
– lebih.
Kalau Opah dengar dia ketawa begini, sakitlah
telinganya kena piat – piat dengan putaran 360 darjah. Tapi apa dia peduli?.
Dia mesti rebut setiap peluang yang ada....
BAB
Zarin menuruni anak tangga. Terpaksa
menjerit memanggil Fareez yang hampir meninggalkannya kerana sedikit lewat.
Fareez hanya memandang Zarin sepintas lalu.
“Lain kali lambat, saya tinggal” kata
Fareez dengan tegas.
“Ok” jawab Zarin ringkas. Memang salah
sendiri jadi tak bolehlah nak kata lebih – lebih.
Sampai sahaja di pintu lif pejabat, Aishah
sudah pun menunggu Fareez dengan senyuman yang paling manis bagi dirinya tetapi
paling jelek pada pandangan mata Zarin.
“Assalamualaikum Encik Fareez” ucapnya.
Fareez senyum.
“Waalikumussalam Aishah”
Mereka berdua bertentangan mata dan
akhirnya tunduk seraya mengukir satu senyuman.
Zarin agak terkedu di situ. Tiba – tiba
ada satu perasaan bersalah pada mereka berdua.
Berdosakah aku kalau cuba memenangi hati
Fareez sedangkan jelas dan nyata yng mereka berdua sangat serasi bersama?..
Zarin menyoal dirinya sendiri.
“Saya bawakan ya” pelawa Fareez sambil
membawa kotak besar yang ditatang Aishah.
“Terima kasih Encik Fareez” senyum Aishah.
Jujur... Zarin naik rimas melihat senyuman
mereka yang silih berganti. Tiba – tiba hatinya rasa sedikit rasa pedih. Seolah
– olah sakit melihat mereka berdua yang asyik berbalas senyuman dan tawa.
Perlahan – lahan Zarin undur ke belakang dan terus keluar dari bangunan 18
tingkat itu. Dia duduk di bangku bersebelahan tiang bangunan.
Kenapa harus rasa sesakit ini?. bukannya
aku dikhianati.. aku hanya memandang
tetapi pandangan itu terlalu menyakitkan mata dan hatiku. Aku tidak mahu jadi
watak antagonis di dalam kisah hidup Fareez. Aku lebih rela memegang watak
tambahan yang pastinya tidak akan dikenang.... Zarin melepaskan keluhan yang
berat.
****************
“Saya tak mahu bekerja di Wawasan Holding”
kata Zarin sewaktu duduk bersama di
ruang tamu. Puan Sri Norma memandang Zarin. Mungkin tidak yakin dengan
kuputusan yang baru saja anak buahnya itu putuskan.
“Gaji tak cukup?” soal Puan Sri Norma..Cuba
mengagak - agak.Zarin hanya menggeleng. Fareez agak tenang mendengar keputusan
yang dia kira agak tidak matang itu.
Selepas membisu buat beberapa ketika,
Fareez mula bersuara kembali.
“Kecewa?” soalan Fareez membuatkan lidah
Zarin kelu. Dia memandang wajah Fareez dan kemudiannya bangun dan terus
mengatur langkah menuju ke luar rumah. Dari tempat Zarin duduk, dengan jelas
dia boleh melihat Fareez sedang memandang ikan yang berenang di kolam ikan
milik Puan Sri Norma.
“Mungkin tak sesuai bekerja di tempat yang
berhawa dingin dan nampak mewah seperti pejabat Maklong” jawab Zarin.
Mak Jah turut memandang Zarin. Dia pasti agak
kecewa dengan keputusan yang baru sahaja Zarin putuskan tadi.
Mereka tidak tahu bagaimana Zarin rasa
apabila bekerja dengan seseorang kita cintai tetapi hakikatnya semua cinta itu
tidak pun hadir malah semakin menjauh. Jauh mendapatkan Aishah yang sentiasa
sedia menerimanya.
“Rasanya elok Zarin pulang ke kampung
saja” ujar Zarin sambil menundukkan wajahnya.
“Baguslah... inilah semangat anak kampung
rupanya. Sedikit retak tapi ceritanya bagai sudah berderai kaca yang dipegang”
tiba – tiba Fareez bersuara.
Zarin berdiri dan terus menghadap Fareez.
Puan Sri Norma dan Mak Jah berlalu dari situ kerana mahu Zarin dan Fareez
sahaja yang menyelesaikan perkara ini bersama – sama.
“Ikut sedap mulut awak saja kan?” Zarin
memandang wajah Fareez yang kelihatan masih tenang. Dia senyum sinis.
“Apa sebab yang buatkan awak nak berhenti
kerja?’ soal Fareez.
Zarin terdiam. Takkan dia nak beritahu yang
dia tak sanggup melihat Fareez dan Aishah yang sentiasa tersenyum bahagia
bersama.Tiada sebab Zarin berasa marah kerana Fareez hanya abang sepupu tiri
yang langsung tidak mencintainya..... fikir Zarin
Kenapa aku harus mencintai dia?. Cinta milikku
itu tidak pandai memilih. Mengapa harus memilih fareez?.... pilihlah lelaki
lain wahai hati!!.
“Cemburu?” soalnya lagi. Kali ini kakinya
makin menghampiri Zarin. Dia berundur sedikit ke belakang.
“Cemburu apa?” soal Zarin kembali.
“Jangan biarkan rasa cemburu itu menjadi
penghalang dari awak menjadi seorang yang berjaya, Buang rasa itu jauh – jauh” Fareez cuba
menasihati Zarin.
Tidak!. Tidak mungkin Zarin
menerimanya.Dia tidak mahu menjadi ahli korporat seperti Mak longnya, Puan Sri
Norma. Biarlah hidupnya sederhana asalkan dia boleh sentiasa tersenyum bahagia.
Bahagiakah dia jika meninggalkan Fareez
dan pulang ke kampung?.
Fareez melangkah ke hadapan lagi. Seperti
biasa, Zarin akan berundur. Dia melangkah lagi dan Zarin berundur setapak ke
belakang berundur. Kali ini Zarin hampir terjatuh ke dalam kolam dan mujurlah
Fareez menariknya dengan cepat. Dengan tangan yang masih memegang Zarin, Fareez
berbicara kembali.
“Pasti ada jatuh dan naiknya. Bukan sahaja
dalam perniagaan tetapi juga dalam kehidupan kita. Kalau awak langsung tidak
mahu terjatuh ke bawah, bagaimana awak mahu merasa kemanisan sewaktu awak
berjaya naik ke atas?”
Renungan Fareez membuatkan Zarin tersedar.
Mungkin sebab ini juga Opah yang tidak pernah melepaskan dia dari dakapannya, melepaskan
dia pergi sejauh ini. Ya... Opah mahu lihat Zarin berjaya.
“Maafkan saya” ujar Zarin dan terus masuk
ke dalam rumah. Dia tidak menoleh ke belakang. Malu dan sangat kesal dengan
sikap terburu – buru yang membuatkannya malu sendiri.
Ya.. Aishah salah satu cabaran dan selagi
Aisahah tidak di akad dengan lafaz nikah oleh Fareez, hatinya belum dimiliki
lagi..selain Allah.
******************
Razlan ketawa besar apabila mendengar
kisah Zarin yang gemar mandi sungai
bersama – sama rakan lelaki sewaktu di sekolah rendah dahuu. Hinggakan Opah
terpaksa mencarinya dengan sebatang rotan di tangan. Rupa – rupanya Razlan juga
begitu. Kak Vee yang duduk di sebelah Zarin tumpang gelak.
“Macam jantan!” komen Kak Vee.
Zarin hanya tersengih. Razlan dan dia semakin rapat. Masih ada rasa sakit apabila
Aisahah dan Fareez ketawa bersama. Zarin yakin Kak Vee perasan akan renungannya.
“Kan bagus kalau Zarin tanyakan sendiri
pada Encik Fareez” cadang Kak Vee.
Zarin hanya ketawa kecil. Dia juga punya
rasa malu. Kalau memang dah tersurat Fareez tidak akan jadi miliknya... dia
harus belajar menerimanya dari sekarang. Sudah seminggu Zarin tidak bercakap
dengan Fareez. Puan Sri Norma telah pun membelikan sebuah kereta untuk
memudahkannya pergi dan balik dari kerja.
Zarin dipanggil masuk ke dalam bilik Puan
Sri Norma.
Kerusi dihadapannya ditarik perlahan.
“Zarin suka kerja di sini?” soal Puan Sri
Norma. Pertanyaannya itu Zarin jawab dengan anggukan. Suka tu ya.. kalau suka
sangat tidak!
“Ada beberapa dokumen yang perlu Zarin
tandantangan dalam masa terdekat ni. Zarin tak perlu buat apa – apa. Cuma
tandantangan sahaja. Semuanya demi kepentingan Zarin juga” Puan Sri Norma masih
tersenyum. Seperti tadi, Zarin hanya mengangguk.
Setelah berbual mengenai beberapa perkara,
Zarin terus keluar dari bilik itu dengan seribu persoalan. Tandatangan dokumen
apa?.. dia semakin buntu.
No comments:
Post a Comment