DI SEBALIK DIA...
Aku merenung agak lama
sutera merah di tangan, pemberian dari seorang insan yang menyedarkan aku
betapa aku tidak pernah sempurna walaupun aku ditakdirkan untuk mengajar apa
itu kesempurnaan pada anak bangsaku. Ya.. aku guru yang mengajar matematik
untuk pelajar tingkatan empat. Aku garang?. Sudah semestinya. Kalau tidak ada
sifat itu, mana mungkin hampir kesemua pelajarku lulus cemerlang di dalam
peperiksaan mereka kecuali.... Azmin!.
Enam tahun yang lepas...
“Azmin!” jeritku agak
kuat. Sudah pun namanya menjerit, sudah pasti kuat lontarannya. Azmin yang
terhegeh – hegeh mencari buku latihannya kelihatan sedikit cuak. Sesekali dia
mengesat peluhnya dengan lengan baju yang sudah pun lusuh warnanya. Ada koyak
di kolarnya juga.
“Cikgu Intan... saya
terlupa” buku matematiknya dipegang tanpa memandang wajahku. Sekali libas
rotanku menghentam mejanya.
“Cikgu tak faham kenapa
awak tak boleh jadi pelajar yang baik seperti pelajar yang lain” bebelku.
Cermin mataku menjadi penghalang untuk menembus kemarahan ku tepat ke dalam
matanya.
“Kenapa tak siap?” jerkahku
lagi. Dia mengesat peluh di bibir dengan kolar bajunya pula.
“Saya penat cikgu”
“Penat merayap dekat
kedai game di pekan tu?”. Aku pernah melihatnya di sana. Baru sahaja keluar
dari permis itu dengan memegang wang di tangan. Azmin tunduk. Setelah aku
beredar hatiku masih lagi sakit. Aku mahu dia menjadi insan yang sempurna,
pelajar yang cemerlang tetapi jika hatinya beku ....apalah dayaku untuk
mengubahnya.
*********
Kelas matematikku sudah bermula
setengah jam, Azmin baru sahaja muncul di muka pintu. Riak wajahnya tenang
sahaja. aku mencapai rotan dan terus menuju ke arahnya. Tiada gentar di hatinya
barangkali. Dia hanya memejam beberapa ketika matanya untuk mencuri kekuatan
yang tidak pasti sama ada akan diperolehinya ataupun tidak.
“Cikgu... saya minta
maaf. Lambat”
“Kenapa?”
“Maafkan saya cikgu”
Azmin tunduk dan terus masuk ke dalam kelas,. Dikeluarkannya buku yang masih
tidak berbalut. Itu kepantanganku! Bagiku ilmu harus dijaga sebaik mungkin,,,
“Kenapa tak balut buku?”
Azmin tunduk.
“Kenapa Azmin?”
Dia mendongak dan matanya
yang berkaca itu menenggelamkan keinginanku untuk menyoalnya lagi. Seperti ada
sesuatu dalam renungan itu. mengapa mata nya berkaca?. Ku pasti, jika lebih
keras aku menyoalnya, air mata itu pasti akan mengalir. Hari itu aku banyak
membisu. Mataku sering sahaja terarah kepadanya. Rambut yang tidak terurus itu
menyemakkan mataku. Dari jauh ku lihat dia mencari sesuatu dan Nadia
menghulurkan pen untuknya. Ya... pennya sudah kehabisan dakwat!.
Dialah pelajar yang akan
keluar paling awal. Aku hanya melihatnya dan menahan Nadia sebelum pengawas itu
turut sama keluar.
“Nadia... kenapa Azmin tu
tak macam kamu semua?. Tak berdisiplin!” keningku berkerut. Nadia tunduk. Lama sehingga
aku terpaksa memanggil namanya sekali
lagi. Saat di mendongakkan wajahnya, air matanya mengalir.
“cikgu... ya, dia tak
macam kami semua... kerana kami semua tak mampu jadi macam dia”
Aku terpegun. Terdiam tanpa
kata.
“Bukankah lebih baik
cikgu melihatnya dahulu sebelum menilai siapa Azmin di mata cikgu. Jika cikgu
dah tahu kebenarannya, untuk mengherdiknya pun cikgu tidak akan sanggup” Nadia
merenung wajahku pula.
Mungkin dia mengerti
persoalan yang bersarang di fikiranku... Nadia memberi alamat yang baru sahaja
ditulisnya.
“Ini kedai makan sebelah
kedai game. Dia kerja di sini, kadang – kadang hantar makanan tapi selalunya
cuci pinggan dan lap meja” Nadia memandangku lagi.
“Nadia teman cikgu”
pintaku dan Nadia terus bersetuju.
************
Luluh hatiku saat melihat
Azmin diherdik tuan punya restoran kerana tertumpahkan air ke lantai. Dengan langkah
yang panjang, Azmin terus ke stor untuk mengambil mop. Peluh menitis ke pipinya
dan seperti biasa dia akan mengelapnya dengan lengan baju. Ya Allah........ itu
sahaja yang mampu terungkap. Semalam Nadia telah tunjukkan tempat tinggalnya. Aku
harus ke sana sementara Azmin masih bekerja .
Rumah papan separuh batu
itu senyap sunyi., tiada bunyi televisyen apatah lagi kabel astro. Ada tiga
ekor ayam yang sedang mengais tanah.
Selepas memberi salam,
aku melihat seorang wanita muda membuka pintu.
“Ya..nak jumpa siapa ya?”
soalnya tenang,
“Saya Intan, cikgu Azmin”
terangku sambil menghulurkan tangan. Wanita muda itu memperkenalkan dirinya
sebagai Maya. Dia kakak kepada Azmin. Hanya satu – satunya adik beradik Azmin.
“ Cikgu.. jangan marah
Azmin... dia bukan sengaja” rayuan itu mengejutkan aku. Seoalah – olah Maya
tahu apa yang berlaku., aku masuk ke dalam rumah dan kaki ku tidak mampu
melangkah terus apabila melihat seorang wanita pertengahan umur terbaring lemah
di atas tilam bujang.
“Cikgu...” wajah Kak
Halimah, ibu kepada Azmin begitu sayu sekali. Dia lumpuh separuh badan akibat
kemalangan jalan raya yang turut mengorbankan suaminya.
Aku duduk bersimpuh di
sebelahnya.
“Kalau lambat Azmin ke
sekolah sebab dia angkat akak mandi, cikgu!. Kalau baju sekolahnya kotor
sebab dia bekerja di restoran setiap kali pulang dari sekolah cikgu.. jika
kerja sekolahnya tak siap...... itu kerana.....” Kak Halimah menangis.
“Dia.... penat cikgu!. Setiap
kali pulang dari kerja, dia akan solat dan akan terus tertidur di sisi saya”
air mata itu turut sama mempengaruhi mataku. Aku tak sedar bila air mata ini
turut jatuh.
“Dia tak benarkan saya
kerja. Dia mahu saya jaga mak! Kasut sekolah pun dia tak beli sebab dia belikan
saya kasut baru tu” Maya menunjuk sepasang kasut baru di bawah televisyen yang
sudah pun tamat perkhidmatannya.
“Cikgu Intan tentu
bencikan dia. Saya nampak ada jalur merah pada tangan dia” kata Kak Halimah.
Aku tergamam!. Ya
Allah....
“Dia selalu cakap yang
dia suka pada cikgu tapi cikgu bencikan dia. Masa hari guru hari tu, dia tak
ada duit nak beri hadiah hari guru jadi dia ukirkan ini untuk cikgu” ujar Maya
yang baru sahaja keluar dari sebuah bilik.
Satu ukiran kayu yang
mengukir namaku dengan menggunakan tulisan khat. ...CIKGU INTAN. Entah kenapa
rasa marahku pada Azmin berkecai saat itu juga.
“Dia tak bagi pada saya
pun!” kataku. Ukiran kayu itu kupeluk.
“Buat apa beri pada orang
yang membenci kita” kata Kak Halimah.
Aku bagai dipukul dengan
kata – kata Kak Halimah.
“Cikgu... jika dia
ditakdirkan tidak berjaya dalam pelajaran, saya berbangga kerana punya anak
yang berjaya menjaga saya walau dalam keadaan apa pun. Tiada resah di hati saya
kerana tak punya harta kerana harta – harta saya yang dua orang ini lebih besar
nilainya daripada harta yang ada di dunia ini” Kak Halimah senyum tenang,
Ya... aku lihat
ketenangan pada wajahnya. Melahirkan zuriat yang taat padanya... itulah harta
yang hakiki! Melahirkan zuriat yang mengusungnya mandi setiap pagi dan
petang... itulah harta sebaik – baik harta. Anak aku?... jauhnya bagai langit
dengan bumi.
Aku pulang ke rumah
sebelum Azmin pulang. aku minta ukiran itu daripada Kak Halimah untuk kuletak
di mejaku. Biar semua orang tahu... pelajar yang menyayangi aku telah mengukir
satu rasa kasih buat gurunya.
******************
Aku memanggil Azmin ke
bilik kaunseling. Aku tahu dia gentar. Dari tadi dia meramas – ramas tangannya
sendiri.
“kenapa Azmin tak
beritahu cikgu sebab Azmin lambat....kerana mandikan mak Azmin kat rumah?”
soalku. Azmin terkejut. Kak Halimah dan Maya menuruti kemahuanku tempoh hari
agar merahsiahkannya dari pengetahuan Azmin.
“Cakap apa sahaja. demi
tuhan.... cikgu tidak akan marah” jujurku. Dia memandangku dan kemudiannya
tunduk.
“Sayan tak jawab mengapa
saya datang lambat kerana saya tak mahu cikgu salah sangka dengan mak saya. Mak
tak pernah menjadi penyebab mengapa saya lambat ke sekolah. Langkah kaki saya
yang tak begitu laju untuk sampai tepat ke pintu pagar sekolah”
Aku memegang dadaku. Dia menjaga
nama baik kak Halimah.......
“Saya tak beli baju baru
sebab nak belikan baju baru buat mak dan Kak Maya. Dia tak boleh bekerja sebab
jaga mak. Jadi saya yang harus belikan semua keperluan untuknya. Kak Maya tak
pandai jahit.... masak tak berapa sedap tapi cukup untuk mengenyangkan kami
semua” senyum Azmin.
Ya Allah..... manisnya
senyuman dia!. Mengapa tidak pernah aku lihat siapa dia di sebalik Azmin yang
aku herdik setiap hari?
“Masa depan Azmin macam
mana?” soalku.
“Masa depan saya di
tentukan Allah dan saya akan berusaha keras untuk itu. Allah beri kita banya
jalan dan cara untuk menjadi yang terbaik. Mungkin saya tak mampu menjadi
pelajar cikgu yang terbaik.... tapi saya boleh menjadi seorang anak yang
terbaik!. Sungguhpun cikgu marah saya setiap hari, namun doa saya untuk cikgu
tidak pernah putus. Cikgu ibarat ibu di sekolah”
AKu menarik nafas dalam –
dalam.
“Cikgu akan tanggung kamu”
kataku yakin,
“Tak!”
Aku terkejut!
“Kakak dan mak adalah
amanah saya sebagai anak lelaki. Saya akan tanggung mereka. Biarlah hidup saya
begini. Saya janji dengan cikgu, saya tidak akan selamanya kerja di kedai makan
tu. Saya akan berusaha menjadi yang lebih baik demi keluarga saya” ujarnya
yakin. Nadia yang baru tiba tersenyum memandangnya.
************
Setiap bulan aku
menghantar seguni beras, barangan dapur untuk keluarga Azmin. Puas aku memujuknya
hinggakan aku merayu pada kak Halimah agar masuk campur. Kuasa Allah itu Maha
luas, besar dan tiada tandingan!.
Dalam sibuk – sibuk dia
pun, keputusan SPMnya menjadikan dia antara 10 pelajar cemerlang sekolah itu.
dia di terima masuk ke dalam institusi pengajian tinggi awam dan pada sebelah
malamnya pula dia akan bekerja sambilan. Dia masih berdikari seperti dahulu.
TING TONG!!!!
Belon memoriku pecah saat
mendengar loceng rumahku di tekan. Azmin , Nadia dan anak mereka sudah sampai. Dibelakangnya
pula Kak Halimah , Maya dan keluarganya menyusul.
Azmin yang sudah
mempunyai kumis membuatkan aku terfikir betapa sudah lama pengajaran pertamaku
itu berlalu. Guru bukan sahaja mengajar tetapi peru juga belajar sesuatu
daripada muridnya dan aku belajar sesuatu malah lebih lagi dari Azmin...
pelajar yang pernah aku benci suatu ketika dahulu. Dia mengaja aku agar melihat
dan merasai sesuatu sebelum menilaikannya dari pemikiranku sendiri dan pastinya
aku belajar bahawa Allah Maha Pengasih dan penyayang...... Azmin adalah antara
hamba yang disayanginya.....
DARI BEKAS GURU YANG
MASIH LAGI BELAJAR TENTANG HIDUP....INTAN
hd ;(Y) karya yg x pernah mengecewakan...teruskannn
ReplyDeleteTime nak sengal,sengallah dia....time nak sentap,setaplah dia....time utk ikhtibar,sesungguhnya itu yg pasti... Thanx azizah...
ReplyDeletesaya pun belajar sesuatu di sini....kemanusiaan, berusaha, berbaik sangka, redho...arrghh banyknya pengajaran disini
ReplyDeletehurm ini lah dia yg insan yg mempunyai pelbagai nama
ReplyDeleteSeperti nama nya yg pelbagai... begitu juga nukilan dia... mcm2 ada... ada sengal,,... super sengal... lawaknya yg tak hingat... seram tidak serupa seram.. keluar sedih... kita yg meleleh air mata... setiap nukilan ada maksud sendiri... ada yg untuk release tense... ada untuk cucian nurani... ada untuk pelajaran kpd hidup... ada untuk dijadikan pedoman meneruskan langkah
tahniah buat Ami @ Azi @ Iza @ Seri Dewi Petang Ami
sentiasa tgk u menyengal
kak ita
wakakakakkaa, i lebiuuuuuuuu kak ita kuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu. terima kasih kak!
DeleteAyaq mata menitih baca cte nie.. huwaaaaa... sob sob...
ReplyDeleteBisa buatku menangis..
ReplyDelete