SETENANG
WAJAHMU..... AISHAH
Sidek membelai rambut Aishah
yang sedang terlena di atas sofa. Mungkin terlalu letih menjaga dan melayan
kerenah anak seharian. Dia tahu isterinya itu sentiasa mahu yang terbaik buat
mereka sekeluarga dan oleh itu rasa lelah diketepikan begitu sahaja.
“Sayang... abang bawa
balik satay ni” bisik Sidek. Aishah yang sedikit terkejut menggosok – gosok
matanya. Sidek senyum. Anak mereka terus mengelilingi Aishah yang sedikit
terpinga – pinga. Bau kuah kacang dari atas meja makan membuatkan Aishah
tersenyum lalu dipeluknya lengan Sidek dengan senyum yang meleret.
“hmm... manja bukan main
kalau dapat makan benda tu ya” senyum Sidek. Kepala Aishah digosok sambil
ketawa kecil. Aishah bingkas bangun dan terus mengambil pinggan dan mangkuk
untuk dibawa ke meja makan.
“Ibu nak yang daging”
pinta Iman dan serta merta Khadija pula menyampuk.
“Ala... asyik nak daging
sahaja. itu kan ayah punya” jeling Khadija. Iman membisu. Kena sebiji ....
“Ala.. ayah tak kisah...
makan lidi saja pun tak apa. Asalkan
Puan Aishah kita ni gembira” pipi Aishah dicubit hingga tergeleng – geleng
kepalanya. Anak – anak mereka ketawa. Iman tersenyum memandang ibu dan ayahnya
yang sentiasa bergurau dan bertolak ansur antara satu sama lain.
“Sayang tahu tak....
minggu depan kita sekeluarga akan ke Port Dickson. Ada makan malam dengan kawan
– kawan kerja” satay daging di gigit. Sedikit liat. Berkerut wajah Sidek mengunyahnya.
“Mesti ada dinner kan”
Aishah menghulurkan pula secawan teh pada Sidek. Hanya anggukan diterima.
“Pakai cantik – cantik ya
sayang. Abang nak sayang paling cantik malam tu. Kalau ada artis pun,
artis tu lari lintang pukang balik rumah
sebab tak se vogue sayang” gurau Sidek. Pecah tawa mereka semua. Ada – ada
sahaja!.
Aishah memandang wajah
suaminya itu dalam – dalam. semenjak dia mengenali lelaki itu, tidak pernah ada
istilah menyesal dalam kamus hidupnya. Dia bahagia dan mahu terus bahagia di
dalam dakapan suami dan anak – anaknya. Apa sahaja yang mereka suka akan Aishah
turutkan biarpun sesukar mana sekalipun.
**********************************
“Alah Aishah... suami kau
tu bekerjaya ada rupa . Kau tak takut ke?. Kau ni cantik tapi cantiknya hanya
di rumah. Kau tak takut kalau – kalau pekerjanya jatuh cinta ?” soalan Kak Mun
sedikit membakar perasaan Aishah. Tidak terlintas walaupun sekali akan
persoalan itu di dalam fikirannya. Semua pekerja di dalam syarikat itu menjadi
kawannya. Baik yang lelaki mahupun yang perempuan.
“Kenapa kak Mun kata
begitu?” soal Aishah. Kain selimut di kepit dengan penyepit baju. Baru pukul 9
pagi, jirannya itu sudah pun tercogok di hadapan rumah. Kalau membawa cerita
yang baik – baik tak mengapa.
“Tak apalah Kak Mun..
Aishah nak masuk masak. Sekejap lagi Iman dan Khadija balik nak makan, kak Mun
tak masak ke?., semalam Iqmal kata dia lapar sebab Kak Mun asyik tidur aje”
senyum Aishah. Ha.. ambik kau sebiji!. Kak Mun terus pulang dengan mulutnya
yang masih terkumat kamit. Marah?. Ada Aishah kisah. Biar dia marah asalkan
jangan dia dan suaminya berentam hanya kerana mulut pembawa cerita seperti Kak
Mun.
************************
“kenapa termenung ni?”
soal Sidek dengan lembut. Aishah cuma tersenyum. Tidak dinafikan hatinya resah. Keliru mula
hadir menjenguk wajah.
“Abang selalu sahaja
keluar dengan Kelly tu ya?” satu soalan keluar juga dari mulut Aishah. Ternyata Sidek amat terkejut. dia terduduk di atas birai katil.
“Sayang tak percaya pada
abang?” soalan itu seperti menghiris hati Aishah. Kelembutan Sidek sering
memanah rasa amarahnya. Sidek bijak mengawal emosi Aishah dari terus
terbelenggu dengan rasa marah.
“Hmm.. dia kan rakan
sekerja. Lagipun masa rehat kami semua keluar makan ramai – ramailah sayang”
berkerut dahi Sidek. Aishah mengangguk. Cuba menyembunyikan resah yang masih
tidak mahu menjauhi hatinya.
Mahu atau tidak, Sidek perlu memujuk hati lembut itu agar mempercayainya.
Dia kenal benar isterinya itu. walaupun pebagai fitnah yang hadir, dia tetap
tenang. Tidak mahu Sidek tahu rasa sakit atau pedih yang sedang dia pendamkan.
“Aishah cerita pada abang.
Kenapa tiba – tiba jadi macam ni?. Abang dah tak layan sayang ke?” pipi Aishah
dielus perlahan. Aishah tertunduk. Dia menggeleng. Air mata yang menitis
membuatkan Sidek tersedar. Ada sesuatu yang perlu dia jernihkan...demi Aishah.
Bahu Aishah di pegang
kuat. Matanya merenung mata Aishah...
“Jika Aishah lihat bagaimana
setianya abang 15 tahun yang lepas, begitu jugalah pada waktu ini, sayang. Tak
mungkin hati ini berpaling. Tak mungkin!”
Aishah memeluk tubuh Sidek. Menghembamkan wajah ke dada suaminya buat seketika. Sidek membiarkan
Aishah meletakkan kepalanya agak lama ke dadanya. Dia turut terkesan melalui
esakan Aishah yang hanya sesekali kedengaran. Dia tahu agkara siapa... dia tahu
mengapa. Tak perlulah Kak Mun sebarkan fitnah semata – mata mahu membalas
dendam kerana cinta adik kesayangannya itu ditolak mentah – mentah. Cinta Sidek tidak hadir untuk Min.... langsung tiada!
**************
Semua kakitangan Syarikat
Megah Makmur Holdings gembira menghadiri acara makan malam yang dipenuhi
dengan makanan yang lazat – lazat. Iman
dan Khadija hanya menunggu di bilik hotel. Bosan katanya dengan majlis
sebegitu.
Satu pengumuman penting di
umumkan ketika itu dan Aishah tergamam sendiri.
“Tahniah Encik Sidek kerana dinaikkan pangkat menjadi ahli lembaga pengarah yang baru Syarikat kita.
Silakan beri ucapan.. Alah Sidek.... masa nilah kau nak jadi menteri” gelak
Hussin. Sidek naik ke atas pentas. Wajah pertama yang dia pandang adalah wajah
Aisyah yang duduk tidak jauh dari situ. Dia kemudiannya tersenyum dan
melemparkan pandangan matanya pada semua rakan sekerja.
“Terima kasih semua dan
terima kasih...” mata Sidek kembali mencari wajah Aishah. Dengan senyuman dia
meneruskan ayatnya yang tergantung sebentar tadi.
“terima kasih buat suri
hidup saya yang sentiasa menenangkan saya. Bukannya mudah untuk saya capai ke
tahap sekarang ini. setiap masalah dipejabat bukannya mudah untuk saya
selesaikan tetapi sebaik sahaja kaki ini melangkah masuk ke dalam rumah, satu
ketenangan yang luar biasa dapat saya rasakan setiap kali dia tersenyum dan
menyentuh pipi saya. Rindunya seolah – olah berbulan lamanya tidak bersua
sedangkan hanya beberapa jam dari keseluruhan hari saya meninggalkannya. Itu
pun demi tanggungjawab. Ketenangan itu mendorong saya menjadi setenang dia
untuk menyelesaikan segala masalah di pejabat. Air yang dia sediakan buat saya
sewaktu pulang seperti air hujan yang membasuh kotoran. Lenyap dan pergi begitu
sahaja. ucapan tahniah ini tidak berhak untuk saya.. tetapi untuk Aishah. Dia
isteri yang tenang dalam menghadapi masalah. Dia tenang dalam mengurus penat
lelahnya. Dia tenang membelai kami anak beranak walaupun banyak kerenah. Terima
kasih kerana ayah saya yang memberi nama Sidek itu buat saya . Saya bertuah menjadi Sidek.... kerana Allah menciptakan Sidek buat Aishah. “
Air mata Aishah bergenang.
Mereka yang lain tersenyum memandang Sidek yang masih berdiri di atas pentas.
“Saya akan menguruskan
syarikat ini dengan baik selagi saya melihat wajah setenang....Aisyah!”
Sidek sebak. Dia menyerahkan
pembesar suara kepada Hussin dan terus mendapatkan Aishah yang masih duduk dengan
matanya yang mengiringi setiap langkah kakinya. Setelah berdiri begitu hampir
dengan Aishah, Sidek menghulurkan telapak tangannya.
“Mari keluar...... abang
hanya mahu berdua dengan Aishah . Hanya kita berdua, sayang”
Aishah ketawa lucu dan
terus menyambut tangan Sidek . mereka berdua terus meninggalkan dewan itu tanpa
menoleh ke belakang langsung. Tangan Aishah digenggam seerat mungkin. saat itu
terlerai semua prasangka yang disuntik oleh Kak Mun. Aishah berhenti melangkah.
“Abang....”
Sidek memandang Aishah.
“Ye sayang....”
“Aishah juga sememangnya
diciptakan khas buat Sidek”
Sidek tersenyum dan terus
merangkul pinggang Aishah. Mereka berdua berjalan beriringan di tepi pantai
seperti waktu bercinta dahulu. Sesaat pun Aishah tidak melepaskan pelukannya.
No comments:
Post a Comment