Thursday, 26 July 2012

terima kasih beb! - bab 5


                                                               BAB 5

   Amy datang awal ke kafenya. Dia menyiapkan semua barang – barang yang di minta oleh Luqman. Keju mozzarella yang sudah hampir habis sudah di beli oleh Amy. Luqman datang awal. Lela dan Jiji yang tinggal serumah masih belum datang bekerja. Luqman menghadiahkan sekuntum senyuman buat Amy.  Hati Amy melonjak gembira. Dia menghampiri Luqman yang seperti kebiasaannya akan menyusun periuk dan segala kelengkapan memasak.
“Awak datang awal hari ini” sapa Amy.
“Awak terus pergi semalam. Duit ada di dalam beg saya. Sebentar nanti saya beri. Lain kali jangan buat begitu. Awak majikan. Kena beri tanggapan yang baik kepada pekerja. Saya tak tahu apa masalah awak tapi saya rasa kejadian semalam tak patut berulang” terang Luqman. Amy terdiam. Ada benar kata – kata Luqman itu. Dia terus menyusun kerusi di hadapan kafe.
Selepas Jiji dan Lela datang, Amy banyak menghabiskan masanya dengan menyusun bunga – bunga segar untuk diletak di atas meja. Jam sudah pukul 2 petang. Beberapa orang pelanggan sudah datang. Lela dan Jiji yang cekap membuat kerja menyenangkan hati Amy. Esok pekerja baru akan memulakan tugasnya di dapur sebagai pembantu Luqman.  Amy meletak wang kecil di dalam mesin wang.
“Amy..” tegur satu suara. Amy mendongak. Hati Amy berdebar – debar. Wajah lelaki yang sudah lebih setahun tidak dilihatnya itu muncul di hadapan matanya.
“Hady..” bibir Amy terketar – ketar menyebut nama mantan suaminya itu.
“Awak buka kafe ni?” soal Hady. Amy mengangguk. Dia memerhati sekeliling. Mencari kelibat Nafisah.
“Awak cari Nafisah?” soal Hady. Seperti tahu apa yang bermain di minda Amy.
“Tak.... silalah duduk” pelawa Amy. Hady duduk berhampiran dengan Amy.
“Lela... ambil pesanan” arah Amy. Dia terus mengatur langkah masuk ke dapur. Menuang air kosong dan meneguknya sedikit demi sedikit. Luqman mengerutkan dahinya. Luqman perasan akan tangan Amy yang menggigil itu. Luqman menghampiri Amy.
“Cik Amy tak apa – apa?” soal Luqman. Air mata Amy mengalir. Luqman agak terperanjat.
“Kenapa ni Cik Amy?’ soal Luqman lagi. Tiada respon dari Amy. Luqman menggerakkan sedikit bahu Amy. Gelas yang dipegangnya hampir terlepas dari tangan. Mujur Luqman sempat menyambutnya.
“Ya Allah... kenapa ni Cik Amy?. Sakit ke?” soal Luqman bertalu – talu.
“Cik Amy.. lelaki tadi nak berjumpa dengan Cik Amy” kata Lela yang mendapatkan Amy di dapur.
“Saya tak nak... tak mahu jumpa dia lagi.” Mata Amy memandang Luqman dengan penuh harapan.
“Siapa Cik Amy?” soal Luqman. Dia memegang tangan Amy yang masih menggigil. Luqman membuka apronnya dan mengikut Lela bertemu dengan Hady.
“Maafkan saya ya Encik, Cik Amy tak berapa sihat. Lain kali saja encik jumpa dengan dia ya?” tutur Luqman dengan lembut.
“Dia masih belum maafkan saya” kata Hady dan terus berlalu meninggalkan Luqman dan Lela yang berpandangan sesama sendiri. Amy sudah duduk terjelepok di lantai. Air matanya berjuraian. Segala mengenai Hady mula bermain – main di mindanya satu persatu. Luqman dan Jiji mendapatkan Amy.
“Bangun Cik Amy. Rehat di dalam bilik solat dahulu. Mungkin Cik Amy tak sihat ni” ujar Jiji. Memimpin Amy masuk ke dalam untuk berehat. Luqman rasa agak tidak sedap hati. Mungkin lelaki tadi membawa kenangan pahit dalam hidup dia.... fikir Luqman. Dia terus menyediakan sphagetti carbonara yang di minta oleh pelanggan mereka.

 Fikri  tiba bersama Qaseh di kafe milik Amy. Melihatkan Amy tiada di mesin wang, Fikri terus masuk ke dapur mendapatkan Luqman yang sedang sibuk memasak.
“Encik Fikri..” terkejut Luqman melihat Fikri di belakangnya.
“Mana Amy?” soal Fikri. Luqman membawa Fikri ke bilik solat. Fikri membuka pintu bilik itu dan terkejut melihat wajah Amy yang sembap. Air matanya masih mengalir.
“Kenapa dik?” soal Fikri. Qaseh memeluk Amy.
“Abang... dia datang sini tadi” adu Amy. Fikri dapat mengagak siapa yang dimaksudkan oleh Amy tadi.
“Memang nak kena betul budak tu!” Fikri menggenggam penumbuk. Luqman keliru.
“Sayang... sudah lah. Biar Qaseh bawa Amy pulang” cadang Qaseh. Amy sedikit terkejut mendengar Qaseh memanggil Fikri dengan panggilan ‘sayang’.
“Sayang?” soal Amy. Fikri menggaru – garu kepalanya.
“Sudah!. Pergi balik dengan Qaseh” arah Fikri. Amy hanya menuruti arahan Fikri tanpa bantahan. Memandangkan tiada pelanggan yang tinggal, Fikri mengajak Luqman berbual di hadapan.
“Rasanya saya tak perlu ceritakannya pada awak tetapi hati saya tetap memaksa saya untuk berbincang mengenai perkara ini” Fikri memulakan bicara. Dia menceritakan segalanya kepada Luqman. Niatnya agar Luqman dapat mempertahan dan melindungi Amy dari hady yang telah menghancurkan hidup Amy. Luqman kelihatan tenang apabila mendengar cerita mengenai Amy dari mulut abangnya sendiri.
“Jadi Cik Amy ni masih dara?” soal Luqman. Dia meneguk cappuccino dengan tenang. Luqman mengangguk.
“Saya akan melindungi dia. Jangan Encik Fikri risau” kata Luqman.
“Saya lega awak mahu mengambil tanggungjawab untuk menjaga Amy. Dia masih belum dapat hilangkan rasa pedihnya sendiri. Saya tak dapat memantaunya setiap masa. Saya juga perlu uruskan syarikat keluarga kami. Terima kasih Luqman” Fikri menepuk bahu Luqman berkali – kali. Luqman termenung panjang setelah Fikri pergi. Rasa simpatinya mula hadir. Lela duduk di sebelahnya.
“Luqman... kasihan Cik Amy kan?. Perempuan cantik begitu pun kena tinggal” kata Lela. Luqman merenung Lela.
“Kau curi dengar ya?” soal Luqman.  Lela menekup mulutnya.
“Bukan aku seorang. Jiji pun sama” kata Lela.
“Dah tahu kasihan, jangan ungkit perkara ni depan dia. Kita sama – sama jaga boss kita tu” kata Luqman. Dia bangun dari kerusinya. Mahu ke dapur.
“Kau memang kena jaga. Aku tengok kau berdua macam ada sesuatu” kata Lela. Dia menggaru – garu dagunya beberapa kali.
“Tak payah nak buat gossip dekat sini” kata Luqman dan terus meninggalkan Lela yang terus berfikir.


    Setelah hatinya tenang, Amy ke padang untuk bertemu dengan Pak Leman. Dari jauh lagi Pak Leman sudah menghadiahkan sekuntum senyuman buatnya.
“Anak Pak Leman ni macam mana sekarang?” soal Pak Leman. Amy tersenyum hambar.
“Jangan di kenang benda yang dah lepas. Amy anak yang baik. Allah akan menganugerahkan seorang suami yang lebih baik buat Amy. Lagi satu.... terima kasih beri duit pada Pak Leman hari tu. Mak Gayah beritahu Amy datang. Pak Leman ke surau” ucap Pak Leman.
“Sama – sama. Itu saja yang Amy mampu bantu Pak Leman” senyum Amy.
“Rm500 itu lebih dari cukup. Kan Pak Leman dah kata, tak perlu susah – susah” kata Pak Leman.
“Tak apalah... duit itu untuk bayar yuran sekolah Razak. Gaji Pak Leman sebagai tukang kebun sekolah tu, Pak Leman simpan untuk makan. Mulai hari ini, perbelanjaan sekolah Razak biar Amy yang tanggung” Amy memandang wajah tua Pak Leman.
“Pak Leman bertuah kerana jumpa anak sebaik Amy. Jangan susah, anak buah Pak Leman juga selalu membantu Pak Leman” terang Pak Leman. Hari ini dia tidak menjual layang – layang. Amy tidak mengizinkannya. Dia mahu Pak Leman berehat secukupnya. Penyakit asma Pak Leman kerap menyerang sejak kebelakangan ini. Amy duduk bersama – sama di padang sambil leka memerhatikan gelagat kanak – kanak yang riang bermain di padang. Setelah hampir setengah jam berbual, Amy meminta diri untuk pergi. Dia harus ke kafenya.

Amy masuk ke dalam kafe. Dia memandang Luqman yang sedang sibuk memasak. Agak ramai pelanggan yang datang pada hari ini. Kasihan pula dia melihat Jiji dan Lela yang sedang sibuk menghidangkan makanan.
“Maafkan saya” kata Amy.
“Nak buat macam mana, majikan saya selalu lari. Kalau tak lari pun, datang lambat” sindir Luqman. Muka Amy masam kelat.Luqman memusingkan badannya menghadap Amy.
“Cik Amy.....ketabahan itu penting. Kadangkala kita perlu jadi kuat walaupun kita tidak sekuat mana. Percayalah.... saya akan sentiasa di samping Cik Amy. Jiji dan Lela juga begitu. Kita harungi bersama – sama” tutur kata Luqman itu membuatkan air mata Amy mula bergenang.
“Cepat pejam mata tu. Jangan bagi air mata ini mengalir lagi” arah Luqman. Amy memejam matanya. Air mata yang jatuh sedikit itu di kesat oleh Luqman dengan jari – jemarinya. Amy membuka matanya perlahan –lahan. Memandang senyuman di wajah Luqman membuatkan hatinya tenang. Jiji dan Lela yang mengintai mereka berdua tersengih – sengih.
“So sweeettt” kata Lela.
“Sweet kepala otak kau. Kau tak bau masakan Luqman dah nak hangus?” kata Jiji. Lela masih tersengih – sengih memandang Luqman dan Amy yang masih bertentangan mata.
“Api... api!!!!!!!!!!!!” Jiji menjerit ke telinga Luqman . Kelam kabut Luqman dan Amy menutup api di dapur. Wajah Luqman dan Amy merah padam.
“Cik Amy dan Luqman ni kan.... nak berasmara ke asrama ke... lepas masak boleh tak. Nasib baik sos ni yang hangus... kalau buat lagi, dengan pelanggan – pelanggan hangus terbakar” bebel Jiji. Amy terus keluar. Malu!.

Amy mahu menutup kafenya lebih awal. Mereka sudah menutup kafe mereka pada jam 8 malam. Luqman, Lela dan Jiji tertanya – tanya sendiri. Amy tidak mahu menjawab.
“Nanti semua naik kereta saya ya?. Jiji dan Lela nanti saya hantarkan awak pulang ke rumah” senyum Amy. Jiji dan Lela ketawa besar.
“Tak payah naik bas lagi!”jerit mereka berdua. Luqman menutup telinganya. Bingit dengan jeritan dua anak dara yang selalu saja membuat kecoh.
“Kita naik kereta mahal lah....” bisik Lela. Kereta BMW 325i milik Amy disentuh dengan begitu teruja.
“Ada lesen?” soal Amy.
“Ada. Kenapa ?. Cik Amy bagi saya bawa ke?” soal Lela.
“Boleh. Tapi tunjuk lesen dulu” Amy menadahkan tangannya.
“Lesen basikal dia ada lah” cebik Jiji. Luqman dan mereka yang lain ketawa besar. Amy menghampiri Luqman.
“Awak bawa ya?. Agak janggal lelaki duduk di belakang” senyum Amy. Luqman mengambil kunci kereta dari tangan Amy.
“Nak ke mana ni?’ soal Lela.
“Kita pergi funfair lepas tu kita makan!” jerit Amy. Lela dan Jiji menjerit gembira.
“Pergi funfair?” soal Luqman. Amy mengangguk.
“Tak nak lah. Macam budak – budak. Saya malaslah nak ikut” Luqman membuka tali pinggang keledarnya. Amy cepat – cepat menahan Luqman dari pergi.
“Please.....” Amy mengelipkan matanya berkali – kali dengan muka yang di buat – buat comel. Luqman menoleh ke belakang. Jiji dan Lela juga buat benda yang sama. Luqman ketawa kecil. Dia menggaru – garu kepala.
“Pening betul bila berada di tengah perempuan – perempuan yang perasan budak lagi ni” kata Luqman.
“Boleh lah... boleh lah...” rayu Amy. Dia sengaja memuncungkan bibirnya. Luqman ketawa.
“Ok .. tapi janji dengan saya jangan menjerit – jerit. Sakit telinga saya ni” Luqman memberi syarat.
“Kami janji!” jawab mereka bertiga serentak. Luqman memandu dengan berhati – hati. Sampai sahaja di tempat letak kereta, mereka bertiga sudah teruja.
“Tak tahan ni Cik Amy” kata Lela.
“Saya pun!” jawab Amy. Akhirnya mereka bertiga menjerit gembira di dalam kereta. Luqman menekup kedua belah tellinganya.
“Tadi dah janji!” kata Luqman. Mereka bertiga keluar dari kereta.
“Saya nak naik kapal yang tunggang terbalik tu Cik Amy” kata Lela. Dia mendongak ke atas. Jeritan demi jeritan yang di dengari Luqman.
“Kalau tahu takut, buat apa naik?” soal Luqman kepada Amy.
“Itu namanya cabaran!” jawab Amy.
“Mari kita beli token” ajak Amy. Luqman ketawa.
“Token ya?... pandai bos saya ni” usik Luqman. Muka Amy merah padam. Lela dan Jiji menarik – narik lengan baju Luqman.
Luqman berhenti melangkah. Amy memandang Luqman yang menggaru – garu kepalanya.
“Korang bertiga boleh tak jangan tarik saya. Orang pandang kita tau!. Mesti diaorang ingat saya kahwin 3. Semua isteri saya tarik – tarik baju berebutkan saya” kata Luqman.
“Perasan!!!!” jerit Amy dan Lela. Jiji menampar lengan Luqman.
“Perasan betul kau ni!” cebik Lela. Luqman ketawa. Setelah menghabiskan banyak wang dengan membeli token, mereka bagai tidak tentu arah.
“Ala... kita main kereta langgar nak?” ajak Amy.
“Jiji dan Lela satu kereta. Saya dengan Luqman satu kereta” cadang Amy. Lela dan Jiji merenung Amy.
“Apa?” soal Amy.Luqman sudah malu – malu. Dia faham makna renungan Lela dan Jiji.
“Oooo... jangan beritahu saya yang Cik Amy saja nak naik kereta berdua – duaan dengan Luqman!” kata Lela. Jari telunjuknya di goyang – goyangkan.
“Eh... bukanlah!... saya . Errr.. saya bukan” Amy tergagap – gagap.
“Sudahlah. Mari. Nanti bisu terus Cik Amy ni” kata Luqman. Lela dan Jiji ketawa.  Luqman ketawa melihat Amy yang sangat gembira melanggar kereta Jiji dan Lela hingga berpusing.
“Apa ni Cik Amy!!!” jerit mereka berdua. Amy menjelirkan lidahnya.
Kau memang seperti budak – budak..... bisik Luqman. Dia suka melihat wajah Amy menjadi merah apabila banyak ketawa. Lela dan Jiji melanggar Amy dan Luqman dengan kuat sehingga tangan Amy memegang bahu Luqman kerana terkejut.
“Maaf!” ujar Amy. Luqman hanya mengangguk.

Setelah puas bermain kereta langgar, mereka bertiga mahu naik kereta sotong yang berpusing laju. Luqman sudah pening kepala. Amy memaksa Luqman untuk menyertai mereka bertiga.
“Pergi saja. Saya tunggu di sini” kata Luqman.
“Saya nak naik dengan awak” pujuk Amy.
“Kenapa pula?”
“Saya takut”
“Kan saya dah kata tadi, kalau takut buat apa naik?”
“Kalau dengan awak saya tak takut!” jawab Amy.
“Kenapa pula?”
“Awak akan jaga saya dengan baik”. Luqman terdiam. Dia mengambil masa agak lama. Kata – kata Amy tadi membuatkan hatinya menjadi lembut. Dia menemani Amy naik kereta sotong itu bersama – sama Lela dan Jiji. Jiji dan lela menjerit – jerit ketakutan. Luqman sudah pening kepala mendengar jeritan demi jeritan. Mereka berempat turun dari kereta sotong itu. Amy sudah pening kepala. Dia memicit-micit kepalanya.
“Kenapa Cik Amy?” soal Luqman. Amy hanya menggelengkan kepalanya.
“Pening!” jawabnya.
“Saya dah kata kan” balas Luqman. Amy senyum.
“Terima kasih beb!. Saya gembira hari ini” Amy memandang Luqman. Jiji dan Lela sudah pergi jauh. Mereka mahu menangkap itik getah di hujung sana. Amy dan Luqman duduk di atas batu besar yang ada di situ.
“Beb?...” soal Luqman.
“Oh... bagi orang lain, beb tu macam kawan tapi bagi saya, beb itu baby... orang yang saya sayang” senyum Amy. Dia kemudiannya tersedar yang dia terlepas cakap.
“Sayang?” soal Luqman. Amy memandang Luqman yang agak keliru.
“Eh.. bukan sayang... tapi kacang!. Saya nak makan kacang tapi tak ada. Nanti saya pergi cari!” Amy bangun. Tangannya di tarik dengan lembut oleh Luqman.
“Duduk sini dulu” kata Luqman. Jantung Amy sudah tidak keruan. Dia terlepas cakap. Sepatutnya dia tidak ungkapkan ayat itu kepada Luqman. Dia mengetuk – ngetuk dahinya dengan tangan.
“Jangan ketuk kepala.... nanti selalu terlepas cakap!” usik Luqman.
“Jangan risau... saya akan anggap saya tak dengar semua itu. Jangan jadi kekok dengan pekerja sendiri” senyum Luqman. Amy menoleh ke arah yang bertentangan. Dia mencubit bibirnya sendiri. Luqman dan Amy banyak membisu. Menunggu Lela dan Jiji yang masih belum puas menghabiskan token yang masih banyak.
“Kita duduk dalam kereta?. Panas sangat” ajak Amy. Luqman hanya menuruti. Di dalam kereta mereka masih banyak membisu.
“Saya suka tengok Cik Amy gembira” kata Luqman.
“Awak tak suka tengok saya sedih?” soal Amy pula.
“Awak lebih manis kalau tersenyum begini. Walaupun bising tapi saya gembira”. Luqman menoleh seketika. Memandang Amy yang tersenyum manis.
“Saya nak rasa nasi lemak awak. Hari tu tak bagi saya pun” Amy menukar topik perbualan. Luqman ketawa.
“Saya bawakan untuk Cik Amy tapi Lela habiskan” jawabnya. Lesung pipit di bawah bibirnya itu membuatkan Amy suka memerhatikannya.
“Nak...” kata Amy.
“Nak apa?”
“Nak rasa nasi lemak tu”. Luqman ketawa lagi.
‘Baiklah Cik Amy” jawab Luqman.
“Bukan Cik Amy, tapi Amy sahaja” kata Amy. Luqman memandang ke luar tingkap.
“Biarkan saja begitu. Perlu ada beza antara pekerja dengan majikan” jawab Luqman.
“Awak bukan pekerja tapi pembantu”
“Awak bayar gaji saya, jadi awak majikan saya”
“Bukan saya” pintas Amy. Luqman mengerut kening.
“Papa yang bayar” sengih Amy. Luqman ketawa.  Setelah puas bermain dan menghabiskan token, Jiji dan Lela masuk ke dalam kereta dengan muka yang monyok.
“Kenapa macam tikus mondok je bibir tu?” soal Luqman.
“Kau tahu tak, aku habiskan semua token tu nak dapatkan teddy bear besar tu, tapi hampeh!” adu Lela.
“Mana nak kena, baling macam sotong gak!” kutuk Jiji. Lela menjeling.
“Sudah!.. mari kita makan ya?” ajak Amy. Luqman membawa mereka makan ke restoran makanan segera atas permintaan Lela dan Jiji yang sudah lama tidak makan ayam goreng.

Kerana terlalu penat, Lela dan Jiji mahu pulang. Luqman menghantar mereka berdua hingga ke rumah sewa mereka berdua. Setelah Jiji dan Lela menaiki lif rumah flat mereka, Luqman dan Amy  bergerak menuju ke kafe.
“Kita ke kafe ya?. Saya nak ambil kereta saya” kata Luqman. Amy mengangguk. Sepanjang perjalanan mereka berdua banyak membisu. Hanya melayan jiwa dengan mendengar lagu – lagu romantik yang di putarkan.
“Cik Amy suka lagu romantik begini?” soal Luqman. Amy ketawa.
“Kenapa?” soal Amy. Luqman hanya tersenyum.
“Kita dah sampai. Terima kasih ya, Cik Amy” ucap Luqman. Amy mengangguk dan turut sama keluar dari keretanya.
Luqman berlalu pergi tetapi Amy memanggilnya semula.
“Kenapa Cik Amy?” soal Luqman.
“Terima kasih..... Luqman” senyum Amy.
“Luqman?.... bukan terima kasih beb?” soal Luqman. Amy termalu dan terus masuk ke dalam keretanya. Dia cepat – cepat menghidupkan enjin kereta dan berlalu. Luqman ketawa. Dia masih teringat akan senyuman Amy buatnya. Begitu manis hinggakan dia sukar untuk memaling dari memandangnya.

2 comments:

  1. termalu sendiri baca cerita ni.. haha.

    ReplyDelete
    Replies
    1. uittt... dah sampai TKB dah..
      ni yang buat sayang melimpah ruah ni hehehhe
      selamat datang ke ruangan TKB pula ya
      :) :)
      tq dik

      Delete