Monday, 25 February 2013

KASIH TUNGGANG CINTA TERBALIK - bab 3


 BAB 3


Hani menjemput Azan di rumahnya. beribu pesanan yang keluar dari mulut Hajah Zakiah. Hani turut sama mengenai tempiasnya. Ekor mata Hani membuatkan Azan naik rimas. Sebaik sahaja mereka berdua masuk ke dalam kereta Hani, Azan awal – awal lagi sudah cari pasal.

“Bagi aku pandu kereta. kau tu bukan pandai sangat”

“Kalau kau rasa tak nak kena cepuk dengan aku baik kau diam. Ini kereta aku, bukan kereta kau. Jadi, stering ni pun stering aku. Kalau kau boleh pandu tanpa stering, aku boleh bagi” renung Hani. Azan terdiam.

“Macam manalah dulu aku boleh jatuh cinta dan terus bertunang dengan kau yang senget ni” rungut Azan. Kereta masih belum dihidupkan enjinnya. Hajah Zakiah dan haji Saleh memandang antara satu sama lain.

“Kereta rosak ke abang haji?” soal Hajah Zakiah. Haji Salleh menggaru – garu kepalanya.

“Hmmm.. enjin otak anak kamu yang rosak. Tak nampak tangan diorang tu?. Macam bertengkar saja rupanya” Haji Saleh terus duduk di tangga. Hajah Zakiah juga begitu.

“Kalau Si Azan tu tak gatal – gatal bernikah kat luar negara dulu, taklah si Hani tu mengamuk” kata Haji Saleh. Hajah Zakiah mengeluh. Kereta mereka mula bergerak.

“Jalan punnn...” kata Haji Saleh dan Hajah Zakiah hanya senyum kelat.

Mata hani tidak mahu mencuri pandang wajah yang sememangnya lebih kacak dari dulu. Dia peduli apa!. Kacak – kacak pun duda. Walaupun duda berhias, tapi pada pandangan mata Hani... tak berhias mana pun!.

“Kau tak rindukan aku?” soal Azan.

“Diamlah!”

“Amboi. Garangnya. Dulu tak garang pun macam ni walaupun memang tak lembut. Tapi suka juga minah garang – garang ni. Lebih agresif” sengih Azan. Hani terus menekan brek kereta. hampir terhantuk kepala Azan dibuatnya.

“Gila ke apa?” marah Azan.

“Aku tahu tak hati aku ni sakit. Kau tahu sakitnya seperti apa?. Seperti kau menoreh – noreh hati aku ni dengan pisau potong pokok getah dan sakitnya mengalir ke bawah. Kau kutip dan leburkan jadi tayar basikal!” marah Hani.

“Erk...” Azan mengerutkan keningnya.

“Merosakkan bahasa betul” Azan menggeleng kepala. Hani menghentak stering kereta. tangannya mencapai beg tangan yang di letak di belakang. Dia membuka beg tangannya dengan hati yang panas.

Terbeliak mata Azan apabila Hani mengeluarkan pisau lipat dari dalam begnya. Matanya dibulatkan. Macam nak gugur jantung Azan.  Takut juga kalau – kalau Hani mengelarnya dengan pisau dan mencampakkannya ke dalam laut seperti yang do tontonnya di berita.

“Yang kau tergigil – gigil ni apahal?. Nah ambil balik pisau khat kau yang kau bagi masa harijadi aku masa darjah enam dulu. Dah tak ada maknanya bagi aku” marah Hani.

Azan terus mengambilnya. Dia cepat – cepat membuka tingkap dan membalingnya ke luar. Mata Hani semakin besar. Dipukul – pukulnya badan Azan dengan beg tangan yang masih dipegangnya.

“Nampak sangat kau memang dah lupakan aku, Azan!!!” jerit Hani.

“Apahal pula?” soal Azan.

“Kau tak ingat, kau ada tulis nama kau dan aku di pisau tu. Kau kata kalau pisau tu hilang, maknanya hati kau juga turut hilang kerana kecewa. Sekarang kau yang buang sendiri” geram Hani. Azan membetulkan duduknya. Dia menepuk dahi.

“Laa.... kisah darjah enam yang kau cerita. Kenapa tak cerita masa kau suruh aku ambil pacat kat punggung kau masa kau darjah dua dulu?. Segala parut aku boleh nampak!. Sekarang ada lagi kot” kata Azan selamba.

“Kurang asam betul kau ni” menggigil – gigil Hani menahan marah. Azan merenungnya. Dia akhirnya senyum sendiri.

“Kau makin cantik, sayang” ujarnya dengan lembut.

“Apa?” kemarahan Hani sedikit kendur.

“Wajah kau makin cantik” puji Azan. Hani memegang pipinya. Dia senyum.

Hani menghidupkan enjin keretanya semula. Bibirnya tidak henti – henti mengukir senyuman. Azan mencebik. Baru kena puji sikit dah cair, itulah perempuan!.
Mereka berdua makan tengahari bersama sebelum meneruskan perjalanan pulang. Tanpa sebarang pesanan, Hani terus meninggalkan Azan setelah menghantarnya ke rumah sewa.

“Jantan gila!” kata Hani. Dia terus memandu pulang. Ingin tidur dengan lena. Tidak mahu memikirkan Azan yang memang tidak wajar untuk difikirkan setiap masa.

                            ****************************


Hari pertama Azan bekerja sebagai jurutera binaan sedikit memenatkan. Dia yang baru sahaja mahu membeli kereta terpaksa menumpang Hani pergi dan balik. Dia menunggu agak lama di hadapan pejabat sebelum Hani datang menjemputnya.

Muka Hani masam mencuka apabila terpaksa berkejar ke sana sini. Tugas mengambil Azan sedikit membebankannya. Sebaik sahaja Azan masuk ke dalam kereta, Hani terus merungut.

“Kau tahu tak yang jalan ke tempat kerja kita bertentangan?. Susahlah macam ni. Aku nak kena bangun awal dan pulang juga awal semata – mata nak ambil kau”

Azan menyinga mendengarnya. Dia terus membuka pintu kereta.

“Vee..tunggu i” jeritnya.

Hani terkejut. Dia mengintai. Rupa – rupanya rakan sekerja Azan dengan rela hati mahu menumpangkannya. Azan terus menutup pintu kereta. Hani perlu bertindak. Walau apa pun, Azan masih lagi tunangannya.  Dia keluar dan mengejar Azan yang sudah pun berdiri menghadap Vee yang ketawa mesra. Hani menarik tangan Azan.

“Woi.. apa ni?” soal Azan.

“Masuk kereta!. aku hantar kau balik” kata Hani.

“tadi kau juga yang merungut. Vee ni dari tadi ajak aku tumpang dia. Ni apa masalah kau sebenarnya?” Azan cuba menarik tangannya tetapi genggaman tangan Hani begitu kuat.

“Balik aku kata!” Hani terus menarik tangan Azan ke keretanya. Vee terpinga – pinga.

“Perempuan gila manalah yang Azan ni kawan?” Vee menggeleng kepala.

Hani terus menekan pedal minyak keretanya. Dia membisu sepanjang perjalanan pulang. Azan memicit – micit kepalanya. Pening dengan Hani!.

“berhenti!!!” arah Azan. Hani memberi signal dan terus berhenti di tepi jalan.

“Aku tak tahu kau sayang aku atau pun tidak?. Kau benci aku tapi cinta terserlah di mata kau. Kau buang aku tapi bila ada orang lain nak kutip aku macam tadi, kau kutip aku balik. Kau ingat aku ni apa, Hani?. Memang tak faham dengan kau ni” rungut Azan. Dia melonggarkan ikatan tali lehernya.

Hani tunduk. Setelah beberapa ketika dia hanya berpaling. Memandang ke luar.

“Kau tak rasa sebab tu kau tak faham. Bagaimana kau nak faham sedangkan kau menciptakan segala rasa benci, resah dan keliru ini. aku mencintai seorang lelaki yang telah mengkhianati aku walaupun pada zahirnya dia tidak begitu.  Sentuh atau tidak, itu bukan persoalannya Azan. Saat seorang lelaki melafazkan akad untuk mengambil seorang wanita itu sebagai penemannya ke syurga adalah sesuatu yang sangat suci. Saat yang penuh bermakna itu aku angankan bersama kau sedangkan kau sudah pun melaluinya bersama wanita lain” Hani cuba menyekat air matanya.

“Kau mahu aku tersenyum tanpa rela di hadapan kau?. Merelakan rasa sakit ini tanpa sebarang penawar?. Kau mahu aku ketawa setelah tahu apa yang telah terjadi?. Aku pernah menyoal kau jika aku berkahwin dengan lelaki lain, apa yang kau akan rasa bukan?. Kau takkan merasainya kerana aku tidak sekejam kau untuk melukai perasaan cinta yang telah kau hadiahkan untuk aku. Hadiah yang terlalu bernilai buat aku yang selalu mencintai kau, Azan” luah Hani. Dia mengesat air matanya.

Azan tergamam. Ya, itu salahnya tetapi Hani perlu tahu.. kerana mencintai Hani adalah sebab mengapa dia hanya menyentuh isterinya itu sewaktu upacara membatal air sembahyang sahaja. Malah, tidak terdetik langsung di hatinya untuk mencuba menyemai kasih dan sayang. Cinta, kasih dan sayangnya hanya untuk hani.

“Kalaulah kau tahu siapa kau di hati aku, Hani... tidak akan tergamak kau menangis di hadapan aku dengan alasan hati kau hancur terluka” balas Azan.

“Dan kalaulah kau tahu betapa dalamnya cinta aku terhadap kau, takkan  tergamak pun untuk kau melafazkan akad di hadapan kadi untuk menikahi dia. Maafkan aku jika aku tidak mampu menjadi Hani yang dulu tapi kau perlu tahu cinta Hani tetap seperti dulu” jawab Hani.

Dia meneruskan perjalanan. Azan turun dari kereta dengan keluhan yang berat. Agak hampa apabila Hani tidak mahu menolehnya apatah lagi menghadiahkan senyuman manis seperti dulu.

3 comments:

  1. huhuhu!!! part ending dia nak nangis ni...sob sob sob...

    ReplyDelete
    Replies
    1. ambillah tisu ini Ina...
      akak jual 20 sen sehelai..
      nak sekali package, akak tolong nyanyi nak? hehhee
      terima kasih Ina... banyak2 kasih.
      akak suka sngt Ina selalu komen kat sini.
      <3 u!

      Delete